Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 70 - Mengungkit(2)

Chapter 70 - Mengungkit(2)

Meliani juga merasa sangat marah dengan Issac kerana lelaki itu membela Aubree di depannya. Dalam diam, dia menggenggam erat jari-jemarinya tapi sedaya upaya mencuba tersenyum ke arah Issac.

"Issac, apa yang kau cakap ni? Tentu saja bukan Fourlin yang menyebarkan gosip itu... Bagaimana mungkin dia akan melakukan perkara itu. Fourlin bukan seperti itu, saya kenal dengan sikap dia..."

Issac melirik sekejap ke arah Meliani sebelum dia memandang ke arah Fourlin lagi. "Saya pasti yang Puteri Meliani hanya datang ke sini untuk mengucapkan 'tahniah' kepada Audrey. Puteri Meliani sudah pun mengatakan apa yang dia ingin katakan, kamu boleh bawa dia kembali ke bilik dia. Lagi pula, sekarang ini Puteri Audrey memerlukan rehat yang secukupnya agar dia tidak merasa penat semasa ujian terakhir nanti..."

Meliani mencuba untuk membuka mulut, mahu mengatakan sesuatu tapi Issac meneruskan saja ucapannya tanpa mempedulikan Meliani.

"Jika Audrey tidak dapat rehat yang cukup dan gagal dalam ujian ini, saya tidak berfikir dua kali untuk melaporkan hal ini kepada Ahli Sihir Yang Tertua. Saya yakin yang Ahli Sihir Yang Tertua tahu apa yang perlu dilakukan jika dia tahu tentang kejadian ini?" kata Issac dengan suara yang dingin.

Meliani bersama dengan pengikutnya terdiam kerana terkedu. Masing-masing mereka tidak tahu hendak mengatakan apa-apa. Mereka juga tidak mahu Ahli Sihir Yang Tertua tahu tentang hal ini.

Kerana ugutan dari Issac tadi, Fourlin menjadi berang tapi tidak dapat melakukan apa-apa untuk melampiaskan rasa marahnya.

"Puteri Meliani, mari kita pergi dari sini. Tidak ada gunanya kita masih tinggal di khemah ini. Saya yakin Puteri Audrey juga memerlukan rehat yang secukupnya untuk menghadapi ujian yang terakhir nanti," kata Fourlin sambil merenung Meliani yang masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri.

Meliani menatap wajah dingin Issac.

Issac juga menatap ke arah Meliani tapi sedikit pun dia tidak merasa perbuatannya tadi telah pun melukakan hati Meliani. Dengan tenang, Issac mengalihkan pandangannya ke arah lain.

Meliani menjadi semakin sedih dengan sikap acuh tidak acuh Issac itu. Jika tadi dia dengan teguhnya membela Aubree di hadapan para pengikutnya tapi Meliani langsung tidak dipedulikan oleh Issac.

"Issac, saya mahu mengajak kau untuk makan tengah hari ini. Dapatkah kau..."

"Maaf, Meliani. Saya sudah berjanji dengan seseorang untuk makan tengah hari bersama-sama nanti..."

Serta-merta, anak mata Meliani mengarah ke arah Aubree setelah Issac berkata seperti itu.

Aubree juga terlihat terkejut dan dia melirik ke arah Issac untuk beberapa saat sebelum dia kembali memasang wajah tidak peduli saat Meliani menatap ke arahnya.

Meliani memandang ke arah Issac lagi. Senyuman paksa ditunjukkan di wajahnya. "Oh, yakah? Baiklah... Saya faham. Kalau begitu, lain kali pun boleh..."

Meliani berjalan keluar dari khemah itu sambil diikuti oleh para pembantu Elf yang lain. Fourlin memandang ke arah Audrey untuk kali terakhir sebelum dia dan pengikut yang lain segera mengejar Meliani lagi.

Setelah Meliani dan para pengikutnya sudah pergi, keadaan khemah kembali sunyi.

Aubree memandang ke arah Issac yang masih ada di dalam khemah itu. "Jadi, kau tunggu apa lagi? Kau pun pergilah, saya nak sambung rehat..."

Issac segera menoleh ke arah Aubree dengan wajah yang keliru.

Ini pertama kali Aubree melihat reaksi lain selain reaksi dingin yang muncul di wajah Issac dan Aubree merasa ingin ketawa saja tapi segera ditahannya.

"Apa maksud kau nak menghalau saya keluar dari khemah ni?" tanya Issac dengan wajah yang tidak puas hati.

Aubree mengangkat bahunya dengan wajah tidak kisah. "Kau beritahu Meliani tadi yang kau ada berjanji dengan seseorang untuk makan tengah hari bersama-sama, kan? Sekarang masa makan tengah hari, kenapa kau tidak keluar saja sekarang dan pergi tunaikan janji kau tu..."

Mendengar jawapan spontan dari Aubree itu membuatkan Issac tertawa kecil. Dia menjentik dahi Aubree dengan lembut sambil berkata, "Apa yang kau cakap ni? Seseorang yang saya maksudkan itu adalah kau. Macam mana saya nak tunaikan janji saya itu jika kau mengusir saya dari sini?"

Issac ketawa dengan bunyi yang perlahan lagi sebelum dia bergerak ke tempat duduk yang asal.

Aubree mengangkat tangannya dan mengusap dahinya yang dijentik oleh Issac tadi. Kesan jentik itu tidaklah sakit sangat tapi perbuatan Issac itu telah pun membuatkan Aubree terkesima.

Aubree yang masih memegang dahinya itu, menoleh ke belakang. Dia memandang Issac dengan wajah tidak setuju. "Saya tidak berjanji apa-apa pun pada kau? Sejak bila saya berjanji untuk makan tengah hari dengan kau?"

Issac merenung Aubree untuk bebreak saat, seolah-olah dia sedang memikirkan sesuatu untuk menjawab pertanyaan Aubree tadi.

Melihat Issac yang hanya diam saja itu membuatkan Aubree menelan air liurnya tanpa sedar.

"Bila difikir-fikir, saya tak perlu gunakan janji, saya boleh saja duduk semeja dengan kau dan menjamu selera bersama-sama. Begitu lebih baik, betul tak? Kalau nak janji segala bagai ni, saya yakin kau tidak akan pernah setuju..."

Aubree mencebik dengan perasaan meluat setelah mendengar perkataan dari Issac tadi. Sudahlah tadi dia berfikir sesuatu yang membuatkan dia cemas tapi rupanya apa yang dia fikirkan tidak pernah terjadi.

Aubree berfikir jika Issac akan marah bila Aubree berkata yang dia tidak pernah berjanji. Aubree yang menyedari yang dia hanya memikirkan benda mengarut itu menjadi bingung dengan dirinya sendiri.

'Kenapa saya perlu peduli kalau dia nak marah atau apa? Lagipun, apa yang saya cakap tu betul. Saya tidak berjanji apa-apa dengan dia... Tsk, kenapa saya perlu cemas kalau Putera Dingin ni nak marah atau tidak? Ceh!'

Aubree ingin berkata sesuatu untuk membalas kata-kata Issac tadi tapi kedatangan Della ke dalam khemah itu membuatkan Aubree berhenti bercakap.

Della membawa sebuah dulang besar yang berisi dua mangkuk besar untuk makan tengah hari mereka. Di belakang Della pula ada dua orang pembantu Elf lelaki yang menolong membawa hidangan makanan tengah hari.

Della meletakkan hidangan itu di atas meja sambil diikuti oleh dua orang pembantu Elf tadi.

Aubree segera duduk di bangku dan menghirup bau lazat yang datang dari arah makanan itu. "Hmm, sedapnya! Saya tidak sabar nak makan!"

Issac yang hanya memerhati gelagat Aubree itu sekadar tergelak kecil dengan sikap gadis itu. Dia mencapai sebuah mangkuk yang sudah diletakkan nasi dan meletakkan nasi itu di depan Aubree.

Aubree yang sudah tidak sabar hendak menjamu selera itu tidak lagi menyedari kelakuan Issac yang menolongnya tadi.

Della melirik ke arah Issac secara senyap-senyap setelah melihat perlakuan Putera Dingin itu. Dia tersenyum kecil sebelum menundukkan kepalanya lagi.

Della meninggalkan Issac dan Aubree di sana bersama dengan dua orang pembantu Elf tadi.

Setelah semua hidangan sudah dihidangkan, Aubree tidak segan-silu sama sekali dan mula menjamu selera. Dia tidak lagi menoleh ke arah Issac yang saat ini sedang memandang Aubree dengan senyuman kecil di bibirnya.

Sekali-sekala, Issac meletakkan beberapa ketul daging ke dalam mangkuk Aubree dan Aubree akan memasukkannya ke dalam mulutnya.

Tentu saja perbuatan Issac ini tidak disedari oleh Aubree kerana dia sedang sibuk memakan makanannya sendiri.

Setelah Aubree dan Issac selesai dengan makan tengah hari, Aubree keluar dari khemah itu untuk berjalan-jalan di luar. Dia mahu membantu sistem penghadaman memproses makanan yang baru saja dia makan tadi dengan cepat.

Aubree baru melangkah dua kali ke depan apabila tiba-tiba, Issac menarik tangan Aubree untuk menghentikan gadis itu.

Aubree menoleh ke arah Issac. "Oi, kenapa kau tarik tangan saya ni?"

"Mari rawat tangan kau dulu sebelum kau keluar..." Issac menarik tangan Aubree dan mereka kini kembali duduk di bangku.

Aubree tergamam kerana rupanya Issac menyedari luka pada tangan kanannya.

Issac mengeluarkan sebuah bekas kecil dari dalam poket bajunya. Dia meletakkan bekas itu di tepi meja.

Bekas itu berisi ubat yang tidak berbau dan berwarna putih.

Issac menggunakan jari telunjuk untuk mengambil ubat itu dan mengolesnya di tangan kanan Aubree yang mempunyai kesan merah.

Aubree segera menarik tangannya saat Issac mengoles ubat tadi. "Saya boleh buat sendiri. Kau tak perlu susahkan diri untuk tolong saya..."

"Apa yang kau cakap ni? Benda ni tak menyusahkan saya. Biarkan saya letakkan ubat di tangan kau. Lepas tu, kau boleh keluar selepas saya siap..."

Aubree menelan air liurnya. "Tapi..."

Issac tidak menunggu Aubree untuk menghabiskan apa yang dia ingin katakan. Issac menarik tangan Aubree semula dan dia mengoles kembali ubat tadi.

Tanpa sedar, Aubree menarik lagi tangannya setelah merasa sensasi sejuk dari ubat dan jari Issac di atas kulitnya.

Issac memandang Aubree pula. "Saya tahu ini akan sakit tapi kau kena tahan. Kalau luka ini tidak diubati, kau akan menghadapi kesusahan semasa ujian terakhir nanti..."

Aubree: "..."

'Siapa cakap yang saya rasa sakit? Saya cuma rasa tak selesa bila kau sentuh kulit saya!'

Issac menarik lagi tangan Aubree dan menyambung kembali apa yang dia lakukan tadi.

Aubree tidak lagi menarik tangannya seperti tadi dan hanya duduk diam. Dia memerhati bagaimana Issac menyapu ubat di kulitnya dengan penuh hati-hati.

Perlahan-lahan, anak matanya naik dan singgah di wajahnya dingin Issac. Wajah itu dingin tapi tidak sedingin seperti yang selalu dia buat.

Entah kenapa bila direnung dari dekat, wajah Issac menjadi lebih tampan dari yang biasa.

Saat merenung wajah Issac, Aubree tidak sedar senyuman yang kecil sudah pun terbentuk di bibirnya.

"Sudah puas merenung apa yang di depan mata?" tanya Issac dengan suara mengusik tapi kepalanya tidak pernah diangkat untuk memandang ke arah Aubree.

Pertanyaan itu membiarkan Aubree menjadi gelabah. Dia tiba-tiba merasa malu dan ingin menyembunyikan wajahnya saat itu.

"Apa–apa maksud kau merenung? Mana ada saya renung kau... Apa maksud kau dengan merenung?"

Aubree memalingkan wajahnya ke tempat lain, tidak sedar jika pipi dan telinganya sudah bertukar menjadi merah.

Issac mendongakkan sedikit kepalanya ke arah Aubree dan melihat telinga Aubree yang sudah menjadi merah itu. Dia tergelak kecil kerana tahu apa yang dikatakan oleh Aubree tidak sama dengan apa yang dia rasa.

Tapi Issac juga tidak mahu mengatakan apa-apa tentang itu kerana tidak mahu gadis itu menjadi lebih malu.

Sebaliknya, dia menyimpan semula bekas tadi. "Baik, baik... Saya faham..."

Aubree menarik tangannya yang masih diletakkan di atas meja. Dengan wajah kekok, dia berdiri dan berjalan ke pintu khemah.

"Kau nak ke mana?" tanya Issac.

Aubree menoleh ke arah Issac. Dia mahu menyuruh Issac tetap diam di dalam khemah ini saja tapi Issac sudah pun berdiri dan berjalan ke arahnya. "Saya nak pergi..."

Issac mengangkat keningnya ke arah Aubree.

Melihat wajah Aubree begitu, Issac sudah tahu apa yang sedang bermain di fikiran Aubree. "Apa, kau nak tinggalkan saya di sini dan kau akan pergi sendiri?"

Aubree membuka mulut ingin mengatakan sesuatu tapi tiada suara yang keluar.

Issac memegang tangan Aubree dan membawa dia keluar. "Mari pergi! Biar saya temankan kau ke mana pun kau pergi..."

Related Books

Popular novel hashtag