Liu Hao turut tersentak. Dia kelihatan seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Setelah beberapa ketika, dia memulihkan diri dan tersenyum: "Sungguh tak disangka. Abang Ye rupanya. Abang, kamu di sini… sebagai pengurus kafe?" Liu Hao bertanya dengan nada 30% terkejut dan 30% memerli.
"Ya!" Ye Xiu ketawa.
"Oh oh, macam mana kerja ni? Susah tak? Berapa gaji kamu setiap bulan?" Liu Hao bertanya seolah-olah dia sangat mengambil berat tentang Ye Xiu.
"1800!" jawab Ye Xiu. Di kafe internet milik Chen Guo ini, kebanyakan pekerja mempunyai gaji 1500 yuan termasuk makanan dan tempat tinggal. Untuk seseorang yang baru sahaja bekerja seperti dia, gaji ini boleh tahan juga. Ye Xiu memperoleh 300 yuan lebih banyak kerana dia bekerja syif malam.
"Wah!" Liu Hao berlakon seperti dia sangat risau. "1800! Cukup ke? Kamu ada duit tak nak beli rokok setiap bulan? Kalau tak cukup, janganlah segan-silu. Datang saja cari kami. Kami bukannya jauh sangat pun. Kamu cuma perlu merentasi jalanraya dan berjalan ke depan sedikit, betul tak?" kata Liu Hao.
"Okey!" Ye Xiu berkata seolah-olah semuanya biasa sahaja. Tang Rou pula dapat mengesan yang ini bukan perbualan biasa. Ada yang tidak kena dengan nada pelanggan ini. Dia memalingkan kepala dan bertanya Ye Xiu: "Kawan kamu ke?"
Baru sahaja Ye Xiu hendak menjawab, Liu Hao mencelah: "Hei! Janganlah melebih-lebih sangat mengatakan kami kawan kamu. Manalah kami layak berkawan dengan Abang Ye? Lebih tepat dikatakan yang kami semua orang suruhan Abang Ye,"
Ye Xiu terus membisu seperti sebelumnya. Pandangan matanya tertumpu tepat pada Liu Hao.
Liu Hao segera berundur selangkah ke belakang dan menunjukkan wajah risau: "Wah! Pandangan itu! Pandangan itu lagi! Kamu tahu tak, bila Abang Ye menunjukkan pandangan macam itu, ia bermakna dia nak mengajar saya! Oh tidak oh tidak oh tidak,"
Ketua persatuan Excellent Dynasty segera mengambil kesempatan untuk berkata: "Abang Hao, dia dah tak boleh ajar kamu lagi, betul tak?"
"Betul!" Liu Hao menunjukkan reaksi berlebih-lebihan sekali lagi. "Macam mana saya boleh lupa. Kamu bukan lagi kapten pasukan! Oh tidak, apa kamu nak buat sekarang? Abang Ye, kamu mesti nak meleter pada saya kan? Tapi sayangnya! Saya tak perlu mendengarkan kata-kata kamu lagi. HA HA HA HA,"
"Encik, encik minum banyak sangat ke?" Tang Rou mengeluarkan nada kasar yang jarang digunakannya.
"Si cantik, kamu jangan risau. Ini masalah peribadi antara saya dan dia," Liu Hao sudah tidak berminat untuk mengenali Tang Rou.
Ye Xiu ketawa. Dia mengeluarkan rokok dari mulut dan memadamkannya. Dia perlahan-lahan berdiri dan berkata kepada Liu Hao: "Saya selalu marah kamu dulu sebab kamu sering melakukan kesilapan. Kamu tak nak dimarahi, tetapi kamu selalu memaksa saya memarahi kamu, betul tak?"
Tang Rou ketawa. Chen Guo memang betul! Ye Xiu sangat berbakat dalam membuat orang lain naik marah.
Liu Hao memang naik marah mendengarkan kata-kata Ye Xiu. Lakonannya sebelum ini terus hilang. Urat berwarna biru muncul di kepalanya dan dia meletakkan mukanya betul-betul di hadapan muka Ye Xiu: "Saya selalu memaksa kamu? Atau kamu yang selalu memaksa saya? Dari hari pertama saya menyertai pasukan, kamu sentiasa menghalang saya dan tak pernah memberikan peluang untuk saya menonjolkan diri. Saya tahu kamu takut pada saya. Kamu takut bila saya diberikan peluang, saya akan merampas kedudukan kamu. Tapi, kamu ingat kamu boleh sentiasa menghalang saya? Sekarang macam mana? Saya yang kekal dalam pasukan. Kamu yang telah disingkirkan! Sekarang saya timbalan kapten. Kamu sekadar pengurus Kafe. 1800 setiap bulan. Ha ha ha. Kelakar, terlalu kelakar!! HA HA HA HA,"
Ye Xiu merenung tanpa bersuara. Dia diam membisu. Liu Hao terus ketawa dengan kejam. Chen Yehui turut tersenyum bersama-sama. Wang Ze dan Fang Fengran pula bersembunyi di belakang mereka, tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun.
"Kamu berdua!" Ye Xiu tiba-tiba membuka mulutnya.
Liu Hao serta-merta berhenti ketawa. Dia mahu mendengar apa yang ingin Ye Xiu katakan. Pada akhirnya, Ye Xiu mengibas-ngibaskan tangannya dan pandangan matanya tertumpu kepada arah belakang Liu Hao: "Tepi. Saya bukan bercakap dengan kamu,"
Liu Hao memusingkan kepala dan melihat. Di belakangnya adalah Wang Ze dan Feng Fengran, tetapi mustahil dia akan ke tepi biarpun diarahkan oleh Ye Xiu. Akhirnya, Ye Xiu tidak mempedulikan dia dan terus menyambung. "Kamu berdua bermain dengan teruk hari ini. Wang Ze, kamu terlalu mementingkan permainan yang cantik. Kamu melakukan terlalu banyak gerakan yang tidak diperlukan, ini membuatkan pihak lawan menemui ruang untuk menyerang. Sebenarnya, pihak lawan kamu hari ini satu contoh yang baik untuk dipelajari. Ringkas dan praktikal. Jika kamu boleh bermain macam dia, ditambah dengan kemahiran dan rentak kamu yang halus, kamu tidak akan kalah pada sesiapa pun. Fan Fengran, kamu pula terlalu berhati-hati. Kamu terlalu risau pada kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Sebagai pemain profesional, kamu sepatutnya tahu tidak ada banyak bezanya antara kepantasan reaksi dan kepantasan tangan seorang pemain profesional dengan seorang pemain profesional yang lain. Ada waktunya yang kamu perlu bergantung pada intuisi sewaktu melakukan keputusan. Intuisi bukanlah sesuatu yang buruk, ia bergantung pada pengalaman permainan yang telah kamu kumpulkan.
Wang Ze dan Fang Fengran terpinga-pinga mendengarkannya. Mereka tidak tahu bagaimana hendak membalas. Jawab? Atau tidak menjawab? Akhirnya, mereka hanya mampu menundukkan kepala.
"Hey!" Liu Hao tiba-tiba bersuara: "Apa yang kamu buat? Kamu ingat kamu masih kapten pasukan? Apa kelayakan kamu untuk mengajar ahli pasukan saya? AH??"
"Dan kamu," Ye Xiu memandang pada Liu Hao. "Apabila tenaga Sun Xiang melebih-lebih banyaknya pada pusingan kedua, kamu tak sedar ke? Bila dia bergantung sepenuhnya pada kekuatan individu sewaktu pertarungan kumpulan, kamu tak berikan dia amaran ke? Kamu ada rancangan untuk menguruskan kombo Yang Cong dan Xu Bin?"
"Saya…"
"Saya selalu marah kamu sebab kamu banyak buat silap. Saya tak benarkan kamu bermain sebab kamu belum mencapai tahapnya lagi. Tapi saya harus mengaku yang kamu agak berbakat. Kamu berjaya meningkat sehingga ke tahap sekarang. Memandangkan kamu sudah mencapai tahap ini, bermainlah betul-betul. Bukan mudah nak jadi pemain profesional. Kekuatan, kamu perlukan kekuatan sejati. Kamu boleh lakukannya!"
"Pergi, matilah…"
"Okey, kamu berempat boleh balik!" Ye Xiu membuat keputusan untuk menghalau mereka semua.
"Apa yang kamu buat? Kami datang untuk menggunakan internet. Bagi kami berempat stesen komputer!!" Liu Hao menjerit.
Ye Xiu mengambil suratkhabar dan menggulungkannya. Dia pergi ke arah dinding dan mengetuk pada sesuatu. Tetapi lampu kurang terang, jadi ia sukar untuk dilihat.
"Adik Tang, nyalakan lampu di sini," Ye Xiu memusingkan kepalanya.
"Baik!" Tang Rou bersetuju. Setelah lampu dinyalakan, Ye Xiu sekali lagi mengambil suratkhabar dan mengetuk pada notis di dinding. Dia memalingkan kepala dan berkata pada Liu Hao: "Nampak tak? Kafe internet ini berhak untuk enggan melayan orang mabuk. Saya minta maaf, kamu berempat,"
"KAMU!!!" Liu Hao naik marah. Mereka memang telah minum sedikit, tetapi masih belum mabuk lagi. Mana boleh mereka dianggap sebagai orang mabuk! Jelas sekali Ye Xiu sedang berlebih-lebihan!
Liu Hao hendak terus membantah tetapi Ye Xiu berkata: "Jangan bising. Kamu semua ini boleh dianggap sebagai tokoh masyarakat. Kalau kamu terus bising-bising, tak elok untuk reputasi kamu,"
Setelah selesai berkata-kata, Ye Xiu mengambil sebatang rokok dari poket, menyalakannya dan meletakkannya di dalam mulut.
Liu Hao merenung tajam pada Ye Xiu. Akhirnya, dia mengetap gigi dan berpaling: "Kami akan beredar!!"
"Saya takkan hantar kamu," Ye Xiu terus merokok. Matanya kekal pada mereka sewaktu mereka keluar.
Tang Rou sudah lama berhenti bermain. Dia memerhatikan seluruh adegan di hadapan matanya. Setelah Ye Xiu menghembuskan asap, Tang Rou perasan yang wajahnya kelihatan sedih sebentar sebelum kembali kepada riak wajah biasanya, riak wajah yang malas dan seperti separuh mati.
"Siapa mereka?" Tang Rou bertanya.
"Bekas ahli kumpulan," Ye Xiu berkata dengan tidak berperasaan.
"Pemain profesional Glory?" Tang Rou bertanya lagi.
"Ya," Ye Xiu menjawab.
"Mereka terkenal ke?"
"Agak terkenal juga. Kamu kata yang kamu tidak kenal mereka, jadi mereka agak malu tadi, tahu tak?" Ye Xiu tersenyum.
"Saya tak boleh buat apa-apa tentang itu," kata Tang Rou. "Saya hanya kenal dua orang pemain profesional dalam Glory. Guo Guo sering bercakap tentang mereka. Seorang dipanggil Su Mucheng, seorang lagi pula Ye Qiu,"
"Ha ha." Ye Xiu ketawa.
"Terutama sekali Su Mucheng. Guo Guo sangat menyukai dia! Dia ada beberapa poster Su Mucheng tergantung di dinding biliknya!" kata Tang Rou.
"Oh? Rasanya masih ada lagi kan, poster itu?" Ye Xiu mengimbas kembali.
"Kamu pernah masuk dalam bilik Guo Guo?" Tang Rou terperanjat.
"Sekali, bila saya tolong bawakan dia selimut," Ye Xiu segera menjelaskan supaya dia tidak disalah anggap sebagai seorang lelaki yang mencuri barang dari bilik seorang wanita.
"Oh, dia tertidur di sofa lagi ke?" Tang Rou tahu apa yang dikatakan Ye Xiu.
"Ya, dia selalu macam itu ke?" Ye Xiu bertanya.
"Hampir setiap hari. Saya rasa, sekarang pun dia sedang tidur di sofa…" kata Tang Rou.
"Kamu tak nak pergi tengokkan dia?" tanya Ye Xiu.
"Abang seorang diri, tak apa ke?"
"Saya? Kamu risaukan saya ke?" Ye Xiu bertanya.
"Mereka…"
"Ha ha. Jangan risau, perkara kecil saja. Saya boleh mengharungi apa sahaja!" Ye Xiu ketawa.
"Baguslah kalau macam itu," kata Tang Rou lalu naik ke tingkat atas. Ye Xiu melihat arah belakangnya dan tersenyum. Gadis ini baik hati. Dia risaukan Ye Xiu dan berbual dengannya supaya dapat melegakan hati Ye Xiu.
Tang Rou naik ke atas dan turun tidak lama kemudian. Dia berkata: "Sangkaan saya tepat sekali. Dia tertidur di sofa,"
"Tsk tsk," Ye Xiu mengeluh. Tangannya sudah pun fokus untuk bermain.
Tang Rou juga terus menyambung perjalanannya di dalam 'dungeon'. Setelah bermain seketika, dia tiba-tiba bertanya: "Adakah mereka akan datang balik kemudian?"
"Tidak," jawab Ye Xiu.
"Kenapa? Saya rasa memandangkan mereka sudah tahu yang kamu bekerja sebagai pengurus di sini…" Tang Rou tidak menghabiskan kata-katanya. Dia tahu yang Ye Xiu cukup jelas dengan perangai kesemua lelaki itu. Mereka akan memperlakukannya sebagai orang gaji di dalam kafe internet ini.
"Sebab ia akan membuatkan mereka tidak selesa," kata Ye Xiu.
"Kenapa pula tak selesa?" Tang Rou tidak faham.
"Cuba bayangkan. Jika seorang pemain bolasepak profesional yang terkenal muncul di sebuah padang bola, apa yang akan terjadi?" tanya Ye Xiu.
"Oh…"
"Sama juga. Kafe internet ini tempat di mana para pemain Glory berkumpul. Jika mereka tiba-tiba muncul di sini, apa akan terjadi? Pasti akan ada ramai orang yang mengerumuni mereka. Mereka pasti tidak selesa pada ketika itu berbanding saya," Ye Xiu ketawa.
"Saya faham,"
"Jangan risau tentang itu. Cepat naikkan tahap," kata Ye Xiu.
"Saya sudah tahap 20," Tang Rou mengumumkan.
"Oh?" Ye Xiu memusingkan kepalanya. Soft Mist memang sudah mencapai tahap 20.
"Tukar kelas watak kamu kemudian pergi ke Hutan Fros," kata Ye Xiu.