Chereads / Avatar Raja / Chapter 22 - Persaraan Ye QIu (1)

Chapter 22 - Persaraan Ye QIu (1)

Chen Guo masih tidak mengerti. Sungguhpun Ye Xiu tidak kisah, mengapakah pemain lain tersebut masih sanggup menerima dia untuk menyertai kumpulan mereka?

"Apa sebenarnya yang berlaku?" tanya Chen Guo.

"Saya rasa, pada awalnya semasa mereka benarkan saya menyertai, mereka ada rancangan untuk mengenakan saya. Tapi setelah melihatkan kebolehan saya, mereka berasa yang saya akan menjadi ahli pasukan yang berguna untuk mereka. Jadi, mereka pun tidak jadi untuk mengenakan saya," jelas Ye Xiu.

"Jadi, kamu pun dengan gembiranya menolong mereka tanpa sebarang ganjaran pun?" kemarahan Chen Guo terpancar kembali.

"Tak ada apa-apalah. Semuanya okay saja," Sewaktu Ye Xiu berkata sedemikian, sebilah tombak terpancar pada skrin dan menikam Spider Lord yang telah dikerumuni oleh mereka berlima. Chen Guo melihat dengan matanya sendiri, semua ahli kumpulan yang lain membuat keputusan untuk menghadiahkan ganjaran yang diperoleh kepada Lord Grim seorang sahaja.

"Apa maksud semua ini?" Chen Guo tergamam.

"Saya banyak membantu mereka. Jadi, mereka memaksa saya untuk memilih ganjaran mana yang saya mahu terlebih dahulu. Saya tak boleh berbuat apa-apa!"

Ye Xiu memilih untuk menolak semua ganjaran tersebut. Dia sudahpun memiliki satu set peralatan berkelas biru sejak beberapa ketika lalu, hasil daripada kemurahan hati Seven Fields dan teman-temannya.

Chen Guo berasa bingung sekali. Apa yang dikatakan oleh Ye Xiu itu tidak masuk akal. Bukankah mereka semua teman-teman sepasukan dari dahulu lagi, dan Ye Xiu pula orang baru? Seharusnya Ye Xiu diberikan kedudukan terakhir sekali dalam memilih ganjaran, tetapi terbalik pula! Sebelum Chen Guo masuk tidur, mereka semua seperti bermusuhan dengan Ye Xiu. Tetapi apabila dia bangun, mereka semua seperti adik-beradik pula? Apa yang terjadi?

"Beritahu saya sekali lagi, bagaimana semua ini boleh terjadi," Chen Guo akan bertanya soalan yang sama sehinggalah dia benar-benar faham.

"Berapa kali saya nak cakap? Saya banyak membantu mereka!" jawab Ye Xiu.

"Berapa besarnya bantuan kamu? Cuba terangkan"

"Saya pemain utama sewaktu menyelesaikan Gua Labah-Labah dan membunuh Maharaja Labah-Labah buat kali pertama," kata Ye Xiu.

"Kamu mencapai tiga kali 'first clear' dalam tempoh satu malam sahaja?" Chen Guo terkesima. Dia telah bermain menggunakan Chasing Haze selama 5 tahun, tetapi tidak pernah sekali pun dapat melakukan 'first clear'. Ye Xiu pula hanya memerlukan 12 jam sahaja untuk mendapat tiga kali 'first clear'! Ini terlalu menakjubkan!

"Ya, saya agak bernasib baik," jawab Ye Xiu.

Dia bangun dan menggeliat. Kesemua ahli kumpulannya yang lain telah log keluar dari permainan. Kedengaran kata-kata "Selamat tinggal" dari fon kepalanya. Ye Xiu mengambil semula fon kepala tersebut dari tangan Chen Guo dan berkata "Jumpa kamu semua kemudian!" ke dalam mikrofon. Kemudian, barulah dia sendiri log keluar daripada permainan.

"Saya sangat mengantuk. Saya nak tidur," kata Ye Xiu.

"Kamu nak makan apa-apa tak sebelum tidur?" tanya Chen Guo. Sambil bertanya, dia cuba untuk menganalisa wajah Ye Xiu. Tidak kelihatan sebarang tanda-tanda mengantuk pun. Dia telah berjaga sepanjang malam dan juga sepanjang pagi, tetapi wajahnya masih segar! Sewaktu bertemu dengannya semalam, dia kelihatan teramat sedih dan terluka, tetapi raut wajahnya agak berbeza sekarang. Dia semakin tidak mengerti.

"Tak payah! Saya akan makan lepas saya bangun dari tidur!" Ye Xiu mematikan komputer dan melangkah keluar. Chen Guo memberikannya kunci pintu bilik stor.

Setelah tiba di bilik stor tersebut, Ye Xiu menyelubungkan kepalanya dengan bantal dan tertidur dengan cepatnya. Bilik stor ini sebenarnya agak sesuai untuk tidur sewaktu siang kerana cahaya yang masuk melalui tingkap kecil tidak menganggu walau sedikit pun.

Ye Xiu tidur dengan lena sekali. Setelah dia sedar, hari sudahpun gelap. Sungguh tidak disangka seseorang yang telah menghadapi peristiwa jatuh bangun sepertinya mampu untuk tidur dengan nyenyak sekali. Ye Xiu duduk di katilnya dan menyalakan sebatang rokok, tanpa menghidupkan lampu bilik. Setelah selesai, dia bangkit dan meninggalkan bilik tersebut.

Kelihatan pintu dua bilik tidur yang lain terkunci dari luar. Ye Xiu tahu bilik-bilik tersebut milik Chen Guo dan seorang lagi gadis yang bernama Tang Rou. Dengarnya, Tang Rou seorang pekerja yang telah berbakti buat tempoh masa yang lama di kafe internet milik Chen Guo ini. Dia sudah bekerja selama dua tahun, tetapi dalam masa beberapa hari yang lepas, dia telah pergi bercuti.

Pekerja-pekerja kafe internet yang lain pula kebanyakannya tinggal di kawasan yang berhampiran. Chen Guo telah menyewakan sebuah apartmen, khas untuk kegunaan mereka. Chen Guo telah memberitahu Ye Xiu sebaik sahaja ada pekerja yang berhenti, dia akan membantunya untuk mendapatkan bilik di apartmen tersebut.

Ye Xiu masuk ke bilik air, dan melihat sebuah nota yang tertampal di cermin. Nota tersebut ditujukan buatnya. Chen Guo telahpun menyediakan sehelai tuala dan sebatang berus gigi buatnya.

Ye Xiu menanggalkan nota tersebut dan berasa terharu di atas sifat bosnya yang mengambil berat tentang dirinya. Dia berasa bersyukur di atas pekerjaan yang diperolehinya ini.

Setelah mengemaskan tuala dan berus gigi tersebut, Ye Xiu pun turun ke tingkat 1. Jam sudahpun menunjukkan pukul 9 malam. Dia masih belum makan lagi sepanjang hari ini. Dia merasa terkejut apabila melihatkan keadaan gelap-gelita, seolah-olah tidak ada lampu yang dipasang di tingkat bawah tersebut.

"Ada sesuatu yang berlaku ke?" tanya Ye Xiu dalam hati.

Dia menyedari sungguhpun lampu tidak dipasang, ramai orang di sekelilingnya. Sungguh ramai sekali sehinggakan dia sukar untuk mencari tempat untuk berdiri. Pada sebuah dinding, tergantung sebuah skrin projektor yang berukuran 200 inci. Sebuah projektor sedang memancarkan sebuah tayangan dan bunyinya bergema ke seluruh kafe internet tersebut. Semua penonton diam membisu, tidak kiralah mereka yang duduk di komputer mahupun yang berdiri di kaki lima. Kafe internet ini seolah-olah telah bertukar menjadi sebuah panggung wayang.

Ye Xiu terdengar suara pengulas dari skrin tersebut. Lima patah perkataan jelas kelihatan.

"Ye Qiu, One Autumn Leaf,"

Apa yang sedang dipertontonkan ialah sebuah segmen tentang sejarah karier profesional Ye Qiu. Pengulas permainan sedang menceritakan tentang semua pencapaian yang telah dikecapinya sepanjang tempoh kariernya tersebut.

Juara liga sebanyak tiga kali, MVP sebanyak tiga kali, anugerah 'Rising Star' sebanyak dua kali dan satu kali 'One Hit One Kill'.

Tidak kira sama ada dari segi pasukan ataupun dari segi pemain solo, Ye Qiu merupakan pemain terbaik dalam Persatuan Profesional Glory, dan merupakan idola setiap pemain Glory.

"Seterusnya, marilah kita mengenangkan Dewa Tarung One Autumn Leaf yang digunakan oleh Ye Qiu,"

Pengulas tersebut menggunakan nada suara yang sayu sewaktu memberikan ulasannya. Pada skrin, terpancar imej-imej Dewa Tarung One Autumn Leaf. Dahulunya, imej-imej ini mampu untuk membuatkan para penonton menjadi riang gembira tidak terkawal, tetapi sebaliknya, ia mengakibatkan semua penonton diam membisu malah berair mata! Tidak ada sorakan ataupun jeritan, hanyalah suasana yang sunyi-sepi. Mereka semua sedar imej yang sedang ditonton ini hanyalah tinggal memori sahaja.

Pada hari ini, Kelab Excellent Era telah mengadakan sidang berita dan mengumumkan persaraan kapten pasukan mereka, Ye Xiu.

Jaguh yang penuh misteri tersebut tidak hadir pun pada sidang persaraannya sendiri. Mereka hanya dapat melihat pengurus pasukan tersebut menunjukkan tandatangan Ye Qiu pada kontrak yang menyatakan persaraannya. Pengurus kelab tersebut kemudiannya memberitahu Ye Qiu telah menolak sebarang posisi lain di kelab tersebut dan meninggalkan kelab Excellent Era dengan rela hati.

Skrin terus menunjukkan segala pencapaian Ye Qiu. Bermula dengan pertarungan, kepada kemenangan, rekod yang dicatatkan, sehinggalah pada akhirnya ia disudahkan dengan keadaan terkini Ye Qiu dan kelab Excellent Era yang berada di ambang kejatuan. Di tengah-tengah keramaian, terdengar bunyi tangisan yang sedu-sedan.