Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 78 - Ruhil

Chapter 78 - Ruhil

"Masuklah" Cammy menjemput Doktor Sarah masuk ke rumahnya.

"Cantik rumah kamu. Kemas pula tu…." Puji Doktor Sarah sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam rumah Cammy yang sudah lama tidak dilawatinya itu.

"Duduklah dulu. Saya bawakan air." Cammy mempersilakan Doktor Sarah untuk duduk di atas sofaempuk di ruang tamu rumahnya. Kemudian, dia segera pergi ke dapur dan menyediakan air untuk Doktor Sarah. Doktor Sarah memejamkan matanya, dia merasa lega sedikit apabila dapat bersandar dan merehatkan dirinya. Dia tahu yang dia terlalu banyak berfikir.

"Maaflah. Lambat pula saya buat air." Cammy datang dengan membawa dua jag yang penuh diisi dengan air. Satu diisi dengan air kordial berperisa epal dan satu lagi berisi air kosong. "Minumlah doktor" pelawa Cammy.

"Terima kasih" Doktor Sarah mengambil gelas yang disediakn dan menuang air kosong ke dalam gelas itu. Dia meminumnya perlahan-lahan. Cammy hanya duduk dan memerhatikan sahaja gelagat Doktor Sarah.

"Doktor" Cammy memanggil Doktor Sarah.

"Ya Cammy.."

"Boleh doktor beritahu saya apa yang berlaku sebenarnya tempohari?" tanya Cammy kepada Doktor Sarah.

Doktor Sarah sudah menduga yang soalan itu akan terpacul keluar daripada mulut Cammy.

Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Wajahnya berubah sikit. Cammy yang menyedari hal itu tidak mendesak. Dia sabar menunggu jawapan Doktor Sarah. Memang sejak dari semalam, jika ditanya soalan berkenaan dengan hal ini, Doktor Sarah tidak senang duduk dibuatnya. Dia kelihatan seperti menyembunyikan sesuatu dan tidak tahu dengan siapa dan bagaimana harus diberitahu.

"Cammy. Sejak kematian Doktor Adam tempohari saya seringkali diganggu oleh…." Doktor Sarah memulakan bicara, namun dia seperti tidak mampu untuk menghabiskan ayat yang ingin dinyatakan kepada Cammy.

"Pembunuh Doktor Adam?" kata Cammy. Dia cuba membuat andaian berdasarkan apa yang didengarnya semalam.

"Saya tak pasti itu adalah dia tapi….." sekali lagi Doktor Sarah melakukannya. Dia tidak menghabiskan kata-katanya. Tetapi dia cuba menukar topik yang lain. Namun, masih lagi berdasarkan hal yang sama.

"Awak ingat tak apa yang berlaku beberapa bulan lalu? Saya pasti ketika itu, awak ada bersama-sama dengan saya di PRASASTI. Ketika itu, saya dan Doktor Adam sedang sibuk memperkatakan mengenai penemuan kami." tanya Doktor Sarah.

"Ingat"

"Ketika itu, ada seorang lelaki bernama Fairuz dan seorang wartawan wanita bernama Ruhil yang cuba mempersoal relevannya penemuan saya dan Doktor Adam."

"Ya. Saya ingat. Kenapa?"

"Dua hari selepas itu Fairuz dilaporkan hilang. Beberapa hari kemudian keluarga Ruhil pula membuat laporan yang wartawan itu telah hilang secara tiba-tiba"

"Oh ya. Saya ada terbaca tentang perkara itu. Kemudian mereka dijumpai pada hari yang sama dengan keadaan tidak sedarkan diri. Seorang dijumpai di perhentian bas dan seorang lagi di hadapan balai polis. Apabila ditanya, mereka tidak ingat apa yang berlaku. Mereka hanya dapat mengingati tempat terakhir yang mereka pergi sebelum mereka dilaporkan hilang. Mereka juga tidak dapat menjelaskan mengenai bahagian belakang badan mereka yang kelihatan berbirat-birat seolah-olah mereka baru sahaja disebat dengan rotan."

"Awak tahu apa yang berlaku pada wartawan itu?"

"Tidak. Apa yang berlaku pada dia?"

"Dia sedang membuat satu laporan berkenaan dengan penemuan kami sebelum dia dilaporkan hilang. Tetapi, apabila dia kembali bertugas dan disuruh untuk menyambung kembali tugasnya itu, dia tidak dapat melakukannya"

"Kenapa?"

"Dia terlupa. Dia tidak ingat langsung mengenainya dan setiap kali mereka menunjukkan artikel atau bahan-bahan mengenai penemuan itu, otaknya seperti tidak boleh menerimanya. Seperti ada sesuatu yang menghalang otaknya. Dia akan berasa sakit kepala dan pening-pening"

"Apa yang doktor cuba katakana?"

"Cuba awak lihat apa yang berlaku kepada mereka semua. Fairuz, Ruhil, Doktor Adam dan Marina. Semuanya mengalami gangguan namun caranya sahaja yang berbeza"

"Fairuz, Ruhil, Adam dan Marina. Apa kaitan mereka?" Cammy cuba mencari kaitan antara mereka berempat yang disebut oleh Doktor Sarah tadi.

"Projek dan penemuan tempohari" jawab Doktor Sarah ringkas. Cammy termenung seketika. Dia cuba memahami kata-kata Doktor Sarah itu.

"Doktor. Saya nak tanya doktor satu soalan dan saya harap doktor dapat memberikan jawapan yang sepatutnya. Saya harap doktor jangan berdiam diri kerana jika doktor tidak mahu berkongsi mengenainya, saya takut nanti ianya akan memakan diri doktor sendiri"

"Baiklah. Apa dia Cammy?"

"Doktor tahu siapa yang bunuh Doktor Adam Raufal dan siapa yang mengarahkan klon Marina Adam untuk membunuhnya?"

"Saya tak pasti…."

"Doktor….please…."

"Saya mengesyaki dua orang yang berkemungkinan terlibat"

"Doktor Fendi atau pun Shahril… ada kemungkinan yang salah seorang daripada mereka bertanggungjawab"

"Siapa mereka berdua tu?"

"Doktor Fendi tu kawan saya… Dia juga kawan rapat dengan Doktor Adam. Kami sama-sama belajar di universiti ketika di Zuria dahulu. Hubungan kami sangat rapat. Kalau kamu nak tahu, dialah pencetus idea untuk penemuan-penemuan ini. Saya hanya menyumbang idea yang basic sahaja untuk projek ini. Atau dalam kata lain saya hanya member inspirasi kepadanya. Selebihnya Doktor Adam dan Doktor Fendi yang jayakan."

"Patutlah doktor tak mahu menjawab apabila ditanya oleh wartawan. Tapi saya tak pernah dengar tentang dia sebelum ni."

"Selain daripada kami berdua, hanya Marina seorang sahaja yang tahu tentang Doktor Fendi"

"Dia pernah berjumpa dengan lelaki itu?"

"Tidak. Dia tak pernah berjumpa dengan Doktor Fendi. Mereka pernah berbual melalui telefon. Selalunya dia akan bertanyakan tentang Doktor Adam kepada Marina"

"Kenapa dia lakukannya?"

"Dia tak mahu ada orang tahu tentang kewujudannya"

"Pelik. Barangkali dia gila?"

"Saya pun terfikir benda yang sama Cammy....tapi….."

"Tapi apa?"

"Tak mengapalah biar saya ceritakan siapa pula Shahril"

"Siapa dia tu?"

"Saya tak tahu apa hubungan lelaki itu dengan Doktor Fendi tetapi yang saya tahu dia adalah penyumbang terbesar projek yang kami jalankan ini"

"Jika doktor mengesyaki dia. Apa motif dia untuk membunuh Doktor Adam?"

"Saya tak tahu Cammy….."

"Doktor….."

"Betul Cammy. Saya tak tahu. Saya menggunakan kata hati saya untuk menilai sekarang. Saya tak dapat nak beri penjelasan yang logik Jika diikutkan, Shahril sepatutnya dah mati.." kata Doktor Sarah.

"Apa?!" Cammy terkejut dengan penjelasan Doktor Sarah.

"Ada banyak perkara yang berlaku di sebalik projek ini yang saya tak tahu. Projek ini bukan hanya teori dan rancangan. Mungkin, ianya adalah punca kepada segala permasalahan dan kucar kacir yang berlaku sekarang ni" jawab Doktor Sarah. Dia nampak agak serius dengan riak wajah yang mempamer kerisauan yang melanda dalam hatinya. "Arrghhhhhh…" tiba-tiba Doktor Sarah mengerang kesakitan.

"Kenapa doktor?"

"Saya peninglah Cammy…." Jawab Doktor Sarah. Dia kelihatan lemah sekali.

"Baiklah. Doktor berehatlah dahulu" Cammy membaringkan Doktor Sarah. Dia mengurut-urut kepala wanita itu. Apa yang dikatakan oleh Doktor Sarah mengenai Fairuz, Ruhil, Doktor Adam dan Marina sebentar tadi membuatkan dia berfikir seketika mengenai Doktor Sarah. Dia sedang memikirkan tentang apa yang dialami oleh Doktor Sarah ketika ini. Mungkinkah apa yang dialaminya ketika ini mempunyai kaitan dengan apa yang dialami oleh Ruhil?