Cold Night berasa bingung. Nampaknya server kesepuluh ini memang telah disumpah. Dalam sekali mata sahaja, begitu ramai pemain handalan yang muncul? Ini bukan kebiasaannya dalam dunia Glory!
Dalam kebanyakan permainan lain, setiap server merupakan dunia yang tersendiri. Di server lama, para pemain yang tidak gembira dengan pencapaian mereka akan bermula semula sewaktu server baru dilancarkan. Dengan itu, mereka boleh memilih untuk menjadi ketua penjahat di server baru dan mencetuskan masalah. Tetapi dalam dunia Glory pula, kesemua jaguh handalan akan berkumpul di Heavenly domain. Tak kira sehebat mana seseorang pemain di server pertama, kedua, ketiga atau keempat dan sebagainya, jika mereka tidak layak untuk menyertai Heavenly Domain, mereka tidak akan dipandang tinggi.
Oleh itu, dalam dunia Glory, jika seorang pemain veteran ingin memulakan akaun baru, mereka tidak perlu bertukar ke server lain,. Mereka boleh menggunakan wang yang telah dikumpul di dalam akaun lama mereka untuk membeli kelengkapan senjata dan meningkatkan kekuatan supaya dapat menaikkan tahap dengan cepat.
Kebiasaannya, para pemain yang datang ke server baru ialah mereka yang seangkatan dengan Cold Night, pemain yang bertujuan untuk memimpin persatuan masing-masing. Tetapi sekarang mereka telah bertemu dengan Lord Grim, seorang jaguh handalan yang tiada bandingannya. Lord Grim pula berkata dia boleh mencari pemain yang mempunyai kemahiran mekanikal lebih tinggi berbanding Cold Night dan Endless Night.
Walaupun Cold Night dan Endless Night tidak setaraf dengan pemain profesional, mereka tetap boleh dianggap sebagai pemain handalan jika dibandingkan dengan kebanyakan pemain lain. Mereka jaguh elit di antara kesemua elit dalam persatuan Tyrannical Ambition, malah mereka setaraf dengan Lima Jaguh Terhandal Persatuan Blue Brook. Tetapi sekarang Lord Grim berkata yang dia boleh mencari beberapa pemain yang lebih hebat dari mereka. Disebabkan inilah Cold Night bingung. Malah, Lord Grim sangat yakin yang dia boleh menemui pemain sebegitu, sudah tentulah Cold Night berasa curiga.
"Kamu berdua pergilah menaikkan tahap! Tak ada orang yang akan mencuba untuk pecah rekod ini pun. Tunggu saya naikkan tahap sendiri dan saya akan bantu kamu untuk memecahkan rekod," kata Ye Xiu.
"Jadi, kita berhubung semula nanti," jawab Cold Night dengan sabar. Tidak kira siapa yang dijumpai Lord Grim, dia akan tahu juga nanti.
Cold Night dan Endless Night beredar. Mereka tidak boleh masuk ke Hutan Fros lagi buat masa ini, tetapi masih boleh memasuki Laman Tulang. Lord Grim baru bertahap 21, jadi tidak boleh memasuki Laman Tulang. Sekarang, dia hanya boleh menyelesaikan 'quest' dan membunuh raksasa untuk meningkatkan tahap.
Sementara menuju ke sebuah tempat untuk menaikkan tahap, Ye Xiu membuka senarai rakannya dan memanggil Steamed Bun Invasion.
Walaupun Steamed Bun Invasion seorang pemain baru, Ye Xiu menyedari yang dia mempunyai kelajuan tangan yang tinggi selepas membunuh Blood Gunner dan mengharungi 'dungeon' beberapa kali bersamanya.
Dia sama seperti Tang Rou di mana dia tidak arif dengan dunia Glory tetapi mempunyai kelajuan tangan yang sesuai. Sungguhpun kelajuan tangan Steamed Bun Invasion tidak setinggi Tang Rou, dia mempunyai koordinasi yang lebih baik. Memandangkan dia sangat menggilai Glory, kemungkinan besar kelajuan tangannya itu dilatih melalui bermain permainan yang lain.
Pada ketika ini, Steamed Bun Invasion masih berada di Hutan Fros bersama Seven Fields dan rakan-rakannya. Memandangkan mereka tidak cukup orang, mereka terpaksa mengajak pemain yang tidak dikenali untuk mencukupkan ahli kumpulan mereka. Dengan tahap mereka, berserta kelengkapan senjata yang biasa sahaja, mereka memerlukan lebih kurang 30 minit untuk menyelesaikan 'dungeon' itu.
Kekuatan Steamed Bun Invasion sangat bergantung kepada kemahiran ketua kumpulan. Seorang ketua yang bagus mampu untuk menonjolkan potensi penuh Steamed Bun Invasion melalui arahan tentang posisi pemain dan kemahiran yang perlu digunakan. Pada waktu ini, ketua kumpulan mereka adalah Seven Fields. Dia hanyalah seorang pemain yang berpengalaman, tetapi belum layak digelar seorang jaguh handalan.
"Ah, dewa, kami masih di 'dungeon'. Ada apa-apa yang kamu perlukan?" jawab Steamed Bun Invasion dengan cepat. Memandangkan dia masih sempat menjawab sementara bertarung dengan raksasa di dalam' dungeon', ini menunjukkan betapa laju tangannya.
"Saya dah selesai. Sekejap lagi saya nak cari kamu untuk bincangkan sesuatu," jawab Ye Xiu.
"Nampaknya, nama kamu tidak muncul dalam pengumuman sistem permainan?" kata Steamed Bun Invasion.
"Ya, saya gagal," jawab Ye Xiu.
"Ah, malangnya!"
"Cepat habiskan 'dungeon'. Kita cakap kemudian,"
"Okey."
Ye Xiu telah berbual dengan Cold Night buat jangka masa yang lama selepas keluar dari 'dungeon', jadi Seven Fields dan rakan-rakannya sepatutnya akan selesai tidak lama lagi. Tidak lama kemudian, mereka semua keluar dari 'dungeon' dengan perasaan sedih dan kecewa. Tanpa kepimpinan Ye Xiu, Seven Fields dan rakan-rakannya sangat tidak berpuas hati dengan mutu permainan mereka, tetapi mereka juga tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Walaupun mereka telah biasa dengan kepimpinan Ye Xiu, mereka tidak dapat meniru kemahirannya jika dia tidak bersama-sama mereka. Situasi ini serupa dengan Tiga Persatuan Utama gagal meniru 'Penyelesaian Satu Gelombang'.
Blue River dan rakan-rakannya tahu tentang cara pelaksanaan 'Penyelesaian Satu Gelombang', tetapi mereka gagal menirunya kerana kemahiran mereka tidak cukup tinggi.
"Abang jaguh…"
Pemain tidak dikenali dalam kumpulan Seven Fields cepat-cepat beredar apabila mereka semua menyambut Ye Xiu. Mereka semua telah mendengar berita yang Ye Xiu gagal mencipta rekod baru. Mereka menyangka abang jaguh mereka pasti bersedih, jadi mereka hanya menyambutnya tanpa berkata apa-apa yang lain.
"Sekarang ini, situasi rekod Hutan Fros sudah berubah. Jika saya nak pecahkan rekod itu, saya perlukan kumpulan dengan kemahiran yang tinggi," kata Ye Xiu.
"Pasti bukan kami!" kata Seven Fields. Dia sedar akan keupayaannya sendiri. Kebolehan mereka jauh berbeza dengan ahli-ahli elit Persatuan Utama.
"Apa pendapat kamu tentang kemahiran Steamed Bun Invasion?" tanya Ye Xiu.
"Steamed Bun?" Seven Fields, Sunset Clouds dan Drifting Water masing-masing menunjukkan wajah yang kecewa. Akhirnya mereka berkata: "Steamed Bun tak tahu macam mana nak bermain!"
Steamed Bun Invasion turut sama menunjukkan wajah yang kecewa.
"Ya, dia memang tak tahu cara nak bermain, tetapi kelajuan tangan Steamed Bun sangat tinggi," kata Ye Xiu.
"Ya ke?" Seven Fields dan rakan-rakannya ragu-ragu. Mereka tidak pernah perasan.
"Ya, itu betul. Jari-jemari saya sangat laju. Macam mana dewa boleh tahu?" Steamed Bun Invasion kekaguman.
"Saya boleh nampak," Ye Xiu ketawa. Sebenarnya, bukan mudah untuk Steamed Bun Invasion menonjolkan kelajuan tangannya jika dia tidak arif dengan permainan ini. Tetapi pemain handalan seperti Ye Xiu memang mampu untuk menilai kelajuan tangan seseorang berdasarkan aksi-aksi tertentu. Dia mampu melihat perkara yang pemain biasa tidak dapat lihat.
"Kelajuan tangan saya tinggi, tapi…"
"Kamu rasa kamu tak dapat menggunakannya sepenuhnya!"
"Betul, betul!" kata Steamed Bun Invasion.
"Ikut saya malam ini, kita pergi bunuh raksasa. Biar saya ajar kamu," kata Ye Xiu.
"Boleh!" jawab Steamed Bun Invasion dengan gembira.
"Abang jaguh, ajarlah kami juga!" Seven Fields dan rakan-rakannya ingin turut serta.
"Kamu semua masih nak saya ajar ke? Kamu semua perlu memperbaiki kelajuan tangan kamu terlebih dahulu," kata Ye Xiu.
Seven Fields dan rakan-rakannya menangis. "Kami sudah lama berlatih!"
"Saya terpaksa kata begini. Kadangkala, ada sesuatu yang dipanggil 'bakat semulajadi'. Bakat semulajadi ini yang membuatkan perkara-perkara aneh berlaku," jawab Ye Xiu.
"Abang jaguh, janganlah terlalu tajam kata-kata kamu itu!"
"Baiklah, kita semua pergi bersama-sama! Tapi, mereka yang tidak mempunyai bakat terpaksa bergantung pada usaha keras. Masalahnya, kebanyakan orang tidak berusaha keras, itu sahaja!" kata Ye Xiu.