Chereads / NAGA PUSAR / Chapter 63 - Kekejaman (Bahagian 1)

Chapter 63 - Kekejaman (Bahagian 1)

Dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, bersebelahan dengan sebuah mata air, Linley sedang membalut lukanya dan menyerap intipati unsur tanah untuk menyembuhkan lukanya. Alam semula jadi yang maha pemurah sentiasa berbelas ikhsan dan tidak mementingkan diri. Berdiri berlantaikan bumi, Linley merasakan lukanya perlahan-lahan sembuh, dan memenuhi hatinya dengan ketenangan.

Sekarang, Linley sudah pun menukar beg galas. Beg galasnya, jika dibandingkan dari segi kualiti kulit dan ketahanan lasak, jauh lebih rendah berbanding beg galas pembunuh upahan itu. Selain itu, rekaan ruang dalam beg galas pembunuh upahan itu lebih kemas. Sebaik sahaja diketatkan, semua barang di dalam beg galas itu tidak akan bergerak. Tambahan pula, beg galas itu langsung tidak mengganggu pergerakan. Pisau belati pembunuh upahan itu juga tajam dan mudah digunakan.

*Wooshh!*

Kelihatan satu kerdipan. Badan Linley bergerak dan dia tiba-tiba menghilang di sebalik hutan gunung. Linley langsung tidak memberikan perhatian kepada makhluk ajaib tahap pertama atau kedua. Rata-rata makhluk ajaib yang dijumpainya ialah tahap ketiga dan keempat. Tetapi jika dia terserempak dengan makhluk ajaib tahap lima, Linley yakin dia mampu bertarung dengannya.

Semakin jauh dia menjelajah ke dalam banjaran gunung itu, semakin kerap Linley menghadapi pertempuran berdarah dan kejam. Dia juga mengalami banyak serang hendap dan juga percubaan membunuhnya. Setelah mengharungi semua pertempuran ini, luka dan parut di badan Linley semakin banyak, sementara semangat Linley semakin meningkat.

Pertempuran hidup dan mati menjadikan minda Linley lebih teguh dan setiap tindakannya semakin tiada belas kasihan.

Dalam sekelip mata, sebulan telah berlalu sejak Linley masuk ke dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib.

Sebulan selepas itu, di atas sebuah pokok besar yang terletak bersebelahan mata air gunung.

Terdapat parut panjang di sebelah kiri wajahnya. Linley membongkok. Dia bersembunyi di atas pokok seperti seekor harimau kumbang yang sedang bersedia untuk menyerang hendap.

Kini, Linley bersembunyi di celah dedaunan, memerhati keadaan di bawah. Beberapa kaki dari pokok tempat Linley bersembunyi, terdapat sebatang anak sungai kecil. Ada seekor Babi Perang Mengerikan yang bertubuh sasa sedang minum air dari anak sungai kecil itu. Sebatang cula  terjojol di atas hidung Babi Perang itu. Otot-ototnya membonjol seperti bonggol-bonggol akar pokok.

Babi Perang Mengerikan merupakan makhluk ajaib tahap lima, unsur api!

'Babi Perang Mengerikan ini mempunyai kulit yang keras dan tebal. Kebolehan pertahanannya sangat kuat. Besar kemungkinan, teknik lembing bumi tak mampu menembusi kulitnya.'

Linley tiba-tiba mendapat idea. Dia mula merumuskan rancangannya. Segera, bibirnya bergerak tanpa mengeluarkan suara, terkumat-kamit membaca mantera. Perlahan-lahan intipati unsur angin berpusar di sekeliling Linley dan membentuk lembing lut cahaya kebiru-biruan di hadapannya. Pada mata lembing lut cahaya itu badai angin berpusar mengelilinginya.

Sihir unsur angin tahap lima – Deruan Angin!

*Swish!*

Bunyi nyaring kedengaran apabila lembing Deruan Angin itu menderu ke bawah dengan kelajuan yang menakutkan. Pada masa yang sama, Linley melompat ke bawah dari silara dengan kelajuan yang sama seperti lembing lut cahaya itu.

Apabila mendengar bunyi bising, Babi Perang Mengerikan itu berhenti minum air dan memandang ke atas, tetapi lembing Deruan Angin itu sangat pantas. Dalam sekelip mata, ia semakin hampir dan hanya berada beberapa meter dari Babi Perang Mengerikan itu. Lembing itu amat pantas, dan hujungnya diliputi dengan badai angin.

'Grrr!' Babi Perang Mengerikan itu meraung kemarahan dan ia menggunakan culanya untuk menyerang lembing Deruan Angin itu.

*Crash*

Lembing lut cahaya yang dibentuk daripada mantera Deruan Angin itu merempuh cula Babi Perang Mengerikan itu. Lembing Deruan Angin itu serta-merta hilang. Tetapi pada masa yang sama, selepas diserang mantera tahap kelima, Babi Perang Mengerikan itu melutut tanpa sengaja akibat kekuatan rempuhan tersebut. Parut berdarah muncul di atas dahinya.

*Woosh!*

Sebelum Babi Perang Mengerikan itu berpeluang untuk bertindak, di sebalik lembing Deruan Angin muncul Linley. Dengan sepenuh kekuatan, Linley menikam dahi Babi Perang tersebut dengan pisau belati hitam yang baru sahaja diperolehinya. Pisau belati itu tepat menembusi tengkoraknya dan kemudian Linley segera mengelak.

*Arghhhhh!*

Setelah ditikam di tempat yang penting, Babi Perang Mengerikan itu meraung dengan kuat. Api mula membara pada badannya. Ia mula meluru ke hadapan tanpa sebarang mempedulikan apa-apa. Tetapi setelah meluru beberapa dozen meter ke depan, ia rebah. Keempat-empat kakinya menggeletar sebelum berhenti. Api pada badannya juga turut terpadam.

'Dalam kalangan makhluk ajaib tahap lima, Babi Perang Mengerikan ini dianggap makhluk ajaib yang paling rendah kecerdasannya seperti Lembu Besi Penghisap Darah.' Linley berjalan ke arah bangkai Babi Perang itu. Dia mengeluarkan pisau belatinya dan mengambil teras Magicite daripada bangkai Babi Perang itu.

Apabila memikirkan kehidupannya sepanjang dia berada di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, Linley akui walaupun dia masih lagi ahli sihir tahap lima dan pahlawan tahap empat, tetapi kebolehan tempurnya jauh lebih baik berbanding sewaktu pertama kali dia memasuki gunung.

Selepas beberapa kali berhadapan dengan pertempuran hidup dan mati, badannya dipenuhi dengan parut yang menjadi lambang pengajaran menyakitkan yang diperolehinya sepanjang bulan ini.

Terutamanya…

Di dadanya, terdapat luka yang sangat mengerikan. Pada waktu itu, dia benar-benar berada di ambang kematian. Akhirnya, si Tikus Bebayang kecil, Bebe sekali lagi menyelamatkannya.

Luka itu bukan diperoleh daripada makhluk ajaib. Sebaliknya, diperoleh daripada seorang gadis yang sangat comel.

'Ketika itu, aku benar-benar mempercayainya. Aku percaya rakan-rakannya telah dibunuh dan hanya dia seorang sahaja yang terselamat, cedera dan keseorangan.' Memikirkan peristiwa yang berlaku dua minggu lepas, Linley sekali lagi dicengkam ketakutan. Gadis itu kelihatan begitu baik dan suci.

Sewaktu Linley menemuinya, tiga orang lelaki dan seorang gadis sudah mati. Hanya dia sahaja yang tinggal dan berada dalam ketakutan.

Linley tidak dapat menahan diri daripada mendampingi gadis itu untuk menenangkannya, membantunya dan menjaganya. Gadis itu kelihatan sangat menderita akibat peristiwa itu. Setiap malam, dia akan meminta Linley memeluknya kerana hanya dalam dakapan Linley dia berasa selamat dan boleh melelapkan matanya. Setiap malam, selepas melihat wajah gadis itu bertukar tenang sebaik saja dia terlelap, Linley berasa sangat gembira. Tiga hari berlalu seperti itu. Pada malam keempat, dia sekali lagi tidur dalam pelukan Linley.

Tetapi secara tiba-tiba, gadis comel itu menarik keluar pisau belati dan menikam tepat ke dada Linley. Gadis itu memerangkap Linley ketika dia langsung tidak hemat.

Kemudian, Bebe yang naik berang tiba-tiba membesar dua kali ganda. Rahangnya yang besar sekali gus membaham kepala gadis itu, serta-merta membunuhnya. Bebe kemudiannya kembali kepada saiz asalnya.

Tetapi Linley tidak dapat menghentikan pendarahan daripada luka yang dalam di dadanya. Akhirnya, si Tikus Bebayang kecil, Bebe terpaksa menggunakan beberapa teknik istimewa unsur kegelapan untuk menutup luka tersebut.

'Aku patut dengar nasihat Atuk Doehring ketika itu. Aku kurang pengalaman.' Linley berkata kepada dirinya lalu mengeluh. Sebenarnya, Doehring Cowart sudah beberapa kali memberi amaran tentang gadis itu. Akhirnya, melihatkan Linley bersungguh hendak membantu gadis kecil yang 'tidak berdaya' itu, Doehring Cowart tidak mampu berbuat apa-apa. Namun begitu, dia tetap bertegas Linley boleh membantu gadis itu tetapi tidak boleh membenarkan gadis itu mendekatinya.

Sungguhpun begitu, ketika itu gadis tersebut benar-benar 'ketakutan'. Dia tidak boleh tidur dipeluk Linley. Sudahnya, Linley memeluknya dalam usaha untuk menenangkan gadis itu dan mereka berdua tidur.

'Aku tak sangka dia sungguh hebat berlakon. Aku melayannya dengan baik tetapi begitu kejam dia membalas kebaikan aku.' Linley mengeluh di dalam hatinya. Apabila gadis itu menikam dadanya, Linley nampak kekejaman dalam mata gadis itu. Hatinya dicengkam ketakutan.

Apakah yang menyebabkan gadis ini menjadi seorang yang tidak punyai perasaan dan kejam?

Tidakkah dia sedikit berasa belas kasihan selepas Linley menjaganya selama tiga hari?

'Nasib aku baik. Disebabkan Atuk Doehring berulang kali mengingatkan aku, aku tak mendedahkan kebolehan sebenar Bebe kepada gadis itu.' Linley akui dia berhutang nyawa dengan Atuk Doehring dan Bebe.

"Linley, apa yang kamu fikirkan? Kamu masih fikirkan gadis itu lagi?" Doehring Cowart muncul di sebelah Linley.

Melihatkan wajah Linley, Doehring Cowart dapat meneka apa yang sedang bermain dalam fikiran Linley. Tikaman daripada gadis itu teruk mencederakan Linley, bukan sahaja pada tubuhnya tetapi pada hatinya juga. Sejak hari itu, Linley tidak mudah mempercayai orang.

Doehring Cowart dapat mengesan ada sesuatu yang tidak kena dengan gadis itu dari awal lagi. Bagaimana seseorang yang mempunyai keberanian untuk masuk ke dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib boleh terpukul sebegitu rupa selepas melihat kematian?

Malangnya, Linley terlalu mempercayai lakonan gadis itu dan benar-benar merasakan gadis itu kelihatan sungguh 'kasihan'.

"Linley, bakat lakonan gadis taklah sehebat mana. Semasa zaman Atuk, Atuk melihat banyak plot dari negara musuh Empayar Pouant. Plot yang melibatkan muslihat dan penipuan sepanjang berdekad-dekad yang langsung tidak dapat dikesan. Kebolehan lakonan mereka di luar jangkaan kamu." Doehring Cowart tersenyum nipis ketika dia bercakap. "Ingat, kamu harus sentiasa berwaspada apabila berurusan dengan orang asing."

Linley mengangguk kecil.

*Cit cit!* Si Tikus Bebayang kecil, Bebe di sebelah Linley memanggilnya.

Linley mendongak memandangnya.

Ketika itu, Tikus Bebayang kecil sedang melompat-lompat di atas bangkai Babi Perang tadi.

'Bos, bila kita boleh pergi ke kawasan tengah Banjaran Gunung Makhluk Ajaib?' Bebe berkomunikasi dengan Linley melalui mental dengan nada yang tidak gembira. 'Di kawasan sekarang ini, makhluk yang paling kuat kita akan jumpa hanya makhluk ajaib tahap enam. Tak banyak cabaran. Saya mahu mencabar makhluk ajaib tahap tujuh, Bos! Saya mahu mencabar makhluk ajaib tahap tujuh!'

Linley melirik ke arah si Tikus Bebayang kecil, Bebe. 'Cukup. Jangan bercakap besar. Kamu berlagak dan kata makhluk ajaib tahap enam sangat mudah dikalahkan? Ingatkah kamu akan Helang Angin Biru tempoh hari? Mampukah kamu mengapa-apakannya?'

'Itu bukan salah saya!' Bebe menggosok kepalanya dengan tapak kakinya yang kecil sambil berkata dengan nada muram, 'Bos, kamu lihat sendiri, bukan? Helang Angin Biru itu terbang di langit dan enggan turun. Ia hanya terus-menerus melempar Bilah Angin ke arah kita, seolah-olah mantera itu langsung tidak mengurangkan daya sihirnya. Saya tak boleh biar ia menyerang saya tanpa henti, bukan?'

Linley ketawa.

Sepanjang bulan lepas, Linley menjadi semakin biasa dengan kebolehan si Tikus Bebayang kecil. Dari segi kelajuan, Bebe sudah mencapai tahap yang menakutkan. Sungguhpun begitu, fizikalnya kecil dan hanya mempunyai cakar dan giginya sebagai senjata pertahanan. Walaupun Bebe berupaya untuk berhadapan dengan makhluk ajaib tahap enam, agak sukar baginya untuk berhadapan dengan makhluk ajaib tahap tujuh.

Hanya pada masa itu, Linley tiba-tiba berkerut. Perlahan-lahan dia berpaling dan nampak satu kelibat manusia muncul di dalam hutan.

  1. Tanduk yang tumbuh pada hidung (seperti yang terdapat pada hidung badak)
  2. Rimbunan daun pada bahagian atas pokok.