Selama seminggu durasi proses pemilihan bermula, Dr. Nora Yuhanis telah berjaya mengenali ramai individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan program pemilihan angkasawan kedua ini. Daripada pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan mereka, sehinggalah kepada para calon sendiri, mereka seumpama sebuah keluarga besar yang amat mengambil berat antara satu sama lain. Walaupun setiap calon menunjukkan semangat persaingan yang sihat antara satu sama lain dalam usaha merebut tempat untuk menjadi yang terbaik, tidak dapat tidak dinafikan, mereka semua masih berkomunikasi dan saling bantu membantu. Skil komunikasi yang baik dan cekap amatlah penting ketika berada di angkasaraya kelak supaya tidak berlaku sebarang salah faham yang bakal timbul.
Umpamanya, dia mengenali Datuk Peter Quay Yoong yang menjadi tulang belakang kepada program pemilihan ini. Dengan berkat pengalamannya dalam mengendalikan program pencarian angkasawan yang pertama dahulu, terlalu banyak tips serta nasihat yang dititipkan terhadap setiap calon. Kata-katanya seperti "Kita semua adalah pejuang, dan pejuang tidak akan pernah berputus asa" selalu menjadi azimat dan kata-kata perangsang buat setiap calon yang ada. Beliau jugalah yang banyak membantu calon sekiranya mereka menghadapi masalah dan tekanan perasaan akibat daripada rejim latihan yang amat ketat ini.
Dr. Nora juga mengenali Surya Adriana, rakan sebiliknya yang merupakan seorang jurutera kimia di dalam satu syarikat pembuatan sarung tangan getah terkemuka di Malaysia. Surya Adriana yang berasal dari bandar Kota Bharu, Kelantan banyak memberi inspirasi kepadanya khususnya dalam bidang yang tidak pernah dia ceburi iaitu bidang kejuruteraan kimia. Dengan semangat dan ketangkasan yang ada pada Surya, dia yakin Surya mampu untuk terus maju dalam hidupnya walau dimana dia berada. Kadangkala, jika ada waktu terluang, dia akan mengajak Surya untuk berlatih berenang di pusat akuatik yang telah disediakan selain makan bersama-sama di restoran khas.
Selain itu, Dr. Nora Yuhanis juga ada mengenali Thivaran Nagaradjah, seorang pegawai pemasaran bagi syarikat aplikasi pembelian atas talian terkemuka, Shopee Malaysia. Thivaran Nagaradjah yang berasal dari Kuantan, Pahang banyak memberi maklumat berkenaan isu-isu semasa khususnya perkara-perkara berkaitan dengan bidang pemasaran dan pembelian atas talian untuk pengalaman yang lebih baik. Thivaran Nagaradjah juga merupakan seorang rakan yang amat baik walaupun berlainan bangsa dan agama. Selain itu, dia juga mengenali seorang jejaka bernama Daeng Mustakim, seorang pegawai tentera yang berpangkat tinggi yang berasal dari Kota Tinggi, Johor. Daeng Mustakim merupakan seorang juruterbang pesawat pejuang yang bertugas sebagai Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan berpengalaman luas selama lebih 10,000 jam di udara. Walaupun mempunyai perwatakan yang agak tegas dalam melaksanakan tugasan dengan personaliti yang pendiam, namun dia tidak kekok untuk bersembang dan berkongsi ilmu sekiranya diajak berbual.
Selain itu, turut menarik perhatian adalah seorang wakil orang asli dari suku Semang, Samoi Rasal. Samoi merupakan seorang pegawai ranger hutan di Royal Belum Rainforest dan berasal dari Gerik, Perak. Samoi mempunyai kelebihan yang mantap terutamanya ketika berada di kawasan hutan belantara yang amat tebal dengan bentuk muka bumi yang ekstrem dan beralun-alun kerana hampir kebanyakan pokok-pokok yang ada di hutan rimba itu amat dikenalinya selain mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam kekal hidup (survival) di hutan belantara meskipun tiada bekalan makanan mahupun bantuan yang tak kunjung tiba. Walaupun berdarah orang asli, Samoi mempunyai perwatakan yang happy-go-lucky, pemberani, suka melawak dan tidak malu untuk melontarkan pandangan dan idea kritisnya.
Kendatipun, ada di antara mereka juga merupakan pakar IT yang pernah melanjutkan pelajaran di Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan pulang ke Malaysia semata-mata untuk menyertai program Angkasawan kedua negara. Lim Wei Jin, yang merupakan anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah berjaya menghabiskan bidang sarjana dalam bidang teknologi kejuteraan perkomputeran dan pembangunan kecerdasan pintar beberapa bulan yang lalu. Beliau pulang ke Malaysia semata-mata untuk mendapatkan tempat ke program anjuran MYSA ini. Lim sebelum ini sedang menjalani program latihan internship di Apple Park, Cupertino iaitu ibu pejabat syarikat teknologi terkemuka, Apple dan banyak maklumat berkenaan teknologi terkini juga turut dikongsi.
Joseph Mading anak Stanley, seorang jejaka yang datang daripada suku Iban pula merupakan seorang jurutera petroleum yang sedang bertugas di sebuah syarikat petroleum terkemuka negara. Pada masa itu, Joseph sedang bekerja di luar persisir pantai lapangan minyak dan gas Tanjong Baram, Sarawak. Jadi, tidak pelik lah jika Joseph mempunyai pelbagai kelayakan serta kompeten bidang selaman laut dalam kerana dia mempunyai sijil Basic Offshore Safety Emergency (BOSET). Pastinya sijil ini nanti akan memberikan nilai tambah dalam proses pemilihan kelak. Akhir sekali adalah Josephine Imulok Yondina, seorang gadis yang datang dari Inanam, Sabah merupakan seorang pegawai Tadbiran Diplomatik (PTD) yang bertugas di Kementerian Luar Negeri (KDN). Josephine yang datang dari suku Kadazandusun ini amat fasih berbahasa Cina, Jepun, Rusia, Kazakh serta Thai dan ilmunya mengenai hal-hal dasar luar sungguh dikagumi. Dia pernah menjadi pegawai di beberapa kedutaan khususnya di kawasan Asia Timur seperti di China, Rusia, Hong Kong, Taiwan, Jepun dan juga di Khazakstan.
Maka, tidak hairanlah jika mereka yang menjadi calon-calon bagi program Angkasawan kedua negara ini bukanlah calang-calang individu. Setiap seorang calon mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri, dan setiap daripada mereka bersaing antara satu sama lain secara sihat dalam merebut posisi seterusnya. Mereka bagaikan kawan dan lawan bagi Dr. Nora Yuhanis dan jika dipandang daripada sudut positif, setiap mereka saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Namun, ini tidak akan melunturkan semangat Dr. Nora Yuhanis untuk menggapai cita-cita yang kian hampir itu!
***
Sebulan telah berlalu, dan pada suatu pagi yang cukup indah, sedang Dr. Nora Yuhanis sibuk membuat bacaan ringkas sebuah buku bertajuk 'Road to The Stars', 'Psychology and Space' & 'Soviet Man in Space' hasil tulisan manusia pertama di angkasa lepas, Yuri Gagarin di dalam pejabatnya ketika waktu rehat, beliau menerima satu panggilan telefon.
"Assalamualaikum. Saya pegawai daripada Agensi Angkasa Malaysia. Boleh saya bercakap dengan Puan Nora Yuhanis?" satu suara lelaki yang kelihatan agak skema tetapi sedikit garau sedang mencari Dr. Nora Yuhanis dihujung talian.
"Err... Maaf yer, nak betulkan sikit, title saya bukan puan, tetapi Cik. Cik Nora Yuhanis. Saya belum kahwin lagi." Beliau memperbetulkan cara panggilan gelaran yang telah tersalah sebut bagi menggambarkan dirinya. Ada nada ketegasan namun dalam kelembutan tatasusila seorang wanita Melayu campuran darah Cina. Dirinya masih bujang dan belum berkahwin lagi, dan gelaran 'Puan' kelihatan agak tidak masuk akal disitu.
"Maaf, Cik. Maaf sekali lagi. Saya Rizal, dari MYSA. Adakah cik Nora berkelapangan untuk bercakap sebentar?' Rizal memulakan bicara sambil membuat permohonan maaf.
"Boleh... boleh.. Kebetulan saya tengah berehat ni. Ada apa ya En. Rizal call saya?" Dr. Nora Yuhanis kelihatan berdebar-debar.
"Saya disini ingin memaklumkan bahawa Cik Nora berjaya terpilih untuk proses pemilihan seterusnya bagi Pemilihan Program Angkasawan kedua. Cik Nora diminta untuk melaporkan diri di sebuah lokasi yang akan kami maklumkan di surat pengumuman rasmi yang akan kita poskan nanti. Pemberitahuan ini sebagai persediaan awal untuk cik bersedia secara mental dan fizikal. Segala senarai kelengkapan yang perlu cik Nora bawa bersama nanti akan kami lampirkan sekali dengan surat pengumuman terbabit. Tahniah diucapkan daripada kami, pihak MYSA dan kementerian MOST SPACE." saudara Rizal membuat pengumuman dengan panjang lebar.
"Betulkah saya dapat masuk ke pusingan seterusnya ni? Alhamdulillah....Allahuakbar!" Nora Yuhanis seakan-akan tidak mempercayai segala apa yang telah diungkapkan oleh saudara Rizal dihujung talian terbabit. Jeritan kegembiraan dihatinya tiada sesiapa yang tahu. Seperti mimpi menjadi kenyataan dan berkat doa, kesabaran dan iltizam yang tinggi Dr. Nora Yuhanis akhirnya semakin membuahkan hasil.
"Betul, Cik Nora. Cik Nora adalah antara beberapa orang wanita sahaja yang terpilih untuk meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya." ada nada teruja pada suara saudara Rizal ini ketika mengumumkan kejayaan Nora Yuhanis memasuki peringkat seterusnya.
"Alhamdulillah... Alhamdulillah ya Allah... Emm... Boleh saya tahu tak, Cik Surya Adrianna terpilih jugakah untuk ke peringkat seterusnya." Ucapan syukur dilafazkan . dan dia tidak melupai keberadaan rakan baiknya itu.
"Maaf, Cik. Saya tidak boleh beritahu tentang calon-calon lain yang juga berjaya mara ke peringkat seterusnya. Lagipun, saya tiada senarai penuh nama-nama mereka yang berjaya. Saya mohon maaf sekali lagi." saudara Rizal tidak dapat memberikan senarai nama mereka yang berjaya ke peringkat seterusnya seperti yang diminta Nora Yuhanis.
"Owh... kalau macam tu, tak apalah. Cuma, saya berharap agar rakan-rakan selatihan saya akan dapat masuk ke peringkat seterusnya sekali." Nora Yuhanis sedikit kecewa namun pastinya dia akan bergembira dengan keputusan yang tak terjangka ini.
"Baiklah, cik. Jika tiada apa-apa pertanyaan lagi, mohon saya mengundurkan diri. Assalamualaikum." saudara Rizal meletakkan ganggang telefon.
Dr. Nora Yuhanis sujud syukur atas kejayaannya untuk mara ke peringkat yang seterusnya. Dia betul-betul tidak menyangka bahawa dia akan mara ke pusingan seterusnya. Jauh di sudut hatinya, dia tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana padanya, ada ramai lagi insan-insan yang mempunyai latar belakang yang lebih hebat dan sangat dikagumi namun semuanya terpulang kepada rezeki masing-masing.
Pusingan seterusnya kemungkinan akan lebih mencabar fizikal dan mental yang berbeza kerana menurut angkasawan pertama negara iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, pusingan kali ini akan memberikan sebuah cabaran yang amat hebat, dengan teknik survival yang ekstrem rencam! Oleh itu, persediaan fizikal dan mental yang cukup rapi perlu dimulakan sedari awal lagi supaya dia dapat mengharungi cabaran pusingan yang seterusnya dengan lebih bersedia. Kejayaan tidak akan datang bergolek, kejayaan datang dengan usaha yang gigih.
***