Chereads / Lollipop!(Malay) / Chapter 3 - Bab 2

Chapter 3 - Bab 2

Petang itu, kami ada kelas kokurikulum yang memang wajib bagi semua pelajar; terutamanya kami yang akan menduduki PMR tak lama lagi. Kebetulan pula, aku ditugaskan untuk menguruskan bahagian stor sukan.

"Lah, bila time-time macam nilah baru si Peah tu nak buat hal! Zaid dengan Tai Min pula lambat sampai… dah, aku kena angkat benda ni seorang diri!" Aku mengomel sendirian selari menarik keluar batang tiang untuk bola jaring yang diminta Puan Nissa tadi. Aku menarik tiang yang kelihatan tersekat itu dari tadi dengan sekuat hati. Akhirnya keluar juga! Aku tersenyum puas sambil menarik tiang itu keluar dari bilik stor untuk di berikan pada Zaid yang baru tiba.

"Hah! Baru sampai? Kenapa tak datang esok saja?" Sakit pula hati ini dengan kawan aku yang seorang ni.

"Alah… sorrylah… tadi, aku tunggu si Tai Min ni, tiba-tiba dia sakit perut pula!" Zaid mengambil tiang tadi sambil menjeling ke arah rakannya yang berdiri dibelakangnya.

"Sorry…" Tai Min membuat muka bersalah.

"Yelah… yelah! Kau dah datang pun aku dah bersyukur dah ni, tahu? Perut kau dah ok?"

"Dah… salah makan kot…" Tai Min; budak cina kacukan serani ini berbicara dengan sesopan boleh; mungkin masih rasa bersalah.

"Dahlah tu, pergi hantar tiang ni pada Puan Nissa di padang tu! Dari tadi dia dah tunggu."

"Baik, boss!" Zaid mengangkat tabik sambil tersengih sebelum beredar dari situ ke arah Puan Nissa yang kelihatan menunggu di tengah padang dengan membawa tiang bola jaring dibantu oleh Tai Min. Aku tersenyum sendirian melihat gelagat rakan kelasku itu selari kembali ke dalam stor sukan untuk mengemas.

Saat aku masuk kedalam bilik stor sukan itu; pintu bilik stor tertutup dengan tiba-tiba menyebabkan keseluruhan bilik menjadi gelap.

"Apa hal pula ni? Dah lah lampu ni tak nyala." Aku mengomel sendirian selari melangkah laju ke arah pintu bilik stor tadi. Aku cuba untuk membukanya untuk beberapa kali, tapi gagal.

"A…aku terkunci ke ni?" bagai tak percaya dengan apa yang berlaku; sekali lagi aku cuba memulas pintu tu sambil menolaknya.

"Helo? Ada sesiapa di luar tak?" Akhirnya aku mengambil keputusan untuk meminta bantuan memandangkan keadaan dalam bilik itu semakin menakutkan.

"Helo?" Berulang kali aku mengetuk pintu sekuat mungkin sambil bersuara lantang dengan harapan ada cikgu mahupun pelajar yang lalu disitu akan dengar suaraku tapi, sampai sekarang langsung tak ada respon.

Aku melepaskan nafas yang terasa berat sambil bersandar dipintu itu; keadaan makin tak selesa apabila pernafasanku mulai dipenuhi dengan bau tilam-tilam lompat tinggi yang tersusun di satu sudut bilik ditambah dengan bau jersi sukan yang terperuk di dalam kotak di atas rak sukan. Cukup membuatkan kepalaku bertambah pening. Hampir lima minit aku duduk berkeadaan begitu sambil berharap Zaid dan Tai Min akan kembali dengan segera.

"Bilalah diorang ni nak balik? Apa yang diorang buat lama-lama tengah padang tu; takkanlah cikgu Nissa tu suruh diorang buat demo bola jaring?" Sekali lagi aku mengeluh sambil mataku ligat memerhatikan cahaya dari bahagian bawah pintu kayu stor ini.

KTAK!! Aku tersedar apabila bunyi itu datang dari arah pintu masuk; Akhirnya! Ada orang!

Dengan tak semena-mena, aku terus meluru ke arah pintu itu dalam keadaan tergesa-gesa untuk menghirup udara luar setelah paru-paruku dipenuhi udara bilik stor yang amat tak menyenangkan.

"Ah, terima kasih! Nasib baik awak ada, kalau tak…" Aku menoleh untuk melihat siapakah yang telah menjadi penyelamat aku;

"Hai… Rita…" Aku terkejut apabila melihat gadis yang berada di hadapanku; juga yang telah bukakan pintu tadi adalah Hani!

"H… Hani? Apa yang kau buat disini? Bukan hari ni kau tak ada koko ke?"Aku masih tercengang; tak percaya dengan mataku sendiri.

"Eh? macam tu ke kau cakap dengan orang yang dah tolong kau?" Aku terkedu; macam ada sesuatu yang tak kena dengan Hani tika itu.

'Apa pula ni?Takkanlah dia tahu pasal komen aku tentang dia pada Dani?'

"Jom!" Hani mendekati aku dengan tiba-tiba sebelum mencapai tanganku.

"Hah? N..nak pergi mana?"

"Jomlah; kita pergi kantin sekejap… aku nak cakap sikit dengan kau." Jantungku mulai menjadi berdebar-debar; aku kalau boleh memang tak nak timbulkan apa-apa masalah di sekolah ni. Walaupun pada mulanya aku masih berkeras menolak; tapi, akhirnya aku akur kerana terasa terhutang budi pula dengannya.

"Kau seorang saja ke yang bertugas hari ni?" Tangannya masih menggenggam lenganku.

"Er… taklah! Bertiga.. Zaid dengan Tai Min pun ada sekali; diorang pergi hantar barang kejap…" Aku masih tak berani untuk menarik tanganku sendiri darinya. Lagi-lagi bila mengetahui yang Hani ni pernah jadi pemegang rekod tanpa kalah tiga kali berturut-turut pertandingan taekwondo peringkat sekolah rendah dulu; sekarang pula, dia jadi wakil sekolah untuk sukan tu juga dan mempunyai tali pinggang hitam.

'Tak pasal-pasal, kena take-one-down pula aku nanti…' hatiku mula berkata-kata selari berjalan beriringan dengan Hani. Sesekali aku menjeling ke arah bilik stor; kelihatannya semakin jauh dari kami yang sedang berjalan menuju ke arah bertentangan.

'Lambatnya Zaid dengan Tai Min ni!' Aku melepaskan keluhan kecil selari menumpukan ke arah Hani pula; dia kelihatan tenang walaupun genggamannya masih kuat melekat dilenganku.

"Er… Hani? Boleh tak lepaskan tangan aku?"

"Kenapa pula? Kau tak suka aku pegang tangan kau?" Dia masih menumpukan perhatiannya ke hadapan dan tak terlintas langsung untuk memandangku.

"Er… tak… bukan macam tu, cuma… Er... tak apalah…" aku segera mematikan perbualan memandangkan keadaan terasa makin tegang.

Hani berhenti di tempat duduk paling belakang sekali dari gerai menjual makanan; sambil mengarahkan aku untuk duduk. Dia kemudian meninggalkan aku untuk membeli sesuatu sebelum kembali ke tempat duduk kami dengandua tin minuman berkarbonat di tangan.

"Aku harap kau minum air sarsi…" dia meletakkan dua tin minuman tadi didepanku sebelum duduk berhadapanku dengan reaksi tenang.

"Terima kasih…" walaupun agak kekok, aku tetap menerima pelawaan Hani.

"Jom!" sekali lagi pelawaan itu keluar dari mulutnya; habis sahaja aku selesai menghabiskan tegukan terakhir dari tin minuman tadi.

"Jom? Kemana?" Aku sengaja membuat bodoh; sedangkan dari tadi Hani telah memberitahuku tujuannya memanggilku untuk lepak bersama.

"Ikut sajalah!" Katanya sekali lagi sebelum mula menarik tanganku menuju ke arah belakang kantin.

"PAK!!"Aku ditolakkan ke arah dinding bangunan kantin dengan kasar.

"Kau ada apa-apa nak cakap dengan aku?" Hani mulai meninggikan suaranya; aku hanya tunduk sambil menahan sakit. Bukan aku tak berani melawan, cuma aku sedang memenuhi janji yang ku buat pada Atuk untuk mengekalkan rekod bersih selagi aku masih bersekolah.

"Kenapa kau diam?" Aku masih mendiamkan diri sambil tunduk.

"A…apa yang kau cakap ni?" Setelah agak lama baru aku bersuara sambil mengangkat wajahku perlahan; cuba tampak tenang.

"Aku rasa kau lebih faham dengan apa yang aku maksudkan…"

"Hah? Apa yang kau merepek ni? Aku betul-betul tak tahu apa yang kau cakap… aku rasa kau dah salah orang ni…"

"Apa yang kau cakap pada Dani pasal aku?" Aku jadi kaget;

'Bila masa pula dia tahu pasal hal ni? Aduh!' Aku mengetap bibir.

"Er… aku rasa kau mungkin dah salah orang. Aku tak tahu apa-apalah… Er… aku rasa aku kena pergi sekarang ni, dah lama sangat aku tinggalkan bilik stor tu…" Aku mulai menyusun langkah ingin beredar sebelum Hani mengenggam lenganku sekali lagi.

"Kau nak pergi mana ni?"

"Aku… aku kena balik bilik stor… nanti..."

"Aku tak habis cakap lagi…"

"Kan aku cakap, kau dah salah orang ni, Hani… takkanlah aku nak cakap yang bukan-bukan pasal kau…" Aku cuba tersenyum padanya; namun dia tidak mengendahkannya.

"Masih tak nak mengaku?"Aku hanya memejamkan mata sambil berdiri disitu; bagai bersedia untuk apa-apa saja kemungkinan.