Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 92 - Pengumuman

Chapter 92 - Pengumuman

Hujan rintik-rintik mula menuruni dan membasahi kawasan Kampung Talam. Pada waktu itu, pelajar-pelajar sekolah di situ baru sahaja selesai menghadiri sesi latihan untuk hari sukan yang bakal berlansung tidak lama lagi. Mereka berpusu-pusu meninggalkan kawasan sekolah.

Kebanyakkan mereka menaiki basikal dan berjalan kaki. Hanya beberapa orang pelajar sahaja yang diambil oleh ibu bapa mereka. Seri yang sedang mengayuh basikalnya melajukan kayuhan. Hanya lat empat buah rumah lagi dia akan sampai ke rumahnya. Dia agak bertuah kerana kedudukan rumahnya tidak terlalu jauh dari sekolah tempat dia belajar.

Sejurus sahaja sampai di rumah, dia meletakkan basikal di garaj. Ia terletak di sebelah kiri rumahnya. Di situ juga, ayahnya meletakkan motosikalnya. Dia segera masuk ke dalam dan terus menuju ke biliknya. Setelah meletakkan beg di atas meja tulisnya dia dengan pantas mencapai tuala yang tergantung di ampaian dan segera ke bilik air untuk membersihkan badan. Setelah selesai mandi dan menyalin pakaian dia terus ke dapur untuk melihat apa yang telah dimasak oleh ibunya. Sebenarnya, pada ketika itu ibu bapa dan adiknya tiada di rumah, jadi terpaksalah dia menjamu selera bersendirian.

Seri menghabiskan makanannya dengan segera dan kemudian terus ke ruang tamu. Dia merebahkan badannya di atas kerusi panjang yang terletak berhadapan dengan peti televisyen. Dia mencapai surat khabar yang terletak di atas meja. Matanya liar mencari berita-berita menarik untuk dibaca. Dia menyelak halaman demi halaman. Satu pengumuman penting di halaman tujuh menarik perhatiannya.

Sejurus sahaja selesai membacanya, Seri berfikir sejenak. Wajah wanita yang dilihatnya di rumah banglo itu tempoh hari masih jelas dalam ingatannya. Tidak syak lagi, inilah dia wanita itu. Seri nekad. Walau apa pun yang berlaku, dia harus membantu menyelesaikan kes ini. Manalah tahu jika pemilik rumah itu memang ada kaitan dengan kes pembunuhan Doktor Adam Raufal. Seri dengan pantas membawa surat khabar itu bersamanya dan pergi mendapatkan telefon.

Meow! Meow!

Suara kucing kesayangannya Donny kedengaran dari luar. Dia membuka tingkap mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Dalam kesamaran, dia melihat Donny berada di tengah-tengah hujan dalam keadaan basah kuyup.

"Donny….masuk Donny" Seri cuba menarik perhatian kucing kesayangannya itu. Namun, ia masih tidak mahu berganjak. Pantas, dia pun keluar mendapatkan Donny. Seri berlari dan terus pergi ke arah Donny. Namun, entah kenapa ia serta merta lari apabila Seri menghampirinya. Seri yang berada di dalam keadaan basah kuyup pantas mengejarnya. Donny berlari dan terus berlari sehingga sampai ke rumah banglo yang tersergam itu.

"Donny. Kenapa lari ke sini? Bahaya tau…. Mari kita balik ya…" Seri mengangkat Donny dan terus menuju ke rumahnya.

Namun, tiba-tiba, wajahnya ditekup dengan sehelai kain putih. Seri meronta-ronta ingin melepaskan diri.

Tetapi badannya semakin lemah. Perlahan-lahan matanya tertutup. Dia terus tidak sedarkan diri.