Aubree masuk ke dalam khemah dan meletakkan pedang yang dipegangnya ke atas meja yang tersedia.
Dia menoleh ke arah Issac yang sudah pun menunggu dia di dalam khemah itu. Aubree memandang Issac dengan wajah yang agak bingung. 'Cepatnya dia ada di sini... Dia tidak datang ke ujian saya tadi?'
Seolah-olah memahami apa yang bermain di minda Aubree, Issac pun menjawab, "Saya segera ke sini sebaik saja ujian itu tamat."
Aubree hanya mencebikkan bibirnya dengan senyap. Dia seakan-akan tidak percaya yang Issac boleh tahu apa yang sedang bermain di fikirannya.
Aubree mendekati meja dan mahu menuangkan air ke gelas tapi Issac pula yang lebih cepat bertindak daripada Aubree.
Issac menolak gelas yang sudah diisi dengan air minum ke hadapan Aubree. Aubree memandang gelas itu dengan senyap. Dia pun mengangkat gelas itu dan meminum air di dalamnya sehingga habis.
Isaac tersenyum melihat perlakuan Aubree. "Kau sangat hebat semasa ujian tadi. Saya sangat terkesan..."
Aubree meletakkan gelas tadi ke atas meja semula. Dia mengambil tuala yang digantung di rak yang berdekatan. "Saya memang selalu hebat. Saya hairan kenapa kau baru nampak itu sekarang..."
Walaupun Aubree bercakap dengan suara memerli, Issac tidak sedikit pun merasa marah. Malah dia hanya tersengih sambil memandang Aubree yang sedang mengelap peluh yang mengalir di dahinya.
"Betullah apa yang saya katakan tadi. Saya terkesan, tidak semua perempuan Elf mampu melawan sepuluh orang Tentera Elf yang begitu kuat. Kau mungkin yang perempuan Elf yang pertama saya nampak melawan Tentera Elf yang kuat dan akhirnya menang..."
Aubree menatap ke arah Issac dengan wajah yang tidak berminat. "Kau kata saya perempuan Elf pertama, yang dapat kalahkan Tentera Elf yang kuat tu... Tapi bagaimana dengan Puteri Meliani? Tidakkah dia lebih kuat dari saya? Lagipun dia yang tinggal lebih lama di sini dan... Dia juga ialah kawan istimewa kau? Kau setuju dengan apa yang saya cakap tadi?"
Issac tidak selesa mendengar bagaimana Aubree mengaitkan Meliani dalam hal ini. Dia hanya ingin berbual dengan Aubree dan mahu membuatkan gadis itu senang tapi dia bingung kenapa Aubree boleh pula menyebut nama Meliani.
Issac baru saja membuka mulut untuk membalas kata-kata Aubree tadi apabila dengan tiba-tiba, ada Elf yang masuk ke dalam khemah itu.
Issac dan Aubree berhenti bercakap dan mereka menoleh ke arah Elf yang masuk tadi secara serentak.
Meliani masuk ke dalam khemah itu dengan senyuman yang lebar. Dia memandang ke arah Aubree dan Issac silih berganti sebelum pandangannya melekat pada wajah Aubree. Di belakangnya terdapat para pembantu Elf yang selalu mengikutinya. Fourlin juga ada bersama dengan Meliani bersama dengan dua orang Elf yang Aubree kenal wajah tapi tidak kenal nama.
"Audrey, maaf jika kedatangan saya ini mengganggu masa kalian berdua. Saya hanya datang ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu atas kejayaan kamu lulus ujian yang kedua ini..."
Meliani melangkah dengan gaya lembut dan sopan ke arah Aubree. Dia menarik tangan kanan Aubree dan menggenggamnya.
Aubree mencuba untuk menarik tangannya dari genggaman tangan Meliani tapi sayangnya genggaman itu sangat kuat. Aubree memandang Meliani dengan wajah berperasaan tapi anak matanya memberikan seribu satu makna.
'Apa lagi perempuan ni nak buat? Dia nak buat masalah dengan saya lagikah?'
Meliani sekadar tersenyum kecil, bersikap seolah-olah tidak mengerti dengan pandangan yang diberikan oleh Aubree. Dia menoleh ke arah Issac yang diam saja.
Meliani boleh melihat dengan jelas bagaimana Issac tidak selesa saat Meliani masuk ke sini. Meliani dapat mengagak yang Issac tidak mahu ada Elf yang masuk ke sini dan mengganggu masa dia bersama dengan Aubree.
"Issac, ternyata kau sudah lebih dulu datang ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada Audrey. Kenapa kau tidak tunggu saya supaya kita bersama-sama datang ke sini untuk mengucapkan kata tahniah kepada Audrey? Ah, ya... Saya lupa, kenapa kau tidak kembali ke tempat duduk tadi? Kau sudah terlepas untuk melihat ujian kedua Audrey tadi," kata Meliani.
Meliani memandang Issac dengan wajah yang sedih, mahu meminta simpati dari Issac.
Aubree menoleh ke arah Issac dan memandang Issac dengan wajah berkerut.
"Saya datang ke sini seorang diri atau tidak, bukan masalah kau, Meliani. Walaupun kita tiba di saat yang berlainan, kita tetap akan mengucapkan kata tahniah kepada Audrey," jawab Issac.
Issac mengisi gelas yang ada di atas meja dan meminum isinya.
Aubree melihat Issac menggunakan gelas yang dia gunakan tadi dan dia menjadi terkejut. "Hei, Issac. Gelas tu..."
Issac mengalihkan pandangannya ke arah Aubree. Kening kanan diangkat dan dengan suara yang selamba, dia bertanya, "Ada apa dengan gelas ini?"
Aubree tidak tahu mahu meneruskan ayatnya yang tergantung tadi atau tidak. Dia melirik ke arah Meliani yang ada di sebelahnya pula.
Issac meletakkan gelas yang dipegang tadi ke atas meja. "Apa yang kau nak cakap tadi?"
Aubree mencebik lagi dan dia memandang ke tempat lain. "Tak mengapalah..."
Meliani yang tidak faham apa yang berlaku diantara Issac dan Aubree itu memandang mereka dengan wajah yang keliru.
"Aubree, sekejap lagi makan tengah hari... Bagaimana kalau kita makan tengah hari bersama-sama?" tanya Meliani.
Aubree mengangkat keningnya ke arah Meliani dengan wajah sinis. 'Dia ni berpura-pura bodoh atau apa? Dia lupakah terakhir kali dia bawa saya makan bersama sudah menyebabkan semua Elf di sini membenci saya? Tsk, perempuan ni memang pandai berlakon!'
Aubree melirik ke arah Fourlin yang berdiri di tepi dengan wajah kelat. 'Dia sengaja bawa para pengikut dia ke sini supaya dia boleh mencemarkan nama saya macam yang sebelum ini? Hah, dalam mimpi!'
Aubree memegang tangan Meliani yang memegang tangannya dan dia menolak dengan lembut tangan Meliani sehingga tangannya terlepas.
"Maaf, Puteri Meliani... Saya rasa masa ini belum sesuai untuk saya duduk semeja dengan Puteri untuk menjamu selera. Puteri mesti lupa yang kali terakhir saya makan di meja yang sama dengan kamu, saya dituduh dengan perkara-perkara yang tidak baik..."
Aubree menjauh dari Meliani setelah mengatakan apa yang ingin dia katakan.
Meliani memandang Aubree dengan wajah yang terkejut. Dia kemudian memandang ke arah Issac dan Elf-Elf lain yang ada di khemah itu.
Meliani memandang ke arah Aubree lagi. "Audrey, adakah kamu mempercayai semua gosip itu? Itu... Saya minta maaf jika semua gosip itu sudah buatkan kau merasa tidak selesa."
Aubree mengecilkan matanya ke arah Meliani setelah melihat sikap Meliani yang terlihat seperti menangis, seolah-olah dia sudah dibuli dengan teruk pula.
Melihat Meliani yang ingin menangis itu, Fourlin segera mahu ke hadapan untuk melindungi Meliani. "Puteri Audrey, gosip buruk yang tersebar di tempat ini bukan salah Puteri Meliani. Dia tidak melakukan apa-apa dan tiada kaitan pun dengan masalah ini. Kamu tidak boleh salahkan Puteri Meliani begitu saja!" kata Fourlin dengan wajah kelam.
"Ahh, tiada kaitan ya? Kau cakap yang Meliani langsung tiada kaitan dalam hal ini? Kenapa kau sangat yakin dengan hal itu?" balas Aubree dengan senyuman sinis. Dia berpeluk tubuh dan menatap Fourlin dengan tajam.
Fourlin terdiam setelah mendengar kata-kata Aubree.
Bila difikirkan dengan lebih dalam, Meliani memang ada kaitan dengan hal ini kerana dia adalah pihak kedua dalam gosip yang tersebar itu. Kerana Meliani adalah pihak yang dibuli manakala Aubree ialah pihak yang membuli.
Di sudut pandangan Fourlin, walaupun Meliani juga terlibat dalam hal ini, Meliani tidak melakukan sesuatu yang buruk. Bukan seperti Aubree.
"Perkara itu sudah lama berlaku jadi Puteri Audrey tidak patut mengungkit kembali masalah itu. Kerana jika Puteri masih mahu mengungkit masalah itu, Puteri akan dianggap belum dapat memaafkan Puteri Meliani dan masalah ini akan berpanjangan..." kata Fourlin lagi.
Aubree merasa sangat marah. Dia tidak menyangka yang semua kesalahan akan dipindahkan kepadanya oleh Fourlin sedangkan sejak awal bukan dia yang melakukannya.
Belum sempat Aubree mengatakan apa-apa untuk mempertahankan dirinya, mereka terdengar suara tawa yang sangat dingin bergema di ruang khemah itu.
Semua Elf di sana menoleh ke arah Issac yang sedang duduk dengan selamba di tepi.
"Issac, kenapa kau ketawa? Apa yang melucukan?" tanya Meliani kepada Issac.
Issac ketawa lagi sebelum dia berdiri dan menghampiri Aubree. Kemudian, dia berdiri di depan Aubree sambil menghadap Meliani dan yang lain.
Issac memandang ke arah Fourlin dengan tatapan yang dingin. "Saya tidak tahu apa yang kau ingin katakan di sini tapi setahu saya, Audrey berhak merasa marah jika gosip buruk tentang dia tersebar ke seluruh tempat. Jika Audrey tidak boleh mengungkit kembali apa yang terjadi sebelum ini, kamu semua juga tidak berhak menyuruh dia berhenti untuk berkata apa-apa tentang masalah ini. Saya percaya yang kamu faham tentang perkataan 'adil', bukan begitu?" kata Issac dengan suara yang dingin.
Suaranya yang dingin itu bukan saja membuatkan Meliani dan yang lain meremang bulu roma tapi apa yang dia katakan juga terasa menusuk ke dalam dada mereka seolah-olah sebilah pisau yang menusuk ke jantung mereka.
Meliani memandang Issac dengan mata yang berair. "Issac, adakah kau nak katakan yang Audrey boleh mengungkit masalah ini? Tapi saya sudah... Saya sudah meminta maaf..."
Issac menatap ke arah Meliani. Imej yang ditunjukkan oleh Meliani saat ini ialah sebuah imej yang ingin meminta simpati tapi kerana Issac sudah tahu apa yang ingin Meliani lakukan saat ini, membuatkan lelaki berwajah dingin itu tidak merasa apa-apa kecuali merasa marah atas perbuatannya terhadap Aubree.
"Minta maaf? Oh, maksud kau pasal minta maaf yang kau baru saja lakukan tadi? Meliani, kamu mesti lupa... Gosip itu sudah lama berlalu tapi baru hari ini kau datang untuk meminta maaf dengan Aubrey? Kenapa bukan dari dulu... Dan kenapa kau yang harus meminta maaf jika betul bukan kau yang sebarkan gosip itu. Biarkan Elf yang sudah menyebarkan gosip itu yang harus meminta maaf terhadap Audrey sendiri..."
Kata-kata dari Issac itu membuatkan Meliani terkaku di sana. Dia tidak mampu mengatakan atau berbuat apa-apa. Mindanya terasa kosong dan tidak mampu memproses ayat yang baru saja dikatakan oleh Issac tadi.
"Yang Mulia, apa maksud Yang Mulia jika saya harus meminta maaf terhadap Puteri Audrey?" tanya Fourlin dengan suara yang kuat.
Issac menaikkan kening kanan dengan gaya yang sinis. "Saya hanya sebutkan 'Elf yang menyebarkan gosip itu'... Tapi saya tidak sebutkan nama kamu..."
Menyedari kesalahannya, wajah Fourlin menjadi pucat lesi. Dia pun terdiam di sana dan tidak mampu mengatakan apa-apa lagi.
"Jika kamu sudah sedar dan menyesal dengan perbuatan kamu, kamu patut meminta maaf dengan Puteri Audrey. Kamu juga tahu jika dia sangat penting untuk menjaga Kristal Kehidupan itu, jadi kamu harus melayani dia dengan adil dan jujur, sama seperti bagaimana kamu melayani Puteri Meliani..."
Fourlin menggetap bibirnya setelah mendengar kata-kata selanjutnya dari Issac. Sejujurnya, sejak pertama kali Aubree datang ke sini, Fourlin tidak pernah menganggap Aubree sebagai pemilik Kristal Kehidupan yang kedua jadi dia menolak untuk melayani Aubree sama seperti bagaimana dia melayani Meliani.
Baginya, hanya ada seorang saja pemilik Kristal Kehidupan dan pemilik itu ialah Meliani.