Chereads / NAGA PUSAR / Chapter 2 - Puak Pahlawan Berdarah Naga (Bahagian 1)

Chapter 2 - Puak Pahlawan Berdarah Naga (Bahagian 1)

Masa berlalu dengan begitu pantas. Sekejap sahaja sudah setengah tahun. Linley melalui kehangatan musim bunga, keterikan musim panas dan juga kedinginan musim luruh dengan latihan yang berterusan. Tubuh badannya juga semakin gagah. Berhampiran padang Wushan, kelihatan daun-daun di dahan pokok poplar berguguran apabila ditiup angin. Hampir keseluruhan kawasan padang itu diliputi dengan daun-daun tersebut.

Langit yang cerah kini bertukar gelap.

Hari ini hampir 300 orang menjalani latihan di padang tersebut. Jumlah yang cukup besar.

"Baiklah semua, sesi latihan kita petang ini sudah tamat," kata Hillman sambil tersenyum.

"Sebelum bersurai, jumpalah dengan rakan-rakan kamu yang akan meninggalkan bandar Wushan untuk menyertai tentera."

Apabila musim luruh berakhir, maka bermula pemilihan kemasukan tentera. Setiap benua akan menghantar wakil masing-masing dengan harapan wakil mereka akan terpilih menjadi pahlawan agung. Setiap orang mengimpikan untuk menjadi ahli sihir namun ia bukanlah mudah. Dalam ramai-ramai orang, mungkin hanya seorang sahaja yang terpilih. Disebabkan kemungkinan yang rendah, kebanyakan orang tidak yakin akan terpilih.

Menjadi seorang pahlawan sangatlah mudah. Apabila usia mereka mencecah 16 tahun, mudah sahaja untuk mereka memasuki tentera dengan syarat mereka sekurang-kurangnya pahlawan tahap pertama.

"Terima kasih, Pak Cik Hillman!" ucap sekumpulan remaja 17 tahun seramai 126 orang itu sambil tunduk hormat kepadanya. Mereka ini rata-ratanya tidak menghadiri latihan. Mereka sudah dewasa. Kesemua mereka ini sudah pun memasuki alam pekerjaan. Namun disebabkan mereka menjalani latihan bersama Hillman sejak kecil, mereka sudah menganggapnya sebagai tuan guru mereka yang baik hati.

Mereka datang ke situ untuk berjumpa dengan Hillman sebelum menyertai tentera.

Perasaan Hillman bercampur baur melihat semangat serta tenaga mereka. Dia tahu kesemua remaja ini tidak sabar untuk menyertai tentera. Tetapi, berapa ramaikah antara mereka yang akan pulang dengan selamat setelah berkhidmat sebagai angkatan tentera selama 10 tahun?

'Moga sebahagian daripada mereka dapat pulang dengan selamat,' pohon Hillman dalam diam.

Pandangan tajam diberikan Hillman kepada sekumpulan remaja tersebut sebelum meneruskan bicaranya. "Kamu semua merupakan pahlawan bandar Wushan. Pahlawan bandar Wushan haruslah kuat menghadapi cabaran dan tidak gentar dengan apa jua rintangan. Bukankah begitu?"

Kesemua remaja itu berdiri dengan tegak. Jelas sinar mata mereka dipenuhi dengan keinginan yang tinggi serta kesediaan untuk memasuki dunia ketenteraan.

"Benar, Pak Cik Hillman," kata mereka serentak.

"Bagus!" Hillman berdiri tegak sambil melemparkan pandangannya yang penuh dengan aura ketenteraan.

"Kamu semua akan bertolak pada keesokan pagi. Jadi, pastikan semua kelengkapan kamu disiapkan pada malam ini. Pak cik yakin kamu semua akan dapat memasuki akademi tentera dengan mudah. Pak cik akan menunggu kepulangan kamu di sini, di bandar Wushan!"

Pulang dengan penuh penghormatan! Itulah impian mereka.

"Sekarang saya arahkan kamu semua pulang ke rumah dan sediakan semua kelengkapan. Bersuarai semua!" kata Hillman dengan nada dan wajah yang dingin.

"Baik, tuan!"

126 orang remaja itu menunduk hormat lalu bersurai. Mereka akan menempuhi perjalanan baru pada keesokan hari. Pemergian mereka dilihat dari jauh oleh 200 orang remaja yang berada di situ.

"Lagi dua tahun baru saya dapat menyertai akademi tentera."

"Saya tidak sabar untuk mula menyertai dunia ketenteraan yang mendebarkan. Hidup saya pasti akan sia-sia jika seumur hidup saya dihabiskan di bandar Wushan ini."

Begitulah perbualan sekumpulan remaja berusia 13 tahun. Mereka tidak sabar untuk menyertai tentera dan menempuhi hidup yang menyeronokkan dan penuh semangat di situ. Mereka mahu mengumpul merit serta meningkatkan status mereka. Mereka mahu setiap gadis memandang mereka dengan penuh kekaguman. Begitu juga dengan saudara-mara mereka.

Itulah impian mereka!

"Linley, bapa kamu, Tuan Hogg mahu berjumpa dengan kamu. Ada perkara penting yang ingin dibincangkan dengan kamu. Pulang bersama saya. Jangan leka bermain dengann rakan-rakanmu yang lain," pesan Hillman sambil berjalan bersebelahan dengan Linley.

Hillman sangat berbangga dengan Linley. Dalam usia yang muda, Linley sudah mempelajari banyak kosa kata dan banyak buku sudah habis dibacanya.

Buku merupakan harta yang berharga dan dianggap mewah. Hanya mereka yang berstatus bangsawan sahaja yang celik huruf. Puak Baruch merupakan puak yang tertua dan memiliki banyak buku.

"Pak Cik Hillman, saya tahu. Sudah tiga kali ayah saya mengingatkan saya. Ayah saya bukanlah seorang yang suka mendesak. Jangan bimbang, saya tidak akan bermain," kata Linley tersengih menampakkan giginya yang putih. Cantik tetapi satu giginya sudah tercabut.

Kini, gigi kekal Linley sudah mula tumbuh.

"Pergilah. Gigi depan kamu rongak. Masuk angin kalau kamu senyum. Sudah, pergi balik."

Setelah selesai makan malam, Linley dan adiknya bermain di hadapan halaman rumah mereka.

"Abang, nak peluk!"

Wharton memandang Linley dengan penuh kasih sayang yang suci. Dia berjalan terhuyung-hayang ke arah Linley sambil mendepangkan tangan untuk memeluk abangnya. Linley berdiri tidak jauh daripada Wharton dengan sabar menunggu adiknya tiba

"Wharton, kamu boleh melakukannya!" Linley memberi semangat kepadanya.

Melihat langkah Wharton tidak stabil, orang di sekelilingnya bimbang dia akan terjatuh. Akhirnya, sampai juga dia dalam pelukan abangnya. Kulitnya yang mulus kemerah-merahan. Mata bulat Wharton merenung abangnya. Dengan suara bayinya dia berkata, "Abang, Abang."

Hati Linley dipenuhi kemesraan dan kasih sayang apabila melihat adiknya.

Mereka tidak beribu dan tiada datuk serta nenek. Walaupun Ayah dan penjaga rumah keluarga ada untuk menjaga Wharton, Linley yang matang lebih awal sangat penyayang dan bersifat melindungi terhadap adik lelakinya. Pada pendapat Linley, sebagai abang sulung, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga adiknya itu.

"Wharton, apa yang kamu belajar pada hari ini?" Linley bertanya dengan senyuman yang tidak lekang di wajahnya.

Dahi Wharton berkerut. Dia nampak sangat comel. Dia termenung seketika dan berkata dengan girang sekali, "Hari ini saya belajar mengelap!"

"Mengelap?" Jelas kelihatan senyuman di wajah Linley. "Apa yang kamu lap?"

Wharton berkata sambil mengira dengan jarinya, "Mula-mula saya lap lantai, kemudian saya lap mangkuk tandas dan akhir sekali saya lap…Saya lap apa ya? Oh ya, saya lap pinggan!" katanya dengan teruja sekali memandang abangnya sambil menunggu pujian.

"Kamu lap mangkuk tandas kemudian mengelap pinggan?" Mata Linley terbeliak.

"Kenapa Abang? Salahkah? Saya lap hingga bersih." Mata Wharton memandang abangnya, tidak mengerti.

"Tuan Muda Linley, ayah Tuan mencari Tuan. Biar saya dukung Tuan Muda Wharton." Seorang lelaki tua berhidung brandi melangkah ke arah mereka. Lelaki tua berhidung brandi itu adalah Hiri, penjaga rumah keluarga Baruch. Selain pengurus rumah, tiada seorang pun pembantu rumah wanita di rumah mereka.

Linley tiada lagi masa untuk berbual-bual dengan Wharton. Dia segera menyerahkan Wharton kepada Datuk Hiri dan berlalu ke ruang tamu.

'Kenapa agaknya Ayah mahu berjumpa dengan saya?' Walaupun Linley masih muda, dia dapat mengesan perjumpaan ini pasti sesuatu yang penting.

Sebaik sahaja memasuki ruang tamu, di suatu sudut kelihatan jam meja yang lebih tinggi daripada Linley.

Jam meja itu boleh dianggap objek yang berkualiti tinggi. Umumnya, hanya golongan bangsawan ataupun hartawan sahaja yang mempunyai jam meja sebegitu. Pada waktu itu, ayah Linley sedang duduk berhampiran pendiangan. Api pendiangan membara, sentiasa bergemeretak dan berdesir.

'Eh, agaknya kenapa Ayah tukar pakaian?' Linley memandang bapanya dengan penuh kekaguman. Kebiasaannya, ayah Linley hanya berpakaian ringkas apabila berada di rumah. Ketika makan malam sebentar tadi, bapanya memakai pakaian biasa sahaja. Tetapi kini bapanya mengenakan pakaian bangsawan yang cantik.

Terserlah aura bangsawan bapanya. Aura tersebut tidak dapat dimiliki dengan harta kekayaan. Ia ditanam oleh golongan bangsawan lama di dalam diri waris mereka. Puak yang telah bertahan selama lima ribu tahun. Mana mungkin puak bangsawan biasa menandinginya?

Hogg berdiri sambil menoleh ke arah Linley. Matanya bersinar.

"Linley, ikut Ayah. Kita ke dewan pusaka. Pak Cik Hiri, kamu tahu tentang hal yang melibatkan puak saya jadi kamu boleh ikut sama," kata Hogg sambil tersenyum.

"Dewan pusaka?" Linley kehairanan.

Ahli puak Baruch hanya menginap di bahagian vila. Tiada siapa yang pernah pergi ke bahagian belakang untuk membersihkannya. Mereka hanya pergi ke dewan pusaka untuk dibersihkan sebulan sekali.

'Tapi belum tiba masa untuk pengorbanan kepada nenek moyang kita. Kenapa kita harus ke sana?' Benak Linley penuh dengan pelbagai persoalan.

Hogg, Linley, dan Pak Cik Hiri yang sedang mengendong Wharton keluar dari ruang tamu dan mengikuti laluan berbatu biru menuju ke belakang vila.

Di pertengahan musim luruh, udara malam itu terasa begitu dingin.

Angin bertiup kuat. Linley menggigil kesejukan. Namun, Linley tidak merungut kerana dia dapat merasakan ada sesuatu yang berbeza malam itu. Linley menuruti ayahnya dan melangkah masuk ke dewan pusaka.

* Keletak * Pintu dewan pusaka tertutup.

Lilin-lilin yang dinyalakan menerangi seluruh ruang dewan. Mata Linley terus terlihat batu-batu roh di hadapan dewan. Himpunan batu-batu roh yang besar itu melambangkan usia kewujudan puak Baruch.

Hogg berdiri di hadapan batu-batu roh tersebut. Dia tidak berkata apa-apa.

Linley berasa sangat gugup. Tiada satu bunyi pun kedengaran selain lilin bergemeresik. Suasana sunyi sepi itu mendebarkan hati Linley.

Tiba-tiba, Hogg berpaling dan menatap Linley. Dengan nada serius, dia berkata, "Linley, banyak perkara yang harus diselasaikan hari ini. Tetapi sebelum itu, biar Ayah ceritakan serba sedikit sejarah puak kita."

Hati Linley semakin berdebar-debar.

'Sejarah puak kita? Apa agaknya?' Linley semakin tertanya-tanya namun dia tidak berani untuk bersuara.

Kebanggaan jelas pada wajah Hogg. Hogg menjelaskan, "Linley, puak kita telah wujud sejak lima ribu tahun yang lalu. Jika kamu lihat keseluruhan kerajaan Fenlai, Ayah percaya tiada puak lain yang wujud lebih lama daripada puak kita." Suara Hogg menunjukkan betapa berbangganya dia.

Purba. Perkataan ini dipandang penting beberapa puak bangsawan.

"Linley, pernahkan kamu dengar mengenai Empat Pahlawan Agung benua Yulan?" pandangan Hogg dialih kepada Linley.

Dengan mata yang bersinar, Linley mengangguk. "Pernah, Ayah. Menurut Pak Cik Hillman, Empat Pahlawan Agung yang terkenal itu adalah Pahlawan Berdarah Naga, Pahlawan Api Violet, Pahlawan Berbelang Harimau dan juga Pahlawan Kekal Abadi."

Hogg mengangguk berpuas hati. Sambil tersenyum dia berkata, "Betul! Sekarang Ayah akan beritahu sesuatu kepada kamu. Empat Pahlawan Agung yang terkenal sebenarnya mewakili empat puak purba. Dan puak kita, puak Baruch ialah keturunan Pahlawan Berdarah Naga yang dimuliakan!"