Chereads / Pertarungan Menerusi Syurga / Chapter 8 - Tokoh Misteri

Chapter 8 - Tokoh Misteri

Xiao Yan yang kecewa meninggalkan dewan dengan penuh emosi. Dia menyambung rutin hariannya dan mendaki gunung di belakang bangunan puaknya dengan perlahan. Setibanya di atas, Xiao Yan duduk di puncak dan melihat jauh ke arah gunung-ganang yang dilitupi kabus. Di sebalik kabus itu, ialah Banjaran Gunung Raksasa Magik milik empayar Jia Ma.

"Hmmmm, kuasa ah… Di dunia ini, tanpa kuasa, nilai awak macam najis! Sekurang-kurangnya, tiada sesiapa yang akan pijak najis itu." Menghayun bahunya, suara pemuda yang lembut itu seolah-olah mengejek diri sendiri bergema ke seberang gunung-ganang, mengisi udara dengan kesedihan.

Xiao Yan menarik rambut dan menggigit bibir sehingga berdarah. Sungguhpun dia tidak membenarkan emosi mengawal dirinya di dewan, kata-kata Nalan Yanran menusuk hatinya seperti pisau tajam.

"Aku tidak akan dicaci sebegitu lagi!" Suara Xiao Yan serak tetapi tegas. Dia membuka tangan kirinya. Parut berdarah pada hari itu masih kelihatan.

"Hehe, budak, nampak macam awak perlukan bantuan."

Selepas Xiao Yan berjanji pada dirinya, hilaian ketawa yang pelik kedengaran.

Muka Xiao Yan bertukar dan berpusing ke belakang dengan segera. Dengan pandangan yang tajam, dia mengimbas persekitaran tetapi tidak nampak bayangan sesiapa…

"Hehe, tak payah cari, saya di jari awak."

Apabila Xiao Yan berfikir dia sedang berhalusinasi, tawa itu kedengaran sekali lagi.

Mata Xiao Yan mengecil dan melihat cincin hitam yang dipakainya.

"Kau boleh bercakap?" Xiao Yan cuba menenangkan suara dia dan jantungnya yang sedang berdebar.

"Budak, awak ini nampak tenang juga. Macam tak takut saja." Ejek cincin hitam tersebut.

"Kau ini siapa? Kenapa kau berada di dalam cincin aku? Apa yang kau cuba lakukan?"

Selepas menenangkan dirinya, Xiao Yan bertanya soalan yang penting.

"Siapa saya? Awak tidak perlu tahu. Saya tidak akan mengapa-apakan awak. Hahaha, selepas bertahun, saya telah menjumpai seorang yang mempunyai roh yang begitu kuat. Nasib aku! Hehe, saya patut berterima kasih dengan sumbangan awak selama tiga tahun ini, kalau tidak saya masih tertidur."

"Sumbangan?" Mata Xiao Yan berkelip kebingungan. Selepas seketika, muka dia bertukar hitam dan berkata: "Dou Qi aku…. Perbuatan kau?"

"Hehe, saya kena berbuat demikian, awak jangan marah saya."

"Jahanam kau!"

Xiao Yan yang biasanya tenang tiba-tiba menjadi marah seperti orang tidak siuman. Mukanya yang kecil penuh dengan kemarahan dan tanpa berfikir, dia mengeluarkan cincin itu dan membuangnya di tebing sekuat-kuat hatinya. Walaupun cincin itu merupakan peninggalan mendiang ibunya yang terakhir, dia tidak kisah.

Semasa cincin itu meninggalkan tangannya, fikiran Xiao Yan akhirnya tenang. Dia cuba untuk menangkap cincin yang sedang terbang itu tetapi cincin itu sudah meluncur jauh melintasi tebing dan jatuh ke bawah gunung…

Melihat cincin itu hilang di kabus, Xiao Yan terpegun untuk masa yang lama. Akhirnya, dia menyedari perbuatannya. Dia menepuk dahinya lalu berkata: "Bodoh, terlalu gelojoh, terlalu gelojoh!"

Reaksi Xiao Yan tidak mengejutkan. Selepas memakai cincin itu untuk tiga tahun, rupa-rupanya cincin itu merupakan sebab utama dia dihina oleh semua orang.

Xiao Yan menggeleng kepala selepas duduk di pinggir tebing untuk masa yang panjang. Dia berdiri dan bersedia untuk meninggalkan tempat itu tetapi matanya terbeliak sambil menghalakan jarinya yang menggigil ke sesuatu di depannya.

Cincin hitam itu sedang terapung di depan Xiao Yan. Tetapi apa yang paling mengejutkan Xiao Yan ialah rangka orang tua lut sinar di atas cincin itu…

"Hehe, budak, awak tidak perlu marah sangat kat saya, kan? Saya cuma mengambil Dou Qi awak selama tiga tahun." Orang tua lut sinar itu tersenyum sambil melihat Xiao Yan yang sedang terpegun.

Xiao Yan mengetap bibirnya sambil menahan rasa marah. Dia kata: "Orang tua, kalau awak sedang sembunyi di dalam cincin saya, awak patut tahu kepahitan yang saya lalui oleh sejak awak mengambil Dou Qi saya kan?"

"Tetapi dengan penghinaan tiga tahun ini, awak telah menjadi matang, betul ke tidak? Awak ingat kalau tiga tahun yang lalu, awak akan mempunyai toleransi dan kematangan ini?"

Kening Xiao Yan berkerut tetapi emosinya menjadi lebih tenang. Walaupun dia marah, dia gembira kerana dia tahu bakatnya sudah kembali!

Memikir tentang peluangnya untuk melenyapkan gelaran si lumpuh yang diberi oleh orang ramai kepadanya, Xiao Yan rasa seperti telah dilahirkan semula. Orang tua yang berada di depannya tidak nampak begitu menyakitkan hatinya seperti tadi.

Selepas kehilangan sesuatu, seseorang itu akan mula menghargai nilainya. Selepas hilang dan mendapat kembali barang itu, ia akan lebih dihargai.

Xiao Yan menghembus nafas yang panjang sambil memintal pergelangan tangannya lalu berkata: "Sungguhpun saya tidak kenal awak, saya ingin tahu kalau awak merancang untuk terus tinggal di dalam cincin saya dan mencuri Dou Qi saya. Kalau begitu, awak carilah pemilik yang baru sebab saya tidak mampu menjaga awak."

"Hehe, orang lain tidak mempunyai Pengertian Roh seperti awak." Orang tua itu membelai janggutnya: "Saya telah memilih untuk muncul di depan awak, jadi saya tidak akan mengambil Dou Qi awak tanpa kebenaran"

Xiao Yan seperti tidak percaya dengan janji orang tua itu tetapi tidak berkata apa-apa. Dia sudah memutuskan tidak kira apa, dia tidak akan menyimpan cincin tersebut.

"Budak, awak nak menjadi lebih kuat? Awak nak dihormati?" Sungguhpun Xiao Yan telah memutuskan untuk tidak mempunyai sebarang kaitan dengan orang tua itu, jantungnya mula berdebar dengan pantas apabila dia terdengar kata-kata tersebut.

"Saya sudah tahu punca kehilangan Dou Qi dan dengan bakat yang saya ada, kenapa saya memerlukan awak untuk menjadi kuat?" Menghembus nafasnya, Xiao Yan berkata dengan lancar. Memang ada "udang di sebalik batu". Dia tahu ini bukan langkah yang bijak.

"Budak, sungguhpun awak berbakat, umur awak sudah 15 dan Dou Qi awak masih di 3 Duan. Saya terdengar bahawa upacara kedewasaan awak akan dijalankan pada tahun hadapan, betul? Awak fikir awak boleh menjadi 7 Duan Qi dalam masa satu tahun dengan bakat dan usaha awak? Tambahan pula, perempuan yang awak cabar dalam tiga tahun ini bukan calang-calang orang. Awak nak memintas dia, kan? Ia bukan perkara yang senang." Muka orang tua itu penuh dengan kedut seperti sekuntum bunga kekwa.

"Kalau awak tidak mengambil Dou Qi saya, awak ingat perkara ini akan berlaku? Jahanam kau!" Muka Xiao Yan sekali lagi menjadi gelap apabila orang tua itu mendedahkan kelemahannya. Xiao Yan mula menyumpah.

Selepas itu, Xiao Yan seolah-olah putus harapan. Dalam situasinya sekarang, tidak kira dia bersumpah beberapa kali pun, situasinya tidak akan berubah. Untuk melatih Dou Qi mesti mempunyai asas yang kuat. Pada umur empat tahun, ia mengambil masa selama 6 tahun untuk mencapai 9 Duan Qi. Dengan bakatnya pun, untuk menjadi 7 Duan Qi dalam masa satu tahun adalah mustahil.

Xiao Yan melihat orang tua yang berlagak itu. Dia bertanya: "Awak ada jalan penyelesaian?"

"Mungkin." Orang tua itu menjawab sambil lewa.

"Kalau awak tolong saya mendapatkan 7 Duan Qi dalam masa satu tahun, saya akan memaafkan awak mencuri Dou Qi saya selama tiga tahun. Macamana?" Xiao Yan bertanya.

"Hehe, awak sedang berangan-angan, budak."

"Kalau awak tidak dapat menolong saya, kenapa saya perlu menyimpan awak lagi? Awak patut mencari orang lain yang tidak bernasib baik…" Xiao Yan tahu bahawa orang tua lut sinar tersebut tidak akan mencuri Dou Qi daripada sesiapa sahaja. Xiao Yan tahu dia mempunyai sedikit kuasa dalam perundingan ini.

"Umur awak belum pun sampai 15 tahun, budak. Tiga tahun ini telah menolong awak menjadi lebih pandai. Adakah rancangan saya gagal?' Melihat kebijaksanaan Xiao Yan, orang tua itu berhenti seketika lalu menggeleng kepalanya.

"Mulut awak tajam sangat budak kecil. Baik, baik, lagipun, saya perlu bantuan awak." Tanpa pilihan yang lain, orang tua itu mengangguk dan turun ke lantai dengan perlahan. Selepas memeriksa Xiao Yan untuk seketika, satu senyuman nakal terukir di bibirnya. Tetapi senyuman itu hilang dan orang tua itu berfikir untuk seketika sebelum bertanya dengan berat hati: "Awak nak jadi seorang ahli alkimia tak?"