Belum sempat kesemua pemain Herb Garden memulihkan diri dari letupan itu, para pemain Tyrannical Ambition telah muncul dari sebalik pokok dan menuju ke arah mereka. Tanpa membazirkan masa, mereka melemparkan bom tangan dan melakukan serangan kuasa sakti ke arah kesemua pemain yang sedang kesakitan. Setelah selesai menyerang, mereka terus mengejar sasaran sebenar mereka, Goblin Merchant.
Kesemua pemain Herb Garden berasa teramat sedih dan tidak berdaya. Baru sahaja mereka hendak memulihkan diri sekali lagi, pemain Persatuan Blue Brook pula telah tiba.
"Sampah! Kamu semua memang sampah!" Blue River mengejek kesemua pihak lawannya. Dia kemudian memimpin kumpulannya untuk melakukan tetakan demi tetakan ke arah mereka dan juga melancarkan serangan kuasa sakti.
Memang malang sekali nasib kesemua pemain Herb Garden ini. Mereka telah dipermain-mainkan, dibelasah teruk dan akhirnya mati!
Plantago Seed teramat marah. Goblin Merchant gagal dihentikan dan ahli persatuannya pula dipermain-mainkan. Dia menghantar mesej kepada Blue River: "Kamu semua binatang!"
"Kamu semua pula memang sampah. Nak halang bos pun tak mampu ke?" jawab Blue River.
"Jangan cakap besarlah! Kamu dah berada di sini sepanjang hari tapi tetap tak boleh buat apa-apa juga!" jawab Plantago Seed dengan marah.
"Ya, kita senasib," jawab Blue River.
Mereka berdua terdiam. Hati mereka terasa berat.
Kecederaan Goblin Merchant pula semakin lama semakin parah. Para pemain bantuan Tyrannical Ambition telah tiba kesemuanya. Setiap kali Blue River dan rakan-rakannya menghampiri, Tyrannical Ambition akan menyerang Goblin Merchant untuk mengubah arah haluannya dan menjauhkan jarak antara raksasa itu dengan Persatuan Blue Brook. Mereka semua berasa geram sekali.
Pada awalnya, Blue River mengharapkan sekatan Herb Garden akan memberikan ruang untuk mereka mengejar. Malangnya, para pemain Herb Garden seperti sampah semuanya. Dia terpaksa terus menggunakan rancangan asalnya.
"Bentukkan dua orang pemain dalam satu kumpulan. Cari pemain Tyrannical Ambition dan bunuh mereka!"
Mereka gagal mengejar Goblin Merchant. Sekali-sekala, mereka dapat mengenakan pukulan terhadapnya, tetapi ini serupa sahaja seperti membantu Tyrannical Ambition untuk membunuh bos tersebut. Mereka gagal mencuri perhatian Goblin Merchant, dan gagal untuk mengawal keadaan dari mula hingga ke akhir. Jika mereka terus membazirkan masa seperti ini, Tyrannical Ambition pasti akan berjaya membunuh bos tersebut tidak lama lagi. Goblin Merchant pula boleh membunuh sesiapa sahaja yang dia mahu, tetapi asalkan ada pemain Tyrannical Ambition yang terus hidup, tidak ada pemain persatuan lain yang dapat mencuri bunuh bos itu. Satu-satunya cara ialah menghalau pemain Tyrannical Ambition atau membunuh mereka semua sekaligus.
Tetapi bukan mudah untuk membunuh para pemain Tyrannical Ambition. Perbezaan kemahiran antara pemain kedua-dua persatuan ini tidaklah besar. Tetapi Persatuan Blue Brook enggan memikirkan tentang masalah ini. Mereka sudah biasa bertarung dengan Tyrannical Ambition dan bersedia untuk berbuat demikian sekali lagi. Tindakan ini jauh lebih baik daripada sekadar menonton dalam keadaan tidak berdaya. Para pemain Blue Brook ada seramai dua puluh orang semuanya. Pada waktu ini, mereka terbahagi kepada 10 kumpulan seramai 2 orang dalam setiap kumpulan dan bertempiaran di seluruh hutan. Sebaik sahaja mereka menemui pemain Tyrannical Ambition, mereka akan bergabung untuk menyerangnya.
Dalam sekelip mata, Goblin Merchant bukan lagi tumpuan utama mereka. Sebaliknya, sasaran mereka hanyalah para pemain Tyrannical Ambition. Para pemain Blue Brook yang menemui sasaran segera menghampiri.
Tetapi bukan mudah untuk mengejar musuh. Memandangkan mereka semua mempunyai tahap dan kelengkapan yang sama, kelajuan pergerakan dan kuasa pertahanan mereka juga lebih kurang sama. Sedang mereka sibuk mengejar, Thundering Light tiba-tiba berkata; "Eh mana perginya Goblin Merchant? Saya sudah tak nampak dia di mana!"
Kata-katanya itu menyedarkan semua orang. Mereka telah terlalu sibuk mengejar pemain Tyrannical Ambition sehingga terlupa memerhatikan kedudukan raksasa itu. Mereka kembali menumpukan perhatian untuk menjejaki Goblin Merchant dan akhirnya menyedari yang dia sudah berada di sebuah tempat yang teramat jauh dari mereka.
"Kita telah ditipu…." kata Bound Boat.
"Nampaknya, lebih baik kita menyerah kalah sahaja kali ini!" kata Blue River dengan tidak gembiranya.
Para pemain lain tidak bersuara. Situasi ini jarang sekali berlaku di dalam persatuan mereka. Bertarung tetapi menyerah kalah separuh jalan? Ini hanya berlaku apabila mereka berhadapan dengan 'dungeon' atau bos baru yang tidak pernah ditemui sebelum ini. Tetapi, mereka cuma berhadapan dengan Goblin Merchant sekarang. Ia hanya raksasa kecil yang mereka sememangnya cukup arif. Pihak lawan mereka pun cumalah Tyrannical Ambition. Tetapi disebabkan oleh kehadiran Lord Grim, mereka terpaksa mengharungi keadaan yang sukar dan akhirnya terpaksa menyerah kalah.
"Kenapa kamu semua tak terus mengejar?" Plantago Seed menghantar mesej.
"Kalau kamu nak, kamu kejarlah," jawab Blue River.
"Kamu ada muslihat ke ni?" Plantago Seed ragu-ragu.
"Teruskan mengejar dan kamu akan tahu sendiri," jawab Blue River.
Oleh kerana Plantago Seed dan rakan-rakannya terpaksa mengubah kedudukan tadi, mereka belum dapat menyaksikan bagaimana Tyrannical Ambition menggunakan strategi mengubah haluan Goblin Merchant untuk mengawal pergerakannya. Jadi, semangat mereka masih tinggi. Tetapi ini semua berubah apabila mereka melihat dengan mata sendiri bagaimana lancarnya strategi Tyrannical Ambition tersebut. Mereka mencuba sedaya upaya untuk mengejar, tetapi tetap gagal. Plantago Seed memberikan arahan: "Pecahkan kumpulan kita kepada 2 orang pemain dalam satu kumpulan. Bunuh semua pemain Tyrannical Ambition!"
Para pemain Blue Brook berasa seronok melihatkan Herb Garden melakukan perkara yang sama dengan mereka sebelumnya. Mereka hanya sekadar mengeluarkan bunyi 'Tsk tsk tsk tsk' dan menonton aksi yang bakal berlaku.
Selepas lima minit, Plantago Seed menghantar mesej kepada Blue River sekali lagi: "Celaka! Kenapa tak cakap awal-awal?" Jelas sekali mereka juga telah tertipu.
"Kalau saya cakap pun, kamu percaya ke?" jawab Blue River.
"Saya memang takkan percaya…" Plantago Seed terpaksa mengaku.
"Itulah sebabnya…" kata Blue River.
"Apa kita nak buat sekarang? Kamu nak menyerah kalah ke?" tanya Plantago Seed.
"Ya," jawab Blue River ringkas.
"Saya… saya tak percayakan kamu!" kata Plantago Seed.
"Suka hati kamulah…." Blue River sudah malas hendak menjawab lagi.
Pemain persatuan Herb Garden berkumpul dengan rasa sedih dan marah. Pemain persatuan Blue Brook duduk tidak jauh dengan mereka. Yang jauh adalah Goblin Merchant.
Apabila melihatkan pemain persatuan Herb Garden dan Blue Brook telah menyerah kalah, kebanyakan pemain persatuan kecil-kecilan yang lain turut menyerah kalah juga. Jika dua persatuan besar yang kuat dan terurus ini tidak boleh melakukan apa-apa, apatah lagi persatuan kecil dan kumpulan para pemain yang dibentuk secara rawak?
Jika kesemua pemain ini bergabung, mungkin mereka masih mempunyai peluang. Tetapi siapa yang akan menjadi pemimpin mereka?
Plantago Seed tidak senang duduk. Dia bergerak ke hadapan Blue River dan berkata: "Kalau kita tak dapat bunuh Goblin Merchant pun, mana boleh kita biarkan Tyrannical Ambition menang dengan senang? Kalau kita semua bergabung, saya tak kisah siapa yang dapat pembunuhan pertama, asalkan bukan Tyrannical Ambition!"
"Ini cuma sekadar Goblin Merchant saja. Buat apa kamu nak kecoh?" jawab Blue River.
Plantago Seed terfikir sejenak. Memang betul kata-kata Blue RIver itu. Ini bos liar yang paling kecil sekali. Jika Tyrannical Ambition menang sekalipun, ia tidak bererti apa-apa. Perjalanan mereka masih panjang.
"Kamu ni, semua pun tak nak!" kata Plantago Seed.
"Kalau kamu nak teruskan berlawan, pergilah. Saya takkan halang," jawab Blue River.
"Jahanam, saya sudah penat! Saya tak nak berjuang seorang diri!" kata Plantago Seed.