Chereads / S.H.E / Chapter 13 - Bab 12

Chapter 13 - Bab 12

Hari ini Sheena bangun lebih awal daripada yang biasa. Berharap akan ada berita yang menggembirakan akan sampai kepadanya. Sudah beberapa hari berlalu selepas dia mengajukan rancangannya untuk menyambung pelajaran kepada Mike. Petang kemarin, Mak Mia memberitahu yang Mike berpesan agar hari ini dia bangun lebih awal, dia mahu membawanya ke suatu tempat. Manalah tahukan, Mike mahu membawanya ke kolej atau mana-mana pusat pengajian. Dia menyelongkar almari pakaiannya, mencari pakaian yang paling sesuai. Sederhana tetapi bergaya. Setelah selesai memilih pakaian yang sesuai dia beralih pula kepada mekap, sejak akhir-akhir ini dia selalu melayari Youtube untuk mencari cara mekap trend terkini. Hari ini dia akan mengaplikasikannya. Apa salahnya bukan. Freshie di kolej, memikirkannya sahaja sudah pun membuatkan dia gembira tidak berkesudahan.

Siap berdandan dan setelah berpuas hati melihat pantulan dirinya di dalam cermin, Sheena dengan gembira ke bilik Mike. Dia tahu lelaki itu masih di dalam biliknya kerana dia tidak terdengar pintu biliknya dia buka atau di tutup.

Tok! Tok! Tok!

Dia memberanikan diri untuk mengetuk pintu bilik Mike buat pertama kali. Perasaan teruja di dalam dirinya membuatkan dia lupa tentang rasa malu atau segan terhadap Mike. Dia peduli apa, yang penting dia mahu tahu ke mana lelaki itu akan membawanya hari ini. Kolej? Sheena tidak henti-henti tersenyum.

Krittttttt.

Pintu bilik di buka, Mike dengan muka baru bangunnya terkejut melihat Sheena di hadapan biliknya.

"Hello, selamat pagi! Saya sudah sedia untuk pergi." Ujar Sheena dengan penuh semangat. Mike mengerutkan dahinya, masih mamai. Matanya melirik melihat jam dinding biliknya. Baru jam7.30 pagi. Dia mahu ke mana juga seawal ini? Mahu berjogging? Tapi pakaian Sheena seperti tidak sesuai. Jadi? Merepek sahaja. Sengaja menganggu tidurnya awal pagi. Sudahlah baru hari ini dia dapat bangun tidur lewat sedikit, ada pula yang mengganggu. Mike menutup kembali pintunya tetapi di tahan oleh Sheena.

"Awak belum ready lagi? Saya sudah siap untuk pergi." Ulang Sheena lagi sambil tersenyum lebar. Mike menarik nafas dalam-dalam kemudian menolak tangan gadis tersebut dan menutup rapat pintu biliknya.

Sheena tergamam di depan pintu. Eh, dia tutup pintu pula! Kata perlu bangun awal, dia sudah bangun seawal yang mungkin. Tidak pula dilayan. Sia-sia dia berdandan awal pagi. Sheena menggerutu di dalam hati. Geram kerana tidak dilayan oleh Mike. Bukan main dia teruja sejak kemarin, akhirnya dia kecewa sendiri.

Dia kembali ke dalam biliknya sambil mengomel dan membebel di dalam hati. Dia melirik memandang telefon bimbitnya. 7.30 am. Eh, baru 7.30 pagi? Bukan tadi sudah 9.00 pagi ke? Sheena melihat kembali jamnya untuk kepastian. Sah, memang baru jam 7.30 pagi. Dia menepuk dahinya malu. Patutlah Mike memandangnya semacam sahaja. Rupanya masih terlalu awal, manalah dia tahu. Yang dia tahu tadi matahari sudah terbit di ufuk timur. Nasib baiklah dia tidak dimarahi oleh Mike di tempat kejadian. Sia-sia dia mahu mengamuk rupanya memang silap dia. Maafkan saya Mike. Dia berbisik di dalam hati.

Maka dengan rasa malu yang sangat tebal, dia menanti di dalam bilik sehinggalah jam9.00pagi barulah dia turun ke bawah. Kononnya, dia baru siap bersiap.

Mak Mia menyambutnya dengan senyuman.

"Selamat pagi...Sheena."

Sheena tersengih, nasib baiklah tidak ada lagi cik puan di hadapan namanya. Kan...lebih baik begini. Kedengaran lebih mesra dan dekat sahaja di hati.

"Selamat pagi juga Mak Mia. Apa sarapan pagi ini?" Sheena bertanya seraya duduk di meja makan, matanya melilau memandang sarapan yang sudah tersedia.

"Hari ini mak Mia sediakan nasi goreng kampung kegemaran, Sheena dan spaghetti kegemaran tuan Mike." Sheena mengangguk perlahan, kemudian dia memandang ke kiri dan ke kanan. Mencari bayang Mike.

"Mike belum turun?" Dia bertanya. Mak Mia menggeleng sambil membantu gadis tersebut menyenduk sedikit nasi goreng ke dalam pinggannya. Oh, belum turun lagi? Kalau tadi dia percayalah yang Mike masih mamai kerana baru jam7.30 pagi tapi sekarang sudah jam9.00 pagi, dia sepatutnya sudah turun ke bawah (kata si gadis yang tiada kesabaran).

"Nampaknya Sheena sudah ready. Tak tahu tuan Mike mahu membawa Sheena ke mana. Apa-apa pun, nikmati hari kamu sebaiknya." Ujar mak Mia dengan senyum manisnya, Sheena tersengih-sengih seperti kerang busuk. Pertama kali selepas dia datang ke ibu kota, dia akan keluar dari kawasan villa. Selama ini dia hanya terperuk di dalam kawasan villa sahaja. Kalau bukan di dalam bilik, di ruang tamu, kalau bukan di ruang tamu, di bilik bacaan dan kalau bukan di bilik bacaan di taman bunga atau di kolam renang. Hari-hari dia juga akan menghadap muka yang sama iaitu Mak Mia dan Pak Neo. Mike? Selain tadi pagi, tempoh hari sewaktu dia mengusulkan hasratnya mahu menyambung pelajaran, menjadikannya dua kali selepas majlis perkahwinan mereka dia bertemu dengan lelaki tersebut. Amazing.

"Selamat pagi, tuan Mike."

Sheena menoleh pantas dengan mulutnya dipenuhi nasi goreng yang baru dia suap. Nasib baiklah tidak tersembur kerana terkejut mendengar nama Mike disebut oleh Mak Mia.

Mike hanya mengangguk perlahan dan duduk di tempatnya iaitu di hujung meja. Meja makan yang besar tapi hanya mereka berdua sahaja yang makan di situ. Membazir. Sheena merungut di dalam hati. Lelaki tersebut memulakan makannya tanpa melihat kearah Sheena, seakan gadis tersebut tidak wujud di hadapannya. Halimunan. Sheena sengaja berdehem beberapa kali, cuba untuk menarik perhatian Mike tapi gagal. Selain daripada fokus dengan makannya, Mike hanya melihat tab yang dia bawa-bawa dari dalam bilik. Sibuk melihat analisis keuntungan syarikatnya. Hanya sesekali dia menyuapkan spaghetti ke dalam mulutnya. Keadaan sunyi senyap, macam di dalam dewan peperiksaan. Setelah diabaikan, Sheena mahu mengunyah pun ragu-ragu. Takut Mike terganggu. Memang kalau orang kaya begini ke? Makan pun tengok bisnes dia? Sheena tertanya-tanya di dalam hati. Nikmat ke makanan yang dia makan bila fokus berbelah bagi? Dia bermonolog sendiri.

"Awak dah siap? Kalau dah siap saya tunggu di dalam kereta."

Sheena menoleh pantas memandang Mike yang sudah berdiri dari duduknya. Eh, dia sudah habis makan ke? Matanya memandang kearah pinggan Mike yang tadinya masih penuh. Kosong. Wow! Dia terlopong. Dia kunyah atau dia telan terus? Sheena menoleh lagi memandang Mike yang sudah hilang di balik dinding. Terbaik. Tidak sampai berapa minit dia mengelamun, Mike sudah menghabiskan makanannya. Sheena menyuapkan nasi goreng ke dalam mulutnya dengan gelojoh dan bergegas ke dalam dapur membawa pinggan Mike dan dirinya. Mak Mia yang sudah bersiap sedia di hadapan sinki menyambut pinggan-pinggan tersebut sambil memberi isyarat agar membiarkannya dan pergi.

"Terima kasih, Mak Mia."

Ujar Sheena sambil membersihkan mulutnya dan berlari anak ke luar rumah. Mike sudah bersiap sedia di tempat duduk pemandu dengan tabnya. Sempat lagi dia menyemak laporan-laporan yang di hantar oleh PA-nya sambil menanti Sheena.

Sheena berhenti seketika di luar kereta, mahu duduk di sebelah Mike atau di belakang? Kalau di belakang nanti dianggap boss pula, umpamanya Mike ialah pemandu dan dia boss tapi kalau dia duduk di sebelah pemandu, seganlah pula. Dia bermonolog seketika untuk membuat pertimbangan terbaik.

Sedar dengan kehadiran Sheena tapi masih termangu-mangu diluar kereta, Mike meletakkan tabnya kemudian membuka tingkap kereta untuk melihat apa yang Sheena lakukan di luar. Dia merenung gadis tersebut yang kelihatan sedikit bingung, mahu masuk atau tidak. Mungkin itu yang bermain di fikirannya.

"Ehem!"

Mike berdehem memberikan isyarat agar masuk. Sheena memandangnya kemudian tersengih, dengan ragu-ragu dia masuk ke tempat duduk sebelah pemandu.

"Maaf, lambat."

Hanya itu yang mampu Sheena katakan, ini adalah pertama kali dia berdua-duaan dengan Mike di dalam kereta. Suami isteri? Itu hanya diatas kertas sahaja. Berbual? Perbualan paling panjang mereka adalah ketika Mike datang berjumpa dengannya di ladang En.Martin beberapa minggu yang lalu. Sewaktu lelaki itu mengajaknya untuk berkahwin secara tiba-tiba. Hebat bukan.

Suasana sunyi sepi, radio pun tidak dipasang. Sheena duduk membatu tanpa bergerak walau sedikit pun. Matanya merenung ke luar jendela, mahu mengelipkan mata pun dia takut inikan pula mahu menggerakkan tubuhnya. Mike di sebelahnya yang memang biasa memandu keseorangan tanpa muzik, tenang. Sheena seakan tidak wujud di sebelahnya. Sekali lagi gadis tersebut seakan halimunan. Perasaan menyesal kerana duduk di sebelah Mike muncul di hati Sheena, kan lagi bagus kalau dia duduk di belakang. Rasanya dia lagi selesa untuk bergerak dan melihat ke kiri atau ke kanan dan ke hadapan. Berbanding dia duduk di hadapan, jari kakinya pun tidak bergerak sejak dia masuk ke dalam. Destinasi mereka pula, dia tidak tahu ke mana. Boleh kejang satu badannya kalau begini. Silap hari bulan, dia tidak dapat bergerak mahu turun pun nanti. Kemudian di sangka kena serangan strok pula. Okay, simpang malaikatul maut seratus empat puluh empat!

Perlahan-lahan Sheena memberanikan dirinya untuk membetulkan duduknya, meluruskan sedikit kakinya sambil melirik kearah Mike.

Serius sungguh wajahnya tapi pernahkah dia melihat lelaki itu dengan wajah gembira atau berperasaan? Sejak dia bertemu dengannya belum pernah lagi dia melihat Mike tersenyum kepada sesiapa apatah lagi dirinya. Sewaktu majlis perkahwinan mereka? Rasanya tidak ada. Kecuali dia tersenyum tapi Sheena tidak melihatnya. Kesimpulannya, Mike tidak pernah tersenyum dengannya.

Suasana sunyi senyap itu berterusan hinggalah mereka sampai ke pusat bandar. Sheena memandang sekelilingnya dengan penuh keterujaan. Ini adalah pertama kali sejak dia tinggal bersama auntie dan uncle-nya dia sampai ke pusat bandar tidak termasuk sewaktu majlis perkahwinan dia dan Mike tempoh hari kerana SKY Hotel terletak di pinggir kota di atas bukit. Sewaktu dia kecil, dia memang tinggal di ibu kota malahan lahir di luar negara tapi itu kisah lalu. Dia sendiri sudah tidak berapa ingat bahagian mana rumah keluarganya dahulu. Bayang-bayang kawasan perumahan mereka pun samar-samar di fikirannya.

MJ Shopping Complex

Bangunan pusat membeli belah milik Mike, tersergam indah di tengah ibu kota. Terlopong Sheena melihatnya, bukan main besar dan luas lagi. Dia mungkin tidak mampu untuk berjalan ke seluruh kawasan shopping complex itu walaupun seharian.

Mike memarkirkan keretanya dihadapan pintu utama pusat membeli belah tersebut tapi tidak berganjak dari duduknya. Sheena turut berdiam diri tidak bergerak, menanti arahan seterusnya lelaki tersebut.

"Awak boleh turun di sini, masuk ke dalam atau pergilah ke mana pun yang awak mahu pergi. Saya ada urusan untuk diselesaikan. Selepas selesai membeli belah atau apa sahaja yang awak mahu lakukan, tunggu saya di tempat ini. Anything, call Rayner my PA." Ujar Mike tanpa memandang kearah Sheena, kemudian dia menghulurkan sekeping kredit kad dan buku kecil. Sheena menyambutnya dengan ragu-ragu.

"Itu kredit kad milik awak, gunakan sahaja untuk membeli apa pun. Dalam buku itu pula, ada nombor Rayner atau Pak Neo dan Mak Mia. Kalau ada apa-apa telefon sahaja mereka."

Sheena mengangguk faham, walaupun dia sebenarnya kebingungan. Apa yang perlu dia lakukan selepas ini? Dia ingatkan, Mike akan bersama-sama dengannya tapi nampaknya dia dibiarkan seorang diri. Kalaulah dia tahu tadi, dia pasti akan menolak untuk pergi atau membawa mak Mia bersama dengannya. Sedih. Dia terpaksa menjaga diri sendiri di tempat yang sangat asing bagi dirinya.

"Tunggu apa lagi, turunlah."

Bergegas Sheena keluar dari dalam kereta, belum sempat Sheena mahu menoleh kembali kearah Mike, kereta audi hitam itu sudah meluncur pergi meninggalkan Sheena terkial-kial seorang diri. Sekarang apa yang perlu dia lakukan? Shopping? Tapi dia bukannya perempuan yang suka shopping (atau tidak pernah shopping langsung). Dia memandang sekelilingnya, sungguh asing bagi dirinya. Tidak ada satu pun wajah yang dia kenali (memanglah, selama ini dia hanya hidup di ladang sahaja). Kalaulah dia melihat Kayla tiba-tiba rasanya dia akan menangis memeluk gadis tersebut. Pedulilah, Kayla gembira atau tidak bertemu dengannya.

Dia melangkah masuk ke dalam shopping complex dan langkahnya terhenti lagi apabila melihat bahagian dalamnya, terpegun dengan keadaan yang tidak pernah dia lihat sebelum ini. Mungkin pernah, tapi di dalam kaca televisyen sahaja. Kini dia sedar betapa dirinya selama ini umpama katak yang tinggal di bawah tempurung. Dia melangkah mengikut kata hatinya kerana dia tidak mempunyai tujuan yang khusus. Matanya meliar memandang tiap kedai ditepinya. Kemudian satu persatu kedai itu dia lawati, sungguh banyak pakaian yang cantik-cantik tapi bukan citarasanya. Rata-rata pun pakaian yang tidak cukup benang. Merosakkan anak bangsa betul. Dia merungut di dalam hati.

"Welcome, miss. May i help you?"

Seorang gadis yang Sheena kira sebagai pekerja di butik tersebut menegur dengan senyuman mesra. Sheena menggeleng perlahan.

"Terima kasih, saya hanya melihat-lihat sahaja. Nanti saya panggil jika saya perlukan apa-apa." Ujarnya lembut. Budi bahasa budaya kita.

Gadis itu mengangguk sambil tersenyum lagi kemudian berlalu membiarkan Sheena.

"Lya, cuba teka siapa saya jumpa tadi di parking kereta." Salah seorang pekerja yang baru tiba menegur gadis yang menegur Sheena sebentar tadi. Oh, nama dia Lya. Sheena berbisik di dalam hati. Ingatkan di kedai Pak Mahat sahaja dia boleh mendengar perbualan Minah Bawang, rupanya di sini pun ada. Sheena tersengih sendiri. Bawang ada di mana-mana.

"Siapa?"

Gadis yang bernama Lya itu bertanya dengan terujanya. Kemudian beberapa orang gadis yang Sheena kira juga pekerja di butik itu datang mengerumuni dua orang tadi. Amboi, bukan main lagi satu kedai rupanya ratu bawang. Sheena sengaja berpura-pura tidak berganjak dari tempatnya, kononnya sedang sibuk meneliti pakaian di rak hadapannya. Padahal dia sengaja mahu mendengar apa yang bakal dijadikan bawang. Penyibuk juga rupanya.

" Mike Jacob."

Berdesing telinga Sheena mendengarnya. Eh, itu bukan nama suami dia? Okay, menarik. Ingatkan dia pergi ke tempat lain, rupanya dia di sini juga. Nasib baiklah, semoga dia akan bertemu dengan dia nanti selepas itu dia akan membontot di belakangnya. Sekurang-kurangnya dia tidak keseorangan walaupun mereka tidak akan bercakap. Sheena tersengih gembira.

"Wah, pujaan hati! Dia dengan siapa? Isteri dia?"

Sheena melirik sekilas memandang kumpulan gadis-gadis tersebut. Rupanya, suami kilat dia itu hot stuff juga. Gadis-gadis itu berbisik-bisik kemudian tersenyum sendiri. Hello, isteri dia di depan kamu. Jangan nak mengada sangat! Sheena memarahi di dalam hati.

"Mungkin sebab dia berjalan dengan perempuan cantik tadi. Ala-ala model gitu. Mesra semacam sahaja, siapa lagi kalau bukan isteri diakan yang selama ini dia rahsiakan identitinya."

Kali ini Sheena terkaku seketika, berjalan dengan perempuan? Ala-ala model? Mesra? Hatinya yang tadi berbunga-bunga kembali kosong. Dia tertunduk seketika, kemudian dia tersenyum tawar. Apa yang dia harapkan sebenarnya? Mike akan setia dengannya? Tolonglah, dia hanyalah isteri kilat dengan berkepentingan sendiri sahaja. Tidak lebih dari itu. Jangan mahu menaruh harapanlah, Sheena. Dia itu berada di tahap yang lain untuk mahu memberikan perhatian kepada kamu yang boleh dikatakan berada di tahap paling rendah.

Perlahan-lahan Sheena keluar dari dalam butik tersebut, malas mahu mendengar butiran seterusnya. Hatinya terasa sedikit sakit atau sangat sakit? Tapi dia menepis perasaan tersebut jauh-jauh. Ingat Sheena dia tidak lebih daripada teman serumah kepada Mike dan bila-bila masa sahaja dia boleh disingkirkan. Kalau dia sudah disingkirkan ke mana mahu dia pergi? Walaupun dia tidak mahu memikirkannya tapi lambat laun perkara itu tetap akan terjadi. Apabila Mike sudah menemui wanita yang benar-benar dia mahu jadikan sebagai isterinya yang sah. Apa yang akan berlaku kepada dirinya? Sheena memandang sekelilingnya, alangkah baiknya kalau dia masih berada di ladang. Biarlah dia hidup susah, sekurang-kurangnya dia masih mempunyai teman-teman seperti Dinar dan Budi. Tidak risau dengan kehilangan tempat tinggal atau masa depan. Namun, apa yang dia risaukan sebenarnya? Dia bukan tidak biasa ditinggalkan dan keseorangan. Dia memang hidup untuk ditinggalkan dan berseorangan. Semangat, Sheena!

Setelah puas ke hulu ke hilir dan naik turun pusat membeli belah, Sheena duduk di kerusi yang terletak berdekatan dengan pintu keluar. Disebelahnya adalah restoran makanan barat tapi tidak menarik perhatian Sheena. Kakinya terasa lenguh kerana penat berjalan. Nasib baiklah pagi tadi dia tidak mengada memakai kasut tumit tinggi dan hanya mengenakan sneaker sahaja. Selesa.

Dia melirik memandang jam di telefon bimbitnya, jam2.30 petang. Patutlah perutnya sudah bergendang meminta makanan tapi biar dia berehat dulu sebentar. Nanti dia akan pergi mencari mana-mana restoran yang menarik hati. Sedang Sheena asyik memandang orang yang lalu lalang, matanya tertumpu kepada susuk tubuh yang dia kenal sedang menuju kearahnya. Eh, Mike! Hampir melompat Sheena melihatnya. Gembiranya bukan kepalang. Akhirnya, dia bertemu dengan Mike. Maka dia tidak perlu lagi susah-susah mahu menunggu di luar. Sheena tersengih sendiri.

Namun, gembiranya tidak berpanjangan. Seorang gadis tiba-tiba muncul di belakang Mike sambil berpaut pada lengannya, kemudian gadis itu berbisik di telinga Mike kemudian mereka tertawa bersama. Oh, gadis yang dimaksudkan oleh gadis-gadis di butik tadi dan apa yang lagi penting, Mike tersenyum. Bukan sahaja tersenyum biasa-biasa tapi tertawa. Dia seakan bukan Mike yang Sheena kenal. Wajahnya kelihatan berseri-seri dan bahagia. Tanpa Sheena sedari pandangannya dan Mike bertentangan, dia terkejut kerana tidak tahu apa reaksi yang perlu dia berikan. Bagaimana kalau Mike datang kearahnya bersama gadis tersebut. Apa yang perlu dia katakan? Hi? Hello? Atau apa?

Mereka semakin hampir dengannya dan mereka masih saling berpandangan. Okay, Sheena. Jadi professional. Dia bukannya suami kamu yang sah, tenang dan senyum sahajalah. Sheena berdiri dari duduknya, bersiap sedia untuk menegur tetapi Mike mengalihkan pandangannya kepada gadis tersebut dan lalu di hadapan Sheena begitu sahaja. Sheena tergamam, Mike melihat dia bukan dan dia lalu betul-betul dihadapannya tapi dia sepertinya tidak mengenali Sheena langsung. Dia diabaikan begitu sahaja.

Sheena menoleh memandang Mike dan gadis itu, berharap yang Mike akan menoleh memandangnya tapi sia-sia. Sheena, Sheena. Apa yang awak fikirkan. Sudah tentulah dia akan berpura-pura tidak mengenali awak. Dia sedang berjalan dengan perempuan lain pula, mungkin kekasih sebenarnya atau bakal isterinya yang sebenar. Sheena tertunduk, tenanglah wahai hati. Dia berbisik di dalam hati. Kemudian dia mencari-cari buku nota kecil yang diberikan oleh Mike sebelum turun dari kereta tadi dan menyedari yang tidak ada nombor telefon Mike di dalamnya. Sheena tersenyum lagi. Lelaki itu memang tidak ada rancangan untuk mahu bersama dengannya dalam masa yang panjang, jadi siap sedia sahajalah Sheena.

Dia menghantar pesanan ringkas kepada Rayner, PA Mike. Memintanya untuk menghantar mana-mana pemandu atau teksi atau apa sahaja untuk membawanya pulang. Dia malas mahu menunggu Mike yang belum tentu jam berapa akan balik ke rumah dan nasib baiklah, pemandu yang dia minta datang tidak sampai 10minit. Sepanjang perjalanan, Sheena berdiam diri membiarkan muzik yang berkumandang menjadi penemannya melayan perasaan sendiri. Tuhan, kuatkanlah diri ini. Jika jalan hidupku memang penuh liku, biarlah kekuatan diriku berkali ganda lebih kuat daripada yang lain. Sheena mengukir senyuman semanis mungkin, berharap senyuman itu akan kekal sehingga bila-bila. Jaga hati mu baik-baik Sheena, jangan biarkannya menaruh harapan kepada sesiapapun atau awak akan terluka sendiri sebab bila nanti terluka tiada yang akan datang untuk merawatnya kecuali awak sendiri. Sheena bermonolog sendiri. Berharap yang dirinya akan lebih kuat kerana dia risau dia akan menaruh harapan kosong seperti selalu. Seperti dia menaruh harapan akan disayangi oleh Pn.Biba atau menaruh harapan akan bahagia bersama Adam. Cukuplah setakat itu sahaja, jangan lagi terlanjur mengimpikan kesempurnaan yang akan membuat dirinya lebih rapuh kelak.