Chereads / Avatar Raja / Chapter 51 - Senjata Yang Tidak Dapat Disembunyikan

Chapter 51 - Senjata Yang Tidak Dapat Disembunyikan

Apabila Ye Xiu terdengar Tang Rou menjerit "Sekali lagi!", dia sedikit pun tidak goyah. Dia cuma menggenggam tetikusnya dan bersedia untuk membunuh dan memancung wanita itu sekali lagi. Tetapi, apabila dia terdengar jeritannya, dia tidak kembali semula ke Arena. Ye Xiu bangun dan melihat Tang Rou menunjukkan dompetnya yang sudah kosong.

"Akhirnya kehabisan duit?" Ye Xiu ketawa.

"Lelaki ini….sengaja menunggu saya kehabisan wang sebelum berhenti?" kata Tang Rou dalam hatinya. Dia bangun dan menjerit: "Tunggu saya pergi ambil duit lagi!"

"Adik Tang, lupakan sahajalah…." orang ramai di sekelilingnya cuba untuk memujuknya.

"Adik Tang…." Chen Guo turut sama menghalangnya. Dengan daya saing yang dimiliki gadis ini, Chen Guo tidak akan terkejut jika dia bermain sehingga bankrap! Tetapi yang paling dibenci sekali ialah perangai Ye Xiu. Selepas menang berturut-turut, dia tidak sedikit pun cuba untuk membantu memujuk Tang Rou!

Tetapi akhirnya, Ye Xiu berkata: "Hey, lupakan sajalah! Tak seronok pun berlawan dengan kamu!"

Dia masih mengejek Tang Rou! Chen Guo benar-benar marah. Dia cuba hendak berkata sesuatu tetapi Ye Xiu menyambung: "Kamu patut belajar betul-betul dahulu. Sekurang-kurangnya kamu sedarlah betapa besarnya jurang antara kamu dan saya. Kamu takkan boleh memenangi Glory dengan bergantung pada kelajuan tangan sahaja! Jika kamu nak bertarung dengan saya, ada banyak lagi peluang di kemudian hari!"

Chen Guo tergamam. Apa yang dikatakan Ye Xiu itu masuk akal. Akhirnya dia berkata sesuatu yang baik. Tetapi, bolehkah Tang Rou yang sedang kecewa dan marah itu memahami kata-kata Ye Xiu ini?

Tang Rou berhenti berjalan dan hanya berdiri tegak, hanyut dalam pemikirannya. Orang ramai di sekelilingnya terdiam. Mereka semua seolah-olah sedang menunggu keputusan Tang Rou. Chen Guo terlihat sesuatu dari bucu matanya. Dia berpaling untuk melihat. Rupa-rupanya Ye Xiu memberikan isyarat untuk menghulurkan duit kepadanya. Tak tahu malu!

Kali ini Chen Guo benar-benar ingin mengamuk. Tetapi dia tahu sikap Tang Rou tidak akan mengizinkan dia untuk memulangkan duit itu. Pada saat ini, Chen Guo memilih untuk tidak menghiraukan Ye Xiu dan menghalau orang ramai yang telah berkumpul: "Kamu semua tengok apa? Semua dah berakhir! Pergi! Pergi!"

Orang ramai melihat Tang Rou tidak bergerak, jadi mereka pun turut sama tidak bergerak. Sebaliknya, mereka mengerumuni Ye Xiu dan bertanya: "Abang, senjata apa yang abang gunakan?"

Chen Guo turut sama berminat untuk mengetahui jawapan kepada soalan ini. Hatinya berbelah bahagi. Dia ingin tahu senjata apa yang digunakan oleh Ye Xiu, tetapi dia juga ingin memujuk Tang Rou. Dia terlalu sibuk!

"Ha ha, tak ada apalah. Ia cuma senjata yang saya cipta sendiri," jawab Ye Xiu.

"Senjata buatan sendiri??" kata salah seorang dari mereka. Dia serta-merta faham akan maksud Ye Xiu itu.

Orang ramai mula menjadi kecoh. Senjata buatan sendiri sesuatu yang tidak mampu diciptakan oleh para pemain bertaraf biasa. Dalam sejarah Glory, cara pembuatan senjata buatan sendiri yang dicetak untuk rujukan orang ramai hanyalah bagi senjata kelas Oren sahaja. Cara pembuatan senjata legenda kelas Perak ialah satu rahsia besar dan hanya diketahui oleh para pemain profesional sahaja, dan tidak mungkin para pemain profesional ini akan membocorkan rahsia teknik pembuatan senjata itu!

"Abang, boleh kami tengok tak?" tanya seseorang pada Ye Xiu.

"Boleh!" Ye Xiu ketawa dan membiarkan semua orang melihat Payung Seribu Manifestasi miliknya.

Sementara itu, Chen Guo meletakkan tangannya di bahu Tang Rou dan berkata, "Pergilah naik atas dan berehat sebentar,". Pada masa yang sama, dia juga ingin tahu senjata apa yang digunakan oleh Ye Xiu. Melihatkan sikapnya itu, Tang Rou tidak dapat menahan dari ketawa dan berkata, "Kakak, kalau nak tengok sangat, pergilah tengok!"

Chen Guo lega melihatkan Tang Rou tidak terlalu kecewa seperti yang disangka. Tetapi dia masih mengiringi Tang Rou naik dan berkata dengan tegas: "Hmph, saya akan tengok nanti. Kalau dia berani tak benarkan saya untuk tengok, saya pecat dia!"

Orang ramai yang melihat attribut Payung Seribu Manifestasi berasa sangat kagum semuanya. Kebanyakan orang ramai ini ialah mereka yang bermain di server baru, jadi mereka agak arif tentang senjata bertahap rendah. Hanya dengan sekilas pandang, mereka dapat mengetahui yang senjata ini senjata tahap Perak yang asli! Senjata tahap Perak yang mengatasi senjata tahap Oren!

"Hebatnya! Macam mana abang cipta senjata ni?" tanya seseorang.

Ye Xiu tersenyum tetapi tidak menjawab, jadi tidak ada orang lain yang terus bertanyakan soalan itu. Orang yang bertanya tadi pun berasa agak bersalah. Senjata buatan sendiri bukan mudah untuk diciptakan, jadi siapa yang akan bodoh sangat hendak membocorkan rahsianya?

"Sayangnya! Ia baru bertahap 5…."

"Ini sebab server kita masih baru. Kalau dia mula mengumpulkan bahan mentah dari sekarang, ia pasti akan mencecah tahap 70 tak lama lagi!"

"Betul ke? Saya dengar senjata buatan sendiri lebih mementingkan jenis bahan mentah dan bukannya tahap bahan mentah itu!"

"Oh kamu bijak sangat ya? Kalau macam tu, pergilah buat sendiri senjata kamu!"

"Saya cuma dengar saja….."

Para pemain memberikan komen satu demi satu. Ye Xiu hanya tersenyum mendengarkan kata-kata mereka, tetapi tidak turut serta dalam perbincangan mereka. Pemain biasa hanya mempunyai pengetahuan cetek tentang senjata bertahap tinggi seperti ini. Kini senjata legenda sudah muncul di hadapan mata mereka, tetapi mereka cuma mampu memberikan komen yang senjata itu hanya berada pada tahap 5.

Tidak kira sekuat mana sesebuah senjata itu, tahap 5 tetap tidak boleh dianggap sebagai tahap yang tinggi. Kebanyakan pemain tahu yang memperkuatkan senjata buatan sendiri bukanlah tugas yang mudah. Kesilapan yang kecil sekalipun boleh merosakkan senjata itu. Jumlah bahan mentah yang diperlukan untuk memperkuatkan senjata itu bukan sedikit. Kerana itu, ramai yang berpendapat lebih baik untuk terus mencipta senjata yang bertahap tinggi.

"Abang, adakah abang akan cipta lebih banyak senjata kelas Perak?" akhirnya ada yang bertanya soalan yang bagus. Sungguhpun senjata tahap Perak menakjubkan, kebolehan dan bakat untuk mencipta senjata seperti ini jauh lebih berharga.

"Saya takkan ciptakan lagi. Senjata ini pun saya buat secara suka-suka saja," jawab Ye Xiu.

"Abang, kalau abang nak buat senjata baru, saya rela berikan abang bahan mentah yang abang perlukan. Abang sebut sahaja harganya!"

"Saya tak mampu. Kalau saya mampu, saya takkan duduk sahaja di sini sekarang!" kata Ye Xiu.

Pemain yang bertanya soalan itu kepada Ye Xiu terdiam. Benar sekali apa yang dikatakan Ye Xiu. Jika Ye Xiu memiliki bakat mencipta senjata, dia pasti sudah menjadi kaya-raya sekarang. Malah, dia boleh menyertai pasukan pencipta senjata bagi kelab profesional.

"Abang, abang nak menempuh 'dungeon' tak? Mari kita main bersama!" ada juga yang menjemput Ye Xiu bermain. Pastinya mereka juga dari server kesepuluh.

"Saya sudah mencecah had kemasukan saya," jawab Ye Xiu ringkas.

"Jadi, lain kali kita main bersama bila ada peluang ya?"

"Okay,"

Setelah menunjukkan rasa hormat mereka dan memberikan kata-kata manis untuk berkawan dengan Ye Xiu, orang ramai mula bersurai. Ye Xiu mengeluh. Hakikatnya, senjata buatan sendiri sangat berharga. Ia tidak sepatutnya dipertontonkan kepada khalayak ramai. Kerana itulah sistem permainan Glory tidak membenarkan para pemain memeriksa senjata milik pemain lain.

Payung Seribu Manifestasi senjata yang lain daripada yang lain. Tidak ada senjata lain dalam dunia Glory yang boleh berubah bentuk. Di dalam pertarungan, kekuatan sebenar senjata itu tidak akan dapat disembunyikan daripada pandangan musuh, semua orang akan tahu betapa berharganya senjata seperti ini.

Sebaik sahaja Ye Xiu menutup 'Equipment Editor', dia melihat Chen Guo berlari dari tingkat dua ke arahnya seperti kilat menyambar. 

"Senjata apa? Senjata apaaaa??" katanya serta-merta.

"Saya guna senjata buatan sendiri. Nah, tengoklah sendiri….." Ye Xiu terpaksa membuka 'Equipment Editor' sekali lagi.

"Wow…." Chen Guo mengagumi senjata tersebut. Dia juga mempunyai seribu soalan yang hendak ditanya, tetapi dia juga sedar yang agak tidak sopan untuk dia berbuat demikian.

"Jadi, kamu bermain watak 'unspecialized' kerana adanya senjata ini? tanya Chen Guo akhirnya.

"Kamu bijak, bos," puji Ye Xiu.

"Kamu terlalu berahsia," Chen Guo sedar yang dia perlu menilai semula Ye Xiu. Lelaki yang disingkirkan dari kelompok pemain profesional ini jauh lebih hebat dari apa yang disangkanya!

"Bila pula saya sembunyikan apa-apa rahsia daripada bos?" tanya Ye Xiu pula.