"Abang jaguh, abang ada apa-apa permintaan tak dalam pertarungan kita di sini?"
Mesej tersebut dihantar oleh Seven Fields kepada Ye Xiu.
"Saya mahukan 'Saber' dari Skeleton Warrior," jawab Ye Xiu.
"Saber perhiasan itu?" tanya Seven Fields dengan nada terkejut
"Ya, betul,"
"Oh, kalau abang ada permintaan khas seperti itu, lebih baik kita jangan jemput sesiapa yang tidak kita kenali. Kita berempat sahaja cukup!" kata Seven Fields.
Kenyataannya itu cukup logik sekali. Jika mereka menjemput pemain yang tidak dikenali, mungkin apa yang diinginkan oleh Ye Xiu tersebut akan dirampas olehnya. Agak leceh jika mereka perlu menjelaskan tentang sebab mereka mengutamakan Ye Xiu dalam pemilihan ganjaran. Pemain yang tidak dikenali tersebut juga akan menghadapi kesukaran untuk mempercayai mereka, siapa tahu mereka hanya berniat untuk mempergunakan dia dan akan meninggalkannya dengan tangan kosong tanpa sebarang ganjaran pun.
"Okay!" Ye Xiu juga tidak ingin perkara yang leceh itu berlaku.
Seven Fields dan teman-temannya memasuki 'dungeon' dan berkata "Marilah munculkan diri, bos tersembunyi!"
"Haha, kamu semua sudah ketagih membunuh bos tersembunyi ke?" tanya Ye Xiu sambil ketawa.
Mereka bertiga membalas dengan ketawa "ha ha" bernada nakal. Sejak mengikuti jejak Ye Xiu, mereka semua cukup teruja untuk berhadapan dengan bos tersembunyi. Jika bos tersembunyi tidak muncul, mereka berasa seakan-akan 'dungeon' tidak mempunyai cabaran langsung.
"Marilah kita mulakan!" kata Ye Xiu.
Lord Grim menghunuskan tombak pertarungannya dan memimpin semua ahli pasukannya. Seven Fields, Sunset Clouds dan Drifting Water mengikut dengan rapat dari belakang. Hujan turun dengan lebat di Perkuburan Rangka. Raksasa 'Will-o'-wisps' berwarna hijau kelihatan dari jauh dan dekat. Mereka mengeluarkan bunyi tangisan hantu. Sekali-sekala kedengaran juga bunyi rintihan yang mengerikan. Ini menyebabkan bulu roma semua pemain tegak berdiri.
Bukan sahaja bunyi rintihan itu yang menakutkan, malah terdapat juga bunyi tiupan angin yang sayup-sayup memasuki tleinga mereka.
Hanya Ye Xiu seorang yang tetap teguh dan tidak gentar. Tetapi tidak lama kemudian, dia menyedari bunyi tiupan angin tersebut bukanlah sekadar efek psikologi, tetapi angin yang benar-benar sedang bertiup di sebelah telinganya!
Tangannya tidak lekang dari papan kekunci, tetapi kepalanya secara tidak sedar telah menoleh ke kanan dan kiri. Dan….dia melihat seraut wajah yang berwarna putih dan mata berwarna hitam sedang merenung ke arahnya tanpa mengelipkan mata. Bibirnya yang merah seakan-akan menitikkan darah.
"Pow!"
Tangan kiri Ye Xiu menampar papan kekunci dengan kuat dan Lord Grim berhenti bergerak. Dengan panik, dia menekan tujuh atau lapan kekunci dengan serentak kerana ketakutan! Di dalam permainan, Lord Grim seolah-olah sedang mengalami sakit sawan! Nasib baik mereka sedang bertarung dengan raksasa yang lemah ketika itu. Seven Fields dan rakan-rakannya segera datang untuk membantu. Mereka semua berasa pelik sekali.
"Abang jaguh tak pernah melakukan kesilapan walau sekali pun. Kenapa pula dia tiba-tiba macam ini sekarang? Ada apa-apa yang terjadi ke?" tanya mereka dalam hati.
Tiba-tiba, mereka semua mendengar suara jeritan Ye Xiu!
Pada waktu itu, Lord Grim sudah menstabilkan diri dan menenangkan keadaan. Seven Fields dan teman-temannya menarik nafas lega apabila mendengar Ye Xiu berkata,
"Eh, bos tak tidur lagi ke?? Kenapa bos berjalan-jalan dengan topeng muka macam ni? Nak menyamar jadi hantu ke?"
"Hah, apa ni?" tanya Seven Fields
"Skandal dia tu…" tulis Drifting Water melalui mesej peribadi.
Mereka bertiga terus senyap dan menumpukan sepenuh perhatian untuk mendengar.
"Saya tak boleh tidur, jadi saya datang nak melihatkan keadaan sebentar," kata Chen Guo sambil menanggalkan topeng mukanya.
"Seven Fields! Kamu berundur. Drifting Water, kamu ambil posisi di bahagian depan sekali. Sunset Cloud, kamu perhatikan arah jam pukul 4," arah Ye Xiu.
Chen Guo melihat ke skrin Ye Xiu dan berkata, "Saya rasa….Ye Qiu tak patut bersara,"
"Ya, saya setuju," kata Ye Xiu.
"Pangkat dia terlalu tinggi. Bila Excellent Era menghadapi masalah, semuanya disalahkan pada ketuanya. Tak adil betul!" kata Chen Guo.
"Oh."
"Saya dah tonton semua pertarungan Excellent Era. Saya rasa Ye Qiu dan Dewa Tarung One Autumn Leaf tak sekuat waktu dahulu," sambung Chen Guo lagi.
"..." Ye Xiu diam membisu.
"Sekarang ni, Pakatan Professional sudah semakin maju, ada ramai jaguh di mana-mana. Misalnya, 'Great Gunner', 'Sword Saint', 'King of Fighting', 'Magician', mereka semua ni tak kurang hebat berbanding Ye Qiu dan akaun mereka sama kuat dengan One Autumn Leaf!"
"..." Ye Qiu masih membisu.
"Zaman sekarang ni, seorang pemain tak mampu untuk mendukung pasukannya secara bersendirian. Tetapi, orang ramai masih berharap yang Ye Qiu mampu menunjukkan kekuatannya seperti zaman kegemilangannya dulu. Permintaan mereka terlalu berat," kata Chen Guo.
"Seven Fields, berundur sedikit, kamu terlalu ke hadapan. Sunset Clouds, kamu dan Drifting Water harus berdiri bersebelahan satu sama lain. Saya boleh uruskan keadaan seorang diri," kata Ye Xiu sambil tangannya tidak berhenti-henti menekan papan kekunci.
"Eh, JAHANAM!!" Chen Guo naik marah.
Dia bangun dan mencekik leher Ye Xiu dan menggoncangkannya dengan ganas sekali.
"KAMU DENGAR TAK APA YANG SAYA KATAKAN?? DENGAR TAK??"
Semua pelanggan kafe internet tersebut menggigil ketakutan. Mereka cuba mengintai siapakah gerangan orangnya yang berani menaikkan kemarahan bos Chen Guo. Mereka khuatir ada yang akan menjadi mangsa pembunuhan Chen Guo nanti!
Fon kepala Ye Xiu terjatuh. Sayup-sayup kedengaran suara Seven Fields yang mengatakan "Dengar tak bunyi tu? Dengar tak?"
Biarpun menghadapi keadaan seperti ini, tangan Ye Xiu tetap terus stabil dan Lord Grim masih bertarung seperti biasa. Hakikatnya, Ye Xiu sudah sesak nafas dan hampir-hampir dicekik sehingga mati!
Apabila lidah Ye Xiu hampir tercabut dari tekak, barulah Chen Guo melepaskan genggamannya. Ye Xiu batuk bertalu-talu tetapi pandangan matanya tetap tidak lekang dari skrin.
"Err....bos kata apa tadi?" tanyanya dengan nada tidak bersalah.
Belum sempat Chen Guo membalas, Ye Xiu mengangkat semula fon kepalanya dan menjerit ke mikrofon, "Seven Fields! Undur! Undur!"
Tangannya kembali menari-nari di papan kekunci. Pada waktu ini, mereka berempat sedang bertarung dengan bos. Mereka kekurangan seorang pemain, maka mereka amat memerlukan Lord Grim pada waktu ini.
Chen Guo tergamam melihatkan keletah Ye Xiu.
"Dia tak marah langsung? Mungkin kalau saya cekik dia sampai mati pun dia tak kisah!"
Dia menggeleng-gelengkan kepalanya dan duduk semula. Dia menghidupkan komputer di stesen bersebelahan Ye Xiu dan berkata, "Eh budak! Main dengan saya!"
Ye Xiu menoleh dan berkata, "Bos, itu komputer server!"
"Habis? Saya kan bos!" kata Chen Guo.
Ye Xiu tidak terkata-kata. Sesungguhnya kedudukan seorang bos lebih tinggi daripada peraturan yang mengatakan 'Jangan sesekali menggunakan komputer server'!
"Macam mana saya nak main dengan bos?" Ye Xiu sedang sibuk bertarung dengan sengit.
"Saya pun ada akaun dalam server kesepuluh, tahu?" Chen Guo melambai-lambaikan kad akaunnya di hadapan muka Ye Xiu.
"Oh," jawab Ye Xiu dengan ringkas.
"Budak ini…..memang elok kalau saya cekik dia sampai mati lepas tu gali lubang dan kuburkan saja dia!" kata Chen Guo dalam hati.
"Bos selesaikan dulu misi-misi awal!" kata Ye Xiu.
"Tak nak! Saya nak kamu bawa saya ke 'dungeon' cepat!" kata Chen Guo dengan tegas. Dia sudah bertekad untuk menentang setiap kata-kata Ye Xiu.
"Bos baru tahap 1! Macam mana saya nak bawa ke 'dungeon'?? Hutan Hijau yang senang tu pun memerlukan pemain bertahap 5 baru boleh masuk!" kata Ye Xiu.
"Fikirkanlah sesuatu, Ye Xiu, la la la." jawab Chen Guo dengan nakal.
"Okay, sekejap saya fikir!" Ye Xiu menyerah kalah.Tangannya tetap tidak berhenti-henti menekan papan kekunci.
"Drifting Water! Balik ke posisi kamu cepat! Kamu bakal dikerumuni musuh nanti! Eh apa jadi dengan kamu semua ni? Kenapa banyak sangat kesilapan?" katanya dengan nada garang.
Chen Guo berdiri di belakang Ye Xiu sambil menggenggam penumbuknya.
"Ye Xiu….oooo Ye Xiu. DAH FIKIR KE BELUM??" nadanya lembut bercampur garang.
"Ha, sudah, sudah!" jawab Ye Xiu serta-merta.
"Oh? Apa dia?" Chen Guo agak terkejut. Apa yang dimintanya itu sememangnya mustahil untuk dilakukan. Bagaimana pula budak ini dapat mencari penyelesaiannya?
"Senang saja. Bos jangan fikirkan tentang 'dungeon' atau apa-apa benda lain pun. Bos fokus saja untuk membunuh raksasa-raksasa kecil sampailah bos mencecah tahap 5 ok?" jawab Ye Xiu sambil memberikan senyuman nakal.
"SAYA BUNUH KAMU DULU!!"