Part 2 ( Sahabat Saban Waktu )
Sejak dari kejadian tempoh hari, hubungan Auntie Allyn dan Uncle Patrick semakin renggang. Mereka sentiasa bertengkar tidak kira masa, itu sudah menunjukkan mereka tidak boleh berkesedudukan. Komunikasi telah hancur sehingga anak-anak yang menjadi mangsa. Aku membawa Vienna dan Vick berkurung dalam bilik setiap kali ibu bapa mereka bertengkar. Aku tidak mahu kedua beradik itu melihat pertelingkahan antara Ibu bapa mereka. Deras air mata mengalir diikuti dengan tangisan, memeluk keduanya dengan begitu erat. Sejak kematian papa dan mama, aku sudah kehilangan kasih sayang. Kini aku dapat membayangkan bagaimana perasaan kedua beradik ini. Mereka masih perlukan sebuah keluarga yang lengkap, yang lebih penting kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Tapi apakan daya jika begini takdir Tuhan yang tercipta? Sebuah keluarga yang belum diketahui bagaimana pengakhirannya?
"Revi, keputusan ujian awak semakin teruk."
Mendengar kata itu daripada Cikgu Farah, aku hanya mampu berdiam diri. Memang aku sedar dengan keputusanku yang begitu kurang memberangsangkan. Mengenangkan peperiksaan SPM yang semakin menghampiri, tekanan mula menyerang diriku. Apa yang akan terjadi terhadapku selepas ini? Adakah aku boleh berjaya? Sekaligus meneruskan pengajian ke menara gading? Dalam diam aku menggelengkan kepala kerana aku sudah berputus asa.
"SPM bakal berlangsung beberapa bulan saja lagi, awak kena tingkatkan usaha!" sambung Cikgu Farah setelah menyedari aku hanya membatukan diri.
Kali ini aku mengangkat wajah lalu melihat kepada Cikgu Farah. Di hujung ayatnya itu yang menyuntik tangkal hatiku, tingkatkan usaha? Bagaimana aku hendak tingkatkan usaha kalau memang aku sudah berputus asa? Berputus asa dengan mengejar cita-cita, dan tinggalkan segala impian sebagai mimpi terindah dalam hidupku.
"Saya tidak layak untuk berjaya, cikgu. Saya memang seorang yang gagal."
Membulat bebola mata Cikgu Farah mendengar kata-kataku. Wajahnya kelihatan begitu terperanjat kerana tidak menyangka aku akan mengeluarkan ayat sedemikian. Itulah hakikatnya, aku seorang manusia yang gagal. Tidak dapat dinafikan lagi…
"Tidak. Setiap manusia tidak ditakdirkan menjadi seorang yang gagal. Awak adalah seorang pelajar cemerlang! Jangan berputus asa dengan begitu sahaja."
Ingatanku segera mengulit segala kejayaanku selama ini. Sejak dari bangku sekolah rendah lagi, aku tidak pernah mendapat keputusan seteruk pada hari ini. Kejayaanku yang sentiasa mengundang kegembiraan buat kedua orang tuaku. Pada masa itu, aku begitu bangga menjadi anak mereka. Setiap hari aku menyimpan ikrar itu dalam hatiku, 'make your parents proud of you.' Keluh jiwaku mengenangnya, di mana perginya lencana diriku itu? Ke mana sahaja aku pergi, aku pasti akan membuat mereka bangga terhadapku.
"Saya sudah terlambat, cikgu. Saya tidak akan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tu nanti."
"Tiada istilah terlambat atau terlewat, Cuma yakin pada kemampuan diri saja. Awak tak pernah gagal dalam ujian selama ini. Cikgu yakin dan percaya awak boleh berjaya, Revi."
Begitu besar kepercayaan Cikgu Farah terhadap diriku. Yang menjadi persoalanku sekarang, bolehkah aku berjaya seperti apa yang baru sahaja dikatakan oleh Cikgu Farah sebentar tadi?
"Apa matlamat hidup awak, Revi?"
Soalan Eric itu tidak segera aku menjawabnya kerana aku sudah berserah sepenuhnya kepada Tuhan tentang masa depanku selepas ini. Aku Cuma berharap aku boleh menjalankan kehidupan seperti biasa.
"Saya mahu jadi seorang jutawan." Selamba sahaja aku menjawabnya.
Tidak tahu apa jawapan yang harus kuberikan kepadanya? Tak sangka pula dia boleh menyambut jawapanku itu dengan gelak tawanya. Aku memandangnya dengan sorotan mata yang tak berpuas hati.
"okey, okey… saya minta maaf." Katanya sebaik sahaja melihat caraku merenungnya.
Ketawanya masih berbekas lagi, ditambah dengan gayanya yang lemah-lembut itu. Betul-betul membuat aku sangat geram melihatnya. Nasib baiklah aku hanya ada dia seorang sahaja yang merupakan teman rapatku. Perkenalan kami terjalin sejak di bangku sekolah rendah dan sehinggalah sekarang. Suka dan duka banyak yang telah kami lalui bersama, sukar hendak dipercayai tapi begitulah hakikatnya. Sejak papa dan mama meninggal dunia, hanya Eric tempatku meluahkan segalanya. Cuma Eric yang menyokongku selama ini.
"Tak baiklah awak ni, nak gelakkan matlamat saya pula?"
"Iyelah… saya minta maaf, tuan puteri. Baguslah tu, ada juga matlamat awak sendiri."
Tapi, memang betullah… macam aku nak ketuk-ketuk saja kepala si Eric ni. Tak habis-habis hendak menyakat diriku. Aku menarik muka masam tanda merajuk.
"Nak merajuk pula dia ni. Em, nasib baiklah comel."
Aku menggelengkan kepala, tak makan dengan umpan awaklah, Eric. Masih dengan riak wajahku yang serius, aku merenungnya.
"Jangan panggil saya comel, sebab saya memang comel." Gurauku dengan bersahaja.
Namun, berderai kembali gelak tawa si Eric mendengarnya. Aku hanya mampu tersenyum memandangnya, memang beginilah perangai kami apabila sedang meluangkan masa bersama. Serba-sedikit aku mendapat semangat untuk berjuang dalam peperiksaan sebenar SPM itu nanti.
Terbuka mata untuk melihat dunia,
Terbuka hati untuk menyayangi sesama insan,
Terbuka tangan untuk menghulurkan bantuan,
Terbuka langkah untuk meneruskan kehidupan.
Kehidupan tidak selalu indah, tidak akan terjadi sepertimana yang kita rancangkan. Tapi apa yang lebih penting kita berusaha ke arah yang lebih baik. Usaha tangga kejayaan, betul ke?
Hampir jam enam petang, barulah aku sampai ke rumah. Kereta Auntie Allyn sudah berparkir di hadapan rumah membuatku menelan liur kerana tekakku terasa pahit secara tiba-tiba. Aku masuk ke dalam banglo itu dengan begitu gementar, laju sahaja jantungku berdegup. Kenapa? Aku boleh merasakan sesuatu yang pelik aje ni? Tak sedap hatiku saat ini.
"Ke mana aje awak pergi, perempuan sundal?" Tanya Auntie Allyn sebaik sahaja melihatku memasuki ruang tamu.
Kata-katanya itu sudah sebati dalam diriku, memang sudah tidak ada lagi kelembutan dalam setiap ayatnya. Aku memang seorang perempuan hina dihadapan matanya. Berbaur perasaanku saat ini, sama ada perlu menjawab kepada persoalan itu? Jika aku menjawab maka, perempuan sundal itu adalah aku. Berbelah bahagi hatiku… tapi tak jawab aku akan dianggap kurang ajar pula. Arrghhhh…! Tekanan mula menghantui diriku.
"Kenapa tak jawab? Dah berani nak lawan cakap sekarang?"
Berderau darahku mendengarnya.
"Tidak, saya bukan perempuan sundal! Salah ke kalau saya mengulangkaji dengan kawan-kawan?"
Kepala otakku terhenti sekejap setelah menyedari akan ayat yang baru meluncur keluar dari mulutku sendiri. Kawan-kawan?bila masa aku ada ramai kawan pula ni?
"Oh, Tak tau diuntung punya budak! Berani nak tinggikan suara kat aku,yer?"
Kata Auntie Allyn lalu menarik rambutku dengan sekuat hatinya. Kesakitan itu tidak terhingga pedihnya. Terasa kepalaku akan botak selepas ini. Linangan air mata deras bercucuran membasahi pipi. Hanya dengan tangisan aku menandingi kesakitan yang kualami saat ini. Kenapa Auntie Allyn melayan diriku seteruk ini? Papa dan mama tidak pernah memperlakukan sebegini. Dalam kesakitan aku meraung memanggil papa dan mama… please be here.
"Jangan nak bohong pula, yer? Itu Cuma alasan kau je nak keluar rumah! Belajar konon, entah-entah tengah menggatal dengan lelaki pondan itu pula!"
Sakit hatiku dituduh bukan-bukan oleh Auntie Allyn. Kali ini dikaitkan pula dengan orang luar. Aku dan Eric sudah lama berkawan rapat, tidak pernah pun kami berbuat apa-apa yang tak senonoh. Auntie Allyn betul-betul sudah melampau kali ini.
"Kami tak buat apa yang tak baik pun, Auntie. Kami teman sejak sekolah rendah lagi."
"Eleh, alasan kau je tu!" Tengking Auntie Allyn lalu menampar pipiku berulang kali.
Sakitnya sudah tidak tertanggung lagi olehku, terasa kebas wajahku dibelasah teruk. Aku mengalami pendarahan pada bahagian hidung dan mulutku ditambah lagi dengan kesakitan pada kepalaku.
"Auntie… Tolong berhenti." Rayuku lemah.
Akan tetapi, Auntie Allyn tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti daripada memukulku. Sememangnya aku sangat lemah, sehingga tidak terasa badanku terbaring dan hanya merelakan Auntie Allyn membelasah diriku semahu-mahunya. Papa… mama… tolong Revi.
Aku tidak mengingati apa-apa yang terjadi selepas itu kerana duniaku berubah menjadi gelap. Dalam kegelapan itu aku berusaha mencari satu cahaya, cahaya yang boleh menerangiku. Aku benar-benar perlukan ia sekarang, tolong… aku berada di mana ni? Tolong, seseorang… boleh dengarkan rintihan suara hatiku meminta pertolongan.
"Revi… saya boleh dengar awak."
Suara halus itu menyinggah tepat ke cuping telingaku. Tapi, tiada bayangan manusia yang boleh aku lihat. Siapa? Dia memanggil namaku seakan-akan begitu mengenaliku. Aku tercari-cari akan suara itu dalam kegelapan.
"Siapa awak yang baru memanggil namaku?"
Soalanku itu tidak mendapat sebarang jawapan hanya dengan satu pancaran cahaya yang menuju ke arahku saat ini. Sangat terang sinarannya sehingga memedihkan mataku. Akan tetapi, hatiku begitu kuat untuk membongkar suara misteri itu. Aku mesti melihatnya walau seterang manapun cahaya itu. Aku membesarkan bebola mataku cuba menandingi pancaran cahaya tersebut.
Terbuka mataku dan cahaya sebentar tadi itu merupakan cahaya lampu yang berada di atas siling. Aku terlentang di atas katil yang aku tidak tahu keberadaanku sekarang. Bilik ini penuh dengan cahaya, aku cuba bangkit namun badanku terasa begitu lemah. Banyak wayar yang menyambung pada tanganku dan disebelahku terdapat sebatang tiang yang tersangkut seplastik air. Adakah aku berada di hospital? Iya… bau ini memang merupakan bau ubat-ubatan, sangat meloyakan tekakku. Tapi, bagaimana aku boleh sampai ke sini pula? Siapa yang menghantarku?
"Revi…"
Dan, itulah suara yang memanggilku. Tanpa membuang masa aku terus memalingkan pandangan kepadanya.
"Siapa awak?"
Seorang lelaki yang berpakaian kemas sedang berdiri dihadapanku. Jujurnya, memang aku tidak mengenali dirinya.
"Saya Nicky Andrew… dari jabatan kebajikan anak-anak yatim."
Aku hanya terdiam mendengar pengenalan dirinya. Dia dari jabatan kebajikan anak-anak yatim? Tapi, kenapa dia nak berjumpa denganku pula?
"Mesti awak hairan, kan? Sebenarnya Patrick yang meminta supaya menempatkan awak di rumah anak-anak yatim."
"Uncle Patrick?" soalku lagi sebab belum jelas di sana.
"Iya, demi keselamatan awak daripada terus didera oleh Auntie Allyn."
Hah, peristiwa itu mula menghantui fikiranku bagaimana teruknya Auntie Allyn menarik rambut dan menampar pipiku berulang kali. Pada masa itu, aku sudah tidak kisah antara hidup dan mati kerana memang badanku sangat lemah untuk melawan. Akan tetapi, macam mana pula aku boleh terlentang di hospital ni?
"Macam mana saya boleh sampai ke tempat ini pula?"
"Untung saja Patrick sempat balik ke rumah dan selamatkan awak. Pada hari itu juga dia menghubungiku supaya sediakan segala dokumen."
Aku terdiam seribu bahasa dengan kisah yang baru diceritakan oleh Nicky kepadaku. Sememangnya, Uncle Patrick adalah penyelamat dunia akhiratku.
"Mereka di mana sekarang?"
"Adalah lebih baik jika awak tidak mencari mereka lagi selepas ini."
Kata-kata itu… mengapa aku dilarang mencari mereka pula? Biarpun Auntie Allyn melayanku dengan teruk akan tetapi dia tetap emak saudaraku. Mereka yang telah bersusah payah menjagaku selama ini.
"Awak rehat, lah. Esok nak masuk dalam sekolah baru awak pula."
Kali ini, hatiku begitu terkejut mendengarnya… sekolah baru? Betul ke dengan apa yang baru aku dengar ni? Muka aku yang kebingungan dan sangat memerlukan penerangan lanjut itu jelas terpancar.
"Sekolah baru?"
"Iya, awak sudah dipindahkan dalam jabatan kami jadi segala butir-butir awak dalam kawalan kami."
Kenapa boleh jadi macam ini pula? Bagaimana dengan peperiksaan SPM yang bakal menjelang beberapa bulan saja lagi? Dan, Eric? Aku dan Eric sudah berjauhan… Dia merupakan sahabatku sehingga ke akhir zaman. Hatiku mulai diulit rasa rindu terhadapnya. Oh, Eric… saya tidak kuat menghadapi semua ini.
"Jangan risau… awak belajar macam biasa saja. SPM tetap diteruskan Cuma cara pembelajaran tidak sama seperti dalam sekolah lama awak."
Aku hanya berdiam diri… tidak sanggup hendak mendengarnya lagi. Sedih hatiku kerana terpaksa berjauhan dengan Eric. Kini, gelap duniaku tanpa seorang sahabat disisiku. Tiada tempat untuk bergurau-senda. Aku sudah kehilangan semua orang. Sebak jiwa ini hanya Tuhan sahaja yang maha mengetahui, kesedihan sudah sebati dalam diriku. Memang tidak akan ada lagi cahaya dalam hidupku.
"Tak boleh sedih macam ini, Revi seorang yang kuat. Mungkin ini boleh ceriakan sedikit kesedihan awak."
Nicky mengunjukkan sepucuk sampul surat kepadaku. Aku mengambil sampul surat itu daripada tangan Nicky. Entah dari siapa yang hendak menulis surat untukku pula?
"seorang budak lelaki yang lemah lembut berikan ini kepada saya semasa saya uruskan surat permindahan sekolah awak."
Tergamam hatiku… surat ini dari Eric?
"Eric…" ujarku perlahan.
Nicky menyimpul sebuah senyuman sebelum meminta diri untuk keluar dari bilik wad, meninggalkan aku sendirian yang dibendung kesedihan. Sampul surat itu, aku membukanya secara perlahan-lahan. Air mataku jatuh satu persatu pada saat aku membaca apa yang terkandung di dalamnya.
Revi Brilliant, satu nama yang cantik dan secantik orangnya. Seorang gadis yang mempunyai sepasang mata yang berkilau apabila tersenyum. Sebab disebalik senyuman itu menyembunyikan satu kesedihan yang mendalam. Percayalah, satu hari nanti kita akan berjumpa sepertimana kita bertemu buat pertama kali di darjah satu. Banyak kenangan kita bersama… Revi, pastikan awak berjaya dalam matlamat hidup awak untuk menjadi seorang jutawan.
Ikhlas daripada,
Sahabat Akhir Zaman awak (Eric)
Buat ke sekian kalinya aku menangis. Kenapa setiap orang yang rapat denganku akan meninggalkanku sendirian? Oh Tuhan, sungguh berat ujianku ini..