Chereads / Avatar Raja / Chapter 90 - Tapak Kaki Itu Perangkap

Chapter 90 - Tapak Kaki Itu Perangkap

"Oh, kerana tapak kaki rupanya…" pengulas perlawanan tersedar. "Semua orang lihat, medan pertarungan yang dipilih oleh 301 ini dipenuhi dengan salji. Jadi apabila seorang watak bergerak, mereka akan meninggalkan kesan tapak kaki," sebaik sahaja pengulas selesai membuat penjelasan, kamera menunjukkan kesan tapak kaki yang ditinggalkan oleh Dancing Rain.

"Tetapi jika dia pergi memeriksa kesan tapak kaki itu, dia akan terdedah kepada tembakan Dancing Rain!" pengulas menyuarakan pendapatnya.

"Jadi, lihat sini…." Stella Sword mula bergerak sewaktu Li Yibo memberikan penjelasan. "Gao Jie sepatutnya mengikut kesan tapak kaki ke suatu tempat di mana Su Mucheng tidak dapat melihatnya. 301 memang sudah menyelidik tentang medan pertarungan ini dengan rapi sekali!"

"Mungkin hanya Gao Jie yang boleh menjawab soalan itu," Li Yibo berpura-pura berasa cemas.

"Ha ha ha…" pengulas ketawa. Pengulas itu bernama Pan Lin, dan dia sudah menjadi pengulas profesional bagi permainan Glory selama beberapa tahun. Dia sangat meminati permainan ini. Walaupun dia tidak semahir pemain profesional, dia sudah mempunyai pengalaman mengulas selama bertahun-tahun, jadi pengetahuannya tentang permainan ini sanga mendalam. Dia sebenarnya sudah tahu jawapan kepada soalannya, tetapi dia terpaksa berpura-pura supaya para penonton akan menyukai ulasannya. Pengulas perlawanan dan tetamu jemputan seharusnya berbual antara satu sama lain supaya perlawanan itu akan kedengaran meriah dan sengit.

Tugas pengulas dan tetamu kehormat sangat berbeza. Pengulas akan memberikan pengenalan tentang subjek yang akan dibincangkan, manakala tetamu kehormat akan membuat analisis. Pan Lin dan Li Yibo sudah bekerjasama buat jangka masa yang lama, jadi gandingan mereka kedengaran sangat mantap. 

Gao Jie mengawal Stellar Sword untuk mengelilingi persekitarannya. Setelah sampai ke tempat yang ingin dituju, sudut pandangan kamera berubah, memberikan para penonton sudut pandangan Stellar Sword sendiri. Seperti yang dijangka, Stellar Sword menemui kesan tapak kaki Dancing Rain. Para penonton menjangka yang kesan tapak kaki ini pasti akan mendedahkan kedudukan Dancing Rain.

"Ya, dia telah ditemui," kata pengulas. "Su Mucheng terlalu lalai! Kesilapan ini tidak sepatutnya berlaku,"

"Betul. Nampaknya, persaraan Ye Qiu telah memberikan kesan besar dari segi mental buat Su Mucheng. Sejak permulaan kerjayanya, dia sentiasa bersama dengan Ye Qiu," Li Yibo seolah-olah sangat memahami apa yang dialami oleh Su Mucheng.

"Oh tidak! Apa yang patut Su Mucheng lakukan?" Chen Guo mengenggam erat lengan Ye Xiu kerana gusar.

Ye Xiu ketawa. Dia menghembuskan asap rokok dan berkata: "Tapak kaki itu sebenarnya perangkap,"

"Apa?" Chen Guo tersentak. Dia memalingkan wajah ke arah Ye Xiu. Sebenarnya dia tidak bertanya soalan pada Ye Xiu tadi, kata-katanya itu hanya disebabkan perasaan bimbangnya sahaja.

"Cuba tengok," Ye Xiu menunjuk ke arah skrin. Kedengaran bunyi dentuman tembakan. Chen Guo memusingkan kepala. Dancing Rain sedang menggunakan serangan Aerial Fire untuk mengubah kedudukannya. Sewaktu dia terbang di udara, dia menggunakan serangan Anti-Tank Missile untuk menembak Stellar Sword yang bersembunyi di sebalik dinding.

Jelas sekali Gao Jie tidak menjangka serangan ini. Serangan Anti Tank Missile itu melepaskan tiga butir peluru meriam yang menuju tepat ke arahnya dan sudah terlambat untuk dia mengelak. Ketiga-tiga peluru itu meletup dan gelombang letupan itu tepat membuatkan Stellar Sword terpaku pada dinding.

Su Mucheng mendarat di sebuah bumbung. Senjatanya yang berwarna hitam disasarkan tepat ke arah Stellar Sword dan percikan api muncul dari senjata tersebut. Sebutir peluru meriam besar berterbangan, dan peluru ini pula berpisah untuk membentuk beberapa butir peluru kecil. Kesemua peluru ini menuju tepat ke arah Stellar Sword. Tak kira arah mana sekalipun Stellar Sword bergerak, dia sudah terperangkap.

Kemahiran kelas Launcher: (FIM-92) Stinger. Peluru meriam yang ditembak akan membahagi kepada 8 butir peluru Stinger dan menghujani musuh.

Kemahiran ini biasanya digunakan sewaktu pemain berdiri di permukaan rata dan tembakan akan ditujukan ke arah langit. Setelah peluru meriam besar meletup, peluru kecil Stinger akan menghujani pihak lawan sewaktu jatuh dari langit. Tetapi memandangkan Dancing Rain sudah berada di tempat tinggi, dia memilih untuk menjimatkan masa dengan melepaskan peluru Stinger secara terus.

Walaupun Stellar Sword tidak dapat mengelakkan tembakan itu, dia masih boleh mencuba untuk mengurangkan kecederaan yang akan dialaminya. Jika dia hanya berdiri tegak dan tidak bergerak, dia akan dicederakan oleh kelapan-lapan butir peluru Stinger sekaligus. Oleh itu, dia mengarahkan Stellar Sword untuk mara ke hadapan. Memandangkan dia tetap akan cedera, dia memilih untuk merapatkan jarak antara dia dan Dancing Rain. Sekarang, dia semakin rapat. Tidak ada gunanya dia cuba melakukan serangan hendap dari posisi ini.

Dia membuka jalan dengan serangan Triple Slash. Selepas terkena serangan dari dua butir peluru Stinger, Stellar Sword bergegas untuk berlindung di dalam sebuah rumah. Sejurus selepas itu, dia melakukan serangan Rising Dragon. Stellar Sword menghunuskan pedangnya tinggi di atas kepala, dan kelihatan sejalur cahaya yang terang sewaktu dia terbang tinggi.

Gao Jie percaya yang Su Mucheng tidak akan boleh menghalangnya dari terbang menembusi bumbung.

Seperti yang dijangka, dia menembusi bumbung dan melihat di sekelilingnya. Dancing Rain sudah pun berundur dan mengekalkan jarak di antara dia dan Stelar Sword.

Melihatkan Stellar Sword baru sahaja hendak mendarat di bumbung, Dancing Rain melepaskan sebuah lagi tembakan. Kali ini, dia menggunakan kemahiran Heat-Seeking Missile pula.

Serangan ini menggunakan haba untuk menjejaki sasaran. Ia jatuh dari langit untuk menyerang pihak lawan dan akan meletup dalam radius yang besar. Serangan ini mendatangkan 'damage' yang tinggi.

Masalahnya, kelajuannya sangat perlahan!

Stellar Sword yang belum lagi mendarat telah melakukan serangan Sword Draw di udara. Cahaya pedang berwarna putih berterbangan di udara. Dengan bunyi 'Dong', cahaya tersebut tepat mengenai peluru Su Mucheng itu.

"Cantik sekali!" Pan Lin dan Li Yibo kedua-duanya bersorak kagum melihatkan gerakan Stellar Sword ini. Tetapi, baru sahaja mereka habis berkata sedemikian, Su Mucheng menghantar sebuah lagi emoji senyuman di ruangan sembang. Sejurus selepas itu, sebatang tiang cahaya tebal jatuh dari langit dan menyelubungi seluruh badan Stellar Sword. Stellar Sword dan rumah di bawah tapak kakinya meletup dan runtuh.

Tiang cahaya itu berputar dan membentuk 6 tiang cahaya yang lebih kecil. Sewaktu berputar, tiang cahaya itu menerbangkan salji dan memenuhi langit dengan warna putih.

Kemahiran Terulung Launcher: Satellite Beam

Launcher Ultimate Skill: Satellite Beam.

"Satellite Beam yang cukup menakjubkan!!" Pengulas Pan Lin memberikan reaksi serta-merta. Ini diikuti dengan kata-kata pujian "Sangat cantik!" seolah-olah mereka sudah menjangka yang Su Mucheng akan melakukan serangan sedemikian.

Li Yibo menambah: "Nampaknya kali ini Gao Jie sudah tersalah kira,"

"Mari kita lihat sebanyak mana 'damage' Satellite Beam tadi…" Pan Lin mengarahkan jurukamera untuk melihat pada jumlah nyawa Stellar Sword.

"Nampaknya nyawa dia sudah berkurangan sebanyak satu pertiga…" kata Li Yibo.

"Biar saya tengok… kamu betul!! Nyawa Stellar Sword sudah berkurangan sebanyak satu pertiga. Satellite Beam tadi memang sangat kuat. Ditambah pula dengan 'damage' dari Anti-Tank Missile dan peluru Stinger tadi, keadaan kurang baik untuk Gao Jie!" jerit Pan Lin.

"Betul, mari kita lihat jika dia ada apa-apa kaedah baru untuk merapatkan jurang dengan Dancing Rain. Jika jurang mereka terus begini, mustahil bagi dia untuk mengalahkan seorang Launcher," kata Li Yibo.

"Memang tepat analisis kamu," Pan Lin bersetuju.

Sejak dari tadi, para penonton di Kafe Internet Gembira terlalu asyik menonton keadaan perlawanan sehingga terlupa untuk bersorak. Ini termasuk Chen Guo juga.

Sehinggalah dia terdengar Ye Xiu berkata: "Gao Jie sudah kalah. Su Mucheng berada dalam keadaan yang sangat menguntungkan."