Chereads / Neo : Mimpi Semalam / Chapter 8 - Doktor Adam Raufal

Chapter 8 - Doktor Adam Raufal

Doktor Adam Raufal baru sahaja memasuki perkarangan Pusat Sains, Teknologi dan Seni Kebangsaan (PRASASTI) yang terletak di Lembayung, Pasadianka dengan menaiki kereta Copra hitamnya. Kemudian dia meletakkannya di kawasan letak kereta yang telah dikhaskan untuknya. Perlahan-lahan dia keluar. Dia berdiri sambil memandang ke arah banggunan PRASASTI yang tersergam indah di hadapannya.

PRASASTI merupakan satu mercu tanda yang penting bagi Pasadianka. Ia mempunyai rekabentuk yang unik. Bentuk bangunannya menyerupai sebuah silinder dan ditutupi dengan sebuah kubah geodesik.

Dibuka pada tahun 1973, pusat ini menyediakan pelbagai jenis bahan pameran yang direka untuk menarik para pengunjung. Selain itu, ia juga dibina bagi menanam minat terhadap sains, teknologi dan seni di kalangan orang ramai.

Setelah berdiri agak lama di situ, Doktor Adam memulakan langkahnya menuju ke pintu masuk utama. Sejurus sahaja melangkahkan kaki ke dalam, Sudin, pegawai keselamatan yang duduk di kaunter maklumat menyapa.

"Kerja lewat malam ini doktor?"

"Ya Sudin. Banyak lagi kerja yang perlu saya selesaikan" jawab Doktor Adam sambil tersenyum mesra.

"Baiklah. Jaga diri baik-baik ya...." pesan Sudin kepada Doktor Adam.

Doktor Adam berlalu meninggalkan Sudin. Dia berjalan menuju ke arah lif. Sejurus sahaja pintu lif terbuka, dia memasuki lif dan menekan butang bernombor tiga di mana terletaknya pejabat pentadbiran, tempat dia bekerja.

Sebaik sahaja sampai di tingkat tiga, dia melangkah perlahan menuju ke pejabat. Dia menghidupkan lampu dan komputernya. Ketika itu, jam sudah pun menunjukkan pukul 10.45 malam.

Doktor Adam segera mengalihkan perhatiannya ke arah komputer. Lantas, dia menggerakkan tetikus dan mengklik ikon yang dinamakan 'MENGKULA'. Dia membuka fail itu dan membaca semua maklumat-maklumat yang terdapat di dalamnya. Malam itu, dia bercadang untuk mengedit beberapa maklumat yang berkaitan dengan Anugerah Mengkula. Sebagai seorang ketua di jabatan pentadbiran, dia bertanggungjawab untuk menyediakan maklumat yang lengkap tentang Anugerah Mengkula kerana PRASASTI akan mengadakan satu pameran berkenaan dengan Anugerah Mengkula. Anugerah Mengkula ialah anugerah yang diberikan kepada individu ataupun pertubuhan yang telah melakukan penyelidikan, ciptaan dan memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat Utopia amnya terutama sekali dalam bidang sains, teknologi dan seni. Doktor Adam Raufal begitu berbesar hati apabila PRASASTI memberinya tanggungjawab untuk menjadi pengelola pameran itu. Oleh yang demikian, dia sentiasa bekerja keras untuk menarik perhatian orang ramai supaya datang ke pameran itu.

Truttt! Trutt! Bunyi telefon bimbitnya itu membuatkan kosentrasinya sedikit terganggu. Dia melihat nombor yang tertera di atas skrin. Daripada nombor itu, dia tahu siapa yang menghubunginya. Dia tidak mahu menjawab panggilan itu kerana dia tahu apa yang dimahukan pemanggil. Lantas, dia menekan butang merah bagi mematikan talian. Dia mengeluh berat. Hatinya runsing. Dia agak bimbang dengan apa yang dikatakan semalam oleh pemanggil itu tadi.

Doktor Adam mengurut-ngurut kepalanya. Dia menyedut nafasnya dalam-dalam. Sakit kepala selalu menyerangnya sejak akhir-akhir ini. Sejenak dia berfikir tentang apa yang dilakukannya selama ini. Dia telah melakukan satu kesilapan besar. Dia sedar yang perbuatannya itu salah. Walau bagaimanapun dalam keadaan ini dia tiada pilihan lain. Dia memerlukan sesuatu yang boleh membantunya untuk memulihkan semula keadaan. Salah satu caranya adalah dengan menggunakan 'kesilapan besar'nya itu untuk menyelamatkan orang lain. Dia tidak mahu membuat kesilapan lagi kali ini. Cukuplah kerja 'gila' yang dilakukannya selama ini. Perasaan ingin tahu kadang-kadang boleh membunuh! Dan dia sudah mula merasakan kesannya.