Chereads / Avatar Raja / Chapter 3 - Tugas Khas: Syif Malam

Chapter 3 - Tugas Khas: Syif Malam

Dia menang? 'Chasing Haze' menang?

 Chen Guo tergamam sebentar. Perkataan yang muncul di skrin adalah 'Glory', ia merupakan simbol kemenangan di dalam 'Arena' dan juga bermaksud 'K.O (Knockout)'.

Masalahnya, dia cuma beredar untuk jangka masa yang sangat pendek. 40 saat? 50 saat? Chen Guo melihat ke arah jam tangannya. Sememangnya tak sampai seminit pun lagi. Tapi keputusannya? Pihak lawan yang mengalahkan dia sebanyak 52 kali berturut-turut telahpun ditewaskan dalam tempoh kurang dari seminit?

Chen Guo terus terlupa untuk merampas kembali akaunnya tersebut. Dia ingin menyaksikan jika lelaki itu boleh bertarung sekali lagi, supaya dapat dia menghilangkan rasa ragunya.

Sayangnya, lelaki tersebut sudahpun log keluar dari permainan. Dia meregangkan tangannya, seolah-olah menandakan dia tidak berminat dengan permainan tersebut. Dia memandang ke kiri dan kanan. Apabila ternampak Chen Guo sedang memerhatikannya dengan mata yang terbeliak, dia segera menjelaskan: "Kamu tidak log keluar tadi. Apabila saya duduk, perlawanan sudah bermula. Jangan risau, saya telah membantu kamu menang!"

"Berapa lama kamu bertarung?" tanya Chen Guo.

"40 saat!" kata Ye Qiu

Mulut Chen Guo ternganga. Lelaki tersebut menambah dengan nada kesal: "Tangan saya kesejukan tadi, kalau tidak 30 saat pun sudah mencukupi."

"30 saat... 30 saat untuk menumbangkan pihak lawan yang membelasah saya 52 kali berturut-turut. Siapakah dia ini?" kata Chen Guo di dalam hati.

Mungkinkah dia pemain profesional daripada Pasukan 'Excellent Era'? Chen Guo tiba-tiba terfikir. Dia tahu Kelab Excellent Era terletak tidak jauh dari kafe internet ini. Tetapi dia berfikir semula. Kalau benar dia dari Pasukan 'Excellent Era', sudah tentu dia mengenal wajahnya! Melainkan lelaki ini adalah jaguh yang tidak pernah menunjukkan wajahnya, iaitu Ye Qiu!

Ye Qiu! Chen Guo merasa teruja apabila memikirkan nama tersebut. Tetapi, memandangkan jaguh tersebut adalah seorang yang amat perahsia, dia pasti tidak akan mengaku jika ditanya secara depan-depan. Selepas teragak-agak buat seketika, Chen Guo terfikir akan satu idea dan berlari ke arah meja sambutan tetamu.

"Siapa yang mendaftar di Kawasan 3 Nombor 47?" Chen Guo bertanya kepada gadis yang menjaga kaunter.

""Namanya Ye Xiu," jawab gadis tersebut..

"Ye Xiu... Ye Qiu? Memang dia! Fikir Chen Guo dengan teruja sekali. Nampaknya dia telahpun membongkarkan identiti rahsianya!

"Heh heh heh…." Chen Guo ketawa sinis. Dia bersedia untuk menggunakan sebarang cara sekalipun demi mendapatkan tandatangan Ye Qiu. Tandatangan Ye Qiu…..ah! Siapa di dunia ini yang boleh berkata mereka mempunyai tandatangan Ye Qiu? Tidak ada seorang pun!

Sedang dia memikirkan perkara ini, gadis penyambut tetamu itu berkata: "Kad pengenalannya pun dia terlupa nak ambil."

"Kad pengenalan?" Chen Guo bingung seketika mendengarkannya. Barulah dia sedar yang dia terlalu teruja sehingga lupa bahawa kafe internet mempunyai sebuah sistem untuk mengenalpasti pelanggan. Kad pengenalan wajib ditunjukkan.

"Mana? Biar saya tengok." Chen Guo melihat kad pengenalan di tangan gadis tersebut. Apa yang tertulis adalah Ye Xiu, bukannya Ye Qiu. Perasaan kecewa melanda Chen Guo dan dia terasa ingin sahaja menukar perkataan Xiu tersebut kepada Qiu.

Menyedari yang lelaki itu bukanlah jaguh rahsia yang dikaguminya, dia hilang minat terhadap kemahiran lelaki tersebut, tetapi dia masih curiga bagaimanakah dia boleh menjadi begitu hebat sekali. Chen Guo pulang ke Kawasan 3 Nombor 47 dengan marah dan memulangkan kad pengenalan Ye Xiu. "Kamu terlupa untuk ambil kad pengenalan kamu!"

"Oh, terima kasih." Ye Xiu menjawab. "Adakah kamu bekerja di Kafe Internet ini?" tanya Ye Xiu kemudian.

"Ya, saya bos di sini."

"Oh? Kamu bos, bagus! Saya baru terlihat di laman utama kafe internet ini, kamu sedang mencari pekerja? tanya Ye Xiu.

"Ah... ya..." Chen Guo tidak menyangka dia akan bertanya tentang perkara ini. Dia baru sahaja merancang untuk belajar dengan lelaki tersebut, nampak gayanya ini adalah peluang terbaik.

"Saya sudah melihat syarat kelayakan dan saya fikir saya menepati kesemua yang kamu perlukan. Kerja dan gaji tidak menjadi masalah buat saya. Macam mana? Cuba pertimbangkannya, bos," Ye Xiu berkata.

"Oh, kalau begitu, kamu harus mengalahkan saya dalam pertarungan Glory dulu!" kata Chen Guo.

"Apa? Ada ke syarat ini?" Ye Xiu berpaling ke komputer dan cuba untuk memeriksa.

"Kamu tak perlu cari. Saya baru sahaja menambah syarat itu," Kata Chen Guo sambil tersenyum.

Ye Xiu keliru. Sekarang barulah dia sedar bahawa kemenangannya sebelum ini kelihatan terlalu profesional. Bos yang cantik ini pastinya merasa curiga akan kekuatannya, tetapi... Ye Xiu ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala. "Saya takkan dapat mengalahkan awak."

"Kenapa?" Chen Guo terkejut.

"Kerana saya tidak mempunyai akaun yang setanding dengan awak," kata Ye Xiu.

"Akaun... Akaun kamu ada pada tahap berapa? Peralatan apa yang kamu ada?" tanya Chen Guo.

"Tiada tahap, tiada peralatan." jawab Ye Xiu.

"Eh kenapa pula langsung tak ada?" Chen Guo tidak mempercayainya. Dia dapat mengalahkan pihak lawan yang hebat dalam 40 saat tanpa sebarang masalah. Jika orang seperti ini tidak mempunyai akaun tahap tinggi, bagaimana dia boleh berlatih sehingga memperoleh kemahiran sebegini?

"Saya sudah dermakan akaun asal saya," hanya itu yang mampu Ye Xiu katakan.

"Oh, begitu... Kamu sungguh murah hati," Chen Guo mengeluh dengan sedih. Lelaki ini memiliki kemahiran yang tinggi, jadi akaunnya pasti kuat. Akaun yang kuat adalah teramat berharga, mendermakannya adalah satu tindakan berani.

"Ya, terlalu murah hati," Ye Xiu terpaksa senyum. Kalaulah gadis ini tahu bahawa akaun yang 'didermakannya' itu adalah 'Battle Mage' One Autumn Leaf, dia pasti setuju bahawa perkataan 'murah hati' adalah tidak sesuai digunakan, perkataan 'bodoh' jauh lebih baik.

"Adakah kamu berbuat demikian kerana ingin bersedia untuk server baru?" Tanya Chen Guo.

"Server baru?" Ye Xiu keliru sebentar dan melihat pada tarikh hari ini.

Esok merupakan ulangtahun kesepuluh permainan Glory. Bermula dari ulangtahun yang kedua, Glory akan membuka server baru pada setiap tarikh ulangtahun. Pendaftaran untuk server kesepuluh telahpun bermula sejak tiga bulan lalu. Pemain lama yang tidak berpuas hati dengan server lama akan bersedia untuk menyertai Glory semula pada tarikh ini dengan tidak sabarnya.

Sekarang, server kesepuluh Glory bakal dilancarkan. Akaun One Autumn Leaf terletak di server Glory yang pertama. Dalam pengembangan Glory yang kelima, ramai pakar telah diberikan peluang untuk menyempurnakan 'Skill Challenge'. Jika berjaya menempuh cabaran ini, mereka akan diberikan akses kepada semua server sekaligus.

Kini, One Autumn Leaf sudahpun bertukar hak milik. Karier dia sebagai pemain profesional Glory turut terhenti bersama-sama dengan One Autumn Leaf. Tetapi, kini kebetulan pula server baru telah tiba pada waktu ini. Minda Ye Xiu berkocak. Memori selama sepuluh tahun bermain-main di fikirannya.

"Server baru? Saya teringat, seseorang itu boleh berpindah ke server baru di saat permulaannya, betul? Ye Xiu bertanya kepada Chen Guo dengan tiba-tiba.

"Cuma akaun tahap 1 yang boleh berbuat begitu." Kata Chen Guo.

"Biar saya cuba." Ye Xiu mengeluarkan kad akaun dari poketnya dan dengan segera memohon untuk pertukaran server pada laman web utama Glory. Chen Guo melihat kad akaun tersebut dengan kagum. "Bukankah ini kad edisi pertama?"

"Ya, betul." Ye Xiu tersenyum. Glory mempunyai edisi baru setiap tahun. Kad edisi pertama adalah dari sepuluh tahun lalu.

Chen Guo melihat ke arah Ye Xiu dengan terperanjatnya. "Sudah berapa lama kamu bermain Glory?" Kad bukanlah objek hidup, tetapi pemiliknya sudah tentu. Biarpun kad itu berusia sepuluh tahun, belum tentu pemiliknya sudah berkecimpung selama itu.

"Hampir 10 tahun." Jawab Ye Xiu. Ini mengesahkan bahawa dia dan kad tersebut sudah bersatu sejak dari awal lagi.

Chen Guo menyangka bahawa dia sudahpun dianggap seorang veteran dengan pengalaman selama lima tahun yang dimilikinya. Siapa sangka, lelaki di hadapannya mempunyai dua kali ganda pengalaman tersebut. Sepuluh tahun. Mereka yang bermain selama itu pastinya adalah kelompok pemula Glory. Dia sudah bermain untuk jangka masa yang sangat panjang, tetapi minatnya masih tidak hilang, malah dia ingin memasuki server baru. Motivasi jenis apakah ini?

Sedang Chen Guo memikirkan perkara ini, laman utama sudahpun menyatakan "Perpindahan Server Berjaya".

"Selesai." Ye Xiu menarik keluar kad akaunnya. Sekali lagi dia mengimbas kembali setiap detik yang hadir bersama kad edisi pertama tersebut.

"Adakah kamu bercadang untuk bekerja sebagai pengurus rangkaian?" Chen Guo bertanyakan tentang perkara ini secara tiba-tiba.

"Ya."

"Syif yang mana satu?" Tanya Chen Guo lagi.

"Yang harus bertugas pada syif malam." Jawab Ye Xiu

"Oh, kamu tidak kisah ke?" Chen Guo terkejut. Syif malam bermula dari 11PM sehingga 7AM. Bayarannya adalah sebanyak 300 yuan lebih tinggi daripada jawatan-jawatan lain, tetapi tidak ramai yang memohon. Ini kerana tidak ramai yang rela untuk membalikkan waktu siang dan malam mereka. Disebabkan itu, setiap pekerja terpaksa bergilir-gilir menyempurnakan syif malam tersebut. Jika ada seseorang yang sanggup mengambil tugas itu secara keseluruhan, pastinya semua yang lain akan berasa lega.

"Tiada masalah, tiada masalah. Saya suka bekerja pada waktu malam!" kata Ye Xiu.

Chen Guo meneliti lelaki di hadapannya ini dengan teliti. Rambutnya kelihatan seperti tidak dibasuh selama lebih dari setengah bulan. Mukanya kelihatan tidak begitu sihat. Sungguhpun ianya cerah dan bersih, ia juga pucat lesi. Matanya merenung ke arah mata Chen Guo dengan tidak bermaya. Dia sudah banyak kali melihat penampilan seperti ini. Para remaja yang datang ke Kafe Internetnya seringkali kelihatan seperti ini. Lelaki ini tidak terlalu muda, tetapi apa yang mengejutkan adalah dia seperti dipenuhi dengan dendam dan penghinaan.

Biarpun begitu, jika dia ingin bekerja sepenuh masa pada waktu malam, Chen Guo akan mengalu-alukannya. Apatah lagi, dia juga ingin belajar lebih lanjut tentang kehebatan seorang pemain dengan pengalaman selama sepuluh tahun. Dia menepuk tangannya dan berkata: "Baik, kamu diterima."

"Terima kasih banyak, bos."

"Baca semua syarat-syarat dengan teliti. Pekerjaan ini akan berpandukan syarat-syarat tersebut." Kata Chen Guo.

"Tiada masalah."

"Bagus, mari ikut saya!" kata Chen Guo. Setelah menerima Ye Xiu, dia serta-merta mengarahkan dia untuk mengemaskan selonggok papan kekunci dan menyimpannya di tingkat dua.

Kafe internet milik Chen Guo digelar "Kafe Internet Gembira", ia dianggap sebagai kafe internet bertaraf mewah. Terdapat dua tingkat dan lebih dari seribu komputer di sini. Tingkat dua adalah lebih kecil, tetapi jauh lebih mewah — kawasan berkelas tinggi. Di dalam "syurga" ini, terdapat dua bilik kecil dan juga satu bilik stor. Setelah memeriksa bilik kecil tersebut, Ye Xiu mula sibuk memindahkan kesemua papan kunci tersebut.

Laman web yang memaparkan kerja kosong tadi tertulis: "Makanan dan tempat tinggal disediakan". Ye Xiu beranggapan bahawa kemudahan ini akan membantunya untuk menyesuaikan diri dan memberinya masa untuk berfikir tentang langkah seterusnya. Disebabkan itulah dia berminat untuk bekerja di kafe internet ini.

Dia menyangka yang bilik kecil tersebut adalah tempat tinggal yang disebutkan. Sungguhpun hiasannya ringkas, ia bersih dan kemas. Ye Xiu cukup berpuas hati dengan keadaan bilik itu. Dia tidak berhenti berfikir akan masa depannya sambil menyusun papan kekunci yang dibawanya tadi.

Setelah melihat Ye Xiu menyempurnakan tugasannya, Chen Guo menunjuk ke arah katil kecil yang terletak di dalam bilik stor. "Bagus, kamu akan tidur di sana".

"Apa?" Ye Xiu terkejut. Dia fikir bahawa dia akan tidur di bilik bersih dan terang yang dilihatnya tadi. Malah, sofa di bilik lukisan pun boleh tahan juga. Tapi ini...Ye Xiu mendongakkan kepalanya untuk melihat lebih lanjut.

Di dinding sebelah barat bilik stor tersebut terdapat sebuah tingkap yang menghadap ke lampu jalanan di luar. Apabila lampu bilik stor tersebut dipadamkan, lampu yang malap menyinari bilik itu, membuatkannya kelihatan seolah-olah dihantui.

"Agak kurang selesa, tetapi bersabarlah buat sementara. Kafe internet saya ini ramai pekerja, tahu tak? Kamu ada ataupun tidak, sebenarnya tidak ada beza pun. Iklan kerja kosong yang kamu lihat tadi itu pun sebenarnya adalah iklan lama." Kata Chen Guo.

"Oh, begitu! Tiada masalah, tiada masalah. Ini pun sudah bagus." Isytihar Ye Xiu. Sikapnya itu membuatkan Chen Guo berasa bersalah. Dia tahu bilik kecil ini tidak sesuai untuk didiami.

"Jika kamu ada masa lapang, silakanlah gunakan komputer untuk bermain. Tidak ada masalah, pekerja tidak perlu bayar." Kata Chen Guo.

"Bos, awak juga seorang yang murah hati!"

"Apalah yang hendak saya kisahkan tentang satu komputer di antara seribu!" Jawab Chen Guo.

"Kebiasaannya, ramaikah pelanggan yang berkunjung ke sini?" tanya Ye Xiu.

"Boleh tahan. Cukup untuk saya berpuas hati," kata Chen Guo. "Tetapi, sudah tentulah pelanggan akan berkurang pada waktu malam. Kebanyakan yang datang pada waktu ini adalah pelajar universiti yang ingin mengulangkaji sepanjang malam. Tak banyak yang saya boleh katakan, kamu akan melihatnya sendiri nanti."

"Saya faham," jawab Ye Xiu.

"Untuk kamu membiasakan diri dengan cepat, apa kata kamu mula bekerja malam ini juga? Saya ingin melihat kebolehan kamu bekerja sepanjang malam." kata Chen Guo.

"Tiada masalah. Tenaga saya berada pada paras penuh sekarang!" Ye Xiu mengangkat kedua-dua ibu jarinya, menunjukkan yang bekerja sepanjang malam adalah kemahiran yang dia miliki.

"Baguslah kalau begitu. Mari kita turun, saya akan belanja kamu makan lewat malam," kata Chen Guo.

"Oh? Kita hendak makan apa?"

"Tak banyak pilihan pada waktu ini. Sepatutnya ada sebuah restoran kecil berhampiran yang masih buka. Cubalah kamu pergi lihat dan bawa beberapa bungkus makanan pulang. Saya tak makan daun saderi ya." Kata Chen Guo sambil mengeluarkan dua ratus yuan dari poketnya dan memberikan wang tersebut kepada Ye Xiu.

"Tapi, sekarang ini sedang bersalji!" bantah Ye Xiu.

"Restoran tersebut hanya di seberang jalan sahaja. Berapa banyak sangatlah salji yang akan melekat pada kamu? Cepat!" arah Chen Guo.

Ye Xiu tidak mempunyai pilihan lain. Dia menyeberangi jalanraya dan membeli beberapa bungkus makanan. Dia baru sahaja diterima bekerja tetapi sudahpun diberikan arahan berturut-turut. Namun, dia tidak sedikit pun berasa sedih atau marah. Setelah berbual buat seketika, dia dan Chen Guo bukanlah orang asing lagi. Sifat peramah yang ditunjukkan ini membuatkannya berasa selesa. Tiba-tiba dia tersedar, dia belum pun bertanyakan nama majikannya tersebut!