Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 85 - Ayame

Chapter 85 - Ayame

Ayame,

Bekalan air di rumah tiba-tiba terputus hari ini. Takungan air di rumah pula nampaknya sudah habis sehinggakan ianya mengganggu kami untuk membersihkan diri.

Aku dan Borhan terpaksa menangguhkan hasrat kami untuk membersihkan kasut. Selalunya kami memang melakukannya bersama-sama. Tetapi hari ini, keadaan tidak mengizinkan kami untuk melakukannya.

Pak Cik Lan yang baru sahaja pulang mula marah-marah. Tahu-tahu sajalah, bila dia baru pulang, tentu sahaja dia membawa sekali peluh dan bau badannya yang kurang enak. Badannya perlu disiram dengan air untuk kembali segar.

Ibu tiada di rumah pada ketika itu. Dia telah pun pergi ke tempat kerja. Pak Cik Lan memanggil kami berdua. Ketika itu, kami berada di dalam bilik. Aku dan Borhan dengan malasnya keluar dari bilik dan pergi mendapatkan Pak Cik Lan yang asyik menjerit-jerit memanggil nama kami berdua.

Aku mula mengagak yang Pak Cik Lan pasti mahu menyuruh kami melakukan sesuatu. Aku mengeluh dalam diam. Sangkaanku tepat sama sekali. Pak Cik Lan menyuruh aku dan Borhan pergi ke sungai untuk mengambil air. Dia menyuruh kami mengambil empat baldi air. Aku dua dan Borhan dua.

Ketika itu gerimis mula mengundang. Aku memberitahu Pak Cik Lan untuk menangguhkannya. Namun, dia berkeras mahu kami mengambilkan air untuknya. Katanya, badannya sudah berlengit dengan peluh. Mahu sahaja aku katakan kepadanya 'kalau nak air untuk mandi, pergilah ambil sendiri!'.

Namun, aku dan Borhan tiada pilihan. Pak Cik Lan tahu bagaimana untuk mengugut dan menakut-nakutkan kami. Katanya, jika kami tidak ambilkan air untuknya, dia tidak akan membenarkan kami makan malam. Maka, terpaksalah kami berdua pergi ke sungai untuk memenuhi permintaan lelaki itu.

Setibanya di sungai, kami segera mencedok air dari sungai dengan perlahan-lahan. Arus sungai pada hari itu mengalir dengan begitu deras sekali. Dengan perlahan dan penuh berhati-hati, aku mencedok air dengan gayung yang dibawa bersama dengan baldi itu. Borhan juga begitu. Dia mengambil air di bahagian lain. Aku awal-awal lagi sudah berpesan kepadanya agar sentiasa berhati-hati. Jika tidak, boleh tergelincir. Arus pula deras. Kalau terjatuh ke dalam sungai, pasti lemas nanti.

Selesai sahaja aku mencedok air, aku mencari-cari Borhan. Tetapi malangnya, dia tidak kelihatan. Aku memanggil-manggil namanya berulang kali. Tiba-tiba, aku ternampak Borhan sedang terbongkok-bongkok di tebing sungai yang licin itu. Aku meninggikan suaraku memanggil Borhan. Geram sungguh aku dibuatnya. Sudah banyak kali aku berpesan, tetapi adikku yang seorang ini memang tidak mendengar kata. Degil. Aku segera berjalan ke arahnya.

Aku menegur Borhan yang masih lagi terbongkok-bongkok. Borhan menoleh dan tersengih-sengih memandang wajahku. Borhan bangun dan menunjukkan kepadaku apa yang dipegangnya. Rupa-rupanya, ia adalah sebuah kotak muzik yang hanyut dan tersangkut di celahan batu yang terdapat di situ. Nampaknya, ia masih berfungsi dengan baik. Melihat kotak muzik itu berfungsi, Borhan kelihatan begitu riang sekali. Dia melompat-lompat keriangan. Aku juga sebegitu, sudah lama aku menginginkan kotak muzik sebegitu.

Melihat cuaca yang semakin gelap dan air rintik-rintik dari langit sudah mula turun, aku mengajak Borhan pulang ke rumah. Aku menyuruhnya membawa baldi yang agak ringan kerana aku bimbang dia tidak mampu untuk membawanya. Aku segera berjalan pantas ke hadapan. Hujan rintik-rintik mula membasahi kepalaku. Setelah beberapa langkah ke hadapan, satu suara memanggilku dari arah belakang. Aku dapat mengecam suara itu. Suara itu adalah suara Borhan. Aku menoleh ke belakang dan aku lihat Borhan sedang berpaut pada sebatang pohon kecil. Dia menjerit-jerit meminta tolong kepadaku. Dengan perasaan yang cemas, aku dengan pantas berlari meluru ke arahnya. Aku memegang erat tangannya. Lengannya ku tarik sekuat hati. Di dalam hati, aku berdoa agar Tuhan memberikan aku kekuatan kepadaku. Tetapi, aku tak berdaya untuk melawan arus yang kuat itu. Akhirnya, genggamanku menjadi semakin lemah. Tanganku yang memegang erat lengan Borhan itu tadi terlepas dan dia hanyut di bawa arus yang deras itu. Aku menangis teresak-esak dan memanggil-manggil Borhan yang tidak henti-henti meminta pertolongan. Dia timbul tenggelam dibawa arus sungai.

Aku segera pulang ke rumah dan memberitahu Pak Cik Lan mengenai perkara ini. Dia terkejut besar mendengarnya. Wajahnya berubah. Dia kelihatan tidak keruan. Daripada riak mukanya dia seperti cuba menyembunyikan perasaan bersalahnya. Dia segera memanggil orang-orang di sekeliling untuk mencari Borhan.

Aku segera menghubungi ibu yang berada di kilang pada ketika itu. Dia pulang ke rumah sejurus sahaja mendengar berita itu. Ibu tidak henti-henti menangis memikirkan tentang Borhan. Aku juga begitu. Aku tidak henti-henti menangis. Borhan, aku harap kau selamat. Jangan tinggalkan aku pada waktu begini… aku tak mahu hidup sendiri…

Namun, hari itu adalah hari terakhir buat Borhan. Mayat Borhan dijumpai terdampar di tepi sungai selepas usaha mencari dilakukan semalaman. Berita kematian itu amat menyedihkan. Aku menangis teresak-esak meratapi kematian Borhan. Kini… aku benar-benar sendirian….