Banjaran Gunung Makhluk Ajaib sangat luas dan tidak berpenghujung.
Di dalamnya, Linley dapat melihat pokok-pokok pain tua yang berkurun-kurun usianya menutupi hampir keseluruhan landskap. Segala jenis rumput melitupi tanah. Tisel serta tumbuhan berduri turut tumbuh melata. Daun kering melitupi tanah, dengan setiap langkah, ia menggersak dan patah. Pokok-pokok menjalar dan lumut dapat dilihat di merata-rata tempat.
'Dengan segala macam jenis lumut, pokok menjalar dan pokok-pokok yang entah berapa lama hidup di sini, jika terdapat makhluk ajaib sepuluh meter dari aku pun, aku mungkin tak dapat mengesannya.' Linley menjadi bimbang.
Atuk Doehring muncul di sebelahnya.
"Sepuluh meter? Linley, rumput di hadapan kamu ini pun mungkin menyembunyikan makhluk ajaib yang sedang menunggu, contohnya seekor ular gergasi." Doehring Cowart bercakap sambil ketawa.
Linley secara spontan memerhatikan kawasan rumput yang berada di hadapannya yang hampir setengah tinggi tubuhnya. Rumput tebal dan tinggi ini pasti mampu menyembunyikan ular. Menghela nafas panjang, Linley berdiri lalu mulutnya terkumat-kamit membaca mantera.
Tiba-tiba, deruan angin lembut yang dilepaskan oleh Linley tersebar ke seluruh arah sebelum akhirnya menghilang.
Sihir unsur angin – Penjejak Angin!
Secara umumnya, seorang ahli sihir tahap tiga mampu untuk melaksanakan mantera Penjejak Angin. Tetapi sudah tentu, semakin kuat ahli sihir itu, semakin luas kawasan yang boleh dicapai mantera Penjejak Angin tersebut. Mantera Penjejak Angin yang dilaksanakan ahli sihir tahap ketiga hanya mampu mencapai sekitar kawasan berjarak sepuluh meter tetapi jika dilaksanakan oleh ahli sihir tahap kelima, ia mampu mencapai kawasan seratus meter di sekelilingnya.
"Dalam lingkungan seratus meter, makhluk ajaib yang ada di sini cuma seekor makhluk ajaib tahap pertama, Tikus Buih dan beberapa ekor makhluk ajaib tahap kedua, Kala Jengking Tanah," Linley berkata dengan yakin.
Mantera Penjejak Angin ini dapat mengesan aura dan kehadiran mana-mana hidupan.
"Jangan terlalu yakin. Makhluk ajaib yang berkuasa boleh bersembunyi di dalam tanah. Sesetengah makhluk ajaib tahap Dewa boleh menyembunyikan tahap kuasa mereka." Doehring Cowart mengingatkan tetapi kemudian beliau tertawa kecil. "Tetapi sudah tentu, jika mereka mahu berurusan dengan budak kecil seperti kamu, perlukah makhluk ajaib tahap Dewa itu menyembunyikan kuasanya?"
Namun, apabila mendengar peringatan itu, Linley semakin lebih berhati-hati.
'Menyerang hendap melalui penyembunyian kuasa? Dalam beberapa buah buku, ada mengatakan bahawa kepintaran makhluk ajaib menyamai manusia. Nampaknya, maklumat itu benar.' Linley berkata kepada dirinya. Melirik sekilas ke arah Bebe, Tikus Bebayang kecil yang berdiri di atas bahunya, dia terfikir, 'Si Bebe ini mempunyai kepintaran yang tinggi. Aku tak boleh leka.'
Angin berpusar di sekeliling kaki Linley. Ia dihasilkan oleh mantera Supersonik Linley.
Linley menuju ke arah Banjaran Gunung Makhluk Ajaib dengan senyap. Dia memerhatikan dengan teliti kawasan persekitarannya, Bebe yang berada di atas bahunya juga turut memanjangkan lehernya dan memerhatikan setiap penjuru. Mata hitamnya yang kecil itu juga turut melihat segenap arah. Secara perlahan-lahan, mereka berjalan semakin dalam ke kawasan gunung.
"Banjaran Gunung Makhluk Ajaib lebih daripada sepuluh ribu kilometer panjang dengan lebar purata tujuh atau lapan ratus kilometer. Di kawasan seratus kilometer paling luar, kebanyakan makhluk ajaib di situ bertahap rendah. Sekiranya kita masuk lebih dalam sebanyak seratus kilometer, kita akan bertemu dengan banyak makhluk ajaib tahap kelima dan keenam. Sekiranya kita pergi lebih dalam lagi, kita akan melihat banyak makhluk ajaib tahap ketujuh, kelapan, dan kesembilan, dan mungkin juga makhluk ajaib tahap Dewa."
Doehring Cowart sekali lagi mula bersyarahan kepada Linley tentang Banjaran Gunung Makhluk Ajaib.
"Tetapi sudah tentu, tiada apa yang pasti. Mungkin makhluk ajaib tahap kesembilan kebosanan dan merayau di luar kawasan," kata Doehring Cowart. "Dan mungkin nasib kamu tak baik dan terserempak dengan sepuluh ribu unit kawanan serigala raksasa yang kuat. Jika itu berlaku, apa yang boleh Atuk katakan ialah kamu mempunyai karma yang dahsyat."
Mendengar kata-kata Doehring Cowart, Linley mencebikkan bibirnya.
Itu sudah tentu!
Banjaran Gunung Makhluk Ajaib sangat besar. Mana mungkin nasib dia seburuk itu? Tetapi jika ia benar-benar terjadi, Doehring Cowart yang hidup sebagai roh tidak dapat membantunya. Seorang ahli sihir Agung tahap Dewa tanpa daya sihir tidak mampu untuk melancarkan serangan.
"Atuk Doehring, saya tahu semua itu. Atuk boleh tak senyap dan berhenti mengganggu saya?" Linley berkata dengan nada tidak puas hati.
Doehring Cowart ketawa kecil. Mengurut janggutnya, dia tidak lagi bercakap.
Banjaran Gunung Makhluk Ajaib ialah sebuah kawasan gunung dalam dan juga pokok-pokok saka. Pokok-pokok di situ tubuh sangat rapat hingga menghalang air hujan daripada menembusinya. Cuma ada kalanya, terdapat beberapa titisan jatuh ke bawah. Selepas berjalan beberapa lama, dia sedar kawasan luar tidaklah begitu bahaya.
Linley menumpukan sedikit kekuatan pada kakinya. Bagaikan terapung, dia melompat ke atas dahan pokok setinggi tujuh ke lapan meter lalu mengimbas kawasan sekelilingnya.
"Bos, di sebelah kanan sana ada seekor babi hutan." Suara Bebe kedengaran dalam minda Linley.
Apabila mendengar kata-kata Bebe, Linley terus menoleh untuk melihat. Sesungguhnya, kira-kira seratus meter dari situ, seekor babi hutan bertanduk satu sedang mengimbas di kawasan sekitarnya. Jika Linley tidak mempunyai sudut pandang yang tinggi, kemungkinan dia tidak akan nampak Babi Hutan Unikorn.
'Babi Hutan Unikorn, makhluk ajaib unsur tanah tahap ketiga. Satu-satunya teknik yang dimilikinya ialah teknik 'Lembing Bumi'. Linley teringat beberapa maklumat tentang Babi Hutan Unikorn ini.
'Walaupun ia hanya makhluk ajaib tahap ketiga, sekurang-kurangnya ia boleh menjadi makanan untuk malam ini. Daging babi hutan agak sedap.' Dengan lincah dan tangkas, Linley menyusup di celah-celah pokok dan diam-diam menghampiri babi hutan itu. Disebabkan kepadatan flora kawasan, babi hutan itu langsung tidak menyedari kehadiran Linley.
Apabila dia berada kira-kira sepuluh meter dari babi hutan itu, Linley meniarap di atas rumput. Mengintai melalui rumput-rumput tebal, dia masih boleh melihat bayangan babi hutan itu.
*Whoosh!*
Seperti naga laut meninggalkan sarangnya, Linley melompat keluar dari rumput. Apabila Babi Unikorn memalingkan kepalanya dan tergamam, bak deruan angin, Linley jatuh menghempapnya. Babi Hutan Unikorn itu bertempik dengan kuat dan menghunus tanduknya yang panjang dan tebal itu tepat ke Linley.
*Huargh!* Linley menghulur tangan kirinya. Dia menyambar tanduk babi hutan itu dan merentapnya dengan kuat.
Babi Hutan Unikorn sebesar kira-kira seratus kilogram itu dicampak kira-kira tujuh ke lapan meter di udara oleh Linley. Kemudian, dia menendang kaki kirinya sekuat-kuatnya. Seperti pedang dua mata gergasi, dia menghentak kakinya ke kepala babi hutan dengan kuasa dan kepantasan yang menakjubkan.
*Boom* Dengan bunyi seriau, tulang hancur, Babi Hutan Unikorn itu ditendang ke sebatang pohon. Sewaktu ia jatuh di atas tanah, bumi bergegar. Tulang Babi Hutan Unikorn itu berkecai, otaknya mengalir keluar dari tengkoraknya yang retak. Darah segar keluar dari mulutnya. Empat kakinya berkutik dan kemudiannya kaku.
Dengan hanya menggunakan kekuatannya sebagai pahlawan, membunuh Babi Hutan Unikorn tidaklah sukar bagi Linley.
'Walaupun teras magicite makhluk ajaib tahap ketiga hanya bernilai sepuluh syiling emas, saya tidak boleh biarkannya terbazir.' Linley mengeluarkan pahat lurus dari beg galasnya dan hanya dengan dua ke tiga potongan, dia membelah badan babi hutan itu. Satu teras magicite bergolek keluar. Linley mengesatnya di atas rumput kemudian menyimpannya di dalam beg galasnya.
Seperti biasa, Linley dengan mudah menyiat kulit babi hutan itu dan memotong kakinya.
Selepas memotong beberapa dahan, dengan sekali petikan jari, Linley menghasilkan api kecil. Apabila api itu mula marak, Linley pun memanggang kaki babi hutan itu.
Bebe, Tikus Bebayang kecil, mula terliur. Matanya tertancap pada kaki babi hutan itu. "Kaki babi hutan sangat enak. Bos, cepat, cepat. Mengapa kamu tak menggunakan terus sihir unsur api untuk memanggang babi hutan itu? Bukankah itu lebih cepat?"
"Sihir unsur api? Saya hanya memiliki sedikit saja daya sihir unsur api. Tambahan pula, memasak menggunakan suhu tinggi, tidak semestinya menghasilkan hidangan yang sedap." Linley mencebik sewaktu bercakap. Dia mengeluarkan beberapa garam kasar dan bahan-bahan lain daripada beg galasnya.
Hasil ujian kecenderungan sihir Linley menunjukkan bahawa dia mempunyai daya tarikan intipati unsur angin dan tanah yang luar biasa. Namun begitu, daya tarikan intipati unsur api yang dimilikinya cuma sederhana. Sejujurnya, memiliki daya tarikan intipati unsur yang sederhana sudah cukup baik bagi orang biasa. Akan tetapi, bagi seseorang seperti Linley, dia tidak kuasa untuk menghabiskan masa dan tenaga untuk melatih unsur apinya.
Lagipun, jika dia mahu tahap kebolehan unsur apinya untuk menyaingi kebolehannya unsur angin dan tanah miliknya, kemungkinan besar dia perlu meluangkan sepuluh kali ganda lebih banyak masa.
Oleh sebab itu, Linley biasanya menyimpan sedikit sahaja daya sihir bagi unsur api. Walau bagaimanapun, ia cukup untuk menjana beberapa bola api tanpa sebarang masalah.
Selepas selesai memanggang dua belah kaki babi hutan panggang, Linley dan Bebe masing-masing berkongsi sementara Linley mula memanggang dua belah kaki lagi.
"Wah, enaknya!" Bebe berbual sambil makan dengan berselera. "Babi hutan ini rasanya lebih enak berbanding babi-babi yang diternak di ladang. Baunya cukup harum. Tetapi, kecekapan Bos memanggangnya juga memainkan peranan besar." Bebe terlalu gembira hingga dia mula memuji Linley.
Linley tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa.
"Bos, saya nak lagi." Selepas menghabiskan sebelah kaki, Bebe melihat Linley dengan ekspresi yang meminta simpati.
Biarpun melihat renungan sedih Bebe, Linley sedikit pun tidak berasa kasihan terhadapnya. Dia meleteri Bebe dengan tegas, "Kaki babi ini jauh lebih besar daripada itik panggang. Satu kaki sudah cukup untuk kamu. Baki dua lagi itu untuk makan malam." Selepas bercakap, Linley berpaling dan tidak mengendahkan wajah simpati Bebe.
Selepas selesai memanggang dua kaki babi hutan itu, Linley menggunakan dua helai daun yang besar untuk membungkusnya. Kemudian, dia menyimpan bungkusan itu di dalam beg galasnya dan bergegas menyambung perjalanannya bersama Bebe.