Katilnya yang kecil dibaluti dengan cadar sekolah yang berjalur biru dan putih terang. Dia mendapati selimut sekolah agak tidak selesa, jadi dia telah beli selimut baharu di pasar raya kecil yang terletak bertentangan dengan sekolah. Selimut itu lebih lembut tetapi corak bunga peony yang mekar dan besar padanya kelihatan sangat kontra.
Sekarang, Si Ye Han sedang berbaring di atas katil kecil itu yang tidak sepadan dengannya, dengan selimut bercorak peony di atas badannya.
Dengan pelik, Ye Wan Wan berasa dengan adanya dia berbaring di situ, corak bunga peony yang mencolok mata itu kini kelihatan agak elegan.
"Hei…awak nak tidur di sini?"
"Mari sini," lelaki tersebut tidak menjawab soalannya tetapi mengajaknya ke sisinya.
"Oh," Ye Wan Wan menelan air liurnya dan berjalan dengan patuh.
Kemudian, dia ditarik ke dalam pelukannya dan mereka berbaring bersama-sama.
Ye Wan Wan: "…"
'Dia bukan sahaja nak tumpang tidur tetapi dia memaksa aku untuk tidur dengannya sekali—apa yang dia nak buat ini?!'
Terdapat bunyi orang berjalan ke sana ke mari dan perempuan ketawa dan bercakap dengan seronoknya di luar. Ye Wan Wan yang berasa sangat gementar terus cuba memujuknya dengan berkata, "Hei, katil saya ini sangat keras jadi tak selesa nak tidur! Kalau awak mengantuk, apa kata awak balik dan rehat?"
Lelaki tersebut memeluknya dan menjawab, "Tapi di sini sangat lembut dan selesa."
Wajah Ye Wan Wan berubah menjadi muram. 'Dia ini cakap tentang katil atau aku?'
"Tuan ke-9, awak pasti awak tak mahu pulang berehat? Di sini sangat bising dan katilnya kecil. Kaki awak pun terjulur keluar dan awak tak boleh tidur tanpa Dr. Mo. Selain itu…"
Ye Wan Wan banyak bercakap tetapi dia pula tidak menunjukkan sedikitpun niat untuk beredar.
Akhirnya, Ye Wan Wan mendiamkan diri setelah berasa jengkel.
Namun, sebaik sahaja dia berhenti bercakap, Si Ye Han membuka matanya semula dan berkata dengan perlahan, "Cakaplah."
Ye Wan Wan yang tidak memahaminya membalas dengan, "Hah?"
Si Ye Han: "Teruskan bercakap."
Ye Wan Wan: "…"
'Dia nak dengar suara aku semata-mata untuk tidur… perlukah dia menyusahkan orang macam ini?'
Ye Wan Wan mahu mencampak selimut tersebut dengan geram tetapi sudah tentulah, dia tidak berani berbuat demikian. Dia mengangguk dan berkata, "Oh…"
Tapi aku nak cakap tentang apa?
"Kalau macam itu saya sebut nombor pi, ya?" Ye Wan Wan cuba bertanya.
"Hm," dia mengangguk tanda setuju.
Oleh itu, Ye Wan Wan mula menyebut, "3.1415926535897..."
Pi merupakan nombor perpuluhan infiniti; ada yang mengatakan kita boleh menyebut sehingga 100,000 angka untuk selama 10 jam berturut-turut.
Ye Wan Wan tidak pernah mengira berapa banyak angka yang boleh disebutnya. Lagipun, selagi Si Ye Han tidak mengarahkan dia untuk berhenti, dia tidak berani mahu berhenti dan hanya boleh terus menyebut angka-angka tersebut.
Lelaki yang sedang berbaring di sebelahnya kelihatan sangat kacak hinggakan dia boleh mencerahkan seluruh langit Qing He. Rambutnya kelihatan bagaikan diwarnakan hitam dengan langit malam, raut wajahnya bagaikan diukir, kulitnya sempurna tanpa cela, bibirnya nipis tapi berbentuk sempurna, setiap helai rambutnya menunjukkan ciptaan sang Pencipta yang indah dan disebabkan dia melonggarkan tali leher pada lehernya dan mendedahkan sebahagian tulang selangkanya…
Selain daripada berasa takut, Ye Wan Wan berasa terseksa berbaring di sebelah makhluk yang cukup sempurna.
Ye Wan Wan tidak tahu berapa lama lagi perlu dia menyebut angka pi. Akhirnya, dia begitu letih sehinggakan dia tertidur tanpa sedar.
Tiba-tiba, dia terbangun disebabkan bunyi ketukan pada pintu.
"Tuk tuk tuk," ketukan tersebut kedengaran sangat kuat dalam bilik yang hening.
'Tak guna! Habislah aku!'
Lelaki di sebelahnya sedang tidur nyenyak sebelum ketukan bermula. Keningnya yang menawan berkerut sedikit dan wajahnya bertukar muram sebaik mendengar bunyi ketukan tersebut.
Ye Wan Wan berasa sedikit terkejut—Si Ye Han tertidur lagi?
'Bukankah dia susah sangat nak tidur sehinggakan dia perlukan hipnosis daripada Dr Mo setiap kali untuk tidur?'
Walau bagaimanapun, dia tidak kisah sangat tentang hal itu dan membangunkan orang di sebelahnya dengan lembut dan segera. "Si Ye Han! Bangun!"