Setelah perkara dengan ahli perisik di khemah urusan tadi sudah selesai, Aubree kembali ke khemahnya untuk berehat. Aubree memberitahu Nienna agar tiada yang mengganggu tidurnya kerana dia ingin berehat.
Nienna yang diberi tanggungjawab menjaga pintu depan khemah tempat Aubree tinggal, mengangguk dengan tugas yang diberikan oleh Aubree.
Ketika itu, Julie mendatangi khemah Aubree kerana dia mahu berbual dengan Aubree tapi Nienna yang disuruh oleh Aubree untuk menghalang sesiapapun masuk ke dalam khemahnya segera menghalang Julie.
Walaupun Julie sudah berusaha mahu memujuk Nienna agar dia dibenarkan masuk ke dalam khemah Aubree, Nienna terus mengabaikan permintaan Julie. Akhirnya dengan wajah pasrah dan hampa, Julie berlalu pergi dari sana.
Dalam perjalanannya kembali ke khemahnya sendiri, dia mendengar bunyi pedang yang dihayun di udara. Julie berhenti di tempat dia berdiri saat itu. Kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan untuk mencari dari manakah bunyi pedang itu berasal. Setelah mencari beberapa minit, Julie tiba di kawasan khemah tempat Putera Kedua dari Kerajaan Selatan menetap.
Ketika melihat orang yang sedang berlatih pedang itu adalah Spencer, Julie segera mencari tempat bersembunyi. Dia menggunakan batang pokok yang cukup besar untuk menyembunyikan tubuhnya. Hanya kepalanya saja yang keluar dari sebalik pokok itu semasa Julie sedang memerhati Spencer berlatih pedang.
Setiap kali Julie melihat Spencer menghayunkan pedang di udara dengan penuh kekuatan, mulut Julie akan terbuka luas dan rasa kagum terpamer di wajahnya. 'Kacaknya! Patutlah banyak wanita Elf di Kerajaan Selatan jatuh cinta dengan Putera Kedua ini. Selain kacak, dia juga sangat handal dalam ilmu pedang! Sesiapa wanita Elf yang menjadi isterinya nanti pasti akan sangat beruntung.'
Tiba-tiba, Spencer berhenti berlatih dan berjalan menuju ke meja yang berdekatan. Dia mengambil gelas yang ada di atas meja itu dan meminum air yang sudah diisi di dalam. Dalam diam, dia melirik ke arah Julie yang masih mengintai dari sebalik pokok itu.
Spencer menghabiskan air yang ada di dalam gelas itu dan meletakkan gelas itu kembali ke atas meja. Setelah dia mengelap bibirnya, Spencer memandang ke arah Julie lagi.
Julie yang melihat Spencer yang berpusing ke arah tempat dia bersembunyi, segera menyembunyikan diri di sebalik pokok itu. Takut pula dia jika Spencer akan marah kerana sudah mengintip Putera Kedua itu dari tadi.
"Saya tahu cik muda sudah ada di sana sejak tadi. Kenapa cik muda tidak keluar dan duduk di sini saja? Kenapa harus berdiri di sebalik pokok itu?" tegur Spencer dengan suara tenang. Pedang di tangannya diletakkan di atas meja dengan berhati-hati.
Mendengar perkataan Spencer itu, Julie terus menutup mulutnya yang terbuka luas kerana tergamam. Dia tidak menyangka yang Spencer sedar kehadirannya di sana. Yalah, apa tidak, Spencer mempunyai ilmu bela diri yang lebih tinggi dari Julie. Sudah tentu Spencer boleh merasa kehadiran Julie di sana.
Julie mengintai dari sebalik pokok, hanya cukup untuk menunjukkan kepalanya saja. Saat melihat Spencer masih lagi memandang ke tempat dia bersembunyi, Julie tiada pilihan lain selain tersengih dan keluar dari sebalik pokok itu.
"Yang Mulia Putera Kedua... Saya.... Saya tidak bermaksud untuk curi-curi tengok atau apa. Saya baru saja lewat di sini dan nampak Yang Mulia sedang berlatih. Saya cuma... Cuma nak tahu... Apa Yang Mulia sedang.... Urmm.."
Spencer tersenyum kecil melihat sikap Julie yang berusaha untuk memberi penjelasan. Dia mengambil tempat duduk di kerusi sebelum memberi isyarat kepada Julie untuk ikut duduk juga.
"Apa kata cik muda duduk dan temani saya minum dulu?"
Julie terkedu dengan mulutnya sekali lagi terbuka luas. Tidak pernah dalam seumur hidupnya yang dia akan dijemput oleh seorang Putera untuk duduk dan minum bersama. "Urm... Baik--baiklah..."
Spencer tidak bercakap banyak tentang sika Julie yang masih kekok itu. Sebaliknya, dia mengambil teko yang berisi teh untuk mengisi gelas mereka. Melihat tindakan Spencer itu, Julie segera berjalan ke hadapan dan menghentikan tangan Spencer dengan kedua tangannya.
"Yang Mulia, Yang Mulia tidak perlu tuangkan minuman untuk saya. Biarlah saya yang tuangkan minuman untuk Yang Mulia. Saya rasa tidak elok jika Yang Mulia sebagai seorang Putera Kedua menuangkan minuman untuk saya yang hanyalah sekadar Elf biasa..." Julie terkejut melihat Spencer yang menuangkan minuman untuk mereka berdua. Jika Raja Elf dari Kerajaan Selatan tahu akan hal ini, tentu kepalanya akan dipenggal nanti. Julie tidak mahu hal itu terjadi.
Spencer tidak mengatakan apa-apa tapi dia memandang pula tangan Julie yang masih memegang tangannya. Saat itulah barulah Julie menyedari kesilapan keduanya. Dia segera menarik tangannya lagi, tidak lupa mengambil teko itu dari tangan Spencer.
"Biar... Biar saya yang tuangkan, Yang Mulia."
Spencer tersenyum lagi. "Baiklah kalau cik muda mahukan begitu."
Julie menganggukkan kepalanya tapi saat menuangkan minuman teh itu, Julie hanya mampu menundukkan kepalanya kerana dia merasa malu setelah apa yang terjadi tadi. Kalaulah masa boleh diundurkan, Julie sanggup mengundurkan masa dan memperbetulkan kesalahannya. 'Macam mana saya boleh cuai dan terpegang tangan seorang putera raja? Kalau Raja Elf dari Kerajaan Selatan tahu hal ni, tentu tangan saya akan dipotong. Tidak!'
Setelah teh dituang dan teko itu disimpan di tepi, Julie duduk di hadapan Spencer dengan anak matanya dilarikan ke tempat lain. Dia masih belum berani mahu menatap wajah Putera Kedua itu.
Spencer pula tidak mengatakan apa-apa dengan sikap kekok Julie itu kerana dia tahu jika dia berkata apa-apa, gadis Elf itu akan semakin gugup pula. Spencer mengucapkan terima kasih atas tehnya dan mula menikmati teh itu.
Julie melihat Spencer mula menikmati tehnya. Demi menghilangkan rasa gugup dan kekok, Julie juga ikut minum tehnya tapi lupa jika teh itu masih panas. Kerana lupa, dia terus menghirup teh itu dengan pantas, membuatkan bibir dan lidahnya terasa melecur.
Julie meletakkan kembali gelas itu di atas meja dengan secepat kilat dan terus memuntahkan teh panas di dalam mulutnya. "Ah, panas! Aduh, panas!"
Melihat sikap cuai Julie itu membuatkan Spencer tertawa kecil. "Tentu saja teh ini masih panas? Kenapa cik muda minum tanpa berhati-hati?" Tidak lupa juga dia mengeluarkan sapu tangan kecil dan memberikannya kepada Julie.
Sekali lagi Julie menjadi malu dengan teguran Spencer. Dalam satu hari, sudah banyak kecuaian yang dia lakukan membuatkan dia merasa malu dengan Spencer. Julie terasa ingin menangis tapi tidak dapat. 'Bolehkah saya menghilangkan diri saja dari sini? Rasanya saya sudah tidak sanggup hidup di dunia ini begini!'
Julie memandang sapu tangan yang dihulurkan oleh Spencer dengan wajah ragu-ragu. Dia tidak yakin jika dia boleh menerima sapu tangan itu atau tidak. Tapi kerana Spencer yang sedang memerhatinya, Julie tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil sapu tangan itu. "Terima kasih, Yang Mulia."
Spencer pun kembali meminum tehnya setelah Julie mengambil sapu tangan itu. "Boleh saya tahu siapa nama cik muda?"
"Yang Mulia boleh panggil saya Julie."
"Oh... Cik Muda sudah lama kenal Yang Mulia Ratu?" tanya Spencer lagi.
"Oh, Aubree? Saya sudah berkenalan dengan Aubree selama beberapa tahun sebab kami tinggal di tempat kerja yang sama," Julie hanya menjawab dengan wajah teruja.
"Bekerja? Yang Mulia Ratu Aubree sebelum ini bekerja di mana?" Spencer menjadi semakin tertanya-tanya apakah pekerjaan yang dilakukan oleh Aubree sebelum ini sehingga membuatkan Aubree harus keluar dari Kerajaan Iron Tulip.
Menyedari yang Julie sepatutnya tidak menceritakan kisah silam Aubree kepada orang asing, Julie segera menutup mulutnya. Lalu dia memandang Spencer dengan wajah rasa bersalah. "Saya minta maaf, Yang Mulia. Saya tidak mahu menceritakan hal peribadi tentang Aubree kepada orang asing..."
Spencer mencapai gelas tehnya dengan gaya tenang. Selepas menghirup teh panas itu dengan perlahan, Spencer menatap wajah Julie lagi. "Saya faham maksud cik muda. Jangan risau, saya tidak akan bertanya lagi jika cik muda menolak untuk menjawab soalan saya..."
Senyuman di wajah Julie terlihat palsu dan kekok. Perasaan bersalahnya semakin menggunung bila mendengar kata-kata Spencer. Bukannya dia tidak mahu menceritakan tentang masa lalu Aubree tapi tidak elok sekiranya dia ceritakan perkara itu kepada orang asing.
Apa lagi bila Aubree dan Spencer baru sahaja berjumpa.
Suasana diantara mereka berdua mula berubah menjadi janggal. Julie yang tidak tahu hendak mengatakan apa-apa hanya mampu memandang ke seluruh arah, yang pastinya bukan memandang ke arah Spencer.
Manakala Spencer pula hanya menikmati tehnya dengan sikap tenang.
Julie tidak mahu suasana diantara mereka menjadi semakin janggal. Sementara masa ada masa, Julie mahu mengenali Spencer lagi kerana hanya ini saja peluangnya untuk berbual dengan putera elf ini.
"Jadi, Yang Mulia... Betulkah di Kerajaan Selatan ada pelbagai jenis makanan yang unik dan paling sedap diantara empat kerajaan lain?"
Spencer mengalihkan pandangan matanya kepada Julie. Segaris senyuman terpamer di wajahnya. "Saya tidak yakin makanan seperti apa yang cik muda maksudkan. Tapi di Kerajaan kami memang ada banyak makanan unik yang cik boleh cuba..."
Julie menepuk tangannya dengan perasaan teruja. "Suatu hari nanti, saya pasti akan melawat Kerajaan Selatan dan mencuba semua makanan yang sedap di Kerajaan Selatan..."
Spencer tidak mengatakan apa-apa. Hanya senyuman saja yang menghiasi wajahnya.
Julie tidak berhenti di sana. Dia meneruskan perbualannya bersama Spencer dengan membiacarakan apa saja topik yang terlintas di fikirannya. Manakala Spencer pula tidak keberatan untuk mendengar coletah Julie dan setia mendengar.