Kata-kata Shi Feng mengelirukan semua ahli-ahli kumpulannya.
Bukankah itu cuma satu ngauman? Apa yang perlu diambil perhatian?
Apabila Shi Feng melihat ekspresi semua orang yang keliru, dia terus berkata dengan serius "Dengar sini kamu semua. Ngauman Neraka bukanlah satu perkara yang remeh. Sekejap sahaja lagi, ikut apa yang aku suruh semasa kita bergerak nanti. Jika sesiapa buat kesilapan, jangan salahkan aku kalau membuang dia keluar daripada kumpulan ini."
Setelah diceramah oleh Shi Feng, ahli kumpulan yang lain mula menjadi serius. Tiada siapa yang ingin keluar dari kumpulan ini.
"Kejap lagi, Cola dan aku akan berada di hadapan sekali. Salji Sepi, kau duduk di tengah-tengah dan lindungi Oracle. Si Hitam, kau dan Penyeru akan berjalan di belakang. Ingat, kau tidak boleh pecah formasi ini walau apa pun yang terjadi. Tanpa arahan dari aku, tiada siapa dibenarkan untuk menyerang dahulu, faham?" Shi Feng menerangkan asas formasi kepada keseluruhan kumpulan.
Alasan Shi Feng membiarkan Sateria Penjaga, Cola, berjalan di hadapan kerana dia telah suruh Cola menambah Mata Atribut Percumanya kepada Ketahanan. Sekarang HP-nya mencecah 310 mata. Dengan HP sebanyak ini, Cola boleh bertahan dengan lebih lama, membantu meringankan beban Shi Feng.
Dungeon dalam Kawasan Tuhan tidak sama dengan Dungeon dalam permainan maya yang lain. Darjah kebebasan dalam Dungeon ini adalah tinggi, dan Dungeon itu, sendiri, sangat luas. Terdapat satu kumpulan yang telah berkeliaran di dalam Dungeon berjam-jam tanpa bersemuka dengan mana-mana Bos sekali pun. Walaupun Hutan Maut tidaklah sebesar itu, masih mustahil untuk sesat dalam hutan yang gelap dan suram itu.
Jikalau seseorang itu sesat...
Shi Feng cuma mampu tertawa kecil 'hihi'.
Bahagian yang menakutkan dalam Hutan Maut ini ialah pemain boleh menjadi sesat selepas menjejakkan kaki ke dalam hutan itu. Selepas itu, pemain akan mati secara misteri satu persatu. Dalam kehidupan Shi Feng sebelumnya, ada ramai pemain yang masuk ke dalam hutan dan mati lagi dan lagi dengan cara yang pelik tanpa sempat bersemuka walaupun dengan bayang-bayang raksasa. Jika mereka bernasib baik untuk menemui seekor raksasa, maka kesudahannya ialah penghapusan satu kumpulan. Selepas ramai pakar daripada Persatuan telah mula meneroka, barulah orang lain mula faham betapa ngerinya Hutan Maut ini. Mereka mula sedar Dungeon merupakan tempat yang menggerunkan dan mustahil untuk dilepasi sebelum capai Tahap 5.
Apabila Bayang-bayang telah mencapai Tahap 5, mereka telah menubuhkan ratusan pemain untuk meninjau laluan di dalam Hutan Maut. Mereka telah mengorbankan ratusan nyawa untuk mula memahami peta Hutan Maut.
Keseluruhan Hutan Maut terdapat tiga puluh enam laluan. Akan tetapi, hanya tiga dari itu akan membawa kepada Bos yang pertama, Willie. Tiga laluan ini berlantaikan banyak nyawa pemain. Dua daripadanya pula sangat berbahaya. Tanpa kekuatan yang secukupnya, kematian akan menjadi satu-satunya perkara yang mereka dapat. Hanya terdapat satu laluan dengan bilangan raksasa yang sedikit.
Dibawah pimpinan Shi Feng, mereka berjalan masuk ke dalam hutan belantara itu.
Di saat melangkah masuk hutan itu, mereka terlihat laluan yang sangat banyak. Mereka sendiri tidak pasti laluan sebetulnya. Namun, Shi Feng telah memilih satu jalan tanpa ragu-ragu. Semua orang mengikut rapat Shi Feng sambil berjaga-jaga dengan persekitaran mereka.
Selepas berjalan selama lima minit, mereka terjumpa raksasa pertama mereka. Tiba-tiba, semua menjadi sangat cemas.
"Jangan bertindak melulu. Dengar arahan aku." Shi Feng menjerit dengan kuat.
Di hadapan mereka cuma seekor raksasa Elit Tahap 2, Arnab Malam. Tetapi, disebabkan tambahan kekuatan daripada Dungeon, Serangan, Pertahanan, dan HP-nya ditingkatkan dengan banyak. HP-nya melonjak kepada 700 mata.
"Cola, kau umpan raksasa itu. Oracle, tumpukan perhatian kepada penyembuhan. Semua orang, jangan mulakan serangan tanpa arahan," Shi Feng dengan cepat mengeluarkan perintah.
Sateria Penjaga, Cola menelan air liur. Dia berjalan dengan perlahan ke arah jarak serangan Arnab Malam. Mereka mula rasa sangat gementar. Walaupun raksasa itu cuma Tahap 2, tetapi mereka sedang berada dalam Mod Neraka dalam Dungeon ini.
Walau bagaimanapun, semua orang gementar dengan sia-sia. Pada saat Arnab Malam yang tingginya setinggi badan manusia terlihat Cola, dia cepat-cepat menyerang mereka.
Cola telah berjaya mengumpan Arnab Malam itu datang ke arahnya. Tambahan pula, dia tidak panik sewaktu mengumpannya. Dia berundur sambil bertahan menggunakan perisainya setiap serangan daripada Arnab Malam itu. Tetapi, walaupun setiap serangan mendarat atas perisai, kemusnahan yang terhasil sangat menggerunkan, satu serangan menghasilkan 42 kemusnahan. Pada masa Cola mula tiba di hadapan kumpulan, HP-nya sudah jatuh dua pertiga dari HP penuhnya.
Oracle, yang bernama Sloth Mengantuk, seorang yang mempunyai kesedaran yang baik. Dia telah memberi rawatan sebaik sahaja masuk ke dalam kawasan jampian. Namun, setiap penyembuhan yang diberikan hanya menambah 24 HP kepada Cola; langsung tidak cukup untuk menghalang HP Cola dari jatuh.
"Abang Feng, kita masih belum boleh serang?" Si Hitam sedikit gementar. Pada masa ini, HP Cola yang tersisa belum mencapai satu pertiga daripada jumlah sebenar.
Membawa masuk seorang Oracle ke dalam Dungeon ialah satu kesilapan. Antara kerjaya Perawat, Oracles ialah yang paling lemah dalam teknik penyembuhan. Akan tetapi, memandangkan Shi Feng telah memilihnya, Si Hitam hanya mampu berserah. Sekarang MT mereka hampir sahaja mati, tidak boleh diterima jika mereka masih belum menyerang balas.
"Tunggu dulu." Shi Feng berkata dengan tekad.
Masa berlalu sedikit demi sedikit. Cola berterusan menggunakan perisainya untuk menahan cakaran daripada Arnab Malam, sementara HP-nya terus berkurangan. Cola hanya mempunyai 20% HP lagi, namun Shi Feng masih belum memberi arahan untuk menyerang.
Baru sahaja mereka menyangka Shi Feng sudah mula berputus asa pada Cola, satu anak panah terbang menerusi hutan, menembak tepat ke arah Oracle kumpulan mereka, Sloth Mengantuk. Salji Sepi tidak membalas langsung semasa Sloth Mengantuk ditembak tepat pada dadanya. Satu kemusnahan yang sangat besar bernilai -123 mata muncul.
Pada masa ini, Shi Feng menjerit, "Sloth, gunakan Bayaran Nyawa. Gunakan kemusnahan yang kau terima untuk menyembuhkan Cola. Si Hitam, tahan Arnab Malam itu supaya Cola boleh pulih semula. Sepi, ikut aku. Orang lain serang Arnab Malam."
Oracle sememangnya lemah dalam penyembuhan. Tetapi, Oracles mempunyai HP yang tinggi; mereka tidak mudah dibunuh dengan satu serangan sahaja. Dan juga, Oracle mempunyai dua kemahiran ketika mula bermain. Salah satunya Doa Nyawa, dan satu lagi Bayaran Nyawa. Bayaran Nyawa boleh menukarkan kemusnahan yang diterima oleh pengguna untuk menyembuhkan pemain lain. Pada peringkat awal permainan, perawat tidak memiliki apa-apa kemahiran ataupun kelengkapan. Dalam keadaan tersebut, Oracle mempunyai kelebihan yang besar berbanding perawat yang lain sewaktu masuk ke dalam Hutan Maut. Itulah sebabnya Shi Feng telah tawar hati memilih Pendeta berbanding Oracle.
Selepas memberi arahan, Shi Feng berlari masuk ke dalam hutan.
"Kau fikir aku akan lepaskan kau?" Shi Feng berkata dengan kejam sambil melihat kepada bayang-bayang hitam yang sedang berlari masuk ke dalam hutan.
Bilah Angin!
Shi Feng bertukar menjadi bayangan, mengejar terus ke hadapan.
Antara sebab Shi Feng tidak membenarkan sesiapa menyerang Arnab Malam itu kerana ingin menggunakan Cola sebagai umpan. Shi Feng ingin memancing keluar entiti gelap yang bersembunyi di sebalik kejadian.
Walaupun Arnab Malam kelihatan menakutkan, sekumpulan Elit mampu berhadapan dengan dua atau tiga sekali gus tanpa sebarang masalah. Namun, dalam kehidupan Shi Feng yang lepas, yang menjadi sebab satu kumpulan pemain Tahap 5 dihapuskan keseluruhannya adalah disebabkan bayang-bayang gelap di hadapan Shi Feng itu. Bayang-bayang gelap itu menggunakan Arnab Malam sebagai umpan, membiarkan pemain menyerangnya. Dalam masa yang sama, bayang-bayang gelap itu, akan menyerang hendap penyembuh dari arah belakang. Sewaktu Arnab Malam sedang sibuk menyerang yang lain, tiada siapa yang menjaga penyembuh. Akhirnya, semua orang mati.
Di dalam Hutan Maut, jika pemain tidak uruskan entiti ini, hasilnya tetap menjadi penghapusan sekumpulan.
Dengan penambahan Kelajuan Pergerakan daripada Bilah Angin, Shi Feng dengan pantas memintas bayang-bayang gelap itu. Shi Feng menghayunkan tiga kali pedangnya menghasilkan tiga belahan, lalu menyekat laluan bayang-bayang gelap itu maju.
Bayang-bayang gelap itu sedar dia tidak mampu melepaskan diri. Dia dengan segera berpaling, membuka sarung sepasang pisaunya untuk menangkis serangan daripada Shi Feng.
Dang! Dang! Dang!
Dengan Bilah Neraka, kekuatan Shi Feng sangat mengejutkan. Serangannya membuatkan bayang-bayang gelap itu berundur tiga langkah ke belakang, dan setiap langkahnya disusuli dengan kemusnahan yang melebihi -10 mata. Akhirnya, bayang-bayang gelap itu menunjuk bentuk tubuhnya di bawah sinaran cahaya bulan.
[Renjer Malam] (Elit Istimewa)
Tahap 2
HP 1458/1500
Melihat Renjer Malam itu terseret ke belakang, Shi Feng dengan cepat menggunakan Pengikat Neraka tanpa memberinya peluang. Sembilan rantai hitam pekat muncul lalu mengikat Renjer Malam itu, menghalangnya daripada bergerak selama 3 saat, dan Pertahanannya berkurang sebanyak 100%.
Panahan Kilat!
Tetakan!
Kemusnahan sebanyak -81, -98,-119,-124 muncul. Apabila dua kemahiran itu terkena padanya, satu jumlah kemusnahan yang sangat besar muncul, meragut suku daripada HP Renjer Malam.
Tidak kira betapa kuatnya Renjer Malam, dia tidak mampu melepaskan diri daripada cengkaman sembilan rantai. Dia hanya mampu berdiam menahan pukulan selama 3 saat.
Shi Feng berhabis-habisan ketika menghasilkan belahan pedang satu demi satu, menembusi titik penting di bahagian dada Renjer Malam. Sewaktu Renjer Malam telah bebas dari cengkaman itu, baki HP-nya tidak melebihi 700 mata.
"Manusia sial!" Renjer Malam mengamuk. Dia menghayunkan bilah berkembarnya itu menghasilkan angin yang kencang, menyelubungi seluruh badan Shi Feng.
Pada waktu ini, Salji Sepi akhirnya muncul. Satu Rempuhan daripadanya menyebabkan Renjer Malam terus pengsan, pada masa yang sama memecahkan kepungan angin kencang berbentuk bilah tadi.
Shi Feng mengambil peluang ini untuk menetak leher Renjer Malam.
Salji Sepi turut menghayunkan kapak besarnya pada Renjer Malam.
Semasa Renjer Malam mula sedar, dia hanya mempunyai sedikit HP sahaja lagi. Renjer Malam itu dengan ganas menetak bilah berkembarnya ke arah Salji Sepi, membuatkan dia terpelanting ke belakang dan menghasilkan kemusnahan sebanyak 64. Renjer Malam itu menoleh dan merenung Shi Feng, sekali lagi menghayunkan bilah berkembarnya dan membelah secara melintang kepada leher Shi Feng.
Dang! Shi Feng Tepis menggunakan pedangnya. Tanpa memberi Renjer Malam sebarang peluang untuk membalas serangan, Shi Feng mengangkat renjer itu dan membalingnya ke belakang. Selepas itu, diikuti oleh beberapa serangan pedang oleh Shi Feng, menamatkan nyawa Renjer Malam tersebut.
Shi Feng dengan senang mengambil dua barang yang dijatuhkan, kemudiannya berlari ke arah lokasi Cola untuk memberi bantuan.
Ditinggal di situ, Salji Sepi terpegun melihat ketangkasan serangan Shi Feng. Jantungnya dipenuhi dengan kejutan, membuatkan Salji Sepi sudah lupa untuk mengikut Shi Feng memberi bantuan.
Ada juga cara seperti itu untuk membunuh raksasa?