Hati kecil Ye Wan Wan terperanjat. "Tidur… Apa maksud awak dengan tidur? Tidur sahajakah… Atau…"
Lelaki tersebut merenungnya dan berkata, "Kalau awak nak lebih dari itu boleh saja."
Ye Wan Wan terus menggeleng kepalanya dengan kuat dan menjawab, "Tak, tak! Tidur sahaja pun sudah okey!"
Namun, sungguhpun permintaannya untuk "tidur" sahaja, itu pun sudah membuatkan kepalanya serabut.
Dua jam tidur dengannya pun sudah menjadikan Ye Wan Wan tidak selesa, inikan pula enam jam.
Tetapi, dia yang bersalah.
Akhirnya, dia terpaksa akur dengan permintaan Si Ye Han.
Semasa dia berbaring di katil dan menemaninya sekali lagi, tiba-tiba Ye Wan Wan sedar bahawa mungkin Si Ye Han yang merancang semua ini untuk mengenakannya secara sengaja? Semua ini berlaku agar dia terpaksa patuh dengan kontrak yang tidak adil disebabkan dia rasa bersalah…
Selain itu, selepas dia mendengar perbualan sebentar tadi, mengapa Si Ye Han tidak ada reaksi langsung?
'Tak mungkinlah dia tak dengar apa-apa langsung, bukan?'
Kepalanya sakit selepas berfikir. Apabila dia menoleh kepalanya, dia sedar bahawa Si Ye Han sudah pun tidur dengan nyenyak.
'Adakah semua telahannya salah?'
Corak tidur Si Ye Han kelihatan sangat normal! Dia tidak kelihatan seperti orang yang sakit…
Ye Wan Wan masih melayan fikirannya yang entah apa-apa sehingga dia tidak dapat tidur. Selepas beberapa ketika, dia terjangkit dengan rasa mengantu Si Ye Han dan tertidur tanpa dia sedar.
Malam sudah lewat.
Lelaki di atas katilnya membuka matanya dengan perlahan-lahan bagaikan raksasa yang senang hati.
Namun, walaupun dia baru sahaja bangun tidur, anak matanya masih kelihatan garang dan dingin.
Sehinggalah… Dia berasa sesuatu yang sangat lembut dalam dakapannya dan riak wajahnya yang garang kembali tenang dan dia menundukkan kepalanya untuk melihat.
Di bawah sinaran cahaya bulan yang terang, dia melihat seorang perempuan sedang lena tidur dalam pelukannya bagaikan seekor anak kucing.
Buat seketika, dadanya yang kosong dan dingin tiba-tiba berasa penuh dan hatinya yang dingin kembali dalam badannya.
Tangan lelaki tersebut semakin erat memeluk perempuan tersebut, tetapi kerana dia bimbang dia akan mengejutkan Ye Wan Wan yang berada dalam dakapannya, dia terus meregangkan pelukannya. Dia merenung perempuan dalam dakapannya itu dengan riak wajah yang kompleks.
Sejak hari itu, Ye Wan Wan menjadi semakin sukar untuk ditelah…
Walaupun dia sukakan perubahannya, tetapi perangainya yang terlalu manis itu kelihatan sangat palsu lantas menyebabkan hatinya berasa tidak senang.
Dia bagaikan seorang pengembara yang sudah lama menjelajahi padang pasir dan tiba-tiba dia ternampak oasis—dalam sesaat seterusnya, dia mungkin baru sedar bahawa semua ini hanyalah suatu ilusi, cuma secebis sinar harapan.
Pada ketika itu, telefon di sisinya mula menyala, menandakan masuknya mesej baharu.
Mata Si Ye Han menjadi gelap dan dia membuka mesej tersebut.
Mesej ini dihantar oleh Shen Meng Qi— [En Si, saya pergi melawat Ye Wan Wan malam semalam dan cuba sedaya-upaya untuk memujuknya. Tetapi, dia masih marah pada awak. En Gu itu tunangnya, jadi saya fahamlah yang dia tidak dapat melupakannya dalam masa yang singkat. Saya percaya suatu hari nanti dia akan sedar bahawa awaklah pasangannya yang tepat.]