Chereads / Avatar Raja / Chapter 49 - Kamu Tak Tahu Macam Mana Nak Bertarung

Chapter 49 - Kamu Tak Tahu Macam Mana Nak Bertarung

"Jahanam! Senjata apa tu?" Chen Guo tergamam. Senjata Lord Grim ini seolah-olah tiga dalam satu. Pedang, tombak dan pistol! Senjata yang boleh berubah-ubah?

Berbanding dengan Chen Guo, Tang Rou yang tidak tahu terlalu banyak perkara tentang Glory tidak terlalu takut. Jari-jemarinya segera menekan papan kekunci dan Chasing Haze melepaskan sebuah tendangan kuat.

Lord Grim melompat untuk mengelak tendangan itu, tetapi Chasing Haze mengangkat tangannya dan melepaskan Peluru Berpandu Anti Kereta Kebal. Kepantasan serangan ini bukan main laju lagi. Memandangkan jarak antara dia dan Lord Grim sangat dekat, peluru tersebut tepat mengenai Lord Grim. Tubuhnya lesap dan yang tinggal hanyalah kepulan asap tebal sahaja.

Tang Rou dan Chen Guo kedua-duanya terkejut besar. Dalam 'Fixed Field' para pemain tidak akan dapat dibunuh serta-merta sebegini. Kalau dibunuh pun, mereka pasti akan meninggalkan mayat. Tak mungkin dia berubah menjadi kepulan asap sahaja!

Ini perangkap!

Sewaktu Tang Rou menyedarinya, ia sudahpun terlambat. Darah memancut keluar dari leher Chasing Haze!

Kemahiran kelas 'Assassin': 'Cut Throat'.

Serangan ini harus digunakan dari arah belakang pihak lawan. Kuasa serangan ini tidak akan dikurangkan oleh perisai yang dipakai oleh pihak lawan, jadi biarpun ia kemahiran bertahap rendah, ia tetap akan mengakibatkan kecederaan parah.

Tang Rou dan Chen Guo terlalu lambat untuk menyedari yang Ye Xiu telah menggunakan kemahiran 'Shadow Clone' untuk mengelakkan peluru berpandu yang dilepaskan Tang Rou tadi. Dia membiarkan tubuh klon yang terbentuk untuk mengalihkan perhatian Chasing Haze, sementara tubuhnya yang sebenar menyelinap ke belakang.

Tang Rou yang sudah cedera parah mula memberikan konsentrasi penuh. Chasing Haze melompat tinggi seperti anak panah dilepaskan. Dia berpusing 180 darjah di tengah-tengah udara.

Tetikus Tang Rou mencari sasaran untuk melepaskan serangan. Tetapi apa yang menyambutnya ialah cahaya pedang yang memancung tepat ke arahnya dari atas. Sekali lagi darah memancut-mancut dari tubuhnya.

Kemahiran kelas 'Berserker': 'Collapsing Mountain'.

Walaupun kemahiran yang dipelajari oleh watak 'Unspecialized' tidak akan mempunyai 'damage' tambahan daripada kelas asli, efek yang diberikan tidak akan berubah. Setelah 'Collapsing Mountain' mengenai Chasing Haze, dia terhempas ke bumi dan tubuhnya melantun seketika. Lord Grim mengambil peluang ini untuk menghempaskan lututnya ke tubuh Chasing Haze, membuatkan dia terlantun sekali lagi. Ye Xiu menghunuskan Payung Seribu Manifestasi dan menembak Chasing Haze yang terlantun di udara berkali-kali. Chen Guo dan Tang Rou sangat mengenali kemahiran ini. Ia kemahiran kelas 'Launcher' iaitu 'BBQ'!

Chasing Haze tetapi bangkit semula selepas menerima tembakan bertalu-talu. Tetapi apabila wataknya cuba untuk memfokuskan pandangan pada Lord Grim, muncul pula seekor Goblin hijau yang melontarkan batu ke arahnya. Ini kemahiran kelas 'Summoner'!

Chasing Haze segera menembak Goblin tersebut tanpa belas kasihan, tetapi peluang ini digunakan oleh Lord Grim untuk memijak kepalanya dari arah langit.

Kemahiran kelas 'Fighter': 'Eagle Stamp'.Chasing Haze mengarahkan pistolnya ke langit dan bersedia untuk melepaskan tembakan bertalu-talu. Tetapi, Lord Grim jauh lebih pantas bertindak. Mata payungnya disasarkan tepat ke kepala Chasing Haze sekali lagi dan berdas-das tembakan dilepaskan. Lord Grim menggunakan impak daripada tembakan itu untuk terbang ke belakang.

Sepanjang pertarungan ini, Chasing Haze telah dibelasah teruk dan nyawanya sudah tidak banyak lagi. Tetapi Lord Grim pula tidak disentuh sedikit pun. Tang Rou tidak mahu mengalah dan bersedia untuk menyerang sekali lagi. Malangnya, Ye Xiu tiba-tiba berkata: "Apa kata kita berhenti bertarung?"

"Kenapa pula??" tanya Tang Rou.

"Nampaknya kamu langsung tak tahu macam mana nak bertarung,"

"..." Tang Rou tidak tahu hendak berkata apa. Selain daripada apa yang diceritakan oleh Chen Guo padanya, dia memang tidak tahu tentang perkara lain. Tetapi dia telah berjaya menewaskan pihak lawan yang gagal dikalahkan oleh Chen Guo selama ini dengan berbekalkan kelajuan tangannya sahaja. Dia juga berjaya menyelesaikan Heavenly Domain Skill Challenge yang dianggap sukar oleh kebanyakan pemain.

Tang Rou tidak tahu banyak tentang Glory, tetapi dia tetap seorang pemain yang kuat.

Disebabkan inilah Chen Guo mahukan dia bermain Glory, tetapi malangnya dia tidak berminat selama ini.

Ramai orang berminat terhadap sesuatu kerana ia mudah dilakukan. Tetapi Tang Rou berbeza. Dia tidak boleh menumpukan perhatian kepada sesuatu yang dianggapnya mudah.

Chen Guo turut menyedari hakikat ini. Tang Rou seorang gadis yang sangat suka bersaing. Sebaik sahaja dia menemui sesuatu yang sukar, dia tidak akan berhenti selagi dia belum dapat menyelesaikannya.

Contohnya, apabila dia menghadapi Heavenly Domain Skill Challenge menggunakan Chasing Haze, dia telah gagal beberapa kali sebelum berjaya pada akhirnya. Dalam tempoh yang singkat ini, minat dan usaha yang ditunjukkan Tang Rou jauh mengatasi cinta Chen Guo terhadap Glory.

Chen Guo berharap yang Tang Rou akan terbuka hati untuk terus bermain Glory. Malangnya, Tang Rou telah hilang minat selepas berjaya menyelesaikan 'Skill Challenge' itu. Dia langsung tidak berminat untuk menyelesaikan 'dungeon', mengumpulkan peralatan dan sebagainya.

Chen Guo sedar yang dia harus membuatkan Tang Rou sedar permainan Glory bukanlah sesuatu yang mudah. Kerana itulah dia sentiasa mencari pihak lawan yang kuat untuk menghadapi Tang Rou. Mungkin jika Tang Rou bertemu dengan pihak lawan yang gagal ditewaskan, dia akan kembali berminat bermain Glory. Malangnya, setiap kali Chen Guo memperkenalkan seorang pemain untuk dihadapi, Tang Rou telah menewaskannya dengan mudah sekali.

Chen Guo cuba meyakinkan Tang Rou yang pemain bertaraf profesional pastinya lebih sukar untuk dihadapi. Tetapi Tang Rou hanya ketawa, tidak mempercayai kata-katanya langsung. Sememangnya kata-kata sahaja tidak mencukupi, Chen Guo harus mencari seorang lawan yang benar-benar kuat, tetapi di manakah lawan seperti itu?

Apabila melihatkan kemahiran Ye Xiu, Chen Guo tidak henti-henti berfikir untuk mereka berlawan antara satu sama lain. Chen Guo tidak tahu sejauh mana kehebatan Ye Xiu, tetapi memandangkan dia pernah menjadi pemain profesional, sudah tentulah dia jauh lebih hebat daripada pemain biasa. Inilah tujuan sebenar Chen Guo.

Tetapi, setiap kali dia bercakap dengan Ye Xiu, dia akan naik marah. Ini membuatkan Chen Guo lupa akan niat asalnya, dan berharap Tang Rou akan dapat membelasah Ye Xiu dengan teruk. Tetapi Tang Rou pula yang dibelasah tanpa belas kasihan. Apabila Ye Xiu berkata "Kamu tidak tahu macam mana hendak bertarung", barulah Chen Guo teringat kembali.

Bagaimanapun, Chen Guo berasakan yang kata-kata Ye Xiu itu agak melampau. Jika Tang Rou tidak tahu macam mana hendak bertarung, bagaimana pula dia dapat mengalahkan semua pihak lawan yang kuat selama ini? Tambahan pula, Ye Xiu memang terlalu kuat. Dia telah mengakali Tang Rou dari mula sehingga tamat. Pemain profesional sememangnya berada pada tahap berbeza. Bila dia menonton rakaman pertarungan pemain profesional, Chen Guo tidak dapat melihat perbezaan kemahiran kerana para pemain profesional pastinya setanding antara satu sama lain.

Ye Xiu berdiri. Dia mengangguk dan berkata: "Teknik kamu agak laju, tetapi keserasian antara tangan kiri dan tangan kanan kamu masih berterabur. Bila sudut pandangan kamu bertukar, kamu gagal menyesuaikan keadaan. Tambahan pula, kamu masih tak faham tentang peralatan dan kemahiran. Pengalaman pertarungan sebenar kamu terlalu cetek dan taktik kamu terlalu kaku, ini semua bukan ciri-ciri seorang pemain yang bagus. Kalau kamu nak tewaskan saya dengan kemahiran seperti ini, tunggulah seratus tahun lagi!"