Chereads / Avatar Raja / Chapter 84 - Tenaga Kerja Diperlukan

Chapter 84 - Tenaga Kerja Diperlukan

Keyakinan Ye Xiu membuatkan Cold Night dan Endless Night berasa ragu-ragu, tetapi mereka perlu menghadapi masalah yang lebih besar sekarang.

"Saudara, berapa hari lagi yang kamu perlukan sebelum mencecah tahap 25? Kami semua tak boleh terus kekal di tahap 25 demi menunggu kamu!" kata Cold Night. Lord Grim berada pada tahap 21 sekarang dan dia tidak berusaha untuk menaikkan tahap selama 24 jam yang lepas. Dia memerlukan sekurang-kurangnya 3 atau 4 hari lagi untuk sampai ke tahap 25. Cold Night tidak boleh membazirkan tempoh masa sepanjang ini. Ahli persatuan mereka yang bertaraf elit pasti akan melebihi tahap 25 tidak lama lagi.

"Pihak lawan kita ada tiga orang atau lebih yang merupakan pemain tahap profesional," kata Ye Xiu.

Setelah Cold Night dan Endless Night mendengar jawapan Ye Xiu, mereka menunggu penjelasan lebih lanjut, tetapi Ye Xiu tidak menyambung kata-katanya.

Apabila Cold Night hendak bertanya, Endless Night terlebih dahulu menjerit: "Celaka, jadi kamu nak kata yang tahap kemahiran kami tak cukup bagus??"

Endless Night telah dikecualikan sebanyak beberapa kali dari menyertai kumpulan elit hanya kerana dia pemain kelas Cleric. Disebabkan itu, dia mempunyai tabiat untuk meragui kemampuan diri sendiri. Pada saat ini, Endless Night telah memahami maksud yang cuba disampai oleh Lord Grim.

"Untuk sekadar memecahkan rekod biasa, kamu semua tak ada masalah. Tapi untuk rekod sebegini… ia hanya boleh dilakukan jika kamu ada kumpulan dengan kelengkapan senjata kelas Oren tahap 25 semuanya," kata Ye Xiu.

Kumpulan yang dilengkapi dengan senjata kelas Oren kesemuanya hanyalah angan-angan sahaja di server baru pada waktu ini. Bahkan di server lama sekalipun, tidak ada sesiapa yang sanggup membelanjakan wang untuk mencipta atau membeli senjata kelas Oren tahap 25 semata-mata demi memecahkan rekod 'dungeon' Hutan Fros.

Hutan Fros ialah 'dungeon' bertahap paling rendah sekali. Tidak berbaloi mereka berusaha keras untuknya.

Cold Night memang layak digelar ketua persatuan. Walaupun dia turut berasa ragu-ragu akan kemampuan sendiri, dia dapat menangkap maksud Lord Grim dengan lebih jelas: "Maksudnya, kamu nak saya cari pemain tahap profesional juga?" Cold Night tahu ini mustahil untuk dilakukan. Dia tidak akan bersusah-payah mencari pemain profesional hanya demi memecahkan rekod 'dungeon' Hutan Fros! Mimpilah!

Akhirnya, Ye Xiu ketawa: "Ini hanya Hutan Fros sahaja! Memang melampau kalau kita gunakan khidmat pemain profesional. Sebenarnya, asalkan kamu ada pemain yang mempunyai kelajuan tangan yang tinggi, kamu boleh mencapai batasan 'dungeon' ini juga. Biar saya berikan sedikit nasihat. Pertama sekali, lupakan tahap watak kamu. Pada tahap server baru sekarang ini, kelengkapan senjata semua pemain dari lima persatuan terkuat hampir sama sahaja, betul tak? "

"Betul…" jawab Cold Night. Apabila melibatkan kumpulan seramai lima pemain, Tiga Persatuan Utama tidak mempunyai kelebihan besar berbanding pesaing-pesaing mereka yang lain. Asalkan kelima-lima ahli kumpulan ialah pemain elit, tahap kekuatan setiap pemain daripada persatuan yang berbeza lebih kurang sama sahaja. Misalnya, 5 orang pemain elit dari Excellent Dynasty sama kuat dengan 5 orang pemain elit dari Tyrannical Ambition.

"Jadi, apa yang bakal menentukan sama ada rekod berjaya dipecahkan atau tidak ialah kemahiran mekanikal kamu. Misalnya, seorang pemain profesional mempunyai kemahiran tahap 10. Tetapi di dalam 'dungeon' bertahap rendah seperti Hutan Fros, kemahiran paling kuat yang boleh digunakan hanya tahap 5 sahaja. Faham tak?"

Cold Night dan Endless Night memang faham. Satu lagi contoh yang boleh diberikan seperti ini; Jika seorang pemain profesional mempunyai kuasa serangan sebanyak 1000 manakala pihak lawan hanya mempunyai nilai nyawa sebanyak 100 sahaja, 'damage' yang boleh dilakukan tetap sebanyak 100 sahaja, tidak kiralah betapa kuatnya kuasa serangan pemain profesional itu.

"Kalau bercakap tentang kemahiran mekanikal, Cold Night dan saya taklah teruk sangat," kata Endless Night.

"Memang tak teruk. Kamu berdua pemain Tyrannical Ambition dengan kemahiran mekanikal yang paling tinggi, betul tak? Tapi masalahnya… seorang Knight, seorang lagi pula Cleric… kamu boleh main kelas lain tak?" tanya Ye Xiu.

"Kalau… kami boleh, macam mana?" tanya Endless Night dengan berhati-hati.

"Kalau begini nada kamu, maknanya tak boleh lah kan?" jawab Ye Xiu.

Sementara Endless Night kesedihan dengan hakikat itu, Cold Night pula berkata: "Saya boleh bermain kelas Elementalist… tapi masalahnya saya perlu meminjam akaun orang lain. Akaun itu pula sudah melebihi tahap 25."

"Kalau macam itu, biarpun kamu dapat persetujuan pemain profesional untuk membantu, masalah tahap akaun ini bukan mudah untuk diselesaikan!"

"Memang betul!" kata Cold Night. Di dalam server baru ini, kesemua akaun tahap 25 sedang sibuk menaikkan tahap masing-masing dengan gigih. Mereka tidak mungkin berhenti biarpun buat seketika. Yang tinggal hanyalah pemain-pemain baru yang bertahap rendah. Tak mungkin Cold Night mahu meminjam akaun mereka. Kalau ada yang rela meminjamkan akaun sekalipun, kad akaun harus ditukar ganti dalam dunia nyata. Jadi, Cold Night dan pemain itu perlu berada di tempat yang sama.

"Saya boleh bantu mencari pemain dan akaun yang sesuai," kata Ye Xiu.

Cold Night tahu yang Ye Xiu sememangnya seorang yang berkeyakinan tinggi. Sebagai seorang ketua persatuan, dia mula mempertimbangkan baik buruk situasi yang dihadapi mereka sekarang. Jika Ye Xiu berjaya mencari sekumpulan pemain dengan usahanya sendiri, dia pasti akan meminta bayaran yang lebih tinggi. Kalau semua ini dilakukan semata-mata demi rekod 'dungeon' Hutan Fros, Cold Night berasakan yang ia tidak berbaloi. Dia menjawab dengan tegas: "Kami tidak akan memberikan ganjaran yang lebih tinggi."

Tanpa disangka-sangka, Lord Grim yang disangkakan sebagai seorang yang sangat tamak tidak berniat untuk meminta bayaran lebih. Dia hanya ketawa: "Saya tak perlukan bayaran yang lebih tinggi, harganya tetap sama. Tapi, kamu semua perlu berusaha lebih sedikit."

"Lebih sedikit?"

"Beri saya maklumat tentang kelima-lima pemain Excellent Dynasty yang memecahkan rekod tadi. Beri saya maklumat tentang kelas, peralatan senjata, semuanya. Lagi terperinci lagi bagus," kata Ye Xiu.

"Saya boleh fikirkan caranya," kata Cold Night.

"Lagi satu, saya mungkin memerlukan kamu untuk menyediakan beberapa kelengkapan senjata," kata Ye Xiu.

"Kelengkapan senjata?"

"Yang paling penting sekali senjata kelas Ungu tahap 25. Tapi, kalau ada kelengkapan lain pun bagus juga. Saya cuma nak pinjamnya sebentar saja, bila saya dah selesai, saya akan pulangkan semula. Kalau kamu nak minta cagaran dari saya pun boleh," Ye Xiu ketawa.

"Kamu bercadang nak gunakan pemain kelas apa?"

"Kamu dapatkan dulu maklumat tentang kelima-lima pemain Excellent Dynasty itu. Bila sudah dapat, saya boleh mengetahui berapa ramai pemain profesional yang mereka gunakan," jawab Ye Xiu.

"Beritahu saya pemain kelas apa yang kamu perlukan dulu. Saya akan mula buat persiapan," kata Cold Night.

"Kalau begitu, saya nak seorang Battle Mage, seorang Brawler, dan… seorang Launcher. Dapatkan kelas-kelas ini dulu," kata Ye Xiu.

"Battle Mage? Kamu takkan minta bantuan Thousand Creations kan?" tanya Cold Night dengan rasa risau. Di dalam server kesepuluh sekarang, Thousand Creations dari Persatuan Blue Brook merupakan seorang pemain kelas Battle Mage dengan kemahiran mekanikal yang tinggi.

"Sudah tentu tidak. Kalau saya nak pakai dia, tak perlulah cari senjata kelas Ungu kan?"

"Betul," kata Cold Night. "Jadi, siapa yang kamu nak cari?" Dia memang layak digelar ketua persatuan kerana kebolehannya dalam mengenalpasti bakat pemain.

"Saya masih perlu fikir tentang itu!" jawab Ye Xiu.