Selepas sekolah tamat, latihan diadakan di satu auditorium kecil dalam sekolah.
Ditambah dengan beberapa pelakon lain, ada beberapa peminat tegar dan pengawal peribadi Si Xia di situ. Cheng Xue mengetuai sekumpulan gadis malu-malu yang mengerumuni Si Xia. Mereka melahirkan kebimbangan mereka dan juga memujuk Si Xia memandangkan dia masih lagi trauma selepas mendapat tahu dia akan berpasangan dengan Ye Wan Wan.
"Cikgu itu terlalu teruk, macam mana dia putuskan untuk mencabut undi?"
"Betul! Dia boleh pula benarkan Ye Wan Wan untuk membuat persembahan… ini satu penghinaan kepada Si Xia!"
"Si Xia, jangan bersedih, apa kata kita pergi jumpa Cikgu dan membantah bersama?"
…
Ye Wan Wan sedang menghisap lollipop di pintu, mendengar semua benda yang dikatakan oleh semua gadis itu dan sudut mulutnya terangkat.
'Kenapa semua perempuan itu buat seperti Si Xia yang akan didera?'
Telinga Si Xia penuh dengan perbualan antara gadis-gadis itu, wajahnya semakin mendung detik demi detik, dahinya penuh rasa menyampah. Baru sahaja dia mahu bercakap, suasana tiba-tiba menjadi senyap sunyi.
Melihat ke arah pintu, sudah tentu, dia nampak Ye Wan Wan berdiri di sana.
Sebaik sahaja Ye Wan Wan muncul, kemarahan gadis-gadis itu serta-merta membuak dan beberapa gadis terus meluru ke arahnya.
"Ye Wan Wan, awak tak malu?! Awak betul-betul datang!"
"Kami perlu selesaikan satu perkara dengan awak untuk apa yang berlaku pagi tadi!"
"Awak curi watak Si Kecil Xue dan masih lagi berlagak; awak fikir kami tak boleh sentuh awak?"
Ye Wan Wan mengimbas semua gadis yang datang kepadanya.
Tiga gadis inilah yang merancang gurauan sebentar tadi dan lelaki bersama mereka tadi tiada di sini, mungkin kerana dia yang perlu menanggung semua tanggung jawab dan masih lagi diurus oleh Zhao Xing Zhou.
Tiga gadis ini sebahagian dari kumpulan Cheng Xue dan lelaki itu seperti abang Cheng Xue di sekolah. Mereka agak berpengaruh dalam Qing He dan tiada siapa yang berani menyinggung perasaan pembuli sekolah ini.
Kali ini, jika bukan kerana Ye Wan Wan, sama ada melalui keluarga atau rangkaian dalam sekolah, Cheng Xue sepatutnya mempunyai 80% peluang untuk mendapat watak ini.
Jadi tidak pelik mengapa Cheng Xue begitu membenci Ye Wan Wan.
Cheng Xue berpakaian gaun DR berkualiti tinggi yang ditempah khas dan berdiri di belakang gadis yang melindunginya. Kulitnya yang putih, mata yang cerah, dan wajah yang berdarah campuran kelihatan lembut dan jelas. Apabila dia berdiri di sebelah Si Xia, mereka pasangan yang agak sepadan, seperti putera dan puteri dari cerita dongeng.
Pada masa itu, wajah kecil Cheng Xue dipenuhi dengan kesedihan. Walaupun dengan kebencian dan cemburu dalam matanya yang membuatkan dia tampak gelap dan ganas, penampilan cantiknya masih kelihatan menyedihkan.
Cheng Xue bukan sahaja ratu cantik kelas F tapi juga ratu cantik di seluruh sekolah Qing He.
Ye Wan Wan teringat, Cheng Xue mempunyai keluarga yang rumit dan sudah mengenali Si Xia sejak dari kecil. Dalam kehidupan lamanya, dia teringat mereka akan bertunang akhirnya nanti.
Umur sebenar Ye Wan Wan adalah 27 tahun. Apabila dia melihat kumpulan gadis ini, ini seperti melawan sekumpulan kanak-kanak. Dia kemudian bertanya, "Tsk, hanya beberapa saat interaksi, adakah perlu semua ini?"
'Beberapa saat interaksi!?'
Penampilan bersama antara putera dan Snow White tidak banyak sehinggalah Snow White makan epal beracun dan pengsan, yang kemudian putera muncul di hadapannya.
Tapi!
Beberapa saat interaksi itu ialah adegan bercium!
Berfikir tentang itu, Cheng Xue mengetap gigi. Kata-kata Ye Wan Wan sengaja mahu memprovok. "Ye Wan Wan! Jaga mulut awak! Si Xia, awak betul mahu bekerja dengan orang ini?"
Nada suaranya penuh bahaya.
Wajah Si Xia bertukar hodoh, lagipun apa yang dia boleh buat? Sebagai seorang lelaki, bagaimana dia boleh menarik semula kata-katanya?
"Baiklah, saya yang mencabut undi itu jadi awak semua diam dan mula berlatih. Siapa yang di sini bukan untuk latihan, berambus sekarang!"