Chereads / Avatar Raja / Chapter 66 - Pasukan Tentera Tanpa Mati

Chapter 66 - Pasukan Tentera Tanpa Mati

Apabila nyawa boss tinggal 10% sahaja, ia akan memasuki keadaan Red Blood. Dalam keadaan ini, bos tersebut akan menjadi 'Enraged'. Ini peraturan asas dalam dunia Glory.

Tetapi bagaimanakah Blood Gunner Yagg boleh memasuki keadaan Red Blood dengan begitu cepat sekali tanpa disedari oleh para pemain veteran?

Rupa-rupanya, dia belum lagi mencecah Red Blood. Tetapi, dia sudah pun memasuki keadaan 'Enraged'. Bagaimanakah ini boleh berlaku?

"Red Blood bukan satu-satunya cara untuk Blood Gunner bertukar menjadi 'Enraged'," kata Bound Boat dengan tenangnya.

Riak wajah Blue River berubah.

Benar sekali, bagi sesetengah bos, mereka boleh bertukar menjadi 'Enraged' tanpa memasuki keadaan Red Blood. Mereka menjadi 'Enraged' kerana satu sebab utama, iaitu untuk menyelamatkan nyawa sendiri apabila keadaan menjadi sangat bahaya untuknya. Apabila sesebuah syarat khas dipenuhi, keadaan 'Enraged' akan berlaku.

"Maksud kamu, 200 kombo?" kata Blue River.

Ia sudah terlambat untuk menyedarinya. Blood Gunner sudah mula berkilauan dan menjerit kuat.

Semua pemain berasakan bumi bergegar. Tanah di bawah tapak kaki mereka terbuka luas. Timbul batu nisan dan keranda dari rekahan yang muncul.

Apabila memasuki keadaan 'Enraged', Blood Gunner akan menyeru Pasukan Tentera Tanpa Mati miliknya!

Jumlah tentera yang diseru bergantung pada jumlah pemain yang berada di dalam zon tumpuan mereka. Dan pada saat ini, ketiga-tiga ketua Persatuan utama berada di dalam zon tersebut. Apa yang menakutkan…..mereka bertiga ketua persatuan masing-masing, jadi jumlah tentera yang akan diseru bersamaan dengan jumlah KESEMUA ahli persatuan yang dibawa untuk bertarung!

Sewaktu bertarung dengan Blood Gunner sebelum ini, kesemua ketua persatuan akan meninggalkan zon tumpuan sewaktu Blood Gunner memasuki keadaan Red Blood demi mengelakkan dia daripada menyeru jumlah tentera yang banyak. Mereka sepatutnya arif tentang hal ini kerana telah berkali-kali bertarung dengannya sebagai pemain veteran.

"Ha ha ha ha ha….."

Blood Gunner ketawa dengan mengerikan sekali. Satu demi satu raksasa zombi dan raksasa tulang muncul dari bawah tanah bersama-sama dengan batu nisan dan keranda.

Semua sekali, ada lebih dari seratus raksasa!

"Kekalkan formasi masing-masing! Lindungi healer dan ahli sihir kita!" arahan yang sama dikeluarkan oleh setiap ketua persatuan.

Tentera raksasa yang diseru akan menyerang pemain pertama yang ditemui mereka. Jadi, dalam sekelip mata sahaja, Laman Tulang telah bertukar menjadi medan perang antara raksasa dan manusia!

Sungguhpun tentera yang diseru oleh Blood Gunner tidak banyak bezanya dengan raksasa biasa di dalam Laman Tulang, mereka mempunyai tahap kekuatan yang tinggi, iaitu tahap 26. Oleh itu, mereka bukan mudah untuk ditangani.

Lebih buruk lagi, kesemua pemain berada dalam keadaan tidak bersedia, disebabkan oleh kemunculan mereka secara tiba-tiba. Jadi, dengan cepatnya mereka dibunuh!

Ketiga-tiga ketua persatuan Utama telah menyedari sesuatu hakikat. 200 kombo itu telah dilakukan oleh Lord Grim dengan sengaja. Mereka terlalu memberikan perhatian untuk mencuri bunuh, sehinggakan mereka terlupa akan kepintaran Lord Grim.

Sementara itu, Blood Gunner Yagg sendiri masih lagi memberikan sepenuh tumpuan pada Lord Grim. Setelah masuk ke keadaan 'Enraged', ia melepaskan tembakan yang padu tepat ke arah Lord Grim. Tubuh Lord Grim bertukar menjadi asap selepas terkena tembakan itu.

Ketiga-tiga ketua persatuan Utama yang masih sempat menonton pertarungan itu sambil bertarung tahu yang tembakan itu hanya sekadar mengenai Shadow Clone yang dihasilkan oleh Lord Grim. Tetapi di manakah tubuhnya yang sebenar?

Soalan itu dijawab oleh tembakan Aerial Fire dari langit. Lord Grim membalas dengan tembakan bertalu-talu miliknya sendiri.

Blood Gunner terus mengejarnya. Pada ketika ini, ketiga-tiga ketua persatuan Utama sudah sibuk diserang oleh tentera raksasa, mereka tidak sempat untuk menonton pertarungan itu lagi dan terpaksa menumpukan sepenuh perhatian untuk bertarung.

Brawler yang bodoh dan rakan-rakannya tergamam. Mereka telah kembali dan berhasrat untuk bergabung dengan mana-mana persatuan Utama demi mendapatkan ganjaran, tetapi ini pula yang berlaku. Mereka hanya mampu melihat dua rakan mereka yang enggan lari tadi dibunuh dengan kejam oleh tentera raksasa itu. Sekarang, akhirnya mereka mengerti mengapa Lord Grim berpesan supaya mereka berhati-hati.

Mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan selain menonton sahaja. Tetapi tiba-tiba, mereka mendengar jeritan dari Lord Grim.

"Datang ke mari!"

"Datang ke mana?" mereka bertiga bertanya serentak.

"Datang dan bunuh Bos ini!" jawab Ye Xiu.

Tanpa banyak cakap, mereka bertiga menuruti arahan tersebut.

Ketiga-tiga Persatuan Utama melihat dengan jelas apa yang berlaku. Tetapi sayangnya, mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana setiap anggota mereka sedang sibuk dikerjakan oleh tentera raksasa tanpa mati ini.

"Lord Grim hendak bawa Blood Gunner lari dari kita!" jerit mereka semua.

Blue River menghantar mesej kepada Lord Grim: "Abang, janganlah macam ni!"

Lord Grim sedang berlari pada waktu ini, jadi dia sempat membalas mesej itu.

"Apa salahnya?"

Blue River hilang sabar melihatkan jawapan itu. Dia hendak membalas, tetapi tidak tahu apa yang harus dikatakan. Lord Grim memang betul, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Bos liar memang wujud untuk dicuri bunuh. Tetapi selalunya, ia dibunuh oleh Tiga Persatuan Utama. Ini adalah kali pertama Blood Gunner Yagg terlepas dari genggaman mereka.

Endless Night turut menghantar mesej kepada Lord Grim.

"Abang, kamu sungguh bergaya!"

"Ha ha" jawab Ye Xiu dengan ringkas.

"Tapi jangan gembira dahulu. Kamu rasa kamu mampu ke membunuh Blood Gunner dengan pemain-pemain sampah itu? Kamu tak rasa ke yang kami semua akan membunuh kesemua raksasa ini sebelum kamu sempat menewaskan Blood Gunner? Kamu ingat kami semua takkan dapat cari kamu?" jawab Endless Night dengan marahnya.

"Kalau macam tu, baik kamu semua cepat!" Ye Xiu ketawa sambil menghembuskan asap rokok.

"Kita nak lari ke mana?" Brawler yang bodoh itu bertanya pada Lord Grim.

Ye Xiu belum sempat menjawab apabila seorang pemain lain berkata: "Alamak! Ada pemain yang tidak dikenali berlari ke arah kita!".

"Tak usah kelam-kabut. Berikan posisi ketua kumpulan pada saya," kata Ye Xiu.

Tanpa berfikir panjang, Brawler itu menyerahkan posisi ketua kumpulan kepada Ye Xiu.

Dalam sekelip mata, muncul beberapa mesej daripada sistem permainan.

Pemain Seven Fields menyertai kumpulan anda.

Pemain Drifting Water menyertai kumpulan anda.

Pemain Sunset Clouds menyertai kumpulan anda.

Pemain Sleeping Moon menyertai kumpulan anda.

Pemain Immersed Jade menyertai kumpulan anda.

"BUNUH!" jerit Ye Xiu sekuat hati.

Brawler yang bodoh dan rakan-rakannya hanya mampu tercengang melihatkan sekumpulan pemain yang tidak mereka kenali mara ke hadapan.

Ada di antara mereka yang menggelarkan Lord Grim sebagai "Dewa", ada yang memanggilnya "abang jaguh". Mereka mara bersama-sama untuk menyerang Blood Gunner.