Pemandu tersebut terus memusingkan roda stereng dengan kasar menuju arah yang bertentangan setelah mendengar permintaan Ye Wan Wan untuk bertukar destinasi secara tiba-tiba. Kini, mereka menuju ke hospital Ren Ai.
"Cik, kenapa cik tiba-tiba nak pergi ke hospital? Cik tak sihatkah?" Pemandu tersebut berasa agak risau, lantas dia bertanya.
"Taklah, teman lelaki saya ada insomnia. Saya dengar ada seorang doktor kanan yang terkenal di hospital Ren Ai dan dia betul-betul pandai merawat pesakit yang ada insomnia jadi saya nak pergi ke sana untuk minta nasihat lanjut."
"Begitu, bertuahlah teman lelaki cik!" Puji pemandu tersebut.
Ye Wan Wan tersenyum dan tidak membalas apa-apa. Dia cuma melontarkan pandangannya ke luar tingkap kereta tanpa sebarang reaksi di wajahnya.
Tidak lama selepas itu, kereta tersebut tiba di perkarangan hospital Ren Ai.
Penampilan Ye Wan Wan seperti dirinya sendiri — dia sedang memakai gaun berwarna merah jambu dan berdiri di situ; dia kelihatan cantik sekali.
Shen Meng Qi yang sedang bersembunyi terus ternampak gadis tersebut.
Melihat betapa cantiknya rupa paras Ye Wan Wan, terdapat sinaran iri hati di mata Shen Meng Qi. Namun, disebabkan Ye Wan Wan datang seperti yang diharapkan, wajahnya dipenuhi dengan cemuhan dan celaan.
'Kalau kau cantik sekali pun, tapi bodoh sampai termakan umpan aku buat apa?'
Shen Meng Qi hanya dapat bertenang selepas dia menyaksikan Ye Wan Wan berjalan masuk ke dalam hospital Ren Ai dengan matanya sendiri. Dia mengambil telefonnya dan menghantar pesanan teks kepada Si Ye Han: [En. Si, saya tertanya-tanya Wan Wan ada tak bersama dengan awak? Badan saya kurang sihat tadi jadi saya pergi ke hospital dan kebetulan pula saya ternampak ada kelibat serupa dengan Wan Wan. Saya tak pasti sama ada orang itu Wan Wan atau tak dan saya pun tak dapat nak hubungi dia. Saya risaulah, dia jatuh sakitkah?]
Sudah tentu dia tidak begitu bodoh untuk nampak seperti dia sengaja menjarakkan hubungan antara mereka—dia hanya mahu Si Ye Han mencari maklumat dengan sendiri.
Walaupun dia tidak mahu mengaku hal ini, tetapi Si Ye Han benar-benar menyayangi Ye Wan Wan dan kalau dia tahu Ye Wan Wan jatuh sakit, sudah pasti dia sendiri yang akan datang ke hospital.
Apabila saat itu tiba, dia akan datang dengan hati yang penuh bimbang tetapi sebaliknya dia akan melihat Ye Wan Wan bercumbuan dengan Gu Yue Ze. Sudah tentu ia akan menjadi babak yang menarik…
Selepas dia menghantar pesanan teks tersebut, Shen Meng Qi meninggalkan hospital dengan penuh yakin.
'He he, Ye Wan Wan yang bodoh itu masih menganggap aku kawan baiknya. Si bodoh itu tak akan tahu akulah dalangnya walaupun dia sedang nazak.'
Sebaliknya, Shen Meng Qi tidak akan dapat terbayang pun Ye Wan Wan sudah melihat segala-galanya dari tingkap tingkat dua hospital tersebut; daripada waktu dia menyorok di satu sudut dan menghantar pesanan teks secara senyap-senyap sehinggalah dia beredar dengan muka yang berpuas hati.
Ye Wan Wan berdiri di tepi tingkap dan dengan perlahan-lahan mengherotkan bibirnya. Sudah tentulah dia perlu pergi ke hospital dan menunjukkan mukanya agar Shen Meng Qi boleh laksanakan rancangan liciknya dan terus menimbulkan masalah antara dia dan Si Ye Han.
Semua orang tahu tentang kisah
Jika Shen Meng Qi terus gagal dengan rancangannya untuk menyemai kebencian antara mereka, jika dia memberitahu perkara yang benar sekali pun selepas ini, Si Ye Han pasti tidak akan mempercayainya lagi.
Itulah yang Ye Wan Wan mahukan.
Pada ketika itu, di taman kecil rumah lama:
Pada saat Ye Wan Wan beredar, Si Ye Han kekal berada di tempat yang sama tanpa bergerak.
Sehinggalah telefonnya di atas meja berdering dan pesanan teks daripada Shen Meng Qi muncul.
Nada dering pesanan teks ini bagaikan bunyi kematian pada telinga Xu Yi.
Si Ye Han membaca kandungan mesej tersebut sekali imbas; dingin dan tanpa secebis pun kehangatan. Riak wajahnya tidak berubah pun, bagaikan mata hitamnya yang bagaikan lubang hitam telah menelan semua emosinya.
Xu Yi mengintai dan terlihat mesej tersebut datang daripada Shen Meng Qi. Kemudian, dia melihat pada reaksi Si Ye Han sekali lagi dan dia dapat meneka kandungan mesej itu.
Keheningan yang mengerikan itu berlangsung buat tempoh yang agak lama sebelum Si Ye Han mengambil telefonnya dan membuat panggilan lantas bertanya, "Awak di mana."
Xu Yi ternampak yang Si Ye Han menggunakan dail laju dan dia tahu tuannya sedang menghubungi Ye Wan Wan. Riak wajahnya bertukar kelabu asap dengan perasaan tewas serta-merta.
Kali ini, tidak kiralah sama ada Ye Wan Wan menipu atau bercakap benar, tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan…
Kemudian, dia terdengar suara Ye Wan Wan membalas, "Saya ada masalah sikit jadi dalam perjalanan tadi saya pergi ke hospital Ren Ai sebab saya…"
Sebelum dia sempat menghabiskan kata-katanya, suara Si Ye Han yang dingin memotong percakapannya, "Balik ke taman Jin, sekarang."
Selepas memutuskan panggilan tersebut, Si Ye Han merenung tajam pada Xu Yi, "Pergi siasat."
Xu Yi terpaku dan kemudian menganggukkan kepalanya dengan tergesa-gesa.
'Kalau hal ini dah melarat sehingga tahap ini, Ye Wan Wan mesti tahu yang dia tak boleh bersembunyi lagi dan perlu mengaku tetapi tuan tak percayakan dia dan mahu terus menyiasat…'