'Quest' untuk mengubah kelas agak sukar untuk pemain baru. Ia perlu dicuba berkali-kali sebelum berjaya. Tetapi bagi Tang Rou yang mempunyai kelajuan tangan pantas, ia langsung tidak sukar. Dia menyelesaikan 'quest' tersebut dengan mudah dan Soft Mist secara rasminya menjadi seorang Battle Mage.
"Kamu ada di mana?" Tang Rou bertanya pada Ye Xiu.
Ye Xiu menghantar koordinat kepadanya. Dia, Seven Fields dan Sleeping Moon sedang bergegas ke 'dungeon'. Ye Xiu turut menghantar mesej kepada Steamed Bun Invasion untuk datang sekali.
Tetapi Steamed Bun Invasion sudah ketagih pada PK di dalam Arena. Dia keberatan hendak pergi ke 'dungeon'. Tidak ada apa-apa yang boleh Ye Xiu lakukan pada si bodoh ini. Seorang si bodoh sepertinya akan ketagih dengan mudah tidak kira permainan apa sekali pun.
Sambil bergerak, Ye Xiu juga sempat menghantar mesej kepada ketua persatuan Tyrannical Ambition, Cold Night, untuk bertanya jika dia sudah ada maklumat tentang kumpulan Excellent Dynasty.
"Belum lagi. Bukan mudah nak mengetahui kelengkapan apa yang mereka ada," Cold Night menjawab. Glory tidak mempunyai cara untuk memeriksa maklumat seseorang pemain secara terus. Untuk meneka kelengkapan apa yang digunakan, seseorang itu perlu arif dengan rupa kelengkapan tersebut dan memeriksa pakaian yang digunakan. Cold Night sangat berhati-hati dengan tugas ini. Dia telah mengarahkan seorang pakar peralatan daripada persatuannya untuk meneliti kelengkapan senjata yang digunakan oleh kelima-lima pemain tersebut.
"Kalau kelas mereka pula? Kamu sepatutnya tahu kelas mereka sekarang, kan?" Ye Xiu bertanya. Kelas mereka tidak sukar untuk diketahui.
"Ya, kami sudah tahu. Gray Black ialah seorang Spellblade. Sea Breeze seorang Sharpshooter. Inherit adalah Striker. Nowhere to Run seorang Witch. Purse pula seorang Elementalist," kata Cold Night.
"Baiklah, saya faham," Ye Xiu menjawab. Bibirnya tersenyum mendengarkan ini.
Spellblade, Striker dan Sharpshooter merupakan kelas yang digunakan oleh Liu Hao, Wang Ze dan Fang Fengran. Apabila dia melihat ketiga-tiga pemain ini dan ketua persatuan Excellent Dynasty, Chen Yehui, bersama-sama, Ye Xiu sudah menjangkakan perkara ini. Dengan maklumat ini, ternyata rekod Hutan Fros di server kesepuluh telah dilakukan oleh pemain profesional.
Tetapi, nampaknya ketiga-tiga pemain ini ada banyak masa lapang. Mereka sanggup menghabiskan masa untuk menyelesaikan Hutan Fros, sebuah 'dungeon' tahap rendah. Apa sebenarnya rancangan mereka? Sekadar untuk berseronok sahaja? Ye Xiu tidak dapat memikirkan sebabnya ketika ini. Jika mereka hendak bersuka-suka, mereka boleh sahaja pergi ke Heavenly Domain untuk bermain.
Adakah mereka melakukannya untuk mencapai kepuasan mencipta rekod baru? Jika begitu, Ye Xiu berasa malu bagi pihak mereka. Perbuatan mereka ini boleh disamakan dengan seorang bintang profesional NBA (National Basketball Association) datang ke sebuah perlawanan sekolah tinggi untuk menentukan pemenang. Sangat memalukan!
Tetapi tidak kira bagaimana malu sekalipun, pemain profesional sangat berbeza. Mereka telah berjaya mencipta rekod terbaik sepanjang zaman untuk Hutan Fros. Rekod terbaik di antara semua sepuluh server.
Tetapi rekod ini tidak dikagumi oleh sesiapa pun. Sebaliknya, para pemain sangat marah dengan mereka. Rekod yang dicipta oleh pemain profesional pastilah berbeza besar dengan rekod yang dicipta pemain biasa. Tidak kira sekuat mana seorang pemain biasa mencuba, mereka tidak akan dapat memecahkan rekod itu. Mereka kehilangan peluang untuk mendapat ganjaran daripada mencipta rekod baru atas sebab yang tidak adil. Pastilah mereka tidak gembira.
Apa yang terjadi kepada para pemain profesional ini? Kenapa pemain profesional tidak bertanding dalam Pakatan Profesional, sebaliknya datang untuk membuli pemain baru?
Pada masa dahulu, forum Glory pernah dipenuhi dengan pos-pos yang merungut tentang perkara ini. Para pemain profesional yang bersalah tidak berani untuk mengaku yang rekod seperti ini telah dicipta oleh mereka. Mereka dibenci oleh semua orang. Sebenarnya, para pemain ini bukan sengaja hendak menjadi pembuli. Mereka cuma kebosanan, jadi mereka mencipta rekod di 'dungeon' tahap rendah. Mereka tidak menjangka perkara ini akan menimbulkan kekecohan.
Ada juga para pemain yang mencadangkan teori konspirasi. Mereka fikir sistem permainan Glory sengaja menjemput pemain profesional untuk mencipta rekod yang tidak dapat dipecahkan, jadi para pemain biasa tidak akan dapat mencipta rekod baru dan meraih ganjaran.
Syarikat yang mencipta permainan Glory telah dipersalahkan walaupun mereka tidak tahu apa-apa tentang perkara ini. Apabila kemarahan semua pemain sampai ke puncaknya, syarikat tersebut terpaksa membuat kenyataan untuk menjernihkan keadaan. Akhirnya, mereka terpaksa berunding dengan Pakatan Profesional. Pakatan tersebut mengeluarkan kenyataan yang para pemain profesional tidak lagi dibenarkan untuk membuat perkara seperti ini. Tetapi, tidak ada sesiapa pun yang memastikan supaya kenyataan ini dipatuhi. Jadi, ia tetap bergantung pada perangai pemain profesional itu sendiri. Tetapi sebenarnya, para pemain profesional memang tidak berminat untuk membazirkan masa melakukan perkara seperti ini. Selepas kekecohan ini berlaku, perkara tersebut jarang sekali berlaku.
Jadi, Ye Xiu langsung tidak terkejut apabila mengetahui ketiga-tiga orang pemain profesional itu mencipta rekod Hutan Fros ini. Mungkin semua ini telah dicadangkan oleh Chen Yehui. Tambahan pula, tidak ramai pemain yang memberikan perhatian pada 'dungeon' tahap rendah seperti Hutan Fros.
"Kamu sudah ada di mana?" Ye Xiu memalingkan kepala untuk melihat pada skrin Tang Rou. Kumpulannya sudah sampai, sekarang mereka sedang menunggu Tang Rou dan Steamed Bun Invasion.
"Sedang dalam perjalanan," jawab Tang Rou.
"Kamu tahu jalannya tak?" Tang Rou masih pemain baru, jadi Ye Xiu khuatir dia akan sesat.
"Saya tahu!" Nampaknya Tang Rou tidaklah terlalu baru.
Di luar 'dungeon', kelima-lima pemain bertemu. Memandangkan pemain baru dalam kumpulan mereka ialah seorang wanita, Seven Fields teringin untuk melihat dia dengan lebih lanjut. Tetapi disebabkan gadis ini dibawa oleh abang jaguh mereka, Seven Fields tidak berbuat demikian. Sleeping Moon pula berkata yang dia tidak berminat untuk meneliti seorang wanita dengan lebih lanjut. Cuma Steamed Bun Invasion, si bodoh, yang meloncat-loncat di hadapan Soft Mist dan berkata: "Hey si cantik."
Sebelum mencecah tahap 20, Tang Rou telah menaikkan tahap seorang diri. Dahulu, sewaktu bermain bersama dengan Chen Guo, dia hanya mengawal wataknya dan tidak berkomunikasi. Ini kali pertama dia menggunakan sistem komunikasi suara Glory. Dia ketawa selepas tergamam seketika.
"Kenapa kamu ketawa?" Ye Xiu bertanya dengan rasa pelik.
"Kita boleh gunakan suara rupanya? Saya rasa sangat bodoh!" kata Tang Rou.
Tang Rou ketawa lagi apabila melihat Steamed Bun Invasion meloncat-loncat. Ye Xiu mula berasa ragu-ragu terhadap mereka berdua: bolehkan mereka berdua ini dipercayai? Bukan mudah hendak memecahkan rekod yang dicipta oleh pemain profesional...
"Macam mana saya nak bercakap?" Tang Rou bertanya.
"Oh? Tetapan suara kamu telah dihidupkan atau tidak?" Ye Xiu mengajar Tang Rou bagaimana hendak menghidupkan tetapan suara itu.
Tang Rou batuk dua kali dan berkata "Hai semua". Kemudian, dia ketawa lagi.
"Apa yang kelakar sangat…" Ye Xiu tidak faham.
"Saya pun tak tahu!" Tang Rou ketawa sambil menjawab.
Steamed Bun Invasion sedang berasa teruja: "Wah, memang gadis cantik! Suara dia pun merdu. Abang Seven, Moon Moon Kecil, kamu dengar tak?"
"Moon Moon Kecil kepala otak kamu!!" Sleeping Moon berasa sakit hati kerana seorang pemain baru tahu tentang nama panggilan yang ingin disembunyikannya. Tentu ini diberitahu oleh Lord Grim! Sebenarnya, mereka semua memang menggunakan nama panggilan Moon Moon Kecil setiap kali untuk merujuk kepadanya, tetapi semua ini dilakukan di belakangnya. Seven Fields dan yang lain menggunakan nama Sleeping Moon apabila dia ada bersama-sama, tetapi Steamed Bun Invasion langsung tidak peduli. Dialah si bodoh sejati!
"Okey, okey, jangan bising. Mari kita bentukkan kumpulan dan sedia untuk masuk ke 'dungeon'! Ini kali pertama Soft Mist bermain di 'dungeon' ini. Semua orang tolong jaga dia," kata Ye Xiu.
"Nama kamu sangat cantik, si cantik," kata Steamed Bun Invasion.
"Terima kasih," Tang Rou menjawab dengan sopan.
"Si cantik, apa zodiak kamu?" tanya Steamed Bun.
"Aries," jawab Tang Rou.
"Ehem ehem!" Ye Xiu berdehem.
"Si cantik, cuba kamu teka apa zodiak saya?" Steamed Bun bertanya.
"Saya tak tahu!" kata Tang Rou.
"Teka! Saya beri kamu tiga cubaan," kata Steamed Bun lagi.
"Ehem ehem ehem!! Kita nak masuk 'dungeon' sekarang, kamu berdua!!" Ye Xiu tidak tahan lagi.
Tetapi, adakah Steamed Bun akan bertenang setelah masuk ke 'dungeon'? Sudah tentu tidak! Dia terus mengelilingi Soft Mist dan berkata: "Si cantik, hati-hati. 'Dungeon' ini sangat merbahaya. Kamu patut berdiri di belakang saya! Tahu tak, bila saya pertama kali masuk ke sini…"
"Cough cough cough!! We're going into the dungeon, you two!!!" Ye Xiu couldn't bear it anymore.
"Steamed Bun Steamed Bun Steamed Bun!!!" Ye Xiu berasakan sel-sel otaknya sedang mati satu demi satu. "Kamu boleh berborak lain kali! Saya akan tarik raksasa-raksasa, Soft Mist ikut saya."
"Okay," Tang Rou mengawal Soft Mist untuk mengikut Lord Grim.
Apabila Lord Grim menghunuskan Payung Seribu Manifestasi, ia sudah pun berada dalam bentuk tombak pertarungan. Ia sama jenis dengan senjata Tang Rou.
"Okey, raksasa di 'dungeon' ini…." Ye Xiu mengajar Tang Rou sambil menarik raksasa. Dia mengumpulkan pelbagai jenis raksasa yang berbeza sewaktu bertarung dan memberikan tunjuk ajar bagaimana hendak menarik mereka.
Steamed Bun Invasion berasa sunyi. Dia melompat-lompat di hadapan Seven Fields dan Sleeping Moon: "Kamu berdua boleh teka tak saya zodiak apa?".
"Pergi mampus!!" jawab mereka berdua serentak.
Steamed Bun bermuram. Dia berasakan yang gadis cantik tadi jauh lebih baik hati dan lembut.
Seven Fields dan Sleeping Moon sedang menyaksikan bagaimana Lord Grim menarik raksasa. Semakin mereka lihat, semakin mereka kagum. Tetapi mereka bukan kagum dengan Lord Grim, mereka sudah biasa melihat kemahiran dia. Sebaliknya, mereka kagum dengan gadis yang dibawa oleh Lord Grim. Walaupun baru sahaja diajar, dia sudah boleh menarik raksasa sendiri. Berdasarkan kemahiran yang dimilikinya, bagaimanakah dia boleh menjadi pemain baru yang tidak pernah datang ke Hutan Fros sebelum ini?
"Siapa dia ini?" Seven Fields bertanya. Dengan kewujudan begitu ramai pemain handalan baru, mereka berasa sangat cemburu! Malah, bukan Lord Grim dan Soft Mist sahaja, Brawler bodoh ini juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan selepas diberikan tunjuk ajar oleh Lord Grim. Malah, kelajuan tangan si bodoh itu jauh mengatasi kelajuan mereka.
Sedang Seven Fields berasa sakit hati, abang jaguhnya dan gadis baru itu telah menarik beberapa ekor raksasa. Ye Xiu tidak menggunakan 'Penyelesaian Satu Gelombang' kerana kumpulannya tidak cukup kuat, tetapi dia tetap membawa banyak raksasa juga.
Seven Fields dan dua orang rakannya segera mara untuk membantu. Sewaktu bertarung, Ye Xiu terus memberikan tunjuk ajar pada Tang Rou dan Steamed Bun Invasion. Sleeping Moon kehairanan lalu bertanya pada Seven Fields: "Kenapa dia banyak sangat bercakap dengan mereka?"
Seven Fields menjawab dengan hati yang sakit: "Mereka bercadang nak mencipta rekod baru untuk Hutan Fros bila mencapai tahap 25!"
"Kita berlima?" Sleeping Moon bertanya.
"Mereka bertiga saja," jawab Seven Fields.
"Mereka bertiga? Tak mungkin, kan?" Sleeping Moon tergamam.
Seven Fields tidak terkata-kata. Dia hanya mampu menjelaskan: "Untuk mencipta rekod baru, abang jaguh memang diperlukan. Nampaknya dia sedang melatih Steamed Bun dan gadis itu supaya bersedia untuk membantu dia memecahkan rekod. Saya tak tahu siapa dua orang ahli pasukan yang lain."