Di tengah-tengah keriuhan, perlawanan akhirnya bermula secara rasmi.
Dalam kancah profesional, jarang sekali seorang pemain dapat menewaskan pihak lawannya secara menyeluruh. Ini kerana jurang kekuatan antara pemain profesional tidak besar. Memang terdapat sesetengah pemain yang mempunyai kekuatan mengagumkan berbanding kebanyakan pemain profesional lain, tetapi Su Mucheng bukan salah seorang daripadanya.
Gao Jie dan watak Stellar Sword miliknya pula tidak sekuat Su Mucheng. Tetapi, perbandingan kekuatan sebegini tidak boleh menjamin sama ada seseorang pemain akan menang atau kalah. Dalam perlawanan satu lawan satu sebegini, mereka masing-masing mempunyai peluang kemenangan yang seimbang. Persembahan mereka sewaktu bertarung yang akan menentukan segala-galanya.
Tidak kira sekuat mana seorang watak, ia tetap bergantung pada pemainnya untuk menonjolkan sepenuh kekuatan watak tersebut. Dan, tidak kira sehebat mana seorang pemain itu, mereka tetap manusia. Ada harinya mereka hebat, ada harinya mereka tidak begitu hebat. Tambahan pula, zaman sekarang merupakan zaman pemain handalan baru. Tidak ada seorang pemain pun yang memegang gelaran 'pemain tidak terkalah'.
"Su cantik, saya nak mula sekarang!" Mesej dari Stellar Sword muncul di ruangan sembang pada skrin.
Dalam pertarungan glory, kedua-dua pemain tidak boleh menggunakan suara untuk berkomunikasi, tetapi masih boleh menggunakan mesej. Mesej ini boleh dilihat oleh semua penonton.
Dalan sesetengah perlawanan, perdebatan atau pertikaman lidah antara kedua-dua pemain boleh menjadi lebih menarik daripada perlawanan sebenar. Memang ramai pemain yang sengaja mengejek pihak lawan demi membuatkan mereka hilang fokus. Para pemain tidak mempunyai pilihan selain daripada membaca mesej yang dihantar oleh pihak lawan mereka.
Ada pemain yang tidak henti-henti bercakap.
Ada pemain yang tidak pernah melepaskan peluang untuk menghina pihak lawan.
Ada juga pemain yang senyap dari mula hingga ke akhirnya.
Malah ada pemain yang memilih untuk mengejek tentang anggota sulit pihak lawannya.
Para pemain yang berbuat demikian akan dihukum oleh pihak Pakatan. Dengan begitu ramai penonton yang menyaksikan mesej itu, pastilah imej mereka akan tercalar. Disebabkan ini, sudah tidak ramai pemain yang menghantar mesej lucah lagi.
Mesej Gao Jie itu seolah-olah mengejek hakikat Su Mucheng seorang wanita. Para penyokong di Kafe Internet Gembira naik marah dan menyumpah-nyumpah Gao Jie. Tetapi, Su Mucheng hanya membalas dengan emoji senyuman lalu berkata "Okey!".
Gao Jie tidak berkata-kata lagi. Dia menghunuskan pedang dan memulakan serangan. Stellar Sword merupakan watak Blade Master, Su Mucheng pula watak Launcher. Seorang pemain menyerang dari jarak jauh, seorang lagi pula dari jarak dekat. Gao Jie memang sudah mahir dengan medan pertarungan ini, jadi dia menggunakan kemahiran itu untuk bersembunyi sambil bergerak secara senyap menghampiri Dancing Rain.
Gao Jie mahir dengan medan pertarungan ini kerana ia ialah halaman sendiri baginya. Liga Glory menggunakan sistem timbal-balik, jadi setiap kelab akan bertarung sebanyak dua kali, sekali di halaman sendiri, sekali di halaman pihak lawan. Kelebihan utama bermain di halaman sendiri ialah pemain mereka memang sudah cukup arif dengan struktur medan pertarungan milik mereka sendiri.
Glory mempunyai banyak medan pertarungan, dan medan pertarungan ini ditambah setiap tahun. Jika para pemain tahu terlebih dahulu tentang medan pertarungan yang bakal digunakan sewaktu perlawanan, mereka pasti menggunakan peluang itu untuk menyelidik dan berlatih. Ada kemungkinan juga mereka akan bertarung di medan yang sama sewaktu di halaman pihak lawan, tetapi dengan peningkatan jumlah medan pertarungan dalam dunia Glory, perkara ini jarang sekali berlaku.
Pada ketika ini, medan pertarungan yang digunakan ialah sebuah bandar yang dilitupi salji putih. Watak Stellar Sword mengenakan pakaian dan kelengkapan senjata yang berwarna putih kesemuanya. Malah, senjata kelas Perak miliknya juga jenis 'White Lightsaber' yang memancarkan cahaya putih. Disebabkan warna inilah Gao Jie memilih untuk bertarung di medan ini.
Stellar Sword memilih jalan yang panjang untuk menghampiri Dancing Rain. Skrin projektor sedang menunjukkan sudut pandangan dari perspektif Stellar Sword, ini membolehkan para penonton mengalami sendiri apa yang sedang dilihat oleh pemain itu. Kemudian, ia bertukar pula kepada kamera yang mempamerkan pandangan dari langit. Dari sudut pandangan ini, penonton dapat melihat yang Dancing Rain tidak terus kekal di posisi asalnya.
Kamera sekali lagi bertukar, kali ini kepada perspektif pandangan Dancing Rain. Para penonton dapat menyaksikan yang Dancing Rain sedang memerhati keadaan sekelilingnya.
Jelas sekali, demi membuatkan sesebuah perlawanan menarik, kemahiran jurukamera sangat penting juga. Misalnya, jika kamera kekal mempamerkan sudut pandangan dari langit sepanjang perlawanan, tidak kira sengit seperti mana sekali pun perlawanan itu, ia pasti kelihatan bosan.
Kali ini, jurukamera perlawanan memang mahir. Dengan menunjukkan ketiga-tiga sudut pandangan ini, ditambah pula dengan ulasan dari pengulas dan tetamu jemputan, niat kedua-dua pemain dapat diketahui.
Gao Jie sedang mengawal Stellar Sword melalui jalan yang berputar-putar demi merapatkan kedudukan. Dia mahu menyerang Dancing Rain secara mengejut.
Tetapi Su Mucheng yang berpengalaman memang sudah menjangkakan tindakan pihak lawannya. Setelah memerhatikan keadaan persekitarannya, dia mengarahkan Dancing Rain untuk melompat ke tempat tinggi. Jika Stellar Sword hendak menghampiri, dia akan terdedah kepada tembakan bertalu-talu Dancing Rain.
Seluruh kafe internet mula bersorak terhadap Su Mucheng dan mengejek Gao Jie. Rancangan Stellar Sword untuk menyerang hendap sudah gagal, dan dia kini menjadi sasaran untuk Dancing Rain pula.
Tetapi Ye Xiu sedar yang strategi Gao Jie tidak seringkas ini. Jika Gao Jie terpedaya dengan tindakan Su Mucheng semudah ini, dia pasti telah mensia-siakan kelebihan bertarung di halaman sendiri.
Memang tepat jangkaan Ye Xiu. Setelah Stellar Sword menghampiri pihak lawannya, dia tidak meluru ke hadapan membabi-buta. Sebaliknya, dia menuju ke arah lain dan menjengukkan kepala untuk memperhatikan keadaan.
"Menyampah saya tengok dia main sembunyi-sembunyi. Cepat matilah!" kata Chen Guo dengan tidak sabarnya.
Ye Xiu menggelengkan kepala: "Posisi dia sekarang ialah di sudut buta. Dia sudah menjangkakan pergerakan Su Mucheng,"
"Posisi Gao Jie sekarang di sudut buta! Tak kira Su Mucheng memilih untuk menyerang dari arah mana sekalipun, dia tidak akan dapat melihat kedudukan Stellat Sword. Nampaknya, segala pergerakan Su Mucheng di dalam jangkaan Gao Jie!" kata-kata Li Yibo serupa sekali dengan apa yang dikatakan oleh Ye Xiu.
"Nampaknya pasukan 301 telah menyelidik medan pertarungan ini sebaik-baiknya," pengulas pertarungan berkata.
"Sudah tentulah," Li Yibo bersetuju.
"Macam mana Gao Jie boleh tahu Su Mucheng sedang bersembunyi di mana?" Chen Guo terkejut kerana dia dan pengulas perlawanan bertanya soalan yang sama serentak.
"Tapak kaki," Ye Xiu dan Li Yibo juga menjawab serentak.