Aubree membiarkan Meliani memeriksa setiap gaun yang tersedia di bilik itu. Anak matanya memandang setiap pergerakan kecil yang Meliani lakukan.
"Saya boleh tolong kau pilih baju. Lagipun saya sudah lama tinggal di sini jadi saya tahu bagaimana nak tolong kau pilih baju sesuai dengan tradisi di sini," kata Meliani tanpa menoleh ke arah Aubree.
Bibir Aubree menunjukkan senyuman senget, jelas-jelas yang dia tidak setuju dengan cadangan Meliani tapi Aubree memilih untuk tidak mengatakan apa-apa.
Meliani berhenti di depan sebuah gaun berwarna putih. Gaun itu sangat cantik dengan skirt yang panjang dan besar, menampilkan manik-manik putih di setiap hujung jahitan skirt itu. Kemudian, di bahagian pinggang sehinggalah ke bahagian bahu, dihiasi dengan bulu-bulu tebal.
"Saya suka dengan gaun ni, saya rasa kalau kau pakai ini tentu sesuai dengan kau," Meliani memandang gaun tadi dengan senyuman kecil di wajah.
'Kalau kau memanglah suka dengan gaun ni tapi saya tidak suka. Kalau saya pakai gaun ni, saya rasa macam saya ni terlihat seperti seekor ayam putih...'
"Terima kasih atas cadangan itu, Meliani... Saya akan pertimbangkan cadangan itu, lagipun Della juga sedang mencari gaun yang sesuai untuk saya," Aubree menjawab sambil menghirup teh yang masih panas.
Kali ini Meliani menoleh semula ke arah Aubree. "Sama-sama. Saya gembira saya dapat menolong kau untuk memilih gaun bagi malam ini. Saya yakin banyak yang sedang ternanti-nanti dengan penampilan kau malam ini."
Aubree mengangguk. "Sebab itulah kenapa saya tidak boleh menganggap semua benda ini remeh-temeh, Meliani. Saya kena pastikan semuanya sempurna. Lagipun malam ini adalah malam untuk saya."
Dalam diam, Meliani menggenggam erat tangannya dan berusaha untuk menahan marah di dalam jiwa. Dia tahu malam ini malam untuk merayakan kejayaan Aubree tapi bila dia memikirkan Aubree yang berada di tengah-tengah perhatian Elf lain, menjadikan Meliani terbakar dengan api cemburu.
Meliani hanya mahu dia saja yang berada di tengah-tengah perhatian dan tidak mahu ada Elf lain menggantikan dia, terlebih lagi jika Elf itu juga mempunyai status yang sama dengan Meliani.
"Audrey, saya rasa jika gaun ini sesuai untuk kau. Bagaimana pendapat kau?" Della mencelah di tengah-tengah perbualan Aubree dan Meliani. Walaupun dia tahu, tidak sopan mencelah perbualan orang lain tapi Della tahu kalau Aubree juga tidak mahu berbual dengan Meliani lama-lama.
Aubree dan Meliani menoleh ke arah gaun yang ditunjukkan oleh Della.
Gaun yang ditunjukkan oleh Della ialah sebuah gaun yang berwarna biru laut. Berbeza dengan gaun putih dan berbulu tadi, gaun berwarna biru laut itu terlihat biasa tapi memikat. Di setiap garisan lurus di skirt gaun itu dihiasi dengan manik-manik yang berwarna biru gelap.
Aubree mengangguk sebagai tanda setuju dengan cadangan Della itu. "Saya rasa gaun ini juga cantik..."
Meliani mendekati gaun itu dengan wajah yang tidak puas hati. "Kau yakin kau mahu pilih gaun ini untuk dipakai malam ni? Tidakkah gaun ini terlihat biasa-biasa saja untuk kau?" Ada sedikit nada mengejek yang terselit di perkataan Meliani.
Della tidak suka mendengar kata-kata Meliani itu. Dia melihat gaun berwarna biru ini sangat cantik dan hanya mahu menunjukkannya kepada Aubree tapi Meliani pula mencemuh dengan cadangan Della.
Oleh kerana itu, Della pun mencerlung tajam ke arah Meliani, seolah-olah dalam bila-bila masa saja dia akan memakan Meliani.
Aubree juga sedar dengan apa yang dilakukan oleh Meliani dan dia tidak setuju dengan kata-kata Meliani.
"Meliani, apapun gaun yang akan saya pilih pada malam ini, tidak ada yang akan fokus dengan hal gaun seperti ini. Mereka hanya akan fokus kepada saya dan hanya saya... Saya tidak nampak ada yang salah jika saya memakai gaun seperti ini. Malam ini adalah malam yang penting untuk saya, jadi saya boleh pilih gaun apa yang saya pakai. Bukan begitu, Meliani?"
Meliani tidak menyangka yang Aubree akan menjawab seperti itu. Tapi kerana tidak mahu kalah dengan Aubree, Meliani harus menjawab." Ya betul itu. Kau boleh pakai apa pun yang kau mahu..."
Aubree tersenyum simpul mendengar jawapan Meliani itu.
"Baiklah, saya akan tinggalkan kau di sini dulu. Saya perlu pergi ke tempat Ahli Sihir Yang Tertua untuk berbincang sesuatu. Mungkin saya boleh menolong Ahli Sihir Yang Tertua untuk majlis malam ini," Meliani memberikan senyuman manis kepada Aubree sebelum dia berjalan menuju ke pintu. Para pembantu Elf yang bersama dengan Meliani tadi bergegas untuk mengikuti dia dari belakang.
Aubree membiarkan Meliani pergi dan mengekori pergerakan Meliani dengan tatapan anak mata.
"Kenapa dia nak datang ke sini kalau dia hanya mahu cari masalah?" bebel Della dengan wajah yang marah.
Aubree menoleh kembali ke arah Della. "Jangan pedulikan dia lagi, Della. Kita tidak dapat apa-apa kalau bercakap pasal dia..."
Della mendengus marah tapi dia tetap mendengar kata-kata Aubree. Dia juga tidak mahu bercakap lebih lama dengan Meliani. Dia boleh merasa yang otaknya akan meletup bila-bila masa hanya bercakap dengan Meliani.
"Jadi, Audrey... Adakah kau akan menggunakan gaun yang saya tunjukkan tadi malam ini? Saya yakin gaun itu akan sangat sesuai untuk kau," kata Della, mengubah topik mereka.
Aubree menatap ke arah gaun biru yang ditunjukkan oleh Della tadi. Lama dia berdiam diri kerana sedang memikirkan tentang sesuatu. "Saya akan fikirkan hal itu kemudian..."
Della mengeluarkan muncungnya, agak kecewa kerana Aubree tidak setuju secara langsung dengan cadangan dia tapi Della tahu jika malam ini adalah malam istimewa untuk dia, jadi ianya adil jika Aubree mahu memilih pakaian dia sendiri.
***
***
Pada malam itu, pesta yang besar diadakan di salah satu halaman Menara Kristal yang besar. Semua Tentera Elf ada di sana untuk merayakan pesta itu.
Khemah yang berwarna-warni dipasang, disertai dengan lampu-lampu bersinar yang menerangi ke seluruh kawasan. Muzik berkemundang memberi hiburan kepada semua tetamu.
Meliani yang sedang duduk di tempat duduknya, menikmati minuman tehnya. Mata Meliani memandang sekeliling dengan tajam. Saat ini, suasana gembira di sini bukannya memberi kegembiraan di dalam hati Meliani tapi malah membuatkan gadis Elf itu merasa dengki.
Meliani tidak merasa gembira sama sekali saat berada di pesta ini kerana bukan dia yang menjadi perhatian utama.
Sejak kali pertama Meliani menjejakkan kaki ke tempat ini, Meliani sudah terbiasa menjadi perhatian utama di mata semua Elf. Sejak saat itu, dia berlatih dengan keras agar dia menjadi tumpuan utama orang lain, hanya menjadi Elf yang terhebat di mata mereka.
Tapi sekarang, perhatian para Elf ini kini teralih kepada seorang gadis Elf lain pula dan itu membuat Meliani menjadi tidak puas hati. Dia cemburu dan dengki kerana ada Elf lain yang sama hebat dengannya, malah mungkin lebih hebat dari Meliani sendiri.
Mengingati ujian hari ini yang membuatkan Aubree menjadi tumpuan utama di mata Elf yang lain membuatkan Meliani menjadi semakin marah.
Genggaman jari-jemari di gelas teh menjadi semakin erat.
"Eh, Issac belum datang ke sini lagi? Ke mana dia pergi?" Satu suara yang halus dan lembut menyapa gegendang telinga Meliani.
Meliani menoleh sedikit ke arah Katy yang sedang berjalan ke meja tempat dia duduk sambil diikuti oleh Kilan dari belakang.
"Issac pergi ke mana, Meliani? Kenapa dia tiada di sini dengan kau?" tanya Kilan. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Katy setelah dia memastikan Puteri Katy sudah duduk.
"Dia ada di sini tadi tapi lepas tu dia pergi lagi. Saya tidak tahu ke mana dia pergi sebab dia tidak beritahu ke mana dia pergi," jawab Meliani dengan wajah datar.
Meliani tidak mahu memikirkan masalah Issac sekarang ini. Dia sudah merasa yang lelaki itu sudah berubah sejak kali pertama lelaki itu datang ke sini dulu.
Meliani curiga jika kedatangan Issac ke tempat ini bukan kerana dia ingin bertemu dengan Meliani, melainkan ingin bertemu dengan Aubree.
Meliani sudah melihat Issac bersama dengan Aubree lebih dari sekali. Itulah alasan kedua kenapa Meliani membenci Aubree: Kerana Aubree sudah merebut lelaki yang dia sukai.
Katy memberi isyarat kepada dua orang pembantu Elf di dekat mereka untuk menolong menyediakan minuman teh kepada mereka. Kemudian, dia memandang semula ke arah Meliani. "Mungkin dia ada nak buat sesuatu..."
Meliani mencebik dalam diam. "Mungkin..."
Perbualan mereka terhenti setelah mendengar pengumuman yang Aubree akan tiba sebentar lagi.
Serentak dengan itu, pandangan mata Meliani menjadi semakin tajam dan ekspresi wajahnya berubah menjadi dingin.