"Ahli sihir pemanah unsur angin. Berdasarkan mantera 'Supersonik' dan 'Ketepatan' yang dibawa anak panah tersebut, ahli sihir pemanah unsur angin itu paling kurang telah mencapai tahap lima," kata-kata Doehring Cowart bergema dalam minda Linley. "Melihat kehebatan orang ini, jika dia berada dalam lingkungan lima puluh meter dari kamu, walaupun kamu boleh mengelak, kamu tetap akan cedera parah. Larikan diri!"
Hati Linley bergetar.
"Serahkan semua barang berharga kamu dan saya tak akan bunuh kamu." Satu suara dingin kedengaran dan lebih dari sepuluh orang lelaki berpakaian hijau gelap keluar dari seluruh pelusuk hutan itu. Mereka semua membawa busur panjang bersama pedang pendek di pinggang mereka. Mereka merenung Linley dan dua yang lain dengan dingin sambil menghampiri mereka setapak demi setapak.
Tapi si empunya suara tidak memunculkan diri.
Linley dan dua yang lain bertukar pandangan. Mereka tidak menyerahkan barang berharga mereka. Sebaliknya, mereka hanya memerhatikan pemanah-pemanah yang menghampiri itu dengan penuh waspada.
"Tembak!" Suara dingin itu kedengaran sekali lagi. Ahli sihir berunsur angin yang menjadi ketua mereka sangat tegas. Memandangkan Linley dan yang lain tidak terus menyerahkan diri, mereka langsung diarahkan untuk dibunuh.
*Twang**Twang**Twang*
Semua pemanah itu melepaskan anak panah mereka secara mengejut. Satu demi satu anak panah dilepaskan ke arah kumpulan Linley dan dielak dengan pantas oleh mereka. Selain mengelak, Kava juga menggunakan pedang perang dalam tangannya untuk menghadang beberapa anak panah.
Linley menggunakan mantera unsur angin 'supersonik' yang membenarkan dirinya mengelak dengan begitu mudah sementara masih lagi peka untuk melihat mereka berdua yang lain. Matt sedang mengelak tanpa henti, agak tepat dan begitu berhati-hati sambil menggunakan pedang pendeknya untuk memesongkan anak panah.
Tetapi Kava tidak begitu lincah. Oleh sebab dia menggunakan pedang perang bersaiz besar, jelas sekali dia tidak boleh bergerak dengan cepat. Dia menggunakan pedang perang besarnya sebagai senjata utama dan juga Qi-tempur yang nipis sebagai pertahanan diri. Sudah tentu, ancaman dari anak panah ini tidak begitu tinggi. Seorang pahlawan tahap kelima masih lagi boleh bertahan.
"Arrggghh, matilah!" jerit Kava dengan marah. Dia meluru ke hadapan menuju ke arah pemanah-pemanah itu dengan pedang perang di tangan.
Melihat situasi ini, mata ahli sihir pemanah unsur angin yang sedang bersembunyi di dalam hutan mula dipenuhi dengan pandangan membunuh. Dia sekali lagi menarik tali panah busur panjangnya dan mula terkumat-kamit membaca perkataan demi perkataan mantera 'Supersonik' dan 'Ketepatan', membuatkan busur panjang dan anak panahnya berkilauan dengan cahaya emas dan biru.
Menjerit berang, Kava terus berlari meluru ke arah pemanah. Tapi sebelum dia tiba, dia tiba-tiba nampak satu kilatan biru menuju ke arahnya. Sebelum dia sempat bertindak, anak panah itu telah berada betul-betul di hadapannya, menakutkan dirinya sehingga peluh dingin membasahi bajunya. Dengan cepat dia mengangkat pedang perangnya untuk menghadang. Namun…
"Argh!"
Anak panah itu menembusi tengkoraknya.
"Ah…" Kava berdiri terpaku di situ seperti orang bodoh. Matanya dipenuhi perasaan tidak percaya. Dia dengan jelas telah menggunakan pedang perangnya untuk menghadang anak panah itu. Bagaimana ia boleh membunuhnya? Matanya penuh dengan persoalan dan perasaan tidak percaya. Sinar mata mula malap dari pandangannya sebelum dirinya jatuh mencium tanah.
Linley yang duduk tidak berapa jauh dari situ merasakan hatinya bergetar.
'Mantera sokongan unsur angin, 'Ketepatan'. Ia memang sangat tepat!' Sebagai seorang ahli sihir unsur angin, Linley tahu tentang mantera sokongan 'Ketepatan' ini. Apabila diguna untuk menyokong seorang pemanah, ia boleh menyebabkan anak panah pemanah itu berubah haluan pada saat-saat akhir dalam sekelip mata.
Sebagai contoh, Kava sebentar tadi telah berjaya mengangkat pedang perangnya untuk menghadang tepat pada masanya. Akan tetapi, hanya dengan menukar sedikit haluan anak panah itu, ia telah menuju terus ke tengkorak Kava.
'Sihir unsur angin apabila digandingkan dengan busur panjang, memang sangat menakutkan.' Linley berasa sedikit terkejut. Namun, seketika kemudian, dia terus membaca perkataan demi perkataan untuk mantera ajaib.
"Kamu berdua lebih baik menyerah diri." Suara dingin itu kedengaran sekali lagi dari dalam hutan, diikuti hela tawa penuh angkuh dari para pemanah. Seorang ahli sihir pemanah unsur angin memerlukan kemahiran ajaib yang kuat dan pada masa yang sama kekuatan fizikal yang mencukupi untuk menggunakan busur panjang dengan betul.
Seorang ahli sihir pemanah unsur angin ialah penyerang jarak jauh yang sangat menggerunkan.
Pandangan membunuh bersinar di mata Linley ketika dia merenung kesemua sepuluh pemanah dan membayangkan kematian mereka.
*Kruk**Kruk**Kruk*
Tiba-tiba bumi bergegar, satu demi satu lembing tanah meletus keluar dari bawah pemanah-pemanah itu. Satu demi satu lembing batu tajam dan berkilauan menembusi kaki dan dada setiap pemanah, menumpahkan darah ke tanah. Ruang udara dipenuhi jeritan mereka.
Mantera unsur tanah tahap lima – Jajaran Lembing Tanah!
"Ahhhh!" Jeritan menyedihkan memecahkan suasana.
Berdozen-dozen lembing tanah terus menerus meletus keluar dari bawah mereka. Setiap lembing memiliki ketinggian lebih satu meter. Dalam sekelip mata, ahli kumpulan itu telah ditusuk jajaran lembing yang banyak. Ia menyerang mereka tanpa disedari bagaikan satu serangan hendap yang dahsyat. Kesemua sepuluh pemanah itu mengerang kesakitan dan kesedihan.
"Ketua, selamatkan kami, selamatkan kami!" Seorang lelaki yang telah ditusuk di perut menjerit kepiluan.
"Ah, ah!" Seorang pemanah yang ditusuk di pehanya juga turut ikut sama menjerit kesakitan.
Daripada segerombolan pemanah itu, empat daripada mereka mati serta-merta, manakala selebihnya cedera parah. Kebolehan pertempuran mereka telah dimusnahkan sepenuhnya.
"Ahli sihir unsur tanah!"
Pemanah yang bersembunyi di balik pokok itu sangat terkejut. Dia dan orang bawahannya telah lama bersembunyi di situ, di pinggir Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Mereka menyerang hendap dan membunuh pengembara sambil mengumpul harta benda yang agak bernilai.
Selalunya, apabila mereka mula menyerang, mereka akan membunuh ahli sihir pihak lawan terlebih dahulu.
Sudah tentulah. Ahli sihir pihak lawan boleh melancarkan serangan jarak jauh. Jadi, mereka merupakan risiko terbesar. Dia tidak menyangka selepas membunuh seorang ahli sihir mereka, seorang lagi akan memunculkan dirinya.
"Ayuh!"
Mengambil kesempatan atas kelekaan pihak musuh, Linley terus menggunakan mantera 'Supersonik' untuk meningkatkan kelajuan kepada tahap maksimum. Dengan cepat dia melarikan diri dan menghilang di kejauhan. Linley tahu dia tiada jalan lain untuk menyerang ahli sihir pemanah yang bersembunyi di sebalik pokok itu.
Jarak mereka terlalu jauh. Sihir juga punya had jarak masing-masing. Namun begitu, biarpun jaraknya cukup dekat dengan ahli sihir pemanah itu, dia tetap tidak mampu menyekat serangan dari seorang ahli sihir pemanah unsur angin.
Melarikan diri dengan kelajuan maksimum, Linley telah meninggalkan tempat kejadian itu sejauh tiga puluh kilometer.
"Bos, kenapa kita melarikan diri? Ahli sihir pemanah itu mungkin risiko terbesar kamu, tapi jika saya serang dia, dia mungkin akan mati dengan mudah. Kenapa kamu tak bagi saya bunuh dia?" Bebe, si Tikus Bebayang Kecil membebel marah di dalam minda Linley.
Linley tahu kekuatan Tikus Bebayang kecil itu.
Apabila Linley baru saja berusia lapan tahun, kelajuan Tikus Bebayang kecil itu telah menjangkau pahlawan di tahap enam. Tapi tujuh tahun kemudian, semasa Linley berusia lima belas tahun, kelajuannya hampir setaraf dengan pahlawan tahap sembilan walaupun saiz fizikalnya tidak berubah.
Berdasarkan kelajuan Tikus Bebayang kecil itu, ahli sihir pemanah tadi itu tidak mungkin sempat menyasarkan serangan ke arahnya.
"Ini pengembaraan latihan saya. Saya sepatutnya cuba selesaikan semua perkara menggunakan keupayaan saya sendiri" jelas Linley.
Tikus Bebayang kecil itu melompat ke bahu Linley sambil bunyi decit keluar dari celah giginya yang tajam. Dia sedang menjerit marah kepada Linley di dalam mindanya, "Bos sudah melampau! Saya juga perlu berlatih, saya juga perlu berlawan!"
Apabila melihat reaksi Tikus Bebayang kecil itu, Linley tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa. "Baiklah. Apabila kita sampai ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib nanti, jika kita terserempak dengan mana-mana raksasa yang kuat, saya akan bagi kamu lawan. Setuju?"
"Macam itu baru betul." Tikus Bebayang kecil itu menyambung rehatnya di dada Linley. Ia mengerutkan hidungnya sambil tersenyum dengan begitu gembira.
Pada ketika itu, langit bertukar gelap. Bunyi dentuman disulami dengan cahaya kilat yang terpancar menerangi segenap alam.
"Macam akan hujan ribut selepas ini." Linley berkerut.
Linley serta-merta mencepatkan langkahnya, bergegas menuju ke arah Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Apabila Linley berada dalam jarak sepuluh kilometer dari gunung-ganang itu, satu demi satu titisan air hujan mula turun diikuti dengan hujan yang begitu lebat sehingga membanjiri kawasan itu.
*Dentum*
Bunyi kilat sabung-menyabung, sementara hujan lebat itu terus-menerus membanjiri tanah di kawasan. Seluruh dunia seperti ditenggelami air.
Namun begitu, tidak banyak air hujan yang mengenai Linley. Pada masa itu, dia meneruskan perjalanan dengan pantas. Hal ini demikian kerana, sepuluh sentimeter di atas kepala Linley, kelihatan mantera 'Perisai Angin' lebih kurang sepuluh diameter di sekelilingnya. Kebolehan perlindungan mantera 'Perisai Angin' agak tinggi. Linley hanya menggunakan sedikit daya sihir untuk sentiasa menghalang hujan daripada mengenainya.
Memandangkan udara tidak mempunyai bentuk, Perisai Angin itu juga hanya kelihatan seperti jalur biru lut cahaya yang kelihatan samar-samar.
Dari kejauhan, orang lain tidak akan perasan kewujudan Perisai Angin itu. Dengan Perisai Angin ini, Linley terus bergerak pantas meredah hujan. Selepas beberapa ketika, Linley nampak banjaran gunung yang mengunjur ke selatan bagaikan tiada penghujungnya. Banjaran ini yang membahagi benua Yulan kepada dua bahagian. Ia merupakan salah sebuah banjaran nombor satu di dunia. Banjaran Gunung Makhluk Ajaib.
Apabila melihat gunung-ganang tinggi hanya beberapa kilometer jauh darinya, Linley tanpa disedari menahan nafasnya.
'Besar sungguh banjaran gunung ini…'
Banjaran gunung ini amat besar. Berdasarkan mata kasar, seseorang hanya boleh meneka gunung ganang ini tiada hadnya, seperti tiada penghujung dari utara ke selatan. Melihat pergunungan di banjaran ini seperti melihat lautan yang tidak berpenghujung.
Ia seluas mata memandang!
"Ini adalah Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, banjaran gunung nombor satu dalam benua. Berapa banyak makhluk ajaib yang ada di sini? Lebih tepat lagi, berapa banyak makhluk ajaib tahap dewa yang ada?" Pada ketika itu, Doehring Cowart muncul di sisi Linley. Pandangan angkuhnya terlontar jauh. "Sudah lama Atuk tidak menjejakkan kaki ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib."
Perasaan teruja bersinar di mata Linley.
"Mari pergi!"
Dipenuhi keberanian, Linley berlari meredah hujan yang lebat menuju ke arah banjaran gunung. Sementara Bebe, Tikus Bebayang kecil, berdecit dengan begitu teruja di atas bahu Linley. Linley masuk ke gunung-ganang tanpa penghujung itu di bawah lindungan hujan ribut.