"Kak Chen, kamu makan lewat malam lagi…"
Setelah membeli makanan, Chen Guo memanggil kesemua pekerja kafe internet miliknya untuk makan bersama-sama. Bau hidangan tersebut memenuhi kafe sehingga kesemua pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati. Masa untuk makan malam sudah lama berlalu, tetapi mereka terpaksa menikmati haruman daripada makanan yang baru dimasak. Ini sungguh tidak adil!
"Kamu semua lapar? Belilah mi segera dari kafe kami kalau lapar!" kata Chen Guo.
Para pelanggan tidak mampu menahan godaan lagi dan terus beratur untuk mendapatkan mi segera. Mereka hanya mampu merenung dengan rasa cemburu terhadap pekerja-pekerja kafe yang sedang menikmati makanan-makanan lazat.
"Lain kali, beritahulah kami semua yang Kak Chen nak beli makanan! Belikanlah juga untuk kami!" kata salah seorang pelanggan.
"Kafe internet saya ini hanya ada beberapa orang pekerja sahaja. Manalah kami mampu untuk menghantar makanan kepada semua orang! Sudahlah, kalau kamu nak sangat makan tapi malas nak keluar beli, telefon sajalah restoran itu!" kata Chen Guo.
"Kak Chen ada nombornya? Boleh kongsi dengan saya?" kata pelanggan itu lagi.
"Buat apa saya nak ambil nombornya? Saya ada pekerja untuk membelikan makanan, tak perlu nak menyusahkan restoran itu!" jawab Chen Guo.
Semua pelanggan dan pekerja ketawa terbahak-bahak sehingga berjurai air mata mereka. Ye Xiu mengambil kesempatan ini untuk bertanya: "Nama keluarga bos adalah Chen, kan?"
"Ya, nama saya Chen Guo. Oh, untuk pengetahuan kamu, saya dah lihat kad pengenalan kamu. Kamu lebih muda dari saya, jadi kamu harus panggil saya 'kakak'!" kata Chen Guo.
"Boleh, kalau itu yang kakak mahu…" Ye Xiu tersenyum.
"Daging cincang dengan sos cili ini pedas sangat. Hey budak, kamu habiskanlah semua," kata Chen Guo kepada Ye Xiu.
Chen Guo tidak makan banyak. Dia melemparkan penyepitnya lalu menghabiskan segelas air. Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba menyepak kerusi Ye Xiu: "Kamu sudah habis makan ke belum? Cepatlah!"
"Apa yang tergesa-gesa sangat?" tanya Ye Xiu.
"Sudah hampir tiba masanya," Chen Guo menghalakan jam tangannya ke muka Ye Xiu. Waktu sekarang adalah 11.53 PM. Cuma tinggal 7 minit lagi sebelum pembukaan server Glory yang kesepuluh.
"Kakak pun nak pergi juga?" Ye Xiu sedikit terkejut. Dia tahu bahawa akaun 'Chasing Haze' milik Chen Guo sudah berusia 5 tahun. Sungguhpun ia tidak setanding dengan usia akaun para pemain profesional yang berada di tahap kemuncak, ia tetap lebih bagus jika dibandingkan dengan pemain-pemain biasa yang lain. Bukan mudah untuk menyerahkannya begitu sahaja.
"Cuba lihat betapa terujanya semua orang!" kata Chen Guo.
Pembukaan server baharu ini sememangnya meriah. Para pelanggan memenuhi setiap penjuru Kafe Internet Gembira. Setiap orang kelihatan sudahpun membuka halaman pendaftaran dan tetikus mereka diletakkan tepat pada ikon server kesepuluh yang masih berwarna kelabu pada waktu ini.
Dengan pembukaan server baru, para pemain berpeluang untuk menempatkan diri mereka di papan pendahulu, menyelesaikan 'dungeon' pertama, menjadi pemain terawal untuk membunuh bos dan sebagainya. Sungguh banyak perkara yang boleh dilakukan, dan hati setiap pemain dipenuhi keterujaan dan kegirangan. Chen Guo sendiri kelihatan cukup teruja melihat gelagat setiap pemain pada waktu sebegini.
Dia melihat ke arah Ye Xiu yang masih sedang sibuk makan. Sungguhpun Ye Xiu adalah salah seorang pemain terawal, dia kelihatan langsung tidak terkesan dengan keterujaan yang ditunjukkan semua orang.
"Kamu tunggu apa lagi?" Chen Guo kelihatan lebih tidak sabar berbanding semua pemain lain.
"Apa yang kakak tergesa-gesa sangat?" Ye Xiu kelihatan sungguh tenang, dan tiada sebarang tanda yang menunjukkan dia sedang berpura-pura. Dia mengakui bahawa kebolehan pemasaran Glory sangat hebat, sehingga mampu memaksimakan sifat kompetitif dalam setiap pemain. Untuk menjadi seorang pemain yang unggul, seseorang itu perlu bergantung kepada kemahiran dan latihan, bukannya wang ataupun nasib. Cuma, sebagai seorang pemain veteran yang sudahpun merasakan kejayaan pada masa lalu, keterujaan sebegini sudah terlalu biasa baginya.
Apabila melihat wajah Chen Guo yang seakan-akan ingin membunuhnya, barulah Ye Xiu meletakkan mangkuk nasinya ke atas meja dan mula berjalan ke arah stesen komputer.
"Jahanam, nampaknya dia harus dipaksa barulah nak bermain. Manusia jenis apakah ini?" Chen Guo memaki-hamun Ye Xiu di belakangnya. Semua pekerja menahan daripada ketawa. Mereka sedar bahawa teman sekerja mereka yang baru ini adalah lain daripada yang lain kerana dia mampu membuatkan bos naik darah dengan mudahnya!
Chen Guo duduk di stesen komputer bersebelahan Ye Xiu dan mendaftarkan akaun 'Chasing Haze' miliknya. Populariti sembilan server yang lain sedikitpun tidak terjejas oleh pembukaan server kesepuluh ini. Ini kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk bermain Glory menggunakan akaun baru. Chen Guo telah menggunakan 'Chasing Haze' selama lima tahun, barulah ia dianggap sebagai akaun yang bagus. Mana mungkin dia meninggalkannya begitu sahaja! Apatah lagi, matlamat bagi setiap pemain adalah untuk menyertai 'Heavenly Domain'.
'Heavenly Domain' bukan sekadar sebuah tempat biasa, ia adalah sebuah dunia baru. Saiznya adalah sama besar dengan gabungan dunia daripada lima server lain. Di sini terdapatnya 'dungeon' yang teramat sukar, peralatan yang kuat, bahan-bahan berharga dan juga kebebasan. Para jaguh handalan akan bertemu di sini. 'Heavenly Domain' merupakan destinasi terakhir seorang pemain.
Waktu sudah hampir tengah malam. Pada sepuluh saat terakhir, setiap pelanggan di kafe internet memulakan kira turun. Dengan setiap saat yang berlalu, gabungan suara kedengaran semakin kuat. Apabila laungan pelanggan sampai ke 'KOSONG', warna kelabu pada ikon server kesepuluh terus hilang. Dengan serta-merta, mereka beramai-ramai memasukkan kad akaun masing-masing ke dalam peranti log masuk dan jari mereka mengetik pantas pada ikon server tersebut.
Chen Guo memalingkan wajahnya ke arah Ye Xiu, dan dia hampir sahaja memuntahkan darah. Sedang semua orang sibuk untuk memulakan permainan, Ye Xiu dengan senang-lenangnya melayari sebuah laman web. Sambil meninggikan keningnya, Chen Guo melihat bahawa ia adalah sebuah laman yang menunjukkan panduan misi untuk dimainkan.
"Jahanam, benda mudah seperti ini pun kamu tak tahu? Kamu perlukan panduan?? Biar betul!"
Jika bukan kerana kad edisi pertama yang dimiliki Ye Xiu, sampai mati pun Chen Guo tidak akan percaya bahawa Ye Xiu adalah seorang pemain veteran.
"Sudah lama saya tidak bermain, manalah saya boleh ingat!" Ye Xiu menjawab dengan perlahan.
"Kamu tak pernah membantu pemain baru?" tanya Chen Guo.
"Saya...tak pernah," jawab Ye Xiu.
"Langsung tak ada semangat komuniti!" nada Chen Guo agak menghina.
"Saya tak ada masa," kata Ye Xiu.
"Hey, orang yang tak ada masa takkan bermain permainan ini!" kata Chen Guo.
"Saya terlalu sibuk bermain," kata Ye Xiu dengan serius.
"Jadi, apa pekerjaan kamu?" tanya Chen Guo.
"Bermain permainan video!" teriak Ye Xiu.
"Oh, jadi kamu adalah pemain profesional?" tanya Chen Guo.
"Ya, dan saya mempunyai tahap yang tinggi," Ye Xiu ketawa.
"Pemain profesional bertahap tinggi?" Chen Guo kelihatan bingung.
Ye Xiu mengangguk dengan bangga.
"Jadi, kamu pasti sudah bersara!" kata Chen Guo.
"Macam mana kakak tahu?"
"Sudah terang lagi bersuluh, kamu sudah tua!" jawab Chen Guo.
Ye Xiu ketawa lagi.
"Saya tertanya-tanya macam mana kamu boleh mengalahkan pihak lawan tempoh hari dalam 40 saat sahaja. Nampaknya kamu agak mahir juga sungguhpun kamu hanya sekadar seorang amatur,"
"Amatur?"
"Saya kenal semua pemain profesional. Ye Xiu? Saya tak pernah dengar nama ini. Kalau kamu bukan amatur, siapa lagi?" tanya Chen Guo.
"Begitu rupanya," Ye Xiu terus ketawa.
"Jangan berpura-puralah. Sebenarnya kamu belum bersara lagi. Tapi, kamu tidak cukup bagus untuk bertanding, jadi kamu dibuang, betul tak?" tanya Chen Guo.
Ye Xiu tergamam.
"Jangan terasa ya, saya tak berniat nak menyakitkan hati kamu" Chen Guo sedar bahawa dia sudah melampau.
"Tak apalah," keluh Ye Xiu.
"Jangan putus asa. 25 tahun bukanlah tua sangat. Kalau kamu terus berlatih, mungkin kamu boleh diberikan peluang kedua," kata Chen Guo.
"Itulah rancangan saya," Ye Xiu tersenyum.
"Kalau itu benar-benar terjadi, saya nak minta sesuatu dari kamu,"
"Apa dia?"
"Tandatangan!" jawab Chen Guo.
"Kenapa perlu tunggu sampai hari itu. Saya boleh tandatangan sekarang juga!"
"Eh tak tahu malu! Siapa nak tandatangan kamu? Saya cuma nak kamu dapatkan tandatangan pemain-pemain idola saya!" kata Chen Guo.
"Oh? Siapa mereka itu?"
"Su Mucheng dan Ye Qiu. Ye Qiu mungkin susah sikit, sebab dia suka bersembunyi,"
"Oh, begitu rupanya," air mata mengalir ke pipi Ye Xiu. "Ye Qiu sedang berbual dengan kamu, kakak." kata Ye Xiu dalam hatinya.
"Ya. Dia tidak pernah muncul di khalayak ramai. Eh, sungguhpun kamu ini amatur, saya tak sangka perkara seperti ini pun kamu tak tahu?"
"Saya tahu, sudah tentulah saya tahu. Biar saya beritahu kamu satu rahsia. Sebenarnya, sayalah Ye Qiu."
"Oh yakah? Jadi biar saya beritahu kamu satu rahsia juga. Sebenarnya, sayalah Su Mucheng!" kata Chen Guo.
"Saya…"
"Okay, sudah cukup kita bergurau senda. Beritahu saya apa rancangan kamu! Kalau ada apa-apa yang kamu tak faham, kamu boleh terus bertanya pada saya," Chen Guo berazam untuk tidak lagi naik marah kerana sikap Ye Xiu.
"Saya nak buat sedikit kajian dulu. Saya hanya akan menyelesaikan misi untuk menguatkan atribut dan kemahiran. Untuk misi-misi lain yang memberikan ganjaran pengalaman dan kelengkapan, saya rasa lebih cepat kalau kita bermain di dungeon," kata Ye Xiu.
"Betul. Pemikiran seperti inilah yang perlu ada pada seorang veteran. Tapi, kamu tak perlu susah-payah nak menjalankan kajian sendiri. Buka halaman terakhir panduan itu!"
"Oh?"
Apabila Ye Xiu melihat ke halaman terakhir, dia tiba-tiba berasa malu. Panduan pemain ini langsung tidak berubah sejak sepuluh tahun lepas. Ia sudah cukup lengkap dan tidak dapat dikemaskinikan lebih lanjut. Kenapa tidak ada seorang pun yang mencipta panduan untuk misi yang harus dilaksanakan oleh pemain veteran? Dia sangat memerlukan panduan seperti itu pada waktu ini!
Air matanya sekali lagi mengalir. Dahulu, dia dianggap sebagai seorang tokoh legenda. Sekarang, dia perlu bergantung pada buku panduan pula. Betapa malunya dia dengan dirinya sendiri.