UNTUK kesekian kalinya, pihak kerajaan Malaysia telah mengetatkan lagi syarat semasa proses permohonan dan pengambilan untuk menjadi angkasawan negara. Selain mengambil kira tahap latar belakang pelajaran iaitu calon-calon mestilah mempunyai sekurang-kurangnya transkrip ijazah sarjana muda atau lebih tinggi.
Antara syarat ketat lain yang telah ditetapkan adalah calon yang memohon haruslah lulus pemeriksaan perubatan aero, kadar organ yang seratus peratus berada dalam keadaan optima, lulus ujian penglihatan tanpa ada sebarang masalah rabun jauh mahupun dekat, lulus ujian kecergasan tanpa ada sebarang masalah saraf tunjang mahupun sendi-sendi, dan lulus ujian kecerdasan emosi tanpa ada masalah tekanan perasaan, depresi (depression) mahupun penyakit cemas melampau ataupun kegelisahan yang teramat (Acute Anxiety disorder).
Sihat tubuh badan disini bukanlah bererti sihat tanpa mempunyai sebarang masalah, malah, segenap perincian termasuklah kadar penglihatan, pendengaran, tiada sebarang masalah caviti di gigi atau kerosakan gigi dan lain-lain. Jika anda sudah lulus perincian fizikal ini, doktor akan menilai anda pula daripada aspek organ dalaman untuk mengesan sebarang kehadiran penyakit dan masalah dalaman dengan kaedah mengambil sampel darah, najis dan air kencing melalui teknologi perubatan yang terkini dan pintar.
Keupayaan dalam kerohanian (spiritual) serta kekuatan psikologi calon semasa berhadapan dengan situasi getir yang super ekstrem dan dapat melaksanakan tuntutan tugasan dalam situasi mencabar yang bertekanan tinggi seperti kaedah pengemparan di angkasa, kaedah eksperimen dibawah mikro graviti atau graviti sifar, kaedah kadar denyut nadi dan penerimaan sinar radiasi yang tinggi di angkasaraya dan juga kaedah aerochamber turut dilakukan dengan bantuan teknologi kecerdasan pintar (AI) yang terbina.
Seorang angkasawan yang bakal mewakili negara kelak juga seharusnya mempunyai latar belakang kehidupan yang cemerlang. Sejarah kehidupan mereka akan diperiksa dan diteliti secara menyeluruh dan mendalam untuk memastikan mereka tidak pernah terpalit dalam sebarang gosip, kontroversi mahupun cerita-cerita yang tidak elok didengar dimata masyarakat mahupun kerajaan. Sokongan daripada ahli keluarga juga merupakan satu nilai tambah kepada pencarian angkasawan negara yang ideal.
Dengan kata lain, mereka sedang mencari seorang rakyat Malaysia yang boleh dikatakan 'hampir sempurna dari segenap aspek'. Hanya calon-calon yang terbaik daripada segenap aspek akan dipilih dan layak untuk menjadi wakil negara ke angkasaraya. Ini kerana misi menghantar manusia ke angkasaraya dan stesen angkasa antarabangsa khususnya adalah suatu misi yang bukanlah murah mahupun mudah, malah ianya merupakan satu misi yang teramat mahal kosnya selain berisiko tinggi jika berlaku sebarang kesilapan yang kecil sahaja.
Tidak dapat tidak, calon-calon ini wajib menjalani satu skim latihan rejim yang sangat ekstrem selama setahun di Rusia, Khazakstan mahupun di Houston, Amerika Syarikat bagi membiasakan diri dengan keadaan super ekstrem dan prosedur peringkat pemilihan akan dilaksanakan melalui 10 peringkat pemilihan berbeza yang kesemuanya merangkumi pelbagai aspek rentas fizikal, mental, spiritual, kerohanian, dan juga aspek diet pemakanan dan kesihatan. Skim latihan ini telah dirangka semasa berlangsungnya sesi latihan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pada tahun 2006 sehingga 2007 yang lalu.
Secara dasarnya, kesemua ini akan mengguna pakai skim prosedur operasi standard (SOP) bagi modul-modul latihan rejim yang sedia ada ketika pengambilan angkasawan pertama negara pada tahun 2007 yang lalu dan akan digunapakai kembali semasa pengambilan angkasawan kedua ini. Namun, akan terdapat sedikit penambah baikkan dan pindaan terutamanya dari segi modul latihan, rejim diet serta kemampanan teknologi stesen angkasa itu sendiri mengikut peredaran zaman seiring keampuhan teknologi yang lebih pesat membangun pada masa kini dan masa akan datang.
***
Penantian suatu penyeksaan. Hari demi hari, minggu berganti minggu, bulan demi bulan berlalu, tiada khabar berita mahupun sebarang siaran media berkenaan program Angkasawan kedua negara. Jika melihat kepada sela masa ketika pemilihan program Angkasawan pertama dahulu, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pernah menyatakan bahawa proses pemilihan mengambil masa sekurang-kurangnya selama setahun. Oleh itu, Dr. Nora Yuhanis mengambil maklum akan tempoh tersebut dan terus tetap setia menunggu jika ada sebarang emel ataupun surat yang bertandang ke peti simpanan inbox-nya.
Sementara itu, sepanjang menunggu proses pemilihan dibuat, Dr. Nora Yuhanis telah mula mengubah sedikit demi sedikit gaya hidupnya. Pada awal pagi iaitu sekitar pukul 4 pagi selepas solat tahajud, dia akan mula berjoging di kawasan perumahannya sebelum mula bertugas pada pukul 8 pagi. Untuk rejim diet pula, Dr. Nora Yuhanis mula mengurangkan secara perlahan-lahan pengambilan makanan bergula, makanan tinggi karbohidrat, makanan tinggi kandungan garam terutamanya fast food, serta mula mengamalkan pemakanan diet suku-suku-separuh bagi mengimbangi berat badan yang optimum dan nilai BMI yang ideal. Kadangkala, dia akan mengamalkan intermittent fasting atau berpuasa sunat pada setiap hari Isnin atau Khamis untuk mengekalkan kadar gula dalam darahnya untuk kekal pada paras yang optimum selain menyahut saranan sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
Tidak cukup dengan itu, selepas pulang daripada hospital, dia akan singgah dahulu di gimnasium untuk melakukan rutin senaman selama 2 jam. Antara rutin yang selalu dilakukan adalah berlari di atas mesin pengisar anjakan (treadmill), mengangkat alat pemberat atau dumbbells serta beberapa rutin asas bagi membina otot dan sistem ketahanan fizikal badan. Beliau juga tidak ragu-ragu untuk mengupah seorang jurulatih peribadinya (personal trainer) bagi melengkapkan rejim latihannya di gymnasium supaya setiap modul latihan lebih tersusun, bermotivasi dan kekal konsisten secara berkala.
Untuk larian joging di waktu pagi, pada permulaan, Dr. Nora Yuhanis hanya dapat menghabiskan jarak 5 km dalam masa 40 minit sahaja. Namun, berkat kecekalan yang diberikan, dia berjaya memendekkan kadar masa larian dengan jumlah 30 minit untuk satu sesi larian jogging berjarak 5 km. Pada waktu malam pula, Dr. Nora Yuhanis akan tidur awal sekitar pukul 9 malam selepas solat isyak untuk mengekalkan kestabilan emosi dan ketahanan mental kerana pakar perubatan percaya, tidur yang cukup dapat membantu menstabilkan emosi, meningkatkan daya imuniti seseorang seterusnya dapat memberikan anjakan paradigma pada keesokan harinya.
Selain itu, Dr. Nora Yuhanis akan mengikuti kelas renangan pada waktu hujung minggu, hari sabtu dan ahad, di pusat renang dan rekreasi yang terdekat dengan kawasan kejiranan perumahannya kerana jujur dikatakan, dia langsung tidak pandai berenang! Adalah penting bagi seorang angkasawan untuk sekurang-kurangnya tahu teknik-teknik pernafasan dan renangan yang betul terutamanya di lautan lepas kerana teknik renangan merupakan salah satu modul bahagian terpenting dan paling utama semasa proses pendaratan khususnya sewaktu berlaku kecemasan mahupun pendaratan yang normal, yang kebiasaannya dilalui oleh para angkasawan luar negara yang sudah berpengalaman.
Sebagai tambahan, setiap tiga bulan sekali, Dr. Nora Yuhanis akan mengambil cuti panjang sedikit dengan membawa Aunty Anne mengembara ke pulau-pulau di sekitar dalam negara seperti di Pulau Payar, Kedah, Pulau Kapas & Pulau Perhentian di Terengganu, Pulau Tioman di Pahang, Desaru di Johor serta rantaian kepulauan di sekitar Negeri Sabah. Selain bercuti menenangkan fikiran, dia akan mengambil kelas menyelam scuba bagi membiasakan dirinya dengan lautan yang luas yang berombak-ombak, beralun-alun serta berarus deras, selain dapat membiasakan dirinya dengan teknik pernafasan kendiri melalui tong gas oksigen melalui teknik yang betul dan selamat selain dapat melihat pemandangan dasar lautan serta keindahan alam ciptaan Allah SWT.
Sesungguhnya, semoga berkat usaha yang ditonjolkan oleh Dr. Nora Yuhanis ini bakal membuahkan hasil dan tuaian kejayaan bukan sahaja untuk kepuasan dirinya, malah untuk kepentingan sejagat demi bangsa, agama dan tanah air yang tercinta ini.
***