Ujian terakhir untuk Aubree tidak lagi diadakan di stadium ujian tapi dilakukan di sebuah hutan kecil di mana di hutan itu, Aubree harus merebut bendera pihak lawan yang akan diletakkan di tengah-tengah kawasan pihak lawan.
Aubree perlu berlawan dengan semua musuh dan penjaga yang ada di setiap kawasan dan Aubree juga perlu berhati-hati dengan perangkap yang telah dipasang.
Ujian ini terlihat susah kerana Aubree perlu melakukan ini seorang diri. Ramai Elf yang berfikir jika Aubree tidak akan dapat melintasi setiap halangan di ujian yang ketiga ini.
Tapi apa yang mereka tidak tahu, sebenarnya Aubree sangat teruja dan tidak sabar agar ujian ini segera dimulai. Ketika dia masih hidup sebagai pembunuh upahan, Aubree seringkali melakukan ujian kecil seperti ini untuk menguji ketangkasan dan kekuatan Aubree dalam situasi berbahaya.
Aubree menjadi teruja, sehinggakan jantungnya berdetak dengan laju dan tidak dapat kembali berdegup dalam kelajuan normal.
Issac merasa Aubree agak teruja untuk ujian terakhir ini. Dia tidak tahu sama ada dia teruja kerana ujian ini sebentar lagi akan selesai atau teruja kerana tidak sabar agar ujian ini dimulakan.
Walau apapun alasan yang membuatkan dia teruja, Issac sekadar menunjukkan senyumannya, mahu memberikan sokongan penuh kepada Aubree.
Saat ini, Aubree sudah pun berdiri di depan hutan di mana ujian itu diadakan.
Ahli Sihir Yang Tertua sudah memindahkan tempat menonton agar para penonton boleh melihat dia di tempat yang sesuai.
Issac menemani Aubree di depan lorong masuk ke dalam hutan itu.
Della datang bersama dengan White dengan membawa sebatang busur dan anak panah serta sebilah pedang. Dia memberikan semua senjata itu kepada Aubree.
"Baik, Audrey. Ini adalah ujian kau yang terakhir, selamat berjaya!" kata Della.
Aubree tersenyum dan mengangguk ke arah Della.
Issac memegang bahu Aubree, membuatkan tumpuan Aubree berpindah ke arah Issac semula. "Kau harus berhati-hati. Perhatikan persekitaran kau..."
Aubree memegang tangan Issac yang ada di atas bahunya. "Issac, jangan risau. Saya tahu apa yang saya harus lakukan. Saya akan berjumpa dengan kau di hujung hutan ini lagi. Saya akan pastikan yang saya akan dapatkan bendera musuh tu..."
Issac tersenyum lebar melihat wajah Aubree yang penuh dengan semangat dan tekad. Setelah Aubree meyakinkan Issac bahawa dia akan baik-baik saja, Issac melepaskan baju Aubree.
Aubree berjalan masuk ke dalam hutan dengan langkah yang biasa. Sempat lagi dia menoleh ke belakang dan melambai ke arah kawan-kawannya.
Saat melihat Aubree sudah masuk ke peringkat pertama kawasan pertahanan musuh, Elf yang menjaga di kawasan itu segera melepaskan anak panah ke udara.
BBOMM!
Anak panah itu meletup di udara dan debu-debu berwarna biru terbang ke segala arah.
Letupan debu yang berwarna itu memberi isyarat kepada Ahli Sihir Yang Tertua yang berada di luar kawasan hutan bahawa Aubree sudah masuk ke dalam hutan dan ujian yang terakhir ini sudah dimulai.
Dengan isyarat letupan itu, bunyi gong pun memenuhi kawasan hutan.
Aubree juga melihat letupan itu dan seketika kemudian, dia memecut masuk ke dalam hutan.
Aubree dengan tidak sengaja melanggar sebuah tali yang diikat dengan tegang diantara dua pepohonan yang besar.
Tali itu putus dengan bunyi 'Ting' membuatkan Aubree segera berwaspada dengan perangkap yang seterusnya akan muncul.
Seperti yang dia sangka, sebaik saja tali itu putus, dua blok kayu yang sangat besar berayun dengan laju dari atas menuju ke arah Aubree.
Aubree tidak menunggu lama dan terus melompat tinggi dan hinggap di atas blok kayu itu. Aubree menunggu blok itu berayun kembali ke posisi asal sebelum dia menggunakan peluang itu untuk melompat lagi ke arah dahan pokok di hadapan.
Aubree kini sudah berada di atas dahan pokok dan dia segera melompat dari atas dahan pokok ke dahan pokok lain layaknya seperti seorang ninja.
Secara tiba-tiba, Aubree berhenti dan sesaat kemudian, dia terus melompat dan berputar beberapa kali di udara. Kali ini, dia berjaya mengelak daripada terkena sebuah pisau kecil yang dilontarkan entah dari mana.
Pisau itu melintasi tepat di mana kepala Aubree berada tadi jika dia tidak mengelak. Pisau itu terus terpacak di batang pokok sehingga separuh daripada mata pisau itu terbenam.
Aubree mendarat kembali di atas batang pokok tempat dia berpijak tadi dan memandang ke arah pisau itu.
Ketika merasa ada pisau lain lagi dibaling ke arahnya, Aubree terus melompat ke dahan pokok lain. Dua buah pisau dibaling ke arah Aubree lagi tapi Aubree menggunakan busur di tangannya untuk menghalang pisau itu daripada mengenainya.
Aubree menggunakan beberapa saat untuk memeriksa musuh yang sedang bersembunyi di sebalik batang pokok dan membaling pisau ke arahnya.
Aubree mengecilkan matanya saat melihat ada tiga orang dari mereka sedang bersembunyi dan menggunakan seragam berwarna hitam.
Sebelum sempat mereka membaling pisau lagi, Aubree sudah melompat ke dahan yang lebih tinggi dan menghilang dari sebalik daun-daun pokok yang lebat.
Tiga orang Elf yang ditugaskan untuk menjaga kawasan itu melihat Aubree sudah menghilang dari tempat dia berdiri tadi. Mereka menjengukkan kepala mereka dari sebalik dahan pokok untuk mencari Aubree.
Tiba-tiba, Aubree muncul dan melompat ke belakang Elf yang berada paling tepi di sebelah kiri. Dia menumbuk Elf itu di bahagian wajah sebelum dia menendang Elf itu jatuh dari atas pokok.
Aubree kemudian melompat pula ke dahan seterusnya di mana Elf yang kedua berada. Elf itu terkejut kerana Aubree muncul dengan cepat di depannya. Dia mencuba untuk melawan beberapa kali tapi tetap gagal dan dia pun terjatuh dari atas pokok setelah ditendang oleh Aubree.
Penjaga Elf yang terakhir pula membaling pisau ke arah Aubree tapi Aubree sempat mengelak ke tepi. Dia melompat ke dahan atas dan menghilang lagi.
Penjaga Elf tadi memandang ke atas. Dia juga ikut melompat ke atas dan tidak mahu membiarkan Aubree pergi begitu saja. Dia sudah melihat bagaimana Aubree menghilang di sebalik daun pokok dan menggunakan kesempatan itu untuk menyerang mereka.
Dia tidak akan membiarkan Aubree menggunakan taktik yang sama lagi.
Tapi sayangnya, ketika dia tiba di dahan pokok yang tinggi, dia tidak melihat Aubree di mana-mana. Dia cuba melilau ke sekeliling dan juga melihat ke atas namun sia-sia kerana dia tidak melihat Aubree di mana-mana.
Apa yang dia tidak sedar adalah, Aubree selama ini tidak berada di atas dahan-dahan pokok yang lain, melainkan dia berada di dahan pokok yang lebih rendah dari penjaga itu.
Memandangkan daun-daun pokok di kawasan ini lebat, Aubree senang menggunakan strategi ini untuk bersembunyi dan menukarkan tempat persembunyiannya bila masa saja dia mahu.
Aubree melihat penjaga Elf itu tidak menyedari yang Aubree berdiri hanya di bahagian bawah dahan pokok tempat dia berdiri saja. Aubree tersenyum sinis.
Aubree melompat ke atas, cukup untuk membuatkan dia menggapai dahan pokok tadi. Aubree menggunakan kekuatan dalamannya untuk menolak badannya ke atas.
Dengan sekali ayunan, badan Aubree berayun ke atas dan Aubree terus menendang penjaga Elf itu di bahagian belakang dengan menggunakan kaki.
Kerana tidak bersedia, penjaga Elf itu pun terjatuh dari atas pokok.
Setelah menendang penjaga itu, Aubree kembali mendarat di atas lututnya di dahan di mana penjaga tadi sedang berdiri.
Aubree memandang ke bawah dan melihat tiga orang penjaga Elf tadi sudah pengsan di atas tanah. Dia tersenyum senang dan terus berpindah ke tempat lain.
Aubree kini masuk ke peringkat kedua.
Penjaga Elf yang melihat Aubree sekali lagi melepaskan sebatang anak panah yang melepaskan letupan debu berwarna biru ke udara.
Aubree masih lagi melompat dari dahan ke dahan lain untuk berpindah kawasan. Tapi saat dia melintasi sebuah pokok, dia dikejutkan dengan kehadiran sebuah jaring besi yang datang dari arah depan.
Aubree melengkungkan badannya ke belakang, membiarkan dirinya jatuh ke dahan yang berada paling bawah.
Aubree berhenti sekejap dan memandang sekeliling. Dia boleh melihat ada ramai penjaga Elf berseragam hitam sedang berlari ke sana ke mari, melompat ke sana dan ke sini dengan membawa senjata berupa sabit yang disambungkan dengan rantai besi.
Aubree menggigit bibirnya dengan perasaan bengang. 'Lebih banyak penjaga!'
Aubree memegang erat busur yang dipegangnya.
Saat ada dua orang penjaga muncul di belakang Aubree, Aubree tidak membuang masa dan terus melompat dari dahan pokok itu ke pokok lain.
Dua orang penjaga tadi tidak membiarkan Aubree pergi begitu saja dan mereka mengejar Aubree.
Berbeza dengan tiga penjaga di peringkat pertama tadi yang hanya bersembunyi dan menyerang dari tempat persembunyian, penjaga yang di peringkat kedua ini tidak bersembunyi dan lebih memilih untuk mengejar Aubree.
Aubree melompat beberapa kali di atas dahan pokok dan mencuba untuk keluar dari kawasan peringkat kedua itu tapi sekali lagi dia dihalang dengan jaring besi yang besar. Jika Aubree tidak mengelak tepat pada masanya, dia pasti sudah ditangkap oleh jaring tersebut.
Ditambah lagi Aubree diserang dengan senjata berbentuk sabit itu setelah Aubree berhasil mengelak dari jaring besi itu.
Aubree menarik keluar pedang yang diletakkan di belakangnya. Dia menggunakan pedang itu untuk mengelak daripada terkena sabit itu.
Aubree tidak mempunyai masa berehat kerana dia harus mengelak dan melompat dari sana ke sini hanya untuk mengelak dari serangan senjata sabit itu.
'Mereka ada banyak! Saya kena cari jalan keluar dari sini!'
Aubree menyerang para penjaga itu: dia menendang dan menumbuk sehinggalah hampir separuh dari para penjaga Elf itu pengsan di atas tanah.
Aubree menggunakan rantai sabit tadi dan mengikat beberapa orang dari mereka di dahan pokok dan sisa dari para penjaga itu ditipu oleh Aubree sehingga mereka terperangkap di jaring besi yang mereka pasang.
Melihat semua penjaga di kawasan peringkat kedua ini berjaya dikalahkan, Aubree tersenyum senang.
Kini ada tinggal satu kawasan lagi yang perlu dia masuk dan di sanalah bendera musuh berada.