Chereads / S.H.E / Chapter 11 - Bab 10

Chapter 11 - Bab 10

Burung-burung mulai berkicauan di luar bilik, matahari turut menerobos masuk melalui tirai tingkap. Sheena menggeliat malas di dalam selimut. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia tidur seharian kerana tilam dan selimut yang begitu selesa ditambah lagi dengan bayangan apa yang akan dia lalui hari ini. Majlis perkahwinannya? Sheena menjerit di dalam selimut. Dia seperti tidak percaya yang dia akan bertukar status hari ini. Rasanya kemarin dia bangun dari tidur tanpa mengetahui hal ini akan terjadi hari ini. Sungguh, dia tidak menyangka. Tidak ada masa untuk dirinya mahu bersiap sedia dari segi jiwa dan mental, semuanya berlaku secara mendadak.

Tok! Tok! Tok!

Ketukan di pintu bilik membuatkan Sheena bingkas bangun dari baringnya.

"Cik sheena sudah bangun? Cik kena bersiap sedia awal, mak andam akan datang tidak lama lagi. Sarapan sudah tersedia di dining hall." Kedengaran sayup-sayup suara mak Mia di luar bilik kemudian senyap kembali. Mungkin dia sudah beredar. Sheena bergegas masuk ke dalam bilik air, memikirkan yang dia akan sibuk selepas ini dia perlu makan dahulu. Dalam banyak-banyak waktu makan, sarapan pagi tidak boleh ditinggalkan. Selesai dengan pengurusan diri awal pagi, buat pertama kalinya Sheena keluar dari dalam bilik. Matanya tidak sudah-sudah menikmati hiasan dalaman villa itu. Jika semalam, dia hanya sempat menikmatinya sekejap sahaja hari ini dia mahu menikmatinya sepuas hati.

Bila dia tiba di dining hall, pelbagai jenis makanan sudah tersedia di atas meja. Namun, bayang mak Mia atau pak Neo atau Mike tidak kelihatan. Hasratnya untuk bersarapan dia batalkan, dia berlegar-legar di dalam dapur yang juga kosong kemudian dia keluar ke laman belakang. Terbeliak matanya melihat taman bunga yang tersergam indah. Pelbagai jenis bunga di tanam di taman tersebut. Semuanya juga dijaga dengan baik. Automatik Sheena tersenyum melihat keindahan bunga-bunga yang sedang mekar di awal pagi. Menyegarkan minda dan juga perasaan.

"Selamat pagi, Cik Sheena. Cik sudah bersarapan?" Pak Neo menyapa dari belakang.

Sheena menoleh kemudian tersenyum manis.

"Selamat pagi pak Neo. Belum lagi. Belum ada sesiapa di dalam ruang makan jadi saya tidak bersarapan. Perlu tunggu semua orang dahulu." Pak Neo tersengih mendengar kata-kata Sheena.

"Tuan Mike sudah keluar awal pagi, cik. Ada urusan katanya jadi cik kena bersarapan seorang diri. Pak Neo dan mak Mia pun sudah bersarapan di rumah awal pagi tadi."

Sheena menarik nafas berat, jadi dia bersarapan seorang diri?

Selesai dengan kata-katanya, pak Neo memulakan kerjanya merawat bunga-bunga di taman tersebut. Terpaksalah Sheena masuk semula ke dalam rumah dan duduk di meja makan seorang diri. Makanan bukan main banyak lagi, macam satu kampung mahu bersarapan padahal dia seorang sahaja. Takkanlah dia perlu menghadapi hari-hari akan datang seperti ini? Boleh membawa kemurungan. Nasib baiklah, masakan mak Mia memang taraf hotel 7 bintang. Sedap. Okay, kalau makan begini hari-hari pun dia tidak kisah. Bahagia.

********

Mak andam mengambil masa hampir dua jam untuk persiapan mekap dan rambut Sheena. Kemudian Pn.Elle pula datang untuk gown dan persiapan akhir. Sheena yang melihat pantulan dirinya di dalam cermin terpegun sendiri. Dia tidak pernah menyangka yang dia boleh kelihatan begitu cantik dan bergaya. Pantulan dirinya menunjukkan yang dia umpama orang lain dan bukan Sheena yang sebelum ini, bukan Sheena si pembersih kandang kambing.

"Awak nampak sangat cantik, cik Sheena. Mengalahkan miss world." Pn Elle memuji. Sheena tersengih menampakkan sebaris giginya, bukan Pn.Elle sahaja yang memujinya tetapi semua yang ada di dalam bilik tersebut. Siapa juga yang tidak kelihatan cantik jika berdandankan, Sheena menerima semua pujian itu sebagai satu pujian daripada mereka yang mahu kelihatan baik di hadapan bakal isteri CEO. Cuba kalau dia masih Sheena yang dulu, si tukang bersih kandang kambing. Sudah tentu tiada siapa akan memandangnya, langsung.

"Bila awak berjalan atas aisle nanti, jangan lupa untuk tersenyum, okay. Jangan sembunyikan kecantikan awak dan senyuman yang menawan itu. Biar semua orang terpegun melihat awak." Pn.Elle memberikan pesanan, pesanan yang entah ke berapa kali sudah. Sheena sekadar mengangguk dan tersenyum. Sama seperti yang dia ajarkan. Senyum dan senyum lagi.

"Untuk sentuhan terakhir, your crown. Now, finish. Awak memang kelihatan seperti seorang puteri yang siap sedia untuk menguasai SKY Hotel hari ini. Pilihan tuan Mike memang tidak pernah salah." Pn.Elle mengomel seorang diri, para pembantunya yang lain sudah beredar, bersiap sedia untuk mengiringi Sheena ke kereta dan seterusnya ke tempat persandingan mereka. Tak pernah salah? Adakah saya adalah pilihan yang betul? Macam kurang tepat sahaja. Sheena bermonolog di dalam hati.

"Cik Sheena, what do you think of yourself?" Pertanyaan tersebut membuatkan Sheena diam seketika merenung pantulan dirinya di dalam cermin, kemudian dia tersenyum.

"Terima kasih Pn.Elle kerana membuatkan saya kelihatan sempurna." Ujarnya ringkas. Pn.Elle tersenyum gembira sambil memeluk erat bahu Sheena.

"Awak memang sudah cukup sempurna, cik Sheena. Saya hanya menambah sedikit sahaja untuk menyerlahkan lagi kesempurnaan itu. Congratulations on your wedding."

Jantung Sheena berdegup lebih kencang tiba-tiba mendengar ucapan tahniah Pn.Elle. Hari ini hari perkahwinan saya? Dia mulai tidak keruan. Apa yang berlaku sebenarnya?

********

Tetamu yang dijemput mulai memenuhi tempat di dalam Grand SKY Ballroom, beberapa orang kenamaan dan kenalan yang rapat sahaja hadir dari pihak keluarga Mike. Datuk Alice Miles dan bekas suaminya Datuk William Miles turut hadir walaupun dengan pemberitahuan yang agak singkat semalam. Datuk Alice terpaksa mengambil penerbangan paling awal dari Shanghai untuk balik ke tanah air, nasib baiklah Datuk William pula memang berada di ibu kota selepas beberapa bulan di luar negara. Wajahnya kedua ibu bapa Mike kelihatan berseri-seri kerana berita ini merupakan berita yang mereka tunggu-tunggu selama ini. Mike merupakan anak tunggal mereka dan merupakan penyambung legasi mereka kelak. Jika dia tidak menamatkan zaman bujangnya maka sukar untuk mereka mendapat cucu untuk masa hadapan.

Mike yang baru keluar dari bilik persalinan hotel sibuk menyambut tetamu yang hadir di pintu utama ballroom. Semuanya merupakan pelabur atau bakal pelabur di syarikatnya atau syarikat mamanya atau syarikat papanya. Hanya beberapa orang sahaja merupakan jemputan dari pihak keluarga Sheena, termasuklah Kayla dan tunangannya Adam.

Mata Kayla meliar memandang sekeliling dan sesekali dia berbisik di telinga Adam dan tiap kali dia selesai berbisik, Adam menarik nafas berat. Kayla tidak mahu kalah dengan hiasan pelamin Sheena, kek Sheena dan pelbagai aspek lagi. Adam mulai dapat melihat masa depannya, dia perlu mengumpul lebih banyak duit untuk memenuhi kehendak tunangannya itu. Padan muka.

PA Mike berbisik di telinganya, sudah tiba masanya untuk perarakan masuk. Mike mengangguk faham. Semua tetamu yang masih berlegar di luar Ballroom masuk ke dalam dan mengambil tempat masing-masing. Semuanya masih tertanya-tanya, siapakah bakal isteri Mike. Tiada khabar berita atau gosip, tiba-tiba undangan kahwin diterima. Jangankan para tetamu, Datuk Alice dan Datuk William sendiri sebagai ibu bapa Mike tertanya-tanya tentang bakal menantu mereka.

Sheena semakin berdebar di dalam bilik khas, dia bingung sama ada dia mahu meneruskannya atau melarikan diri. Namun, jika dia melarikan diri sudah pasti dia tidak akan terlepas dengan mudah. Silap-silap dia boleh meringkuk di dalam penjara. Melihat pengaruh Miles, boleh mencapai belasan tahun dia di dalam penjara. Itu baru pengaruh Mike, mama dan papanya? Seram sejuk dia rasakan biarpun baru memikirkannya.

"Cik Sheena, majlis sudah mahu bermula. Mari saya temankan cik keluar. Jangan gementar, tenang. Tarik nafas dan hembus nafas. Semuanya akan berjalan dengan lancar." Pn.Elle selaku pengurusnya memberikan kata-kata semangat. Sheena mengangguk perlahan, lututnya terasa lemah. Hampir-hampir tidak mampu untuk menampung berat tubuhnya. Mahu dikatakan lapar, bukan main banyak lagi dia makan pagi tadi sewaktu sarapan. Kalah-kalah gelandangan yang tidak makan selama berhari-hari. Nasib baiklah baju kahwinnya masih muat, kalau tidak memang nahas dirinya.

Tiba di lorong menuju ke ballroom, Sheena dapat melihat susuk tubuh Mike dari kejauhan. Segak dengan kot hitamnya. Degupan jantungnya yang tadi sudah tidak keruan semakin laju. Silap-silap dia boleh pengsan kerana terlalu gementar.

"Pengantin awak sudah tiba." Ujar Pn.Elle sambil mengalihkan pautan tangan Sheena ke lengan Mike. Mike melirik sekilas kemudian menoleh kembali memandang Sheena. Sheena dapat merasakan di sebalik veil, pipinya sudah merona merah dipandang sedemikian. Mahu sahaja dia melepaskan pautan tangannya pada lengan Mike tapi dia risau dia akan jatuh terjelopok.

"Dia kelihatan menawan, bukan. Belum lagi di sebalik veil. Tuan Mike pasti terpikat lagi." Bisik Pn.Elle kepada Mike, sengaja mahu mengusik. Kemudian Mike  berpura-pura berdehem dan membetulkan kotnya, konon-konon tidak terdengar kata-kata Pn.Elle, tipikal Mike. Pn.Elle tersengih nakal. Bagai pinang dibelah dua. Sama cantik sama padan.

"Tenang dan follow my lead." Ujar Mike separuh berbisik kepada Sheena, dia dapat rasakan yang gadis tersebut gementar sama seperti dirinya. Dia akui dia tidak pernah segementar ini seumur hidupnya. Bukan sahaja kerana ini adalah hari perkahwinan kilatnya tapi juga kerana Sheena berada di sebelahnya. Dia tidak memahami hatinya, mustahil jika dia mahu katakan yang dia gementar kerana Sheena. Sangat mustahil. Dia mengenali gadis tersebut baru beberapa hari dan tidak ada yang istimewa pada gadis tersebut yang membuatkan dia jatuh hati kepadanya (mungkin).

Perarakan masuk mereka diumumkan oleh MC dan alunan muzik yang dimainkan oleh pemain piano menandakan tiba masanya bagi mereka masuk ke dalam. Pintu ballroom dibuka dan semua mata tertumpu kepada pasangan tersebut. Mike membuka langkah, selangkah kemudian dua langkah dan seterusnya. Sheena di sebelah menurut tanpa banyak soal. Follow his lead, follow his lead. Dia berbisik berkali-kali di dalam hati. Perasaan gementarnya semakin menjadi-jadi melihat bilangan tetamu yang agak banyak memenuhi ballroom. Malahan wajah-wajah yang hadir juga agak asing bagi dirinya. Hanya apabila mereka tiba di bahagian hadapan ballroom, barulah dia melihat wajah-wajah yang selalu dia lihat. Pn.Biba, En.Martin, Kayla, Adam, beberapa orang kampung, jiran rumah mereka, Dinar, Budi dan Murad. Sheena tersenyum lebar. Hatinya sedikit lega. Masih ada orang-orang yang dia kenali. Tetamu yang hadir mulai berbisik-bisik, kagum dengan kecantikan Sheena. Mereka mulai tertanya-tanya siapakah gadis tersebut, seorang model? Bukan. Artis? Bukan. Pelakon? Bukan. Penyanyi? Bukan. Jadia siapa Sheena? Wajahnya bukan biasa-biasa tapi mereka tidak mempunyai sebarang idea identiti dan asal usul sebenar gadis tersebut.

Majlis berjalan dengan lancar, dari bacaan ikrar kahwin kepada menjamu selera sampailah kepada beramah mesra dengan para jemputan dan akhirnya Sheena sah menjadi isteri kepada Mike. Status bertukar dengan jayanya dari cik Sheena kepada Pn.Sheena.

Kalau diikutkan hati Sheena dia mahu kekal duduk di pelamin biar tetamu datang kepada mereka untuk bersalaman atau bergambar atau hal-hal yang sama waktu dengannya, namun Mike memberikannya isyarat agar mengikut dirinya untuk beramah mesra dengan para tetamu. Sheena memarahi di dalam hati, apalah tujuannya untuk mereka ke setiap meja. Bukannya dia mengingati wajah mereka satu persatu tetapi apakan daya, dia hanya boleh menurut sahaja. Gown yang dia pakai nasib baiklah bukan lagi gown kembang ala-ala gown princess. Maka mudah baginya untuk bergerak dan menyisip ke sana ke mari. Kalau tidak memang habis tumbang semua meja yang dia akan lalui.

"Congratulations, my son. Akhirnya awak mengakhiri zaman bujang awak dengan gadis pilihan sendiri." Ujar Datuk Miles dengan gembira. Matanya merenung Sheena lama kemudian dia berbisik di telinga anaknya itu. Ketawanya pecah tetapi Mike masih dengan muka tiada perasaannya. Sheena tersengih pura-pura faham. Entah apalah yang bapa mentuanya itu bisikan di telinga Mike. Abaikan. Ujarnya di dalam hati.

"Come here, my daughter." Datuk Alice menarik tangan Sheena agar mendekatinya, dia merenung gadis tersebut lama kemudian memeluknya erat. "Terima kasih kerana menerima anak saya seadanya. Jaga dia baik-baik bagi pihak mama dan jangan lupa untuk menjaga kesihatan diri sendiri juga. Jika ada apa-apa masalah, jangan malu untuk menghubungi mama." Sheena terkesima, dia tidak menyangka yang Datuk Alice akan mengatakan hal sedemikian rupa kepadanya. Dia ingatkan wanita itu dingin sedingin perwatakannya tetapi nampaknya dia silap.

"Jangan risau, datuk...eh, mama." Datuk Alice tersenyum mendengar Sheena tersasul. Wajah Sheena merah padam menahan malu, nasiblah mekap membuatkan merah padam pada wajahnya tidak ketara.

"Awak selalu mahukan anak perempuan, bukan. Sekarang awak sudah mendapatkannya." Datuk William mengusik bekas isterinya itu, Datuk Alice tersenyum kemudian memeluk Sheena kembali. Dia memang sudah lama mahukan anak perempuan, tidak sangka impiannya itu tercapai apabila anak lelakinya berkahwin. Perasaan gembira yang dia rasai tiada tolok bandingannya. Kini, dia hanya perlu menanti cucu daripada pasangan tersebut.

"Awak Mike, jaga isteri awak baik-baik. Jangan biarkan dia sakit sama ada sakit fizikal atau emosi. Kalau mama tahu awak abaikan dia, nahas awak mama kerjakan." Amaran Datuk Alice membuatkan tawa Datuk William pecah lagi. Sheena tersengih menahan senyum, dia melirik memandang Mike yang berpura-pura melihat kearah lain. Tidak menyangka yang mamanya akan memberikan amaran sebegitu. Sekarang siapa anak kandung Datuk Alice sebenarnya, dia atau Sheena?

Tiba di tempat En.Martin, Sheena memeluknya erat. Air matanya jatuh, dia sebak melihat En.Martin yang sudah merah matanya menahan air mata. Pn.Biba dan Kayla? Tidak perlu ditanya, wajah mereka lebih masam daripada cuka. Cemburu? Mungkin. Adam? Menikus di tepi Kayla. Menyesal? Mungkin tidak menyangka yang Sheena akan mendapat pasangan yang berkali ganda lebih baik daripada dirinya.

"Sheena Heather Edward, sekarang kamu sudah menjadi isteri orang. Jaga suami kamu baik-baik, jangan menjadi isteri yang derhaka." Pesan En.Martin sambil mengesat air matanya yang mulai mengalir membasahi pipinya. Begini pula rasanya, melihat anak yang membesar di bawah jagaannya menjadi isteri orang. Sheena mengangguk perlahan.

"Terima kasih untuk penjagaan uncle dan auntie selama ini. Tanpa kalian berdua saya tidak mungkin hidup sehingga kini." Hanya itu yang mampu Sheena ucapkan. Sebenarnya banyak yang mahu dia katakan tapi dia tidak mampu untuk mahu mengatakannya satu persatu.

"Terima kasih kerana menyediakannya untuk menjadi isteri saya." Sheena menoleh memandang Mike, dia tidak menyangka lelaki itu akan bersuara. Almaklumlah, suara emas. En.Martin mengangguk faham kemudian tersenyum memandang Sheena untuk kesekian kalinya. Rasa bersalah kerana tidak dapat membesarkan gadis tersebut dengan baik menguasai dirinya. Tidak banyak yang dia lakukan sebenarnya untuk Sheena sepanjang gadis tersebut tinggal bersama mereka. Sekadar memberikan tempat tinggal sahaja, perkara lainnya dilakukan oleh Sheena sendiri. Dia seorang gadis yang tabah, semoga segala penderitaannya sebelum ini akan berakhir. Walaupun dia tidak tahu sejauh mana Mike boleh memberikan kebahagiaan kepada Sheena tetapi dia percaya, lelaki itu akan melayan Sheena dengan baik.