Harapan Linley hampir meletus seperti volcano apabila dia dikuasai keterujaan.
"Atuk Doehring, benarkah Atuk akan mengajar saya menjadi seorang ahli sihir?" Linley melihat lelaki tua itu dengan teruja.
Doehring melihat reaksi Linley lalu mengurut janggutnya. "Linley, Atuk kamu ini merupakan Ahli sihir Agung tahap Dewa. Walaupun kamu tidak mempunyai banyak bakat semula jadi, Atuk masih boleh mengajar kamu magik. Benar… Jika bakat kamu rendah maka pencapaiannya kamu juga akan rendah."
Jika ada ahli sihir lain yang berada di situ dan mendengar kata-katanya, pasti mereka akan kehairanan.
Dalam kalangan ahli sihir, perkara yang paling utama ialah bakat. Tiada bakat bermakna tiada peluang untuk menjadi ahli sihir. Ramai orang mempercayainya!
Namun Doehring berani mendakwa walaupun seseorang itu mempunyai bakat yang rendah, dia tetap masih boleh menjadi seorang ahli sihir. Jika orang lain yang berkata sedemikian, mereka pasti dianggap bercakap besar… Tetapi lelaki yang mengatakannya adalah Ahli sihir Agung tahap Dewa berusia lima ribu tahun!
"Bakat yang rendah, pencapaian yang rendah?" Linley berasakan jantungnya bergetar.
Dia mahu menjadi seorang ahli sihir kerana dia mahu mengembalikan kegemilangan puak Baruch. Biarpun dia tidak berjaya mencapainya, dia berharap sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan satu tugas yang gagal ditunaikan generasi terdahulu puaknya selama berabad-abad. Dia mahu menuntut harta pusaka nenek moyang mereka. Sekiranya dia dapat melakukannya, ia sudah mencukupi.
Tetapi untuk berbuat demikian, kuasa merupakan komponen penting.
"Linley, jangan risau. Kebolehan kamu menggunakan sihir belum lagi dinilai. Siapa yang tahu jika ia rendah ataupun tinggi? Mungkin kamu mempunyai bakat yang besar menggunakan sihir." Doehring Cowart mengurut janggutnya sambil tersenyum.
Ketenangan Atuk Doehring mententeramkan Linley.
"Atuk Doehring, bagaimana ujian kebolehan magik dijalankan?" Linley semakin tidak sabar.
"Kebolehan magik boleh diuji dengan mudah." Sebaik sahaja Doehring Cowart berkata, tiba-tiba…
Tapak kaki boleh didengar dari luar pintu. Apabila mendengarnya, Linley menjadi bimbang. Dia segera berkata kepada Doehring Cowart, "Atuk Doehring, cepat sembunyi. Ada orang datang." Jika Ahli sihir Agung tahap Dewa berusia lima ribu tahun dari Empayar Pouant yang telah musnah ditemui, masalah akan timbul.
Doehring Cowart hanya tersenyum dan tidak bergerak langsung.
"Atuk Doehring!" Linley mula tidak sabar.
* Keriang-keriut * Pintu bilik tidur dibuka dan penjaga rumahnya, Hiri menjengukkan kepalanya. Apabila melihat Linley sudah terjaga, dia tersenyum. "Tuan Muda Linley, saya tidak sangka tuan sudah bangun. Bagaimana keadaan Tuan Muda?"
Linley segera memaksa diri untuk tersenyum. Mengangguk, dia berkata, "Terima kasih kerana bertanya, Pak Cik Hiri. Saya sudah semakin baik."
Linley merasa sangat gelisah. Dia berpaling ke arah Doehring Cowart, tetapi Doehring Cowart masih berdiri di sana, tersengih. 'Kenapa dengan Atuk Doehring? Aduhai. Kita akan ditemui. Menjelaskan keadaan ini pasti sangat menjengkelkan.'
"Tuan muda Linley, sudah tiba masanya untuk makan malam. Oleh sebab Tuan sudah bangun, mari makan malam bersama kami." Pak Cik Hiri tersenyum ketika dia bercakap.
"Oh, baikah." Linley sekali lagi mengerling ke arah Doehring Cowart. Hatinya dipenuhi tanda tanya. 'Apa yang sedang berlaku? Daripada riak muka Pak Cik Hiri, dia langsung tak nampak Atuk Doehring.'
Melihatkan Linley kerap merenung ke arah hujung katilnya, Pak Cik Hiri berasa keliru lalu bertanya, "Tuan Muda Linley, mengapa Tuan asyik merenung ke arah hujung katil? Ada barang Tuan terjatuh? Saya boleh tolong carikan."
"Tak ada apa-apa." Linley segera turun dari katilnya. "Pak Cik Hiri, jom kita makan."
Walaupun dia merasakan reaksi Linley sedikit janggal, namun dia tidak mahu terlalu memikirkannya. Dia hanya tersenyum dan mengangguk. Linley mula bersiap tetapi tidak dapat menahan dirinya daripada mengerling ke arah Doehring Cowart. Ketika itu, Doehring Cowart tersengih memandangnya kemudian menghilang daripada pandangan Linley.
'Dia telah masuk ke dalam cincin Naga Pusar.' Linley dapat merasakan roh itu telah masuk ke dalam cincin Naga Pusar.
Tidak seperti sebelum ini, jiwa Linley kini sudah bergabung dengan cincin tersebut melalui titisan darahnya, menjadikannya lebih memahami.
'Linley, tak perlu bercakap dengan kuat. Bercakap melalui minda kamu saja. Sebagai tuan cincin Naga Pusar, kamu boleh berhubung terus dengan Atuk melalui komunikasi spiritual kerana Atuk ialah roh cincin ini.' Kata-kata Doehring Cowart bergema dalam mindanya.
Ini sangat mengejutkan Linley.
'Atuk Doehring?' Linley menguji perhubungan minda mereka.
'Atuk boleh mendengar kamu,' kata Doehring Cowart di dalam mindanya.
Hati Linley sungguh girang. Tetapi disebabkan dia sibuk berbual dengan Doehring Cowart di dalam mindanya, dia tidak peka dengan langkahnya. Kaki Linley tersadung daun pintu. Pak Cik Hiri yang berjalan di hadapanya menoleh lalu ketawa. "Tuan Muda Linley, hati-hati bila berjalan."
"Baiklah, Pak Cik Hiri," balas Linley sambil ketawa.
Semasa perbualan minda dengan Atuk Doehring, Linley memasuki ruang makan dan mula duduk. Hidangan makan malam pada hari ini sangat mewah termasuklah kambing panggang. Hogg melihat sekilas ke arah Linley. Tersenyum, beliau berkata, "Linley, jamah sedikit." Sambil bercakap, Hogg mencarik daging kambing lalu meletakkannya ke pinggan Linley.
"Terima kasih, Ayah."
Linley sedikit terkejut. Keluarganya mengalami kesempitan ekonomi. Biasanya hidangan makan malam mereka sederhana sahaja tetapi hari ini mereka dihidang dengan kambing panggang?
Linley tidak tahu ketika hujan batu turun dari langit, selain daripada manusia, binatang juga banyak yang terbunuh. Selain puak Baruch, keluarga miskin yang jarang berpeluang makan daging juga menikmati hidangan mewah hari ini.
'Atuk Doehring, kenapa Pak Cik Hiri tak dapat melihat Atuk sebentar tadi?' Linley bertanya Doehring Cowart melalui perhubungan minda.
'Linley, kamu harus tahu, selain kamu tiada siapa yang dapat melihat Atuk. Hal ini kerana sekarang, Atuk hanyalah unjuran spiritual yang tak mempunyai jisim. Maka Atuk tidak dapat dilihat. Hanya kamu, tuan cincin Naga Pusar sahaja yang dapat melihat Atuk,' Doehring menjelas dengan terperinci kepada Linley.
Linley semakin faham.
Sebelum ini, Atuk Doehring mengatakan dia telah lama mati dan hanya rohnya sahaja yang tinggal.
'Atuk Doehring, pada masa akan datang, Atuk akan sering berada di sisi saya?' Linley berasa sangat gembira.
Ketika Linley sedang bercakap, di sisinya, seorang lelaki tua tiba-tiba muncul dari entah mana. Lelaki tua itu adalah Doehring Cowart. Tetapi Hogg, Pak Cik Hiri dan Wharton masih makan dan berbual, langsung tidak menyedari kehadiran Doehring Cowart.
"Wah…"
Mendengar dan melihat merupakan dua perkara berbeza. Apabila dia menyaksikan sendiri tiada sesiapa pun yang menyedari dan melihat kehadiran Doehring Cowart di meja makan itu, Linley terpegun.
'Masih terdapat beberapa orang yang boleh merasai kehadiran Atuk. Mereka yang mempunyai tahan kehadiran spiritual yang sama dengan Atuk, akan dapat rasa keberadaan Atuk. Namun, jika Atuk bersembunyi di dalam cincin Naga Pusar ini, sudah tentu mereka tidak dapat merasai kehadiran Atuk.' Suara Doehring Cowart kedengaran di dalam minda Linley.
'Tahap spiritual yang sama dengan Atuk Doehring?' Sambil mengunyah, Linley memikirkan apa yang dikatakan oleh Doehring Cowart.
'Mereka yang mempunyai kuasa spiritual yang sama dengan Atuk besar kemungkinan pahlawan tahap Dewa. Hanya pahlawan tahap Dewa saja yang dapat merasai kehadiran Atuk dengan syarat Atuk keluar dari cincin Naga Pusar. Sebaik sahaja Atuk masuk ke dalam cincin Naga Pusar, tak mungkin mereka dapat mencari Atuk.' kata Doehirng sambil tersenyum.
Linley mengangguk sambil mengambil kaki kambing panggang dan mengunyahnya.
"Linley, makan perlahan-lahan." Hogg melihat betapa gelojohnya Linley makan dan tidak dapat menahan tawanya.
Linley tersengih memandang bapanya tetapi dia tetap makan dengan cepat. Dalam sekelip mata, daging kambing tersebut habis dimakannya. Linley sendawa kemudian mengelap mulutnya dengan kain. Dia berdiri lantas berkata, "Ayah, Pak Cik Hiri, saya sudah habis makan. Kepala saya masih lagi pening jadi saya mahu berehat. Wharton, jumpa nanti." Linley orang pertama yang selesai makan.
"Masih lagi berasa pening? Kamu pergilah berehat," jawab Hogg dengan pantas.
Perisitiwa awal pagi tadi meninggalkan kesan kepada Hogg. Ada satu ketika dia merasakan Linley sudah mati dihempap. Selepas mengalaminya kejadian sebegitu, sikap Hogg terhadap Linley mulai berubah.
"Abang, jumpa lagi." Si kecil Wharton melambai ke arah Linley dengan tangan gebunya yang berminyak itu.