Chereads / NAGA PUSAR / Chapter 3 - Puak Pahlawan Berdarah Naga (Bahagian 2)

Chapter 3 - Puak Pahlawan Berdarah Naga (Bahagian 2)

'Puak Pahlawan Berdarah Naga?' fikiran Linley bercelaru.

Pada pandangan Linley, puaknya hanyalah puak purba yang mengalami masalah kewangan. Apa kaitan puaknya dengan Pahlawan Berdarah Naga yang terkenal itu?

"Kamu tidak percaya pada Ayah?" Wajah Hogg kelihatan sedikit angkuh. "Linley, pergi ke atas dan cuba lihat betul-betul batu-batu roh itu. Sekarang kamu sudah boleh membaca perkataan yang tertulis di atasnya. Di belakang setiap batu roh terukir kisah kehidupan mendiang nenek moyang itu. Tiga batu roh yang paling atas milik Pahlawan Berdarah Naga!"

"Mari sini ikut Ayah," kata Hogg sambil memegang tangan Linley.

Hogg membawa Linley ke ruang belakang batu-batu roh itu. Hogg berkata sambil mendukung Linley, "Cuba kamu lihat dengan lebih dekat karakter pada batu roh itu."

Linley membuka luas matanya dan mula membaca.

Tulisan pada batu-batu paling atas diukir dalam dan jelas. Karakter yang diukir lima ribu tahun lalu itu menceritakan kisah yang sungguh mengagumkan!

"Baruch adalah Pahlawan Berdarah Naga pertama di benua Yulan. Pada tahun 4560 kalendar Yulan, di luar tembok Kota Linnan, Baruch bertarung dengan Naga Hitam dan Raksasa Wyrm Fros. Kemenangan berpihak kepada beliau selepas beliau membunuh kedua makhluk tersebut. Berita kemenangannya tersebar di seluruh dunia membuat beliau menjadi masyhur. Pada tahun 4579 kalendar Yulan, di pinggir laut di utara benua, Baruch bertarung dengan Maharaja Ular Berkepala Sembilan. Pada waktu itu, ombak yang menghempas tanpa henti memusnahkan kota-kota berhampiran. Setelah semalaman melalui pertarungan yang hebat, Baruch akhirnya berjaya membunuh Maharaja Ular Berkepala Sembilan itu. Baruch kemudiannya mewujudkan satu puak dan menjadi pemimpin pertama puak Baruch!"

"Ryan Baruch adalah Pahlawan Berdarah Naga kedua di benua Yulan. Pada tahun 4690 kalendar Yulan, di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, beliau telah mengalahkan dan menundukkan Naga Emas tahap Dewa dan kemudiannya dikenali sebagai Santo Penunggang Naga Emas! Pada tahun 4697…"

"Hazard Baruch, Pahlawan Berdarah Naga ketiga di benua Yulan. Lahir pada tahun 5360 kalendar Yulan. Dalam pertarungan pertamanya, beliau bertarung dengan hebat melawan Singa Mata Berdarah tahap Dewa di Banjaran Gunung Matahari Terbenam. Beliau telah mengalahkannya memaksa singa itu bergegas melarikan diri dari banjaran gunung tersebut. Peristiwa tersebut membuat Hazard masyhur di seluruh dunia…"

Satu demi satu nama pahlawan terkenal dan kisah mereka yang mengagumkan membuat darah Linley mengalir dengan lebih deras.

"Puak saya adalah puak Pahlawan Berdarah Naga?" Linley sangat teruja.

Di sisinya, Hogg berkata dengan nada rendah, "Tiga generasi pertama puak Baruch kesemuanya adalah Pahlawan Berdarah Naga. Selepas seseorang menjadi Pahlawan Berdarah Naga, jangka hayatnya akan bertambah dengan drastik. Generasi kedua Pahlawan Berdarah Naga tidak berkahwin atau mempunyai anak sehingga usianya mencecah 700 tahun."

"Selepas itu, Ayah?" soal Linley. "Ayah, kenapa puak kita sudah tiada Pahlawan Berdarah Naga?"

Hogg mengangguk. "Untuk menjadi Pahlawan Berdarah Naga, yang paling penting sekali ketumpatan serta kepekatan darah naga yang mengalir dalam salur darah kita. Lebih pekat, lebih bagus. Selepas beberapa generasi, darah naga yang mengalir dalam badan kita semakin kurang. Tapi itu bukanlah sesuatu yang pasti. Ada kalanya, walaupun tempoh lama telah berlalu, ada keturunan kita yang memiliki ketumpatan darah naga yang tinggi muncul secara tiba-tiba ."

"Selepas Hazard Baruch, Pahlawan Berdarah Naga keempat muncul seribu tahun kemudian. Pahlawan Berdarah Naga kelima pula muncul seribu lima ratus tahun selepas yang keempat. Namun seribu tahun berikutnya, tiada lagi Pahlawan Berdarah Naga yang muncul."

Hogg menggeleng kepala dan mengeluh. "Pahlawan Berdarah Naga kelima hanya menetap di benua Yulan selama dua abad sahaja sebelum menghilangkan diri. Sepanjang seribu tahun selepas itu, puak kita mula merosot."

Selepas seribu tahun, puak yang ternama juga boleh merosot.

"Namun begitu, masih ada harapan lagi untuk puak kita. Mungkin suatu hari nanti, salah seorang ahli puak kita akan memiliki ketumpatan darah naga yang melayakkan dia menjadi Pahlawan Berdarah Naga. Jika mereka memenuhi semua syarat dan selepas menjalani latihan selama beberapa dekad, mereka boleh menjadi Pahlawan Berdarah Naga sebenar. Pada ketika itu, zaman kegemilangan puak Baruch dapat dikembalikan dan kita akan dikenali semula sebagai puak Pahlawan Berdarah Naga!" Mata Hogg bersinar. "Linley, umur kamu sudah enam tahun setengah. Mengikut peraturan puak kita, ujian ketumpatan darah naga yang dijalankan pada usia kamu agak tepat. Hari ini Ayah akan menguji darah kamu."

Linley tergamam. 'Menguji ketumpatan darah naga di dalam tubuh saya? Menguji saya?' Linley memahami implikasi ujian yang ingin dijalankan oleh bapanya. Keputusan ujian ini akan menunjukkan sama ada dia layak menjadi Pahlawan Berdarah Naga ataupun tidak.

"Linley, tunggu di sini. Ayah pergi ambil 'Jarum Darah Naga'." Hogg yang benar-benar nampak teruja segera meninggalkan dewan itu dan menuju ke sebuah bilik peribadi berhampiran.

'Pahlawan Berdarah Naga? Layakkah saya menjadi pahlawan hebat itu?' Persoalan itu bermain-main dalam benak fikirannya.

Berdiri di dewan pusaka itu, fikiran Linley bercelaru. Linley sangat tidak sabar tetapi pada masa yang sama, dia bimbang. Dia bimbang ketumpatan darah naga di dalam tubuhnya tidak cukup tinggi.

'Kalau aku gagal, Ayah akan sangat kecewa,' fikir Linley. Membesar dengan hanya ayah dan adiknya, Linley tidak mahu mengecewakan ayahnya. Namun, ketumpatan darah naga dalam badannya bukan dalam kawalannya.

Tidak lama kemudian, Hogg berjalan keluar daripada bilik peribadi dengan membawa jarum sepanjang 20 sentimeter yang sangat halus.

"Jarum Darah Naga?" teka Linley sambil memandang jarum di tangan ayahnya itu.

"Baiklah, Linley. Jarum ini cuma menusuk kulit kamu. Kamu tak akan rasa sakit. Hulur tangan kamu." Hogg tersenyum manakala Linley pula mengangguk faham. Linley menarik nafas dalam lalu menghulurkan tangannya. Tangannya menggeletar menunjukkan betapa gemuruhnya Linley.

Bukan Linley seorang. Sejujurnya, Hogg juga rasa gementar.

"Tahan sedikit." Hogg menusuk Jarum Darah Naga yang jernih dengan perlahan ke jari manis Linley. Jarum itu dengan mudah melukakannnya. Linley rasa sakit yang mencucuk-cucuk. Jarum jernih itu bertukar merah.

Dengan tangan menggeletar, Hogg menarik keluar Jarum Darah Naga dan memeriksanya dengan teliti.

Linley mengangkat kepalanya lalu memandang ke arah bapanya. Dia berasa sangat runsing. 'Adakah ketumpatan darah naga dalam badan saya mencukupi? Kenapa lama sangat Ayah merenung jarum itu?' Linley mendapat prarasa yang buruk

"Aduhai." Hogg meletakkan jarum itu di sisinya sambil menghela nafas yang berat.

Mendengar keluhan bapanya, Linley tahu ketumpatan darah naga dalam tubuhnya tidak mencapai tahap yang diperlukan. Air matanya terus mengalir.

"Linley, kenapa kamu menangis? Jangan menangis. Kamu anak yang baik. Jangan menangis." Hogg segera memeluk anaknya. Melihat air mata Linley, hatinya berasa sungguh sebak. Linley baru sahaja berusia enam tahun setengah. Dia masih kecil.

"Saya tak akan menangis. Betul. Saya tak akan menangis." Linley yang tersenguk-senguk cuba mententeramkan dirinya. "Ayah, maafkan saya. Saya telah menghampakan Ayah."

Hati Hogg berasa hangat mendengar kata-kata yang terucap dari bibir Linley. Dia memeluk Linley ke dadanya dengan erat. "Linley, jangan rasa bersalah. Ayah tidak meletakkan harapan yang tinggi pun. Selama lebih 1000 tahun dan 10 generasi sudah berlalu, tiada seorang pun dalam puak kita yang menjadi Pahlawan Berdarah Naga. Tak mengapa walaupun kamu gagal. Ayah tidak menyalahkan kamu pun."

Linley semakin tenang apabila terasa kehangatan pelukan bapanya itu.

Pada ketika ini, Wharton yang berusia dua tahun sudah lama tidur dalam dakapan Atuk Hiri.

"Linley, sekarang, ahli puak Baruch hanyalah Ayah, kamu dan adik kamu. Ayah tak meletakkan harapan yang tinggi. Ayah sendiri tak pernah terfikir menjadi Pahlawan Berdarah Naga." Hogg ketawa menyindir dirinya sendiri. Menjadi Pahlawan Berdarah Naga bukanlah tugasan yang mudah.

Linley mengangkat kepala dan menatap wajah bapanya.

Ayah Linley jarang sekali berbual mesra dengannya. Biasanya, bapanya akan bercakap dengan nada yang tegas dan sedikit keras.

Melihat deretan batu-batu roh tersebut, mata Hogg dipenuhi dengan kesedihan yang membelenggu. "Harapan Ayah sebenarnya ialah mendapatkan kembali harta pusaka puak kita yang diturunkan daripada generasi ke generasi."

"Harta pusaka puak kita? Apa dia? Kenapa saya tak pernah dengar tentangnya?" soal Linley kehairanan.

Hogg berkata dengan penuh bangga, "Harta pusaka keluarga kita ialah sebilah pedang yang dikenali sebagai 'Penyembelih'. Pedang itu senjata yang digunakan oleh pemimpin pertama puak Baruch, Pahlawan Berdarah Naga pertama di benua Yulan. Keturunan beliau membelot. Enam ratus tahun lalu, disebabkan kemiskinan, keturunan mereka yang sangat mencintai kemewahan telah menjual pedang pusaka kita untuk mendapatkan wang."

Ketika menceritakan kisah itu, Hogg berasa berang hingga menyebabkan badannya menggigil.

Sambil menggelengkan kepalanya Hogg berkata, "Setiap generasi selepas itu cuba untuk menjejak kembali senjata tersebut namun selama 600 tahun mencuba, tiada seorang pun yang berjaya. Senjata itu dijual dengan harga 180,000 syiling emas. 180,000 syiling emas! Mana mungkin kita punyai wang sebanyak itu? Jika ada pun, belum tentu pemilik senjata itu akan menjualnya kepada kita."

Puak purba Pahlawan Berdarah Naga telah menjual harta pusaka keluarga mereka.

Memalukan!

Perkara yang memalukan bagi puak Pahlawan Berdarah Naga!

Setiap generasi cuba mencari jalan untuk mendapatkan kembali pedang 'Penyembelih'. Akan tetapi, setelah enam ratus tahun mencuba tiada seorang pun yang berhasil menemuinya.

Sebagai pemimpin puak Baruch sekarang ini, Hogg juga menginginkan perkara yang sama tetapi keadaan ekonomi puak sangat teruk. 180,000 syiling emas? Walaupun mereka menjual manor Baruch dan semua harta milik mereka, ia masih tidak cukup untuk mendapatkan wang sebanyak itu.

Harta pusaka puak Baruch telah tiada. Perkara memalukan ini membelenggu Hogg. Dia berasa malu dan tidak berdaya dan dia tidak mampu untuk berhadapan dengan nenek moyangya.

Melihatkan wajah sayu Hogg, Linley cuba memujuk bapanya, "Ayah, janganlah bersedih. Saya berjanji, suatu hari nanti saya akan dapatkan semula harta pusaka puak kita dan bawa ia pulang ke manor ini."

"Kamu?" Hogg tertawa kecil. Matanya menatap Linley dengan penuh kasih. Jari-jemarinya mengelus rambut Linley.

Dalam hatinya, Hogg berkata, 'Linley, tahukah kamu apa yang kamu katakan itu juga diucap oleh Ayah kepada datuk kamu beberapa tahun lepas?' Usaha selama enam ratus tahun itu tidak berhasil. Mana mungkin tugasan sukar seperti itu berjaya ditunaikan? Pembeli pedang 'Penyembelih' juga pasti bukan sembarangan orang.

Tak mungkin mereka mahu menjualnya.

Jika mereka rela menjualnya, mampukah puak Baruch yang sangat lemah itu membelinya?

"Ayah tak percayakan saya?" Linley menyoal bapanya sambil mendongakkan kepala.

"Sudah tentu Ayah percaya akan kamu." Hogg ketawa.

Ayah dan anak lelakinya berpelukan. Hanya tiga orang sahaja yang tinggal dalam puak purba berdarah naga pada era ini. Bilakah agaknya puak yang sedang merosot ini akan kembali pada zaman kegemilangan mereka? Linley yang bersandar pada dada ayahnya pada ketika itu menggenggam buku limanya dengan erat!