Mari kita kembali ke beberapa minggu lepas. Pada 5 Jun.
Tengah hari itu, Linley mengucapkan selamat tinggal kepada tiga sahabatnya. Dengan menggalas karung kulit di belakangnya, Linley menuju ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib.
*Cit cit!* Tikus Bebayang kecil mendecit kegembiraan di bahu Linley.
"Bos, akhirnya kita menuju ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Wah, saya sangat teruja!" Suara Tikus Bebayang kecil itu kedengaran di dalam kepala Linley. Linley hanya tersenyum. Ketika itu, cahaya putih terpancar dan bertukar menjadi Doehring Cowart.
Doehring Cowart mengingatkan, "Linley, apabila mengembara seorang diri, kamu harus berhati-hati. Ada kemungkinan kamu akan terserempak dengan perompak."
"Saya tahu, Atuk Doehring." Linley ketawa.
Atuk Doehring sudah berulang kali mengingatkannya tentang bahaya mengembara seorang diri. Linley memakai seluar kemas dan baju tanpa lengan. Daripada ketulan-ketulan ototnya, orang yang melihat pasti tahu bahawa dia merupakan seorang pahlawan.
Bak kata Doehring Cowart, jubah ahli sihir akan menyukarkan pergerakannya di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib.
Linley bergerak dengan pantas. Jalan dari Institut Ernst ke banjaran gunung sangat sukar. Namun begitu, dengan stamina Linley sebagai pahlawan tahap keempat, dia dapat berjalan sejauh 40 kilometer dengan mudah. Ketika ini, dia nampak tiga orang di hadapannya.
'Hurmm?' Pandangan Linley tertumpu kepada seorang dalam kumpulan itu.
Orang itu memakai jubah pelajar Institut Ernst. Salah seorang daripada dua lagi ialah seorang yang berotot dan membawa pedang perang gergasi di belakangnya. Seorang lagi sangat kurus dan mempunyai pedang pendek yang disarungkan di sisinya. Lelaki kurus itu dengan peka memalingkan kepalanya dan merenung ke arah Linley.
Linley malas untuk memberi perhatian kepada mereka. Dia bergerak dengan pantas, bersedia untuk memintas mereka.
"Linley, kamukah itu?" Satu suara tiba-tiba berkata.
Linley berpaling dengan penuh tanda tanya. Lelaki yang berpakaian jubah ahli sihir dari Institut Ernst tersenyum lalu menyapa, "Linley, saya Delsarte [De'sha'te]. Ingat saya?"
"Oh, Delsarte. Kamu rupanya!" Linley berhenti.
Linley sebenarnya mengenali Delsarte.
Delsarte, sama seperti dirinya, ahli sihir unsur angin dalam kelas gred lima. Walaupun mereka tidaklah begitu rapat, tetapi mereka rakan sekelas.
Delsarte membawa dua orang pahlawan mendekatinya. Dia senyum lalu dengan ramah berkata, "Linley, saya tidak sangka seorang ahli sihir seperti kamu akan berpakaian sebegitu. Saya hampir tak cam kamu. Hanya apabila saya nampak Tikus Bebayang kecil di bahu kamu, barulah saya sedar itu kamu."
"Kava [Ka'wa], Matt [Ma'te], mari saya kenalkan kamu. Ini Linley, salah seorang daripada Dua Genius Terhebat Institut Ernst. Dia baru berusia lima belas tahun tetapi sudah mencapai ahli sihir tahap kelima." Delsarte memperkenalkan Linley dengan penuh semangat.
Kava ialah pahlawan berotot manakala Matt merupakan pahlawan yang bertubuh kurus.
"Saya telah lama mendengar Delsarte bercakap tentang Dua Genius Terhebat Institut Ernst. Saya tidak sangka hari ini saya bernasib baik dan berpeluang untuk berjumpa dengan kamu." Matt berkata dengan sopan, manakala mata Kava terbeliak seperti mata lambu jantan. "Kamu ahli sihir? Kenapa saya lihat kamu seperti seorang pahlawan?"
Linley tidak menjelaskan. "Adakah kamu semua menuju ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib?"
Delsarte mengangguk. "Benar. Kava dan Matt mengembara bersama saya tahun lepas untuk menjalani latihan lapangan. Kami merupakan pasukan yang baik. Tahun ini, kami merancang untuk menjelajahi sekitar sempadan Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Linley, marilah ikut sama. Dalam kumpulan, kita semua lebih selamat."
Linley mengangguk.
'Aku akan mengembara bersama mereka buat masa ini. Delsarte ialah rakan sekelas aku, jadi pasti dia seseorang yang boleh dipercayai. Apabila tiba di kawasan gunung nanti, kita akan berpecah.' Selepas membuat keputusan, Linley dan Delsarte berserta rakannya menuju ke kawasan pergunungan bersama.
Mereka berempat berjalan dengan sangat laju.
Delsarte yang lemah dari segi fizikal juga mampu berjalan dengan laju melalui penggunaan mantera unsur angin, Supersonik. Malah, kumpulan mereka berjalan dengan lebih pantas melalui jalan yang sunyi.
Suara Kava kedengaran lantang, "Linley, jika kamu sertai kami, kita akan mempunyai dua orang ahli sihir tahap kelima. Jika kita berempat bekerjasama, kita mungkin mampu membunuh seekor makhluk ajaib tahap keenam. Teras magicite makhluk ajaib tahap keenam bernilai sekitar seribu syiling emas seketul. Jika kita dapat membunuh beberapa makhluk ajaib, kita tidak perlu bimbang tentang perbelanjaan hidup selama satu abad."
Bagi kebanyakan orang, sepuluh syiling emas dalam setahun sudah cukup untuk menampung perbelanjaan hidup mereka.
Seribu syiling emas ialah jumlah yang sangat besar.
Hati Linley terpengaruh. Di dalam mindanya, dia tiba-tiba teringat akan buku berkenaan makhluk ajaib yang pernah dibacanya. Buku itu membincangkan tenaga teras yang dimiliki oleh semua makhluk ajaib iaitu teras magicite.
'Teras magicite yang terdapat di dalam badan makhluk ajaib tahap ketiga dan ke atas. Akan tetapi, bagi makhluk ajaib yang belum mencapai tahap keenam, nilai teras magicite itu tidaklah tinggi. Kemungkinan besar tidak setinggi nilai arca yang aku hasilkan.' Linley berkata kepada dirinya.
Walaupun begitu, teras magicite makhluk ajaib tahap keenam hanya bernilai seribu syiling emas.
Berdasarkan pengiraan Doehring Cowar, arca Linley sangat layak untuk dipamerkan di dewan pengukir mahir dan bernilai kira-kira seribu syiling emas sebuah. Membunuh makhluk ajaib tahap keenam lebih sukar dan berbahaya berbanding mengukir.
'Di banjaran gunung makhluk ajaib, matlamat utama aku ialah berlatih. Mendapatkan teras magicite? Itu merupakan faedah lain.' Linley berkata kepada dirinya sambil melihat ke arah mereka bertiga.
Delsarte dan yang lain-lain berbual dengan begitu semangat. Jelas sekali, mereka sangat teruja untuk memperolehi teras magicite.
"Teras magicite yang dimiliki makhluk ajaib tahap ketiga, keempat dan kelima tak begitu bernilai. Teras magicite makhluk ajaib tahap keenam pun hanya bernilai seribu syiling emas," kata Delsarte sambil menggelengkan kepalanya. "Jika kita dapat membunuh makhluk ajaib tahap ketujuh, kita akan menjadi kaya." Apabila bercakap tentang perkara ini, matanya bersinar.
Sama seperti manusia, di mana antara ahli sihir tahap keenam ke tahap ketujuh terdapat jurang yang besar, makhluk ajaib tahap keenam juga mempunyai jurang kuasa yang sangat besar berbanding makhluk ajaib tahap ketujuh.
Teras magicite makhluk tahap ketujuh bernilai sepuluh ribu syiling emas setiap satu.
Jika mereka dapat membunuh seekor, mereka pasti dianggap sebagai orang kaya di kawasan desa. Seluruh hidup mereka, mereka tidak perlu lagi bimbang tentang wang.
"Makhluk ajaib tahap ketujuh? Berdasarkan kemampuan kita, itu namanya menjemput ajal." Linley berkata dengan bersahaja.
Linley telah menyaksikan kuasa naga Veloci, makhluk ajaib tahap ketujuh. Walaupun di tahap sekarang, Linley kemungkinan masih tidak dapat menewaskan naga Veloci yang mempunyai sisik perisai yang menggerunkan. Jika Linley tidak dapat menembusi pertahanan makhluk itu, bagaimana dia mampu untuk membunuh makhluk ajaib tahap tujuh? Mustahil.
Matt, lelaki yang kelihatan licik, mengangguk. "Kita belum pasti mampu mengalahkan makhluk ajaib tahap keenam. Bertarung dengan makhluk ajaib tahap ketujuh itu seperti membunuh diri."
"Saya hanya cuba untuk berbual kosong." Delsarte menggosok kepalanya sambil memuncungkan bibirnya.
Mereka berempat berjalan dan ketawa. Di sebalik hutan gunung beberapa meter di belakang mereka, seorang lelaki berbaju hijau yang diliputi daun memerhatikan mereka dengan tenang.
Mulut lelaki itu terkumat-kamit seperti membaca mantera ajaib.
Pada masa yang sama, busur panjang di tangannya ditarik sehingga regang. Tiba-tiba, anak panah itu dilepaskan. Ia memancarkan cahaya biru dingin. Anak panah itu membelah udara dengan kelajuan yang menakutkan, merentasi jarak seratus meter dalam sekelip mata.
Linley yang sedang berbual kosong dengan mereka, tiba-tiba dia merasakan bulu romanya meremang. Jantungnya berdegup sangat kencang.
"Bahaya!"
Linley segera mengelak ke tepi. *Woooshh!* Bagaikan kilat, anak panah yang berkelajuan tinggi melepasinya dan menembusi badan Delsarte yang berjubah. Anak panah itu menembusi dadanya, meninggalkan lubang besar ketika ia terbang beberapa meter lagi sebelum berhenti.
Memegang lehernya, Delsarte berpaling. Beberapa kata-kata yang tidak jelas diucap dari mulutnya. Darah segar memancut keluar daripada luka di dadanya.
"Uhh..Uhhh.." Mata Delsarte dipenuhi dengan keinginan untuk hidup. Matanya dipenuhi dengan ketakutan, tetapi darah berterusan keluar dari lubang di dadanya. Tidak lama selepas itu, sinar kehidupan hilang daripada mata Delsarte dan dia pun rebah.
Linley, Kava dan Matt dengan segera meniarap di sebalik rumput dan memerhati kawasan belakang mereka penuh waspada.