Chereads / Avatar Raja / Chapter 86 - Mengajar Si Bodoh

Chapter 86 - Mengajar Si Bodoh

Ye Xiu mengetuai kumpulan Seven Fields menuju ke Laman Tulang. Seven Fields, Sunset Clouds, Drifting Water sama seperti Lord Grim, mereka baru sahaja mencecah tahap 21. Jadi, mereka kurang yakin untuk berhadapan dengan raksasa bertahap 23 - 26 di Laman Tulang.

Steamed Bun Invasion sudah tahap 23. Raksasa-raksasa di Laman Tulang sama tahap dengannya, jadi dia tidak sabar-sabar hendak bertarung dengan mereka.

Steamed Bun Invasion pastinya akan dilatih oleh Ye Xiu. Walaupun Seven Fields dan rakan-rakannya masih berpotensi untuk maju, Ye Xiu hanya boleh bergantung kepada Steamed Bun dalam situasi genting yang dihadapinya kini. Setelah menugaskan Seven Fields dan rakan-rakannya untuk berlatih, Ye Xiu mula mengajar Steamed Bun Invasion secara bersendirian.

Pertama sekali, dia perlu menerangkan tentang kelas Brawler.

Kelas Brawler mempunyai pelbagai jenis kelebihan. Tetapi sebelum tahap 25, kelas ini tidak mempunyai jenis serangan AoE (Area of Effect), iaitu serangan yang boleh mensasarkan lebih dari seorang musuh dalam satu kawasan.

Brawler tahap 1 boleh mempelajari kemahiran yang sama seperti kelas-kelas lain. Kemahiran yang melambungkan pihak lawan dipanggil 'Uppercut'.

Pada tahap 5, mereka boleh mempelajari kemahiran 'Slap'. Serangan ini mampu untuk membuatkan pihak lawan terpelanting. Ia juga satu-satunya serangan yang mampu untuk mencuri perhatian musuh, sebelum pertukaran kelas di tahap 20.

Pada tahap 10, terdapat sebuah kemahiran yang dinamakan 'Knee Attack'. Seperti namanya, ia menyerang pihak lawan menggunakan lutut. Namun serangan ini tidak mampu untuk menjatuhkan pihak lawan.

Kemahiran tahap 15, 'Strangle', tidak boleh digunakan untuk menyerang dari bahagian belakang. Sama seperti Knee Attack juga, serangan ini tidak boleh menjatuhkan pihak lawan.

Selepas bertukar kelas pada tahap 20, Brawler boleh mempelajari kemahiran 'Brick Buster'. Serangan ini kuat, tetapi pemain perlu tangkas dan jitu jika mahu menghentak bahagian belakang kepala pihak lawan. Dengan berbuat demikian, barulah kuasa penuh kemahiran ini dapat ditonjolkan.

Kemudian, terdapat pula kemahiran 'Sand Toss'. Ye Xiu sudah pun mengajar Steamed Bun Invasion tentang kemahiran ini.

Brawler juga boleh mempelajari kemahiran 'Apply Poison' pada tahap 25. Serangan ini akan meletakkan racun pada senjata para pemain. Jadi, setiap serangan mereka akan dapat meracuni pihak lawan. Tetapi, racun ini tidak akan kekal selama-lamanya. Para pemain hanya dapat menyerang menggunakan racun sekali sahaja, dan ia akan menembusi sebarang pertahanan pihak lawan. Pada tahap 23, Steamed Bun Invasion masih belum boleh mempelajarinya lagi, jadi Ye Xiu tidak menerangkannya. Steamed Bun Invasion sudah mempelajari kaedah untuk menggunakan semua kemahiran-kemahiran yang diterangkan tadi berdasarkan pengalamannya sendiri. Jadi, Ye Xiu menerangkan pula tentang efek tersembunyi semua kemahiran itu.

Misalnya, Slap boleh digunakan sebanyak dua kali berturut-turut.

Knee Attack pula boleh membuatkan musuh terpelanting jika digunakan untuk menyerang dari belakang.

Strangle boleh membuatkan kuasa pertahanan pihak lawan berkurangan sebanyak 50%.

Kesemua efek ini tidak ditulis dalam bahagian 'tooltip' sistem permainan, jadi ia dianggap sebagai efek tersembunyi. Steamed Bun Invasion pula tidak pernah membaca sebarang panduan permainan, jadi dia memang tidak tahu tentang semua ini.

"Kalau kamu tak faham apa-apa, kenapa kamu pilih kelas ini?" tanya Ye Xiu. Rupa-rupanya, Steamed Bun sekadar mengambil sebarang kemahiran secara suka-suka sewaktu dia masih 'unspecialized'. Dia berasa yang serangan Slap, Knee Attack dan Strangle merupakan serangan yang biasa digunakan sewaktu dia bergaduh dengan orang luar, jadi dia tertarik dengan kelas ini. Disebabkan inilah dia memilih untuk menggunakan kelas Brawler.

Ye Xiu bingung mendengarkan jawapannya, tetapi memandangkan Steamed Bun Invasion sudah memilih kelas, dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Setelah menerima ajaran Ye Xiu, Steamed Bun Invasion yang memiliki kelajuan tangan pantas maju dengan cepat sekali.

Sekarang, Ye Xiu hanya risau tentang satu masalah, dengan semangat dan kerja keras Steamed Bun Invasion, tambahan pula dia berada 2 tahap lebih tinggi dari Ye Xiu sekarang, bagaimana jika Steamed Bun Invasion mencecah tahap 26 sebelum Ye Xiu mencecah tahap 25?

Masalah ini serius. Ye Xiu perlu membincangkannya dengan Steamed Bun Invasion.

"Steamed Bun, sudah berapa lama kamu tidak tidur?" tanya Ye Xiu.

"Hah? Saya tak penat!" jawab Steamed Bun Invasion sambil membunuh raksasa dengan cerianya.

"Kamu patut berehat! Saya ada jumpa beberapa panduan untuk kamu. Semuanya tentang Brawler. Cuba kamu baca!" kata Ye Xiu.

"Oh oh, saya akan baca bila saya makan nanti," jawab Steamed Bun Invasion.

"Walaupun kamu terus menaikkan tahap begini, kamu tetap takkan dapat menjadi sama kuat dengan para pemain dari persatuan besar. Mereka semua ada beberapa orang pemain menggunakan satu akaun yang sama, jadi mereka mampu menaikkan tahap setiap hari tanpa perlu berehat," kata Ye Xiu.

"Bodohnya…" kata Steamed Bun Invasion dengan rasa menyampah.

"Lagi ramai orang, lagi cepat mereka menaikkan tahap! Jadi, jangan cuba nak bersaing dengan mereka. Kamu perlahan-lahan naikkan tahap. Memandangkan kamu bekerja keras, kamu akan mencecah tahap 26 tak lama lagi. Bila itu berlaku, macam mana kita nak pecahkan rekod 'dungeon' bersama-sama?" Ye Xiu akhirnya memberitahu perkara paling penting.

"Kenapa pula tak boleh?" Steamed Bun Invasion memang bodoh. Dia tidak tahu bagaimana rekod 'dungeon' mempunyai had tahap tersendiri.

Ye Xiu terpaksa menjelaskannya. Akhirnya, Steamed Bun Invasion keliru dan bingung. Dia mahu menaikkan tahap dengan cepat, tetapi dia juga mahu namanya muncul sebagai pemecah rekod...

Ye Xiu terpaksa memanggil Seven Fields dan rakan-rakannya untuk memujuk Steamed Bun Invasion.

Merkea bertiga cuba sedaya-upaya untuk menjelaskan yang mencatatkan nama dalam papan pendahulu jauh lebih bermakna daripada sekadar menaikkan tahap.

Setelah dileter oleh setiap pemain, akhirnya Steamed Bun Invasion mengalah: "Baiklah, kalau begitu saya akan memperlahankan kelajuan saya dalam menaikkan tahap. Dewa, berapa hari yang kamu perlukan untuk menaikkan tahap?"

"Saya akan cuba secepat mungkin," kata ye Xiu. "Oh ya, kamu jangan sertai mana-mana persatuan dalam tempoh beberapa hari ini!"

"Okey"

Akhirnya, dia menyelesaikan hal ini dengan Steamed Bun Invasion. Ye Xiu mengeluh. Bukan mudah nak berurusan dengan si bodoh ini. Tak kira bagaimana dijelaskan, dia tidak semestinya akan mendengar.

Steamed Bun Invasion mula berasa bosan. Jika dia membunuh banyak raksasa, dia akan menaikkan tahap terlalu cepat. Jika dia tidak membunuh, dia berasa bosan pula. Sekarang, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan, jadi dia log keluar dari permainan untuk membaca panduan yang disediakan oleh Ye Xiu.

Ye Xiu lega melihat Steamed Bun Invasion berhenti menaikkan tahap. Jadi, sekarang dia yang harus cepat. Dia bergabung dengan Seven Fields dan rakan-rakannya untuk membunuh sebanyak mana raksasa yang mampu.

Mereka membunuh tidak henti-henti sehingga berasa jelak dengan Laman Tulang. Tetapi Ye Xiu masih penuh dengan tenaga. Para pemain lain hanya mampu mengeluh dan berkata: "Dia memang layak digelar abang jaguh,"

Mereka berlatih di Laman Tulang sehingga pagi dan akhirnya mencecah tahap 22. Walaupun Seven Fields dan rakan-rakannya berasa bosan sehingga hendak muntah, kepimpinan Ye Xiu membuatkan mereka bertiga berat hati hendak keluar. Tetapi Ye Xiu pula terpaksa bertukar syif, jadi dia tidak boleh terus bermain di meja penyambut tetamu.

Setelah selesai bertukar syif, dia segera menuju ke zon merokok untuk terus bermain.

Chen Guo baru terjaga dari tidur. Dia melihat ke luar tingkap dan menyedari cuaca sangat baik hari ini.

Dia menggeliat lalu turun dari katil. Dia menggosok-gosok matanya dan hendak ke bilik air. Sebaik sahaja dia mencapai pintu bilik air, dia teringat ada lelaki yang tinggal bersama-sama mereka, jadi dia tidak boleh suka-suka menunjukkan tubuhnya seperti waktu dahulu di mana hanya dia dan Tang Rou yang tinggal di sini.

Chen Guo segera membetulkan baju tidurnya. Setelah memastikan yang dia kelihatan kemas, barulah dia keluar dari bilik.

Dia melihat bilik Tang Rou terbuka luas.

"Cuainya! Ada lelaki yang tinggal bersama kita! Kalau kamu tidak tutup pintu bilik, siapa tahu apa yang akan terjadi disebabkan oleh nafsu seorang lelaki!" fikir Chen Guo dalam hati.

Chen Guo terfikir untuk melakukan satu eksperimen. Dia ingin melihat sama ada katil Tang Rou boleh kelihatan dari celahan pintu. Akhirnya, dia melihat katil, tetapi tidak ada sesiapa di atasnya. Chen Guo kebingungan. Dia menolak pintu. Katil Tang Rou tidak digunakan pun.

Dia tidak tidur sepanjang malam!

Chen Guo sangat terkejut. Dia segera pergi ke bilik stor Ye Xiu. Pintu bilik itu juga terbuka luas. Selepas berfikir seketika, dia membuat keputusan untuk masuk dan melihat.

Tak ada orang juga!

Mereka berdua ini gila! Chen Guo melihat-lihat ke arah dua bilik kosong di kiri dan kanannya seperti orang bodoh.