Sepanjang masa Aubree berada di tempat persembunyiannya, selain daripada berlatih untuk menjadi lebih kuat, Aubree juga membincangkan tentang rancangan mereka bagaimana mereka boleh merebut kembali Kerajaan Iron Tulip.
Kerana Aubree tidak pernah melihat atau masuk ke Kerajaan Iron Tulip, dia harus memastikan rancangan mereka berjalan dengan lancar tanpa cacat celah. Sekiranya mereka tersalah langkah, nyawa ramai Elf akan terkorban dalam peperangan ini.
Saat ini, Aubree sedang berkumpul dengan lapan orang Jeneralnya untuk membincangkan tentang rancangan mereka untuk mengalahkan Raja Kong. Memandangkan Luthien merupakan ketua pengawal peribadi Aubree, dia juga turut berada dalam perjumpaan itu.
Aubree duduk di bangku yang diperbuat daripada kayu berkualiti. Di hadapannya ialah sebuah meja panjang berbentuk segi empat dan terdapat banyak peta dan dokumen yang digunakan oleh mereka dalam perbincangan ini.
"Yang Mulia Ratu, kita mempunyai Tentera Elf seramai 10,000 orang yang bersedia dengan arahan dari Yang Mulia. Di dalam Kerajaan Iron Tulip, ada sekitar 3,000 orang Tentera Elf yang ditugaskan untuk menjaga rakyat dan bersedia menerima arahan Yang Mulia."
Aubree mengangguk mendengar laporan dari Jeneral Hock. "Jadi kita mempunyai sekitar 13,000 Tentera Elf yang boleh ikut dalam peperangan. Berapa pengikut setia yang dimiliki oleh Raja Kong setakat ini?"
"Pengikut Raja Kong saat ini ada kira-kira 11,000 Yang Mulia. Dan jika Tentera Kegelapan sudah dihantar masuk ke Kerajaan Iron Tulip, jumlah mereka mungkin akan berada dalam sekitar 15,000 orang," Seorang Jeneral lagi menjawab Aubree. Dia merupakan salah satu dari tiga orang jeneral Elf perempuan yang menghadiri perbincangan mereka pada hari ini - Dia dikenali sebagai Jeneral Zorana.
"Yang Mulia, izinkan saya untuk melaporkan hal ini kepada Yang Mulia..." Seorang Jeneral mencelah diantara perbincangan itu.
Aubree memandang ke arah Jeneral itu. Seingat Aubree, jeneral itulah yang menjaga unit tentera yang memiliki tugas khas dalam menyiasat. Dalam erti kata lain, mereka ialah perisik dan asasin yang terlatih. Jeneral Arik telah ditugaskan untuk menjaga unit tentera ini.
Aubree menganggukkan kepalanya. "Teruskan, Jeneral Arik..."
Jeneral Arik mengeluarkan sebuah dokumen yang berbentuk gulungan dan dibentangkan ke atas meja. Dokumen itu ditunjukkan kepada Aubree.
Bila Aubree memeriksa isi kandungan dokumen itu, dia mendapati bahawa itu ialah hasil siasatan Jeneral Arik dan anak buahnya mengenai kekuatan yang dimiliki oleh Tentera Kegelapan. Maklumat-maklumat itu ditunjukkan dalam bentuk lukisan.
Aubree kagum melihat kegigihan Jeneral Arik dan anak buahnya untuk mendapatkan maklumat itu. Dia tahu bukan senang untuk mengumpulkan maklumat itu tanpa mengadaikan nyawa mereka.
"Ini adalah hasil daripada penyelidikan kami tentang kekuatan baru yang dimiliki oleh Tentera Kegelapan, Yang Mulia. Kami masih tidak tahu dari mana mereka mendapatkan sumber kekuatan yang baru ini tapi mereka memiliki kekuatan yang berbeza dari empat elemen dunia yang wujud."
Wajah-wajah Jeneral yang lain berubah riak saat mendengar laporan dari Jeneral Arik. Mereka mula berbisik-bisik antara satu sama dengan yang lain.
"Jika dilihat di sini..." Jeneral Arik menunjuk ke arah salah satu lukisan. "Mereka masih menggunakan elemen air tapi kekuatan mereka telah ditingkatkan menjadi elemen ais. Dan di sini..." Lukisan yang lain ditunjuk lagi.
"Elemen api mereka ditingkatkan menjadi elemen seakan-akan kilat."
Aubree memandang elemen kilat yang dimaksudkan oleh Jeneral Arik. Dia tahu apakah elemen itu. Dia biasa melihat benda ini ketika dia masih di dunia lamanya. Aubree selalu melihat ini di kaca televisyen sahaja tapi tidak menyangka akan melihat benda ini di kehidupan sebenar.
"Itu ialah kuasa elektrik. Elemen Api mereka sudah berevolusi menjadi kuasa elektrik," ujar Aubree. 'Tidak sangka jika Tentera Kegelapan akan berevolusi menjadi lebih kuat dan cepat seperti ini. Jika Kerajaan Iron Tulip jatuh ke tangan mereka, seluruh dunia tidak akan selamat.'
Semua Jeneral memandang ke arah Aubree. Masing-masing dari mereka memandang Aubree dengan wajah kebingungan kerana mereka tidak pernah mendengar perkataan tentang 'kuasa elektrik' sebelum ini.
Ini kerana Aubree berasal dari dunia moden dan 'kuasa elektrik' tidak pernah wujud di dunia ini.
Aubree mengabaikan mereka. Dia memandang kembali lukisan yang ada di dalam dokumen tadi. "Selain itu, maklumat apa lagi yang kau dapatkan?"
"Kami juga mendapati yang Tentera Kegelapan boleh memanipulasikan tanah untuk membentuk gergasi... Mereka gunakan gergasi ini untuk menghancurkan perkampungan dan kota-kota kecil..."
Aubree mencebikkan bibirnya. "Mereka juga mempunyai golum tanah? Menarik... Saya tidak sangka mereka boleh menciptakan golum tanah..."
Jeneral Arik berhenti bercakap saat Aubree sudah mencebikkan bibirnya kerana dia takut jika ada sesuatu yang salah dengan apa yang dia katakan dan membuatkan Aubree menjadi marah.
Saat mereka mendengar Aubree menyebut perkataan baru lagi, Jeneral yang lain menjadi bingung. Bagaimana Yang Mulia Ratu mereka boleh tahu tentang nama-nama ini.
"Yang Mulia Ratu sudah pernah bertarung dengan golum tanah sebelum ini?" tanya Luthien kepada Aubree dengan wajah ingin tahu.
Aubree menggelengkan kepalanya. "Tidak, tapi saya pernah melihat golum tanah sebelum ini." Maksud Aubree ialah dia hanya menonton rancangan kartun tentang golum tanah di kaca televisyen semasa dia masih kecil dan bukannya melihat golum tanah yang sebenar di dunia Elf ini.
Semua jeneral tadi saling berpandangan dengan wajah mereka terpancar rasa kagum. Mereka tidak percaya jika Aubree pernah melihat golum tanah sebelum ini sedangkan tiada diantara mereka yang tahu rupa bentuk yang sebenar golum tanah ini.
Dan kerana Aubree menyebut gergasi ini sebagai 'golum tanah', secara automatik yang lain juga ikut memanggil gergasi ini sebagai golum tanah. Aubree tidak tahu sama sekali yang dia telah pun membuatkan nama golum tanah menjadi nama baru di tempat ini.
"Kita harus mencari jalan bagaimana menghadapi elemen baru yang dihasilkan oleh Tentera Kegelapan ini, Yang Mulia Ratu. Jika mereka memiliki elemen baru yang lebih kuat dari kita, kita akan menghadapi kekalahan yang teruk," Jeneral Mael berkata.
"Benar, Yang Mulia. Jika jumlah mereka sudah ramai yang masuk ke Kerajaan Iron Tulip, merebutkan kembali kerajaan kita akan menjadi sukar..." sambung pula Jeneral Nashwa, Jeneral Elf perempuan yang kedua.
Aubree memahami kerisauan para Jeneralnya. Jika boleh jeneral-jeneral ini tidak mahu lebih ramai anak buah mereka yang terkorban dalam peperangan ini. Aubree juga inginkan peperangan ini cepat selesai dan mengeluarkan Tentera Kegelapan dari Kerajaan Iron Tulip.
Oleh sebab itu, Aubree sudah pun memikirkan satu rancangan untuk membuatkan rancangan mereka semakin sempurna. "Untuk membuat rancangan ini lebih sempurna, saya harus masuk ke dalam Kerajaan Iron Tulip dan memeriksa keadaan kerajaan ini sekarang."
Kata-kata Aubree itu membuatkan semua jeneralnya memandang Aubree dengan wajah cemas dan terkejut. Mereka segera membantah kata-kata Aubree untuk membiarkan dia masuk ke kerajaan itu.
"Jangan Yang Mulia Ratu. Keadaan Kerajaan Iron Tulip sekarang ini sangat bahaya untuk Yang Mulia. Kita tidak tahu jika Yang Mulia dapat keluar dari sana lagi jika tertangkap dengan pengikut Raja Kong."
"Benar, Yang Mulia Ratu. Kita tidak mahu nyawa Yang Mulia dalam bahaya."
Hanya beberapa orang Jeneral saja yang mendiamkan diri sementara Jeneral yang lain tetap bersuara menyatakan pendapat mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan Aubree.
"Lebih baik jika saya sendiri yang masuk ke dalam Kerajaan Iron Tulip. Saya tidak pernah masuk ke dalam kerajaan ini jadi ada baiknya jika saya mengenali setiap selok-belok kerajaan ini. Raja Kong juga tidak tahu rupa saya bagaimana jadi dia tidak akan mengenali saya..."
Melihat para jeneralnya masih ingin membantah, Aubree segera menghentikan mereka daripada terus bercakap lagi. Tekadnya sudah bulat. Melihat Aubree tidak akan menukarkan fikirannya, lapan orang jeneral itu tidak dapat lagi berkata apa-apa.
"Baiklah, sampai sini sahaja perbincangan kita untuk hari ini. Kamu semua boleh kembali ke unit masing-masing dan teruskan pekerjaan," Arahan baru dikeluarkan oleh Aubree kepada semua jeneral tadi.
Semua jeneral itu memberikan penghormatan kepada Aubree sebelum mereka meninggalkan khemah itu.
Aubree masih duduk diam di bangkunya walaupun tempat itu sudah kosong. Dia sedang memandang ke arah dokumen yang ditunjukkan oleh Jeneral Arik tadi. Sementara itu, Luthien membantu mengemaskan dokumen dan peta yang masih berselerak di atas meja.
Aubree memegang salah satu lukisan pada dokumen di hadapannya. Lukisan itu menunjukkan seorang Tentera Kegelapan yang menggunakan ais. Kerana Aubree datang dari dunia moden, dia tahu elemen ais ini mempunyai kelemahan lain.
Elemen yang wujud di dunia ini hanya ada empat, iaitu Api, Air, Angin dan Tanah.
Jika Tentera Kegelapan memiliki elemen selain daripada empat elemen ini, mereka mungkin telah mendapatkan kekuatan baru dari objek kuno yang memiliki kekuatan yang sama seperti Kristal Kehidupan.
Namun, Kristal Kehidupan masih ada di Menara Kristal dan dijaga rapi oleh Ahli Sihir Tertua dan Tentera-tentera Elf yang terkuat. Tidak mungkin Raja Kegelapan berhasil mendapatkan Kristal Kehidupan itu.
Jika dilihat dari masa Tentera Kegelapan menguasai elemen baru ini, mereka sudah pun menguasai elemen ini sejak lama. Bermakna, sumber kekuatan mereka bukan berasal dari Kristal Kehidupan.
Aubree cuba berfikir lagi dari mana Raja Kegelapan boleh mendapatkan sumber kekuatan yang membolehkan Tentera Kegelapan mendapatkan elemen baru ini.
"Objek kuno yang mempunyai kekuatan yang sama seperti Kristal Kehidupan?" ujar Aubree dengan suara yang perlahan.
Luthien yang sedang menyimpan sebuah gulungan dokumen di dalam sebuah kotak almari, menoleh ke arah Aubree. "Ada sesuatu yang menganggu fikiran Yang Mulia?"
Aubree memandang ke arah Luthien. "Luthien, dari mana Raja Kong berasal? Saya mahukan semua butiran peribadi Raja Kong sekarang ini."
Luthien segera bergerak mendekati kotak almari di sisi lain dan mengambil sebuah gulungan dokumen. Dia menghampiri Aubree dan menyerahkan dokumen itu. Usai mendapatkan dokumen itu, Aubree segera memeriksa dokumen itu.
"Raja Kong adalah salah seorang anak buah daripada Permaisuri yang lama?" tanya Aubree.
"Permaisuri Lareina ialah Permaisuri Kerajaan Iron Tulip yang sebelum ini memiliki seorang sahabat bernama Duchess Valeska. Permaisuri Lareina menganggap Puteri Valeska sebagai adiknya, maka Yang Mulia Permaisuri Lareina melantik Puteri Valeska sebagai seorang puteri pertama di Kerajaan Iron Tulip.
Puteri Valeska berkahwin dengan seorang Putera dari Kerajaan Timur. Mereka memiliki lima orang anak dan Raja Kong adalah anak kepada anak keempat Puteri Valeska. Permaisuri Lareina menganggap semua anak Puteri Valeska sebagai anaknya.
Hanya saja sebaik saja Permaisuri Lareina menghilang, Puteri Valeska mengundurkan diri dari dunia luar dan mengasingkan diri di suatu tempat bersama keluarganya. Sehingga suatu hari, Raja Kong muncul dan memberitahu jika dia ialah cucu kepada Puteri Valeska. Nama Raja Kong yang sebenar ialah Putera Jayendra."
Aubree mengerutkan keningnya. "Dan sebaik sahaja dia tiba, dia segera menuntut takhta dan menjadi Raja Kong?"
"Benar, Yang Mulia."
Kening Aubree berkerut sekejap. "Ini sangat membingungkan. Terlalu banyak celah yang ditinggalkan di dalam maklumat ini. Dari mana Raja Kong berasal dan saat ini di mana Puteri Valeska sedang berada..."
Aubree memandang ke arah Luthien lagi. "Adakah kamu sudah menghantar orang untuk mencari keberadaan Puteri Valeska di mana?"
"Sudah, Yang Mulia tapi kami masih belum tahu di mana Puteri Valeska mengasingkan diri."
"Saya mempunyai pertanyaan lain, kenapa Puteri Valeska tidak menggantikan Permaisuri Lareina menjadi ratu di Kerajaan Iron Tulip?"
"Tiada yang tahu kenapa Puteri Valeska mengasingkan diri dan tiada yang tahu kenapa Puteri Valeska tidak menjadi Permaisuri yang seterusnya. Sebelum Yang Mulia Puteri Valeska mengasingkan diri, dia meletakkan semua pelindung ke Kerajaan Iron Tulip untuk melindungi Kerajaan Iron Tulip," Dengan lancar, Luthien menjawab soalan Aubree.
Semakin pening Aubree rasa saat ini bila dia memikirkan di mana Puteri Valeska sedang berada dan bagaimana Raja Kong boleh masuk ke Kerajaan Iron Tulip tanpa membawa keluarganya.
"Kenapa Raja Kong datang bersendirian? Di mana keluarganya?"
"Raja Kong tidak pernah berkata apa-apa tentang keluarganya. Dan saya juga tidak pernah ada kesempatan untuk berada di dekat Raja Kong. Maafkan saya, Yang Mulia... Hanya ini saja maklumat yang saya ada..."
Aubree mengangkat tangannya untuk menahan Luthien daripada terus bercakap. Wajahnya kembali menjadi serius. "Nampaknya masalah ini bukan sahaja tentang saya merebut Kerajaan Iron Tulip. Saya harus membongkar identiti di Raja Kong..."
"Luthien, katakan pada pengawal peribadi yang lain... Bersedia untuk menerima arahan saya pada bila-bila masa sahaja."
Luthien mengangguk dengan arahan baru dari Aubree. "Baik, Yang Mulia."