Chereads / NAGA PUSAR / Chapter 73 - Violet pada Bayu Malam (Bahagian 1)

Chapter 73 - Violet pada Bayu Malam (Bahagian 1)

Di Jalan Daun Hijau di Kota Fenlai, ibu kota Kerajaan Fenlai, ahli Kesatuan Suci, terdapat banyak kediaman-kediaman bangsawan yang dibina rapat-rapat. Di hadapan sebuah manor, lebih daripada sepuluh orang sedang berkumpul.

"Puak Debs ingin berterima kasih kepada Linley atas bantuan kamu. Jika bukan disebabkan kamu, besar kemungkinan anak kami, Kalan mengalami kecederaan parah." Seorang lelaki tua dengan rambut perak yang beralun senyum ke arah Linley. Kalan, Alice, Tony dan Niya berdiri di sebelah lelaki tua itu . Di belakang mereka pula hamba-hamba puak Debs sedia menanti.

Berpaling ke belakang, lelaki tua itu mengangguk kepada salah seorang hambanya. Hambanya itu mengeluarkan satu karung emas kecil dari dalam pakaiannya.

Selepas mengambil karung emas tersebut, lelaki tua itu berpaling semula kepada Linley dengan senyuman. "Di dalam ini ada seratus syiling emas. Walaupun jumlah tak seberapa, ia mewakili rasa terima kasih puak Debs kepada kamu. Saya harap, kamu Linley menerimanya."

"Tak mengapa. Saya tak buat apa-apa pun." Linley berkata dengan penuh sopan. "Saya patut bergerak pulang sekarang."

Lelaki tua itu tidak menghalang. Dia tersenyum melihat pemergian Linley.

"Tony, kamu bertiga patut pulang ke rumah juga. Ibu bapa kamu tentu sangat risaukan kamu." Lelaki tua itu bercakap sambil tersenyum. Selepas mengucapkan selamat tinggal, Alice, Niya dan Tony semuanya pulang ke rumah masing-masing.

Apabila Kalan dan lelaki tua berambut perak itu kembali ke ruang tamu rumah mereka, wajah lelaki tua itu berubah dingin. Dengan nada berang, dia memberi arahan, "Melutut!"

Kalan melutut berdebup ke lantai. "Atuk Kedua, memang salah saya. Kali ini, saya dengan tak malunya membawa tiga orang rakan saya ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib tanpa meneliti segala jenis bahaya yang mungkin mendatang. Atuk Kedua, hukumlah saya."

"Hmph! Tak tahu malu?"

Renungan lelaki tua itu menikam Kalan. "Kalan, kamu sudah dewasa. Tambahan pula, kamu merupakan pewaris dan pengganti puak Debs. Bagaimana kamu boleh melakukan seperti kesilapan yang bodoh ini? Mana mungkin kamu mampu membayangkan betapa bahayanya Banjaran Gunung Makhluk Ajaib? Berani kamu masuk ke dalamnya tanpa memaklumkannya kepada ahli puak? Hmph! Atuk akan serahkan kepada bapa kamu untuk menghukum kamu. Atuk cuma mahu ingatkan kamu satu perkara. Pada masa akan datang, jika kamu berterusan bertindak bodoh seperti ini, jika puak diserahkan kepada kamu, puak akan hancur binasa!"

Kalan tunduk, tidak berani bersuara.

Puak Debs boleh dianggap sebagai salah sebuah daripada tiga puak terkemuka di Kerajaan Fenlai. Puak Debs dianggap sebagai antara puak terkemuka bukan disebabkan status mereka sebagai bangsawan. Sebaliknya, mereka merupakan rakan perdagangan secara langsung dengan Konglomerat Dawson, salah satu daripada tiga kesatuan dagang yang terbesar di benua Yulan.

Kekayaan Konglomerat Dawson ini boleh menyaingi kekayaan seluruh kerajaan ini. Perniagaannya berkembang ke seluruh pelosok benua.

Ketiga-tiga kesatuan perdagangan di benua Yulan ini memiliki jumlah kekayaan dan kekuasaan yang menakutkan. Di kerajaan Fenlai, banyak puak yang ingin berurus niaga dengan mereka. Hal ini demikian kerana berurus niaga dengan Konglomerat Dawson ibarat berjaya menunggang mesin perang gergasi.

Kejayaan puak Debs untuk berurus niaga dengan Konglomerat Dawson merupakan perkara yang sangat mengagumkan.

Malah, dua pakatan utama dan Empat Empayar Besar perlu sentiasa berhati-hati apabila berurusan dengan kesatuan-kesatuan ini dan melakukan yang terbaik untuk menggembirakan mereka.

Selepas meninggalkan Kota Fenlai, Linley berjalan menuju ke Institut Ernst. Bebe pula bertenggek di atas bahu Linley, sentiasa berwaspada, sementara Doehring Cowart berjalan di sebelah Linley.

"Atuk Doehring, pernahkan Atuk merasakan dunia ini merupakan satu tempat yang menakutkan?" Linley berkata secara mental.

Doehring Cowart mengangguk tetapi tidak bersuara. Dia hanya mendengar.

"Sebelum ini, semasa saya melawat Kota Fenlai, saya tidak menyedari perkara ini. Tapi selepas pulang dari Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, banyak yang telah saya pelajari. Kekejaman dan kezaliman pergunungan itu terpampang jelas tanpa dihijab. Bahayanya nyata dan tidak berselindung di sebalik apa pun."

"Jika kita lihat ahli sihir dan pahlawan tahap tinggi, begitu juga dengan bangsawan Kota Fenlai, secara luaran mereka kelihatan sangat sopan dan ramah. Mereka membuatkan seluruh Kota Fenlai nampak menakjubkan. Namun begitu, sistem kelas di Kota Fenlai ketat dan tak berhati perut."

Bahkan undang-undang sendiri memberi banyak keistimewaan kepada golongan bangsawan berbanding orang kebanyakan. Walaupun Kota Fenlai sangat makmur dan meriah, dipenuhi dengan gelak tawa, tetapi peraturan tak bertulisnya lebih ketat daripada kawasan pergunungan. Di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, tiada perkara seperti bangsawan dan orang kebanyakan, hanya yang kuat dan lemah sahaja."

Perlahan-lahan, Linley mula memahami hakikat dunia.

Di dunia ini, bangsawan mempunyai semua kelebihan, manakala orang biasa pula dipijak-pijak. Tidak kira betapa baiknya golongan bangsawan atau bagaimana baiknya layanan mereka, tiada cara bagi mereka untuk mengubah dunia yang penuh kekejaman ini. Jika orang kebanyakan mahu menaikkan status mereka, pilihan yang mereka ada hanyalah menjadi pahlawan ataupun ahli sihir yang berkuasa.

Jika kamu tidak berusaha keras, kamu akan tercampak ke tepi.

'Masyarakat manusia lebih rumit daripada alam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Mereka menyembunyikan kekejaman seperti kawasan pergunungan di bawah set pakaian yang indah. Tapi adakalanya set pakaian yang indah ini berguna juga." Jauh di sudut dalam hatinya, Linley sebenarnya membenci bangsawan yang berpura-pura baik tetapi sebenarnya tidak.

Selepas melihat kekejaman di gunung serta kemegahan Kota Fenlai, pemikiran Linley mula berubah melihatkan jurang perbezaan yang jauh antara keduanya.

"Kamu takut hidup susah?" Doehring Cowart tiba-tiba bertanya.

Linley mencebik. "Takut? Tidak. Saya menikmatinya. Jika tiada perjuangan untuk keluar dari kesusahan di dunia ini dan semuanya tenang dan aman, bukankah bosan? Saya suka berjuang terutamanya perjuangan yang mengujakan. Menari-nari di mata pisau... itu merupakan kehidupan yang paling mengujakan."

"Cit cit!" Bebe turut mendecit.

Mereka melangkah masuk ke dalam Institut Ernst.

Selepas mengembara ke dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib dan menyaksikan kekejaman manusia, Linley sangat menghargai persahabatannya yang terbentuk di institut, lebih daripada sebelum ini. Sewaktu melangkah masuk ke asramanya, dia terdengar…

"Bos Yale, Linley masih belum pulang lagi. Mungkinkah dia berhadapan dengan situasi berbahaya di dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib itu?"

"Tutup mulut kamu, Bro Keempat. Bro Ketiga pasti pulang kepada kita dengan selamat. Jom, kita pergi makan…" Sebaik sahaja dia mengangkat kepalanya, Yale nampak susuk tubuh yang biasa dilihatnya sedang berdiri di hadapan pintu. Langkahnya terhenti, dia tergamam. George dan Reynolds juga terkesima. Tetapi kemudian, ketiga-tiga segera meluru ke arah Linley.

"Haha, Bro Ketiga, akhirnya kamu pulang juga!" Yale merupakan orang pertama yang mendapatkan Linley. Dia memeluk Linley dengan erat.

Reynolds juga menjerit kegembiraan, "Wah, Linley! Kamu tahu, Bos Yale dan George setiap hari bercakap tentang kamu. Saya seorang yang yakin kamu akan pulang dengan selamat."

"Bro Keempat." George merenungnya. "Tadi, kamu baru sahaja meluahkan kebimbangan kamu jika Linley terserempak dengan sesuatu yang bahaya."

"Saya?" Air muka 'keliru' terpapar di wajah Reynolds. "Adakah saya berkata begitu?"

Melihatkan ketiga-tiga rakannya berkumpul bersama, hati Linley berasa hangat. Yale segera mendepangkan tangannya sambil berkata, "Kamu semua, cukuplah bercakap. Bro Ketiga selamat pulang dari Banjaran Gunung Makhluk Ajaib merupakan satu peristiwa yang besar! Jom kita meraikannya!"

"Bro Kedua, Bro Keempat." Linley juga turut sama ketawa. "Jom semua. Mari kita minum-minum bersama. Saya belanja!"

"Wah!" Reynolds merenung ke arahnya. "Kamu belanja?"

Yale ketawa dengan kuat. "Benar, Bro Ketiga harus belanja kita. Jangan kamu semua lupa, wakil daripada Galeri Proulx hubungi kita dan menghantar surat jemputan. Ketiga-tiga arca Bro Ketiga berjaya dijual dengan nilai lebih daripada empat ribu syiling emas. Kita perlu meraikannya dengan meriah."

"Surat jemputan daripada Galeri Proulx?" Linley terkejut.

Yale segera menjelaskan, "Bro Ketiga, arca-arca kamu dijual dengan harga yang tinggi. Galeri Proulx telah pun mengiktiraf kebolehan kamu sebagai pengukir mahir. Oleh sebab itu, kini mereka menjemput kamu untuk membuka dan memulakan bilik persendirian di Dewan Pengukir Mahir. Benar. Sebentar, saya ambil surat itu." Yale segera berlari masuk ke asrama mereka.

Reynolds berbisik kepada Linley, "Linley, kamu nak tahu? Sejak lelaki daripada Galeri Proulx datang ke institut kita, berita tentang jemputan pembukaan bilik persendirian kamu di galeri itu tersebar ke seluruh institut. Kamu semakin terkenal."

"Ia telah tersebar ke seluruh institut?" Perasaan Linley kaku seketika dengan kejutan yang didengarinya. Dia sendiri baru sahaja tahu.

"Benar. Sebenarnya, kamu orang yang terakhir yang tahu mengenai perkara ini dalam institut kita. "George ketawa.

"Linley, inilah surat jemputan dari Galeri Proulx untuk kita." Yale berlari keluar dari bilik asrama mereka dengan sampul putih yang mempunyai cop emas.