Chereads / DIA YANG PERTAMA / Chapter 3 - BAB 3

Chapter 3 - BAB 3

Kelihatan beberapa orang guru lelaki berada di kaki lima sudut kanan blok E. Mereka sedang menunggu giliran untuk mengambil wuduk sebelum mengerjakan solat Zuhur. Sebelum pulang ke rumah, mereka akan mendirikan rukun Islam yang kedua terlebih dahulu.

"Kau sudah berkenalan dengan guru baru itu?"Zakuan yang sedang berkumur-kumur itu menoleh sebentar menegur rakan di sebelahnya.

Daniel yang sedang menyinsing lengan baju, menggeleng kepalanya. Tangannya pantas memutar kepala paip. Seketika berdebar air keluar mengenai lantai simen yang sudah berlubang sana sini. Dia mula membasahkan tangan. Celahan jemarinya digosok-gosok perlahan.

"Aku pun belum sempat. Tadi masa perhimpunan, sekadar bertukar senyuman. Tapi tadi aku dengar dia mula mengajar di kelas sebelah. Sempat juga aku menjenguk dua kali. Boleh tahanlah, bro. Kurus orangnya. Ayu wajahnya. Menepati citarasa aku. Aku rasa..."

"Rasa apanya? Yang ini pun kau nak kebas? Kau tak mahu beri peluang pada orang lain pulak ke? Kau tu sudah duda. Carilah yang sama status dengan kau. Beri peluang pada kami yang masih bujang trang tang tang ni". Daniel mendabik dada. Dalam firasatnya, pastilah guru baru itu mahu yang bujang teruna sepertinya.

Zakuan sudah selesai berwuduk. Dia segera berlalu sambil menadah tangannya untuk membaca doa selepas wuduk.

Nasib lah, siapa cepat dia dapat. Siapa lambat ketinggalan, keampunan, bisik hati Zakuan sendiri.

Dengan melangkau dua mata tangga menyebabkan Zakuan segera sampai di atas. Kakinya yang panjang memudahkan berbuat demikian. Sampai saja di surau, dia berdiri lalu melagukan kamat. Suaranya tidak dinafikan gemersik bila melagukan seruan menuju kejayaan itu. Ternyata dia seorang guru yang serba boleh. Walaupun dia mengajar mata pelajaran muzik di sekolah, tetapi dia juga boleh mengaji dan sering menjadi johan qari semasa musabaqah persatuan guru peringkat daerah. Pelajar-pelajar yang dilatihnya dalam pertandingan nasyid sekolah sering meraih tempat juara.

Zakuan menjadi imam waktu solat Zuhur, dimakmumkan oleh beberapa orang guru dan pelajar di situ.

Selesai solat, Daniel tidak membuang masa mahu terus pulang.

Daniel yang baru mencecah kan tapak sepatu di anak mata tangga pertama, terkejut melihat Aein Najla yang kembali jatuh terduduk saat dia berusaha untuk bangun.

"Ya Allah... Cikgu Aein Najla!" jerit Daniel.

Aein Najla masih mencuba untuk bangun, kembali rebah.

Daniel berasa cemas. Dia memanggil -manggil nama cikgu baru itu. Ditepuk perlahan kedua-dua pipinya dengan tujuan untuk menyedarkannya. Ternyata tidak berhasil.

Tiba-tiba Daniel berlari ke paip air. Menadah air menggunakan gayung yang sedia ada sebelum berlari semula ke tempat Aein Najla. Air itu terus direnjiskan ke wajah Aein Najla. Namun, tetap tiada sebarang tidak balas daripada Aein Najla.

Seketika kedengaran bunyi derapan kasut dari arah tangga.

"Eh, Aein Najla. Ya Allah, kenapa ni?" Cikgu Hani mendapatkan gadis malang itu.

" Kita bawa dia ke klinik, cikgu. Cikgu tolong bawa beg saya, saya boleh cempungnya ke kereta". Daniel segera mengutarakan arahan.

Cikgu Hani hanya menurut. Melihat keadaan Aein Najla yang sudah tidak sedarkan diri, dia terasa cemas.

Tanpa berlengah, Daniel terus mengangkat tubuh Aein Najla." Kamu pandu, biar Kak Hani duduk di belakang jaga dia".

Sepantas kilat Daniel menyambar kunci kereta Grand Livina yang ditunjukkan oleh Cikgu Hani.

Dari cermin pandang belakang, sempat Daniel melihat Cikgu Hani menepuk-nepuk perlahan pipi Aein Najla. Kepala Aein Najla di ribaan Cikgu Hani.

" Ah..."

" Eh, awak dah sedar. Alhamdulillah... Jangan bangun, awak rehatlah, baring saja. Aein masih lemah". Cikgu Hani menenangkan Aein Najla.

Walau ditegah, Aein Najla tetap menegakkan tubuhnya lalu duduk bersebelahan Cikgu Hani.

Daniel menoleh sebentar ke belakang. Kelihatannya Aein Najla membetulkan tudung dan pakaiannya. Wajahnya pucat. Melihatkan keadaan Aein Najla yang sudah sedar, dia memperlahankan kelajuan kereta. Dalam hatinya mengucap syukur kerana guru baru itu sudah sedar daripada pengsannya.

" Err...nak ke mana ni? Mengapa saya berada dalam kereta ni? Ini kereta siapa?"

" Awak jatuh dari tangga dekat surau tadi. Kami nak bawa awak ke klinik sebab tadi awak pengsan..."

"Ohh... Eh, saya dah baik sekarang. Tak... tak payahlah ke klinik. Hantar saja saya ke rumah. Tu, simpang depan sana saja. Terima kasih banyak kerana tolong saya Kak Hani," ujar Aein Najla perlahan.

"Bukan Kak Hani yang tolong awak, tapi Daniel. Dia yang mula-mula jumpa awak terbaring tadi. Dia cuba kejutkan awak, tapi awak tak sedar. Pengsan. Jadi, kami usunglah awak nak bawa pergi ke klinik". Cikgu Hani menerangkan kepada Aein Najla.

Cikgu Daniel dukung aku?Aduh, malunya... terasa wajahnya menebal tiga inci.

" Err... terima kasih Cikgu Daniel".

Daniel hanya mengangguk sambil tersenyum. Mekar hatinya berbunga riang.

"Saya ni menyusahkan cikgu berdua saja". Perlahan dan ketar nada suara Aein Najla.

"Apa pulak susahnya... Kita mengajar satu sekolah sudah ibarat satu keluarga. Lagipun, kita satu Malaysia, satu bangsa, satu agama."

"WAH, wah,wah... Ada orang tu bukan main lagi seronok dapat gendong Cikgu Aein, dapat hantar ke klinik, dapat tahu mana letak rumahnya. Bertuahlah badan. Mahunya seminggu kau tak cuci tangan yang terkena bau harum minyak wangi dia". Cikgu Muaz menggiat.

Daniel tersengih-sengih mendengar usikan demi usikan daripada beberapa orang guru di bilik guru keesokan harinya.

" Aku jugalah yang melepas". Nazmi yang sudah ada anak empat itu ada hati juga mahu mencuba nasib.

"Mengapa kau tak jerit panggil aku kat atas semalam? Boleh juga aku tolong kau angkat dia," celah Zakuan.

" Kalau aku panggil kau, memang tak dapatlah aku dukung dia. Kau tahu betapa aku bangga menolong dia." Daniel mendabik dada.

" Hai, kamu orang lelaki ni tak habis-habis lagikah bercerita pasal cikgu baru yang terjatuh tu? Sudah-sudahlah tu... Entah-entah si dia dah ada buah hati, sudah bertunang ke. Alamatnya, siapa pun tak dapat memiliki hatinya. Gigit jarilah jawabnya. Baru padan muka kalian". Suara daripada seorang guru perempuan mematikan usikan demi usikan yang memeriahkan suasana di bilik guru sejak sepuluh minit tadi.

Mendengar frasa terakhir itu menyebabkan suasana kembali tenang. Burung yang mahu dipikat masih lagi bebas terbang tinggi. Masakan mahu menipiskan lada. Paling tidak mereka perlukan masa untuk menjinakkannya terlebih dahulu.

Masa yang berlalu begitu lambat dirasakan. Masing-masing mahukan jawapan pasti bagi merungkai benang pertanyaan yang menghantui benak fikiran. Apakah benar guru baru itu sudah ada empunya? Siapa gerangan yang berjaya mencuri hati gadis genit itu? Atau benarkah dia sudah ada tunangan? Siapa?

sila komen...^_^