"Hey hey, kamu dah melampau!" Chen Guo agak marah. Sungguhpun dia mencari seseorang yang boleh mencabar Tang Rou, dia tidak sangka yang Ye Xiu tidak memuji Tang Rou sedikit pun! Dia tak perlu melampau sangat.
"Oh, saya minta maaf. Saya memang agak keterlaluan. Sebenarnya, seratus tahun terlalu lama. Kamu tak perlu tunggu selama itu!" kata Ye Xiu.
Pada mulanya Chen Guo agak terkejut kerana Ye Xiu sanggup meminta maaf. Tetapi apabila dia menghabiskan ayatnya, dia ingin mengamuk lagi!
"Kamu ni memang tak boleh nak memberikan pujian kan?" kata Chen Guo sambil melihat ke arah Tang Rou. Dia memang hendak menyedarkan Tang Rou, membuatkan dia tahu yang dia bukanlah seorang pakar, belum lagi seorang pakar. Tetapi, kata-kata Ye Xiu ini terlalu tajam.
"Hmmm… saya ada puji teknik dia laju!" kata Ye Xiu.
"Selain itu, apa lagi?" tanya Chen Guo.
"Selain itu… hmmm," Ye Xiu berfikir sejenak. Pandangan matanya beralih ke tempat lain, "Selain itu, dia sangat cantik!".
Chen Guo hampir memuntahkan darah. Memang dia memuji, tetapi dia memuji kecantikan! Padahal mereka sedang membicarakan tentang permainan. Maksudnya, tidak ada apa-apa lagi yang hebat tentang Tang Rou di mata Ye Xiu.
Tang Rou pasti naik marah, dia pasti naik marah…. Chen Guo menundukkan kepalanya dan melihat. Tang Rou sedang menggigit bibirnya. Tangan kanannya masih kuat menggenggam tetikus. Jika dia adalah Chen Guo, dia pasti sudah menghentak Ye Xiu menggunakan papan kekunci. Tetapi pada akhirnya dia cuma berkata: "Kamu boleh memuji saya setelah kita selesai bertarung sekali lagi,"
"Tak payah bertarung sekali lagi. Tadi pun saya sudah berlembut. Kalau tidak, selepas 'Eagle Stamp', saya akan menggunakan 'Falling Light Blade', 'Sky Strike, 'Dragon Tooth', 'Falling Flower Palm' dan kamu pasti mati," kata Ye Xiu.
"Habis kenapa kamu tak sambung?" tanya Tang Rou.
"Kalau saya berbuat demikian, saya pasti menang dan mengambil duit 100 yuan kamu. Tapi memandangkan kamu betul-betul tak tahu macam mana nak bertarung, ia tidak adillah. Saya akan berasa terlalu malu untuk ambil duit kamu. Lupakan sajalah!" kata Ye Xiu.
Dia kemudian menghadap Chen Guo. "Bos, duit 100 yuan itu saya punya! Kamu boleh potong dari gaji seperti yang kita persetujui,"
"Kamu kamu kamu..." Chen Guo sangat marah sehingga hampir mati. Dia menggumpal-gumpalkan wang 100 yuan itu dan melemparkannya. "Ambillah!"
"Terima kasih!" Ye Xiu menangkap gumpalan wang itu. Sebenarnya Ye Xiu masih mempunyai wang lagi, tetapi rokok ibarat makanan baginya. Jadi, dia harus menambah bekalannya.
"Saya sudah kalah. Kamu tak perlu menolak habuan ini. Kamu ambillah 100 yuan saya," Tang Rou berdiri, mengambil 100 yuan yang dia pertaruhkan dan menghulurkannya.
"Lupakan saja. Saya terlalu malu untuk mengambilnya," kata Ye Xiu.
"Ambil!" Chen Guo merenung tajam pada Ye Xiu. Dia tahu tentang sifat panas baran Tang Rou. Jika Ye Xiu tidak mengambil wang itu, buruk padahnya nanti. Tetapi dia juga risau jika Ye Xiu tetap berkeras untuk menolaknya. Susahlah Chen Guo kali ini.
Tetapi akhirnya, dia mendengar Ye Xiu berkata: "Bagi sajalah pada bos. Saya hutang dia duit itu,"
"Jahanam! Dia nak serahkan pada saya pula!" kemarahan Chen Guo memuncak, tetapi Tang Rou tahu cara untuk menyelesaikannya. Dia tidak mahu terus menaikkan kemarahan Chen Guo, jadi dia menghulurkan wang tersebut ke tangan Chen Guo sendiri. "Sekarang hutang Ye Xiu sudah langsai! Kita bertarung satu pusingan lagi!"
Air mata Chen Guo seakan-akan hendak berlinangan. Dia cukup kenal akan perangai Tang Rou. Selagi dia tidak menang, hatinya tidak akan tenang!
Di dalam 'Fixed Field', tidak ada rekod kemenangan atau kekalahan yang dicatatkan. Seseorang pemain boleh masuk atau keluar sesuka hatinya sebanyak berapa kali pun yang dia inginkan. Tang Rou duduk dan menekan pilihan 'Lawan Sekali Lagi'. Tanpa menunggu jawapan Ye Xiu, dia mengeluarkan sekeping nota 100 yuan dan meletakkannya di atas meja. "Pertaruhan masih sama. Satu pusingan, 100 yuan. Walaupun saya tak pandai bertarung, saya harap kamu boleh lawan dengan serius."
Ye Xiu melihat ke arah Chen Guo. Chen Guo mendepangkan tangannya, menandakan dia tidak peduli!
"Baiklah…" Ye Xiu tidak berkata banyak dan duduk dengan diam.
Pusingan baru bermula. Chen Guo masih berdiri di belakang Tang Rou, tetapi kali ini dia hanya memerhati tanpa berkata apa-apa.
Situasinya sama seperti pusingan sebelum ini. Chasing Haze telah tewas tanpa dapat menyentuh Lord Grim walau sekali pun. Bezanya kali ini adalah Lord Grim tidak menunjukkan sebarang belas kasihan. Nyawa Chasing Haze telah habis dengan cepat sekali.
"Sekali lagi!" kata Tang Rou dengan ringkas. Dia mengeluarkan sekeping lagi nota 100 yuan dan menghempaskannya di atas meja. Dia menekan pilihan yang sama.
Sekali lagi dia kalah.
"Sekali lagi!"
Kalah lagi.
"Sekali lagi!"
Kalah juga.
Ye Xiu tidak mengeluarkan sepatah kata pun. Chen Guo cuba melihat pada eksperi wajah Ye Xiu. Dia sedar yang Lord Grim langsung tidak memberikan Tang Rou sebarang peluang. Dipenuhi dengan konsentrasi dan penuh berhati-hati, dia tidak melepaskan peluang untuk membelasah Tang Rou. Dia memang ganas dan kejam.
Ramai pelanggan di kafe internet itu mula menyedari pertarungan yang berlangsung. Beberapa orang pelanggan tetap telah meninggalkan stesen mereka untuk menonton.
Ramai antara mereka mengenali Tang Rou. Bagi kebanyakan orang, gadis secantik ini ialah teman wanita idaman mereka. Mereka semua tahu yang Tang Rou tidak bermain Glory, tetapi mempunyai kemahiran PK yang tinggi. Tetapi kini mereka menyaksikan dia menghempas satu demi satu nota 100 yuan ke atas meja, dan tergamam melihatnya.
Pihak lawannya pula baru mula bekerja dua hari lepas dan bertugas pada waktu malam, jadi masih ramai pelanggan tetap yang tidak mengenalinya. Tetapi apabila melihatkan nama wataknya, mereka berkata: "Eh itu Lord Grim! Lord Grim dari server kesepuluh!"
"Eh betul ke? Mana, mana?" Ramai orang tersentak mendengarkan nama tersebut. Mereka mula berkerumun beramai-ramai.
Tang Rou dan Ye Xiu tidak terganggu dengan kehadiran mereka. Sebaliknya, mereka terus bertarung dengan sepenuh perhatian. Chen Guo agak terkejut melihatkan reaksi orang ramai. Dia menggenggam tangan salah seorang pelanggan tetapnya dan bertanya: "Siapa Lord Grim ini?"
"Dia watak paling terkenal di server kesepuluh. Dia mencatatkan tiga rekod 'First Clear' di 'Beginner's Village'. Dia juga memegang rekod penyelesaian paling pantas di Hutan Fros bersama dengan Persatuan Blue Brook yang baru disertainya!" jawab pelanggan tetap itu.
"Tak betul! Saya kenal pemain Persatuan Blue Brook! Lord Grim cuma menyertai mereka sebentar sahaja dan telah meninggalkan persatuan itu!"
"Wah, bukan main lagi! Persatuan Blue Brook pun tidak dipandangnya. Apa niat dia sebenarnya?"
"Hey, senyap sikit boleh? Orangnya ada di sinilah!"
"Eh, yang mana satu?"
Orang ramai tidak menyedari yang Lord Grim sedang duduk betul-betul bertentangan dengan Tang Rou.
"Wow, Tang Rou kalah lagi…."
"Ini sudah pusingan keberapa?"
"Tah tahu. Bila saya sampai, pertarungan sudah lama bermula,"
"Dah ada 500 yuan di atas meja, kan?"
"Betul, betul!"
"Wow, dia tambah lagi sekeping nota!"
"Adik Tang, jangan mengalah!"
Tang Rou akhirnya tewas sebanyak sepuluh pusingan berturut-turut. Sepanjang sepuluh pusingan ini, dia berjaya menyentuh Lord Grim beberapa kali, tetapi di mata para penonton, mereka semua tahu yang dia langsung tidak mempunyai peluang kemenangan walau sedikit pun. Bunyi sorakan sebelum ini telah bertukar menjadi bunyi pujukan. Ada juga di antara mereka yang membenci Lord Grim kerana tidak berlembut dengan seorang wanita.
"Sekali lagi!" Tang Rou tetap tidak mengalah. Malangnya, apabila dia menarik dompetnya, dia hanya mampu merenung dengan rasa tidak percaya.
Dia tidak boleh bertarung lagi…. kerana dia sudah tidak mempunyai wang.