Empat raksasa. Empat arah. Ditambah pula dengan raksasa tulang yang memegang parang tadi, Thousand Creations tidak mungkin dapat lari. Chaser miliknya sudah lama hilang bersama-sama dengan zombi yang dicampakkannya ke tanah. Dia memusingkan kameranya ke seluruh arah, dan ternyata di mana sahaja dia melihat, terdapat raksasa yang menunggunya.
Raksasa di Laman Tulang ini bergerak dengan agak lambat, jadi mereka bangun dengan perlahan-lahan. Thousand Creations terlebih dahulu bangun daripada mereka. Dia mencari Lord Grim, dan kali ini, Lord Grim tidak melarikan diri. Sebaliknya, dia berlari ke arah Thousand Creations sambil menghunuskan tombak pertarungannya.
Dengan rasa terkejut, Thousand Creations melompat ke belakang. Tetapi dia berasa menyesal kerana melakukan tindakan itu. Kenapa dia perlu lari? Bukankah dia ingin memberikan pengajaran kepada Lord Grim?
Pada saat itu, kesemua raksasa telah bangun. Walaupun keempat-empat raksasa itu dihempaskan kepada Thousand Creations, tumpuan serangan mereka masih tetap pada Lord Grim. Raksasa tulang tadi pula telah menumpukan serangan pada Thousdan Creations pada awalnya, tetapi mengubah tumpuannya kepada Lord Grim juga setelah dilanggar oleh keempat-empat raksasa tadi. Sekarang kelima-lima ekor raksasa itu meluru ke arah Lord Grim bersama-sama.
Thousand Creations merancang untuk membunuh kesemua raksasa itu terlebih dahulu sebelum bertarung dengan Lord Grim. Tetapi tombak pertarungan Lord Grim sudahpun menikam raksasa-raksasa tersebut, dan mereka bertarung dengan sengit. Lord Grim tidak memandang Thousand Creations sedikit pun.
Adakah dia hendak bertarung dengan raksasa sahaja dan bukannya saya? Adakah kelima-lima raksasa ini lebih berharga dari saya?
"HEY!" Thousand Creations menjerit.
"Oh, kamu nak seekor raksasa ke? Nah ambil ini. Berseronoklah!" Lord Grim melakukan tetakan melangit dan menikam seekor raksasa supaya ia terpelanting ke arah Thousand Creations. Raksasa itu jatuh tepat pada kaki Thousand Creations.
Thousand Creations tergamam. Dia tidak pernah berasakan perasaan seperti ini.
Dahulu, setiap kali dia mencuri bunuh untuk menunjukkan lagak, kesemua mangsa tindakannya itu akan hilang sabar. Ada sesetengah yang menyerangnya serta-merta. Tetapi akhirnya, dia membelasah mereka semua. Perasaan seperti itu cukup memuaskan hatinya.
Tetapi kali ini, tindakbalas pihak lawannya membuatkan dia berasa kebudak-budakan. Tindakan Lord Grim yang memberikannya seekor raksasa ini seolah-olah mengatakan: "Anak kecil, jangan bising-bising. Pakcik ada gula-gula untuk kamu!"
Thousand Creations hanya merenung, tidak bergerak. Raksasa yang jatuh di hadapannya masih menumpukan serangan pada Lord Grim. Selepas beberapa ketika, ia menyerang Lord Grim kembali.
"Eh? Kamu tak mahu ke?" Lord Grim bertanya.
Thousand Creations terasa seperti ingin bergabung dengan kesemua raksasa dan membelasah lelaki ini.
"Saya akan tunggu kamu membereskan kesemua raksasa-raksasa ini sebelum kita mulakan pertarungan," nada Thousand Creations kedengaran cukup serius sekali. Dia tidak lagi bermain-main.
"Tak payah," jawab Lord Grim.
"Kenapa pula?" kata Thousand Creations serta-merta, kemudian menyesali kata-kata tersebut. Lord Grim sudahpun mengatakan "Kamu masih perlu banyak belajar" sebelum ini. Mengapakah dia memberinya peluang untuk mengulangi kata-kata itu?
"Saya tak ada masa," jawab Lord Grim pada akhirnya.
Pipi Thousand Creations berlinangan air mata. Budak! Dia memang seperti seorang budak. Seorang budak kecil yang membuatkan orang dewasa berasa jengkel. Sebagai jawapan, orang dewasa itu akan berkata: "Pakcik sibuk. Pergi main sendiri!"
Dia dilayan seperti ini! Thousand Creations tidak tahu hendak berkata apa. Lebih baik dia menunggu sahaja Lord Grim membunuh kesemua raksasa itu.
Thousand Creations menunggu dengan senyap. Tetapi dia menyedari yang kelima-lima raksasa itu tidak akan dapat dibereskan dengan cepat. Perlukah dia membantu Lord Grim? Tetapi, wajarkah dia berbuat demikian? Beberapa saat kemudian, dia menyedari yang Lord Grim telah membunuh seekor raksasa, tetapi masih terdapat 5 ekor yang menyerangnya. Kenapa begitu? Kenapa masih terdapat 5 ekor apabila seekor telah dibunuh?
Sedang Thousand Creations kebingungan, dia melihat seekor raksasa tulang ditikam dan dilemparkan ke arah sekelompok tulang lain di atas lantai. Sejurus selepas itu, dia melihat Lord Grim memancing seekor raksasa lain dan terus bertarung dengan 5 ekor raksasa serentak.
Thousand Creations naik marah. Dia sedang menanti lelaki ini untuk habis membunuh raksasa dan bertarung dengannya, tetapi dia pula lebih berminat untuk menaikkan tahap!
Thousand Creations membuat keputusan untuk mengganggu Lord Grim. Dia akan terus-menerus mencuri bunuh sehingga Lord Grim hilang sabar. Dia mara ke hadapan dan mula menikam kelima-lima ekor raksasa yang dikumpulkan.
Tiba-tiba, Lord Grim menghantar jemputan kumpulan kepadanya pula!
"Eh celaka, siapa yang nak sertai kumpulan kamu? Saya nak curi bunuh!" Thousand Creations menolak jemputan itu dan meneruskan usahanya untuk membunuh.
Kelima-lima raksasa itu dibunuh dengan kadar yang lebih cepat sekarang, tetapi melihatkan kepada pembahagian 'experience', Thousand Creations mendapat 'experience' yang kurang daripada Ye Xiu.
Disebabkan mereka berdua tidak membentuk kumpulan, 'experience' daripada membunuh raksasa akan dibahagikan. ⅔ daripada 'experience' akan ditentukan oleh siapa yang membuat pukulan pertama dan pukulan terakhir. Manakala baki ⅓ itu pula ditentukan oleh berapa banyak 'damage' yang dilakukan oleh seorang pemain.
Thousand Creations sememangnya tidak melakukan pukulan pertama, dan dia bercadang untuk mencuri pukulan terakhir. Tetapi dia gagal berbuat demikian akhirnya. Dari segi 'damage' pula, kekuatannya jauh di bawah Lord Grim. Oleh itu, dia hanya mendapat jumlah 'experience' yang sedikit sahaja. Dalam situasi ini, kesemua ganjaran yang diberikan oleh raksasa-raksasa itu dibolot oleh Lord Grim seorang.
Apa yang lebih menjengkelkan lagi adalah Lord Grim telah menarik raksasa baru sebelum kelima-lima ekor raksasa itu dibunuh. Ini menjadikan pertarungan tidak henti-henti. Thousand Creations cuba untuk mencuri bunuh sekali lagi, tetapi tetap gagal. Pada akhirnya, dia sekadar membantu Lord Grim untuk membunuh raksasa dengan lebih cepat sahaja. Lord Grim tidak rugi apa-apa, tetapi Thousand Creations yang penat bekerja keras demi ganjaran yang sedikit!
Thousand Creations cukup marah sehinggakan hampir pengsan. Dia mula menarik raksasa ke arah dirinya sendiri supaya lebih mudah untuk dia membunuh mereka semua tanpa gangguan daripada Lord Grim. Malangnya, Lord Grim tidak mempedulikannya dan mengumpulkan raksasa tersendiri.
Kemarahan Thousand Creations sudah sampai ke puncak. Dia meluru ke hadapan dan berkata: "Saya tak peduli tentang semua raksasa ini lagi. Saya akan menyerang kamu!"
"Jangan bisinglah, pergi main seorang diri!" jawab Lord Grim dengan tidak berminat.
Thousand Creations mengetap giginya dan menghunuskan belantan. Dia baru sahaja hendak memukul Lord Grim apabila dia tiba-tiba terdengar: "Eh? Kenapa kamu berdua menaikkan tahap bersama-sama?"
Thousand Creations memusingkan kepalanya. Sebuah kumpulan yang dianggotai oleh pemain-pemain daripada Persatuan Blue Brook berjalan ke arah mereka. Orang yang bertanya soalan tadi ialah ketua Persatuan Blue Brook di server kesepuluh, Blue River.
Thousand Creations mengenepikan belantannya dan hendak melarikan diri.
"Kamu nak pergi mana, Thousand Creations?" jerit Blue River.
Air mata Thousand Creations berjurai. Ketua persatuan, kamu ini bodohlah! Saya sengaja tak meletakkan nama persatuan bersama nama saya, jadi kenapa kamu membocorkan rahsia saya pula! Jadi dia terus berlari sambil menghantar mesej kepada persatuannya: "Buat-buat tak kenal saya!"
"Kamu buat apa ni?" Blue River tidak faham.
"Saya telah menyinggung perasaan Lord Grim," jawab Thousand Creations.
"Kamu…..kamu buat apa? Kamu curi bunuh raksasa dia ke?" Blue River sudah mengerti sikap buruk anak buahnya itu.
"Saya…..saya baru nak cuba curi bunuh," jawab Thousand Creations. Walaupun dia memang hendak menyinggung Lord Grim, dia pula yang dimalukan. Betapa teruknya!