Chereads / NAGA PUSAR / Chapter 74 - Violet Dihembus Bayu Malam (Bahagian 2)

Chapter 74 - Violet Dihembus Bayu Malam (Bahagian 2)

Waktu malam. Empat rakan bilik asrama 1987 berjalan dalam kegelapan menyusuri jalan sunyi di Institut Ernst. Mereka berbual santai mengenai apa yang berlaku sepanjang dua bulan lepas.

"Sekejam itu?" Reynolds berasa takjub. Dia menyelak baju Linley. Sebaik saja melihat parut yang silang-menyilang di dada Linley, dia menarik nafas dalam. George yang berada berhampiran juga terdiam. Hanya Yale seorang sahaja yang ketawa. "Haha. Kamu berdua kurang pengalaman. Sewaktu saya masih kecil, saya pernah melihat kecederaan yang lebih dahsyat daripada itu."

"Bos Yale, kamu serius?" Reynolds berkata dengan penuh hairan.

Yale senyum berlagak. "Tentulah saya serius. Banyak juga kecederaan parah yang saya pernah melihat. Sebagai contoh, banduan yang dihukum mati dengan cara penyeksaan. Atau melihat orang bertarung dengan makhluk ajaib dengan tangan mereka saja. Mereka yang bertarung tanpa senjata itu dikelilingi penonton kaya. Pemandangan yang penuh dengan darah."

Mendengar kata-kata Yale, Linley dapat menggambarkan kejadian itu di dalam mindanya.

"Beruntungnya kita dapat berada di dalam kampus," keluh George.

Linley juga mengangguk setuju. Pada waktu malam begini, banyak pasangan yang berjalan beriringan. Ada yang berpegangan tangan, ada yang sama-sama menunggang seekor makhluk ajaib. Kehidupan kampus sangatlah selesa.

"Oh, ya. Bos Yale, kamu tak mahu menghabiskan masa dengan teman wanita kamu malam mini?" Reynolds tiba-tiba bertanya.

Yale berkata dengan nada tidak puas hati, "Teman wanita? Bro Ketiga saya baru sahaja pulang dari Banjaran Gunung Makhluk Ajaib selepas berhadapan dengan pelbagai situasi yang hampir meragut nyawanya. Kamu tanya jika saya ingin menghabiskan masa dengan teman wanita saya? Reynolds, kamu harus ingat kata-kata ini. Kita Bro ini ibarat kaki dan tangan kamu, sementara wanita pula ibarat pakaian kamu. Mereka hanya diperlukan untuk berseronok sahaja."

Pandangan mencemuh jelas kelihatan di wajah Reynolds.

"Linley!" Suara yang terkejut kedengaran dari jauh.

Linley dan yang lain berpaling dan memerhati seorang gadis jelita, kurus dan tinggi berambut emas berlari ke arah mereka dengan gembira. Sebaik sahaja menghampiri Linley, dia menjerit terkejut. "Linley, kamu sudah pulang dari Banjaran Gunung Makhluk Ajaib? Baguslah. Kali ini kamu hilang selama dua bulan. Saya sangat risau. Adakah kamu cedera?"

"Delia, saya baik-baik saja." Linley ketawa sambil menjawab.

Delia juga merupakan gadis yang ditemuinya sebaik saja dia mendaftar sebagai pelajar. Mereka sangat rapat. Apabila dia berada bersama Delia, dia berasa sangat tenang tanpa tekanan minda. Rasanya sama seperti ketika dia bersama dengan tiga rakannya.

"Delia, kereta kuda Pak Cik sudah tunggu kita di luar. Jangan bazir masa lagi." Kedengaran suara dingin berkata.

Menoleh ke belakang, Linley nampak seorang pemuda memakai jubah panjang berdiri tidak jauh dari situ. Dia ialah abang Delia, Dixie, salah seorang daripada Dua Genius Terhebat Institut Ernst. Jubah Dixie sangat bersih dan kemas, tanpa sebarang kedutan atau kotoran. Matanya juga kelihatan sangat jernih dan tenang.

"Oh." Delia menghembuskan nafas, kecewa. Dia memandang Linley. "Linley, bapa saya meminta saya dan Abang pulang ke rumah. Kereta kuda kami sudah menanti di luar. Saya perlu pulang sekarang."

"Baiklah, Delia. Kita berbual apabila kamu pulang semula ke sini nanti," balas Linley sambil tersenyum.

"Baiklah. Selamat tinggal." Delia jelas berasa kecewa kerana tidak dapat berbual lama dengan Linley. Dixie juga berjalan menghampiri mereka. Dia hanya melirik ke arah Delia dan Delia segera berjalan ke arahnya. Tetapi kemudian, Dixie menoleh dan memandang Linley. "Linley, saya dengar kamu selamat kembali daripada menjalani latihan di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Tahniah."

Linley terpana.

Dixie bercakap dengannya?

Dixie terkenal di Institut Ernst dengan sikapnya yang dingin dan suka menyendiri. Kebanyakan orang akan berasa lemas apabila berada hampir dengan Dixie terutamanya jika pandangan mata dinginnya ditumpukan kepada orang itu. Tekanan mental seperti itu cukup untuk membuatkan orang berasa rimas.

"Oh, terima kasih!" balas Linley.

Anggukan Dixie hampir tidak kelihatan. Dia kemudian mengiringi adiknya, Delia ke pagar sekolah.

Austoni merenung Linley sambil mengeluh ketakjuban. "Linley, saya harus katakan, kamu memang seorang genius, sangat genius! Anak muda berusia 15 tahun yang genius dalam kalangan genius di akademi ahli sihir nombor satu di benua Yulan dan juga seseorang yang telah mencapai kemahiran yang tinggi dalam seni mengukir batu."

"Untuk kamu mencapai semua kejayaan ini merupakan satu keajaiban."

"Tanpa mengambil kira kamu seorang ahli sihir genius, dalam dunia seni sendiri, pada waktu dan zaman ini, kebanyakan pengukir yang layak dijemput oleh pihak kami untuk membuka bilik persendirian di dalam Dewan Pengukir Mahir sekurang-kurangnya berusia 40 tahun. Kamu ialah yang paling muda. Menurut sejarah, hanya ada dua orang genius yang tak mampu ditandingi mampu menyaingi kamu. Tetapi perbezaannya… kamu bukan sahaja seorang pengukir genius, kamu juga seorang ahli sihir genius. Wah, sungguh genius."

Kata-kata pujian dari Austoni membuatkan Linley tersipu-sipu malu dan kehilangan kata-kata.

"Austoni, berhenti bazirkan masa, Cepat dan selesaikan semua urusan. Kami berempat hendak keluar berseronok." Yale mendesak.

Barulah Austoni tersedar. Dia bergegas mengalihkan setimbun dokumen dan mengeluarkan sekeping kad ajaib perak. Tersenyum, dia menyerahkan kad itu kepada Linley. "Linley, kad ajaib perak ini direka khas oleh Bank Emas Empat Empayar. Ia membuktikan kamu salah seorang daripada pengukir mahir kami. Pada masa akan datang, sebarang hasil penjualan dan keuntungan daripada karya seni kamu akan dimasukkan ke dalam kad ini."

"Sekarang, kad ajaib perak ini tidak mempunyai cap jari pemiliknya. Gunakan cap jari kamu untuk menjadikannya hak kamu. Selepas ini, kamu sudah boleh menggunakannya." Austoni dengan rasa hormat menyerahkan kad ajaib perak itu kepada Linley. Dia berkata dengan nada ingin tahu, "Linley, maaf saya bertanya, kamu ada bawa arca baru untuk kami?"

Linley mengangguk kecil. "Ada. Tiga buah."

Senyuman Austoni semakin berseri-seri.

Waktu malam. Dalam Syurga Air Jed. Linley, George dan dua orang gundik sedang minum sambil ketawa dan berbual. Reynolds dan Yale pula sudah lama masuk ke bilik bersama gundik mereka.

"Alahai, mereka berdua itu. Bos Yale dan Bro Keempat…" Linley minum secawan wain sambil berbual dengan George yang sedang ketawa dan berbual dengan gundiknya. "Bro Kedua, kepala saya pening. Saya ingin mengambil angin sekejap."

"Baiklah," balas George lantas menyambung perbualan dengan penemannya.

Linley turun ke bawah dan terus meninggalkan Syurga Air Jed. Sebaik saja melangkah keluar dari premis yang meriah itu, Linley tiba-tiba berasa sejuk. Bayu malam berhembus melepasinya dan membantu mengosongkan mindanya. Berbanding dengan suasana di dalam Syurga Air Jed, keadaan di luar ini lebih tenang dan nyaman. Linley berjalan dengan santai di sekitar jalan Kota Fenlai.

Bayu malam sangat menyegarkan.

Ada beberapa buah rumah bangsawan di sepanjang jalan. Namun jika dibandingkan dengan Jalan Daun Hijau, estet-estet di Jalan Kesang ini jelas lebih murah. Di balkoni salah sebuah rumah dua tingkat di situ, Alice sedang berdiri, menikmati bayu malam.

Melihat ke arah bulan di langit yang kosong, Alice spontan terfikirkan Linley, orang yang telah menyelamatkan nyawanya.

Pada masa itu, ketika dia berada dalam keadaan berputus asa, Linley telah turun dari langit dan membunuh Babi Perang Mengerikan itu seraya menyelamatkan nyawanya. Tindakannya itu benar-benar mengejutkannya. Boleh dikatakan tindakannya itu meninggalkan kesan yang mendalam di jiwanya.

"Abang Linley agak berat mulut tetapi apabila dia berbincang tentang sihir, dia tampak sangat tampan." Alice tersenyum nipis apabila memikirkannya.

Tiba-tiba, Alice terlihat kelibat seseorang sedang melangkah menyusuri jalan di bawahnya. Susuk tubuhnya kelihatan biasa dilihat. Melihat dengan lebih teliti, dia segera mengenali orang itu dan senyuman terukir di wajahnya. Dia bergegas melambai-lambai tangannya sambil menjerit. "Abang Linley, Abang Linley!"

Linley yang sedang berjalan sambil menikmati malam yang nyaman mendongak dengan curiga apabila terdengar orang memanggil namanya.

Di balkoni di kejauhan, ada satu susuk berpakaian violet. Cahaya bulan bersinar dari belakang susuk itu. Pakaian violet itu beralun-alun dihembus bayu malam. Di bawah sinaran bulan, ia kelihatan bercahaya. Rambut panjang beralun-alun bersama pakaian violetnya. Tiba-tiba, Linley terbau wangian Alice.

Wangian yang sungguh memukau.

'Alice…' Linley spontan berjalan ke arah balkoni tersebut.