Chereads / Avatar Raja / Chapter 46 - Glory Permainan Mudah

Chapter 46 - Glory Permainan Mudah

Chen Guo tidak tahu sudah berapa kali dia tertidur di sofa ketika menonton TV. Kebiasaannya, dia akan terbangun kerana kesejukan dan perlahan-lahan merangkak ke katil. Tetapi apabila dia bangun hari ini, ada selimut yang menyelubungi tubuhnya. Selimut itu pula adalah selimutnya sendiri, jadi Chen Guo fikir yang dia sedang tidur di katil. Dia mengetatkan selimut itu dan memalingkan badan. Boom! Dia terjatuh dari sofa.

Chen Guo masih menggenggam selimut itu. Beberapa saat berlalu sebelum dia tersedar dari kejutan. Kemudian barulah dia akhirnya sedar yang dia terjatuh dari sofa. Sofa itu tidak tinggi, jadi dia tidak berasa sakit. Tetapi semestinya ia sangat kelakar! Chen Guo mengangkat selimut dan memanjat semula ke sofa. Melihatkan pintu bilik stor tertutup, dia tahu semua ini dilakukan oleh Ye Xiu.

Setelah meletakkan semula selimut, dia berkumur-kumur dan membasuh mukanya di bilik air. Tiba-tiba, kedengaran bunyi loceng pintu. Sambil memegang berus giginya, Chen Guo membuka pintu. Kelihatan seorang gadis yang membawa bermacam jenis beg sedang tersenyum padanya.

"Oh, adik Tang, kamu dah balik!" kata Chen Guo sambil menggigit berus giginya dengan mulut yang berbuih.

"Ya, saya dah balik. Kamu baru bangun ke?" Tang Rou tidak dapat menggapai kuncinya kerana tangannya dipenuhi beg, jadi dia terpaksa menekan loceng.

"Saya tidur lambat semalam!" kata Chen Guo yang mulutnya masih dipenuhi buih.

"Pergilah selesaikan gigi kamu itu dulu!"

Tang Rou meletakkan begnya di bilik Chen Guo sambil Chen Guo sendiri kembali ke bilik air.

"Saya dengar kamu ada pekerja baru?" tanya Tang Guo dari luar pintu bilik air sambil menjeling ke arah bilik stor yang tertutup itu.

"Betul! Mereka beritahu kamu ke?"

"Ya,"

"Tak ada bilik kosong untuk dia tinggal, jadi saya terpaksa suruh dia tidur di stor buat sementara," kata Chen Guo.

"Saya dengar dia baru datang sehari, tapi dah buatkan kamu naik darah?" Tang Guo sudah diberikan banyak berita sebaik dia pulang.

Chen Guo tidak terkata-kata. Memang teruk! Semalam dia teringin mencekik lelaki itu. Tetapi sungguhpun dia membuatkan Chen Guo marah, hatinya sangat baik. Dia menyelimutkan Chen Guo. Perkara yang baik dan buruk, kedua-duanya pun ada pada dia.

"Kenapa?" Tang Rou dapat mengesan yang minda Chen Guo sedang di awang-awangan dan dia tidak berkata sepatah pun dari tadi.

"Tak ada apa-apalah. Cuma, dia sangat handal bermain Glory," kata Chen Guo.

"Sehandal mana? Sehandal kamu?" Tang Rou ketawa.

"Saya bunuh kamu!" Chen Guo menjegilkan matanya. Kata-kata Tang Rou itu membuatkan dia berasa sedih. Pada awalnya, Tang Rou tidak bermain Glory. Chen Guo cuba mengajar dia supaya mereka boleh bermain bersama. Sewaktu bermain PK di Arena menggunakan akaun Chasing Haze, dia memberitahu tentang keseronokan permainan itu.

Memandangkan Chen Guo bermain sambil mengajar, dia telah ditewaskan dengan teruk sekali. Tetapi Tang Rou serta-merta meminta untuk mencuba bermain, melegakan hati Chen Guo.

Dalam pusingan pertama, Tang Rou juga ditewaskan dengan teruk. Dia kemudian bertanya Chen Guo tentang cara untuk melakukan beberapa gerakan tertentu.

Dalam pusingan kedua, dia kalah sekali lagi. Chen Guo mengajar pula tentang beberapa taktik yang mungkin digunakan oleh pihak lawan.

Akhirnya di pusingan ketiga, Tang Rou mengubah keadaan dan berjaya membelasah pihak lawannya.

"Ini sangat mudah!" kata Tang Rou kepada Chen Guo. Riak wajahnya yang penuh minat sebelum ini sudah hilang. Chen Guo tergamam. Seorang pemain baru hanya memerlukan dua pusingan untuk membiasakan diri dengan sistem kawalan Glory. Setelah memahami taktik yang digunakan, dia telah dapat menewaskan pihak lawan!

Chen Guo kurang jelas tentang kekuatan pihak lawan Tang Ruo tadi. Dia segera meminjam sebuah akaun yang mempunyai kelas watak sama dengan pihak lawan Tang Ruo. Walaupun Chen Guo bermain menggunakan kelas Launcher, dia tahu serba sedikit tentang kelas-kelas lain. Dia pasti lebih handal daripada seseorang yang hanya bermain selama tiga pusingan sahaja, tambahan pula dia mempunyai teknik yang mahir.

Tetapi akhirnya dia yang tewas kepada Tang Rou!

Chen Guo tidak mahu mempercayainya. Tang Rou sudah tidak minat untuk bermain, tetapi dipaksa untuk berlawan satu pusingan lagi dengannya. Walaupun Chen Guo kadangkala menang beberapa kali, dia telah tewas lebih banyak daripada menang. Ternyata Tang Rou semakin hari semakin mahir.

Sekarang Chen Guo sudah mengetahui sebab dia gagal menewaskan Tang Rou. Kelajuan tangan!

Tang Ruo dilahirkan dengan kelajuan tangan yang luar biasa. Chen Guo sudah bermain Glory selama tiga tahun, dan menganggap dirinya kurang sedikit sahaja daripada bergelar seorang pemain handalan. Tetapi, Tang Ruo telah memalukannya sama sekali.

Bakat! Ini bakat semulajadi. Jika bakat sebegini tidak bermain Glory, pasti sayang sekali. Chen Guo mencuba dengan lebih kuat lagi untuk memujuk Tang Rou bermain, tetapi gagal akhirnya. Sungguhpun Chen Guo menerangkan dengan penuh semangat tentang keindahan bermain Glory, Tang Rou menguap-nguap seakan-akan ingin tertidur.

Chen Guo terus mencuba selama dua bulan tanpa sebarang hasil. Akhirnya, sesuatu telah berlaku yang membuatkan Chen Guo putus asa. Ia Cabaran Quest Heavenly Domain. Untuk memasuki Heavenly Domain, seorang pemain perlu menyelesaikan beberapa 'quest'. Antaranya 'quest' membunuh beberapa raksasa biasa, beberapa 'quest' menewaskan bos, beberapa 'quest' mencari barangan mentah dan beberapa 'quest' yang memerlukan pemain menang dalam Arena PK. Tetapi 'quest' yang paling sukar sekali adalah 'Skill Challenge'.

'Skill Challenge' bukan sahaja memerlukan seorang pemain untuk menewaskan lawannya, ia juga memerlukan mereka melakukan beberapa gerakan yang ditentukan oleh sistem permainan. Misalnya, sejumlah kombo, jumlah 'damage' yang dicatatkan menggunakan serangan arah belakang, jumlah lantunan di udara dan sebagainya.

Ramai pemain tersangkut di sini dan gagal menyelesaikan tugasan tidak kira berapa kali mereka mencuba. Chen Guo salah seorang daripadanya.

Pada akhirnya, Tang Rou telah meminjam kad akaun Chen Guo. Setelah melakukan kajian selama beberapa hari, dia membantunya untuk menyelesaikan 'Skill Challenge' Heavenly Domain itu!

Chen Guo tidak terkata-kata. Dia mengerti kenapa Tang Rou tidak berminat dengan permainan ini. Ini kerana kebanyakan pemain harus berusaha keras demi mencapai kemenangan. Tetapi Tang Rou dapat menyelesaikan pelbagai cabaran tanpa perlu berusaha keras pun.

Permainan ini dinamakan 'Glory' kerana para penciptanya berharap pemain akan memperolehi kegemilangan melalui senjata yang dimenangi, kemahiran yang diasah dan setiap rekod yang dicatatkan. Para pemain juga bersetuju dengan idea ini. Setiap cabaran memerlukan usaha yang kuat demi mencapai kejayaan.

Tetapi lain pula ceritanya dengan Tang Rou. Dia menyelesaikan 'Skill Challenge' dengan cukup mudah sekali, sedangkan pemain-pemain lain tersangkut selama berhari-hari lamanya. Bagaimana dia hendak merasakan perasaan gemilang? Tak ada orang yang akan menganggap aksi meminum air sebagai perasaan gemilang, bukan?

Chen Guo terkilan, tetapi tidak mahu putus asa. Dalam dua tahun kebelakangan ini, setiap kali dia menemui pihak lawan yang kuat, dia akan memujuk Tang Rou untuk berlawan dengan pihak lawan tersebut. Tetapi Tang Rou tidak pernah gagal menewaskan lawan tersebut, dan akan bertanya "Kenapa senang sangat?"

Jika berterusan begini, Chen Guo tidak mampu menahan rasa malunya lagi! Tang Rou tidak henti-henti mengatakan "Senang sangat!" setiap kali mencapai kemenangan. Disebabkan itu, Chen Guo sudah jarang meminta pertolongan Tang Rou untuk menewaskan pihak lawan. Tapi kali ini, setelah menyebut nama Ye Xiu, niat Chen Guo membara semula. Dia mengelap mulutnya dan mencampakkan tualanya. Sungguhpun rambutnya masih lagi kusut masai, dia menuju ke bilik Ye Xiu dan berkata kepada Tang Rou: "Saya akan suruh dia berlawan dengan kamu!"

"Eh tak perlulah!" Tang Rou menarik tangan Chen Guo. "Dia kan baru sahaja habis syif malam dan sedang tidur? Kita tunggu dia bangun, okay?"

"Oh, boleh juga macam itu." Chen Guo berfikir sejenak dan melupakan niatnya seketika. Dia mengambil semula tualanya dan bersedia untuk mandi. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu.

"Oh, saya lupa nak beritahu kamu sesuatu. Tangan Ye Xiu itu sama cantik seperti tangan kamu!"